BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 30, 2010

Mendapat tarbiyah dari kucing..


Sewaktu sesudah solat maghrib berjemaah bersama ayah dan mak, anak mata ini ralit memerhatikan enam ekor kucing tahap umur kanak-kanak yang menjadi sebahagian dari warga rumah ini. Mereka sedang bergayut-gayut pada langsir dinding di ruang tamu. Langsir tingkap di ruang depan di ruang tamu sudah tertanggal dari tetingkap. Kini mereka berusaha pula mahu menanggalkan langsir dinding. Saya menggeleng-gelengkan kepala sendiri. Lantas membungakan senyuman pada mak. Sesekali keenam-enam beradik kucing itu melompat-lompat dan bergayut-gayutan pada langsir dinding itu.
“Allahhu Akbarr..kucing-kucing ni dah buat perangai dah, syuhhh...syuhhh...,”pekik mak.
Namun kucing-kucing enam beradik itu masih tidak berganjak. Masing-masing tak nak kalah. Berlumba-lumba bergayut pada langsir dinding rumah. Macam berlawan mendaki bukit pula lagaknya.
“Hmm..patut la langsir tingkap tu asyik tak dak ja.Tiap-tiap kali adik balik, mesti langsir tingkap tu pun dah lesap.Rupanya sebab kucing-kucing enam beradik ni,”ujar saya.
“Hmm..sebab tu la mak biaq ja depa main langsir tu.Malas dah nak pasang.Pasang satgi, depa bagi runtuh balik,”mak tarik muka.
Saya tersenyum. Kesian mak. Kucing-kucing ni buli mak ya. Hmm.. hari ini hari pertama saya pulang ke rumah sesudah selesai segala gerak kerja di hujung semester ini. Cuti ada berbaki 5 hari lagi. Insya’allah, 5hari ini waktu untuk saya bersama keluarga.
“Hmm..kucing ni nak tolong mak tu.Nak tolong buang langsir untuk mak,”saja saya bergurau.
Mak tarik muka. Ayah dah ketawa dah. Saya tersenyum lagi memerhatikan kucing-kucing itu. Mereka anak yatim dan anak yatim piatu. Sejarah jemaah kucing tarbiyah di rumah ini tak pernah bersurut. Ada yang pergi, dan ada yang datang mengganti. Rumah ini akan semakin sunyi jika tiada seri kucing-kucing ini. Sekurang-kurangnya mereka menemani ayah dan mak sepanjang ketiadaan saya dan adikberadik di rumah.
“Terima kasih kucing-kucingku.. Tanpa kalian, pasti rumah ini sunyi. Syukran ya Allah, hadirkan kucing-kucing ini memeriahkan teratak kelahiranku ini..,” bisik saya.
Kisah bermula, lebih kurang setahun lepas. Ada seekor ibu kucing berwarna putih. Sarat mengandung. Kesian kat dia, kami bela dia. Kami panggil dia Putih, sebab bulunya yang putih dan kembang. 2,3 hari selepas itu, kucing itu pun melahirkan anak. Alhamdulillah, dapat 4 ekor anak. 2 ekor putih dan 2 ekor putih bertampung hitam. Salah seekor kucing yang bertampung itu jantan. Yang lainnya semua betina. Lumrah keluarga saya, jika kucing yang jantan akan lebih disayangi. Ibu kucing tadi sebenarnya sakit. Dia hanya menyusukan anak-anaknya dalam sebulan sahaja. Sesudah itu, dia keluar dan tidak balik-balik. Kata mak, ibu kucing itu sakit, tidak dapat menyusukan anaknya. Jadi dia bawa diri dia ke rumah jiran sebelah dan dah tak balik-balik ke rumah.
Jadi, anak-anaknya kami bela. Alhamdulillah, mak dan ayah saya juga sukakan kucing. Mak dan ayah sangat pandai bela kucing. Hingga sekarang, belum ada lagi kucing yang dibela yang tidak berdisiplin. Kucing-kucing yang dibela hanya akan masuk rumah bila nak makan dan bermain. Urusan buang air kecil dan air besar, semuanya di luar. Subhanallah..teruja saya. Pandainya mak dan ayah mendidik mereka.
4 ekor kucing tadi, seekor yang jantan hitam bertompok putih itu namanya Ben. Yang lagi sekor berwarna hitam bertompok putih itu betina, namanya Putam. Dan yang betina lagi 2 ekor keduanya bernama Putih. Putih ni seekor bermata biru dan seekor lagi bermata perang. Yang bermata perang mati dilanggar kereta. Saat putih bermata perang mati, mereka bertiga mulanya mencari-cari putih di seluruh cerok rumah. Nampak sangat mereka bersedih. Mereka mengiau-ngiau di seluruh rumah sepanjang malam itu. terasa kehilangan. Putih mata perang kan adik mereka. Setiap hari bermain dan makan bersama, sudah tentu terasa kehilanganya. Air mata saya turut gugur saat Putih pergi. Jadi, hanya tinggal 3 ekor sahaja sesudah itu.
Antara Putih dan Putam, Ben paling rapat dengan Putih. Memang Putih ini sangat rapat dengan Ben. Main panjat-panjat pokok pun bersama. Makan pun sama-sama. Mandi pun sama-sama juga. Kucing di rumah saya ini, mak saya memang kerap mandikan mereka. Jika saya balik rumah, saya pun mandikan mereka juga. Cuma, apabila mereka comot, kerana makan ikan atau bermain kotor, mereka akan saling menjilat sesama mereka. Sangat ukhwah kan. Subhallahh..
