BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, November 26, 2010

Alam Cerah Yang Bercahaya


Alhamdulillah..di celahan minggu peperiksaan ini, di celahan ujian tarbiyah yang bertimpa-timpa mengecas jihad dalam diri ini, atas sekelumit kekuatan yang diizinkan Allah, jemari ini dapat menyiram embun ke dedaun lembah AnNur ini..moga bebenih yang baru kusemai di lembah ini bisa diizin Allah untuk bernafas di lembah ini..moga ia diizin Allah untuk tumbuh subur menjadi pepohon kehijauan, lalu menerbitkan cabang-cabang dedaunan sihat yang menghembuskan nafas segar kerana Allah dan perjuangan Islam..moga dedaunannya terus melebar kehijauan, memekarkan senyuman alam, menerbitkan irama zikir pepohon dan bebunga yang sentiasa mengalun harum merdu tasbih dan tahmid padaNya..lalu di celahan kehijauan itu, terbiaslah cahaya menyinari segenap lembah ini..moga cahaya itu terus bersinar menerangi liang hati yang kontang dan malap..lembah ini diilhamkan oleh Allah untuk manfaat kita bersama..moga jemari ini terus diizinkan Allah untuk bekerja denganNya..moga ia bisa memikul amanah ini untuk mencoretkan bingkisan-bingkisan yang bisa menjadi tatapan dan makanan ruh hati yang sentiasa mahukan santapan segar dari lembah yang sihat, jauh dari asap-asap kota yang seringkali menyesakkan jiwa, merabunkan mata, membingitkan telinga, menyerabutkan minda, memalapkan hati dan memeningkan kepala..moga jemari ini terus diberi ruang untuk istiqamah dan terusan belajar untuk mengukir kalam di maya ini..mencarik-carikkan keserabutan yang mengusut di minda ini, lalu lahir menjadi sekeping tinta yang bisa menjadi seperti hujan renyai-renyai, walau rintiknya sedikit, namun cukup memberikan ketenangan pada minda..moga ada rencah-rencah rempah yang bisa menjernihkan mata dan hati, menenangkan minda serta menjadi pengubat pening kepala..insya'allah, semuanya moga dengan izin Allah..

Marilah kita amali setiap detik dengan zikir dan doa pada Allah, Tuhan Pemilik Hati manusia..

"Ya Allah..kurniakanlah kami lisan yg lembut basah mengingati dan menyebut namaMu, hati yang penuh segar mensyukuri (nikmat)Mu..serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada (perintah)Mu.. Ya Allah, kurniakanlah kami iman yg sempurna, hati yg khusyuk, ilmu yg berguna, keyakinan yg benar-benar mantap.. Ya Allah, kurniakanlah kami (Deen) cara hidup yg jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka. Kami mohon padaMu ya Allah kecukupan yg tidak sampai kami terpaksa meminta jasa org lain.. ya Allah, berikanlah kami iman yg sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap pada orang lain selain dari Engkau sendiri.. Kembangkanlah lembayung rahmatMu pada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami.. Ya Allah, jangan Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar masa yg lebih pendek dari itu.. Wahai Tuhan yg paling mudah dan cepat memperkenankan pinta (perkenankanlah..).."
"..Katakanlah Ya Allah Pemilik Kekuasaan (kerajaan) alam buana, Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yg Engkau suka.. Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yg Engkau mahu..Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yg Engkau mahu.. Di tanganMu ya Allah segala kebaikan dan kekayaan.. Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap apa sahaja. Engkau menabirkan siang dengan malam..Dan malam pula Engkau berkuasa menabirkannya siang..Engkau menerbitkan suatu yg hidup dari suatu yg mati, sebagaimana Engkau melahirkan yg mati dari sesuatu yg hidup..Engkau memberi rezeki tanpa berhitung kepada sesiapa sahaja yg Engkau mahu.. Ya Allah, menjelanglah kini malam (ciptaan)Mu, beredarlah sudah siangMu, inilah keluhan suara dan pinta dari para du'ahMu maka oleh itu ampunkanlah (dosa) kami.."
"..Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu.. bertemu untuk mematuhi (perintah)Mu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah ikatannya.. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yg sebenar.. Penuhkahlah (piala) hati ini dengan cahaya RabbaniMu yg tidak kunjung malap.. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu..Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan makrifah (pengetahuan sebenar) tentangMu.. Jika Engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu..Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong.."
Amin Ya Rabbal'alamin..

Note : "..Berdoalah agar Allah sentiasa berikan kepada kita hati yang sentiasa mengalun zikir , tasbih, tahmid dan takbir pada Allah.. Berdoalah agar Allah sentiasa berikan hati yang sentiasa takutkan kemurkaan Allah.. Berdoalah agar Allah terus istiqamahkan jejak langkah kita di medan perjuangan ini. Berdoalah semoga Allah sentiasa berikan hati yang sentiasa lunak mencintaiNya setulus hati.. Berdoalah semoga Allah terus pegang hati kita untuk mengharung sejuta lagi musim perjuangan..Ya Allah..andai tiada sesiapa di kiri kanan jalanku, cukuplah Kau Penolong dan Pelindung.."

Kolej Kediaman Kinabalu (8th),
25 November 2010 , 11.58p.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...