Kekadang saya terharu, melihat Putih menjilat sisa-sisa darah ikan yang jatuh di atas kepala Ben. Ben kurang rapat dengan Putam. Bagi kami, Putam ni kucing yang nakal. Selalu buat jahat. Selalu juga Putam dimarahi mak. Hmm..nakal sangat. Sebab tu juga kot Ben tak sukakannya juga. sebaliknya Putih sangat rajin dan pembersih. Tapi, jauh di sudut hati saya, saya perasan Putam mencemburui Putih. Putih dan Ben ni layak terima gelaran ‘best couple of the year’. Pernah mereka memanjat pokok janggus di depan rumah saya. Pokok itu dah mati dan kering. Ada ranting rapuh juga. Ben panjat, Putih pun ikut panjat. Selagi Ben tak turun, Putih tetap menemani Ben. Sama-sama memanjat hingga ke dahan teratas. Hingga 1 ketika, Ben terjatuh dari pokok dan Ben demam. Ben tak lalu nak makan, Putih juga tak lalu nak  makan. Putih juga tidak pernah tinggalkan Ben sendirian sepanjang Ben sakit. Hmm..rapatnya mereka kan. Entah kita akan bertemu pasangan sahabat manusia yang seperti Ben dan Putih ini? Wallahhu'alam.
Bila mereka sudah besar, Putih mengandung. Putam mengandung sebulan sesudah Putih mengandung. Bila Putih melahirkan anak, Ben tidak pernah meninggalkan Putih. Malah, Ben bantu Putih pindah-pindahkan anak-anak mereka. Saya ketawa sendiri bila lihat Ben cuba nak mengangkut anak-anaknya. Tapi kasihannya, dia tak berani nak menyentuh anak-anaknya. Hanya menguis-nguis dengan tangannya sahaja. Akhirnya Putih sendiri yang memindahkan anak-anak mereka. Putih dapat 2 ekor anak kucing berwarna putih dan seekor berwarna koko keperang-perangan. Tiap-tiap petang, mesti Ben dan Putih akan mengasuh anak-anak mereka. Putam juga turut serta. Dia juga nampak sayangkan anak-anak buahnya. Anak kakaknya, Putih.
Namun, hayat tak panjang. Putih mati dilanggar kereta. Tinggallah Ben, Putam dan anak-anak Putih yang 3 ekor itu. Sejak Putih mati, Ben kemurungan. Saya tahu dia bersedih. Petang itu, saya melihat Ben duduk dekat dengan Putam. Mereka seperti berbincang sambil memerhatikan anak-anak Putih bermain. Tak tahu apa yang dibincangkan. Kebetulan malam itu genap hari kelahiran saya yang ke23 tahun. Ben menemani saya hingga malam esoknya. Namun, pada tengahmalam itu, Ben keluar dari rumah. Kebiasaannya Ben keluar untuk buang air. Dan saya akan menunggu di pintu, sehingga Ben kembali. Namun, pada malam itu, Ben tak kembali. Ben pergi selama-lamanya. Puas kami mencari Ben. Bertanya jiran-jiran. Tetap tak ada yang nampak Ben. Ayah mengesyaki, mungkin Ben dah dimakan anjing. air mata saya menitis-nitis bila teringatkan sepanjang malam itu, Ben berada bersama saya. Ben menjilat ubun-ubun saya. Ben tidak berenggang dengan saya. Ben menjilat-jilat tangan saya juga. Rupanya Ben mahu tinggalkan kenangan bersama saya sepanjang malam itu. Ben mahu ucapkan selamat tinggal rupanya.
Sepeninggalan Ben, anak-anak Putih sedikit terbiar. Yalah..mereka masih kecil. Tambahan pula Putam pula baru sahaja melahirkan anaknya. 3 ekor juga. Anak Putam, 2 ekor berwarna hitam bertompok dan seekor warna koko keperangan. Namun, kebesaran Allah yang saya sendiri saksikan, Putam dengan baik hati turut menyusukan anak-anak Putih. Mungkin ia amanat dari Ben dan putih. Saya menitiskan air mata tatkala melihat Putam disusui anak-anaknya dan anak-anak Putih. Bayangkanlah. Enam ekor anak kucing menyusui seekor kucing yang bertubuh kecil macam Putam. Kesian. Namun, ia satu pengorbanan. Tanda Putam sayangkan kakaknya Putih. Saya sendiri tak sangka, ada juga anak susuan kucing. Subhanallahh..
Anak-anak kucing itu kini dah besar-besar. Dah boleh memanjat. Mesti Putam juga lega. Amanah Putih dan Ben dia dah kotakan. Anak-anak Putih sudah menjadi anak-anaknya. Tiada lebih, tiada kurang. Putam menjilat anak-anak Putih sama seperti Putam menjilat anak-anaknya sendiri. Kini kami semua melihat, Putam sangat mulia dan baik hati walaupun nakal sewaktu kecil dulu. Kita sebagai manusia harus mengambil iktibar dari kucing-kucing ini. Manusia sanggup buang anak. Lebih teruk dari kucing.
Kini anak-anak kucing yang enam beradik itu dah besar. Putam sangat pandai menangkap tikus. Moga tuah Putam jatuh pada anak-anaknya. Dan saya melihat, anak-anaknya yang ini dah besar dan pandai jaga diri, kerana mereka dididik oleh ibu yang baik seperti Putam. Moga kisah kucing tarbiyah ini dapat memberi iktibar pada kita semua. Wallahhu’alam..
 Note : Gambar kucing di atas hanya lampiran.Maaf, gambar kucing-kucing real saya tidak dpt dipostkan.Tiada gambar mereka.Insya'allah, 1 masa nanti, jika ada, saya akan postkan..
29 Disember 2010, 8,58 p,m.
Baiti Jannati, Kg Rantau Panjang, KKM, Kedah..

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...