BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, January 6, 2011

Cerpen : AKU BELAJAR TENTANG CINTA (Bahagian 2)


Dah hampir 3 minggu berlalu. Aku masih tidak memberikan sebarang jawapan pada kak Safinah. Lamaran itu kusisih ke tepi. Aulakan pada gerak kerja yang semakin bertimbun. Minggu depan pun dah masuk study week. Banyak urusan akademik juga yang menuntut fokusku. Malas nak fikir sebenarnya. Ya Allah, berikan aku petunjukMu. Andai lamaran itu baik untukku, berikanlah padaku. Namun, jika memang Kau dah tetapkan Iman jodohku, maka aku sentiasa akan berlapang dada ya Allah. Menunggu ketentuan hikmahMu..
“Iman, perlukah aku menuntut jawapan darimu?,”
Persoalan itu masih tinggal soalan. Masih tiada jawapan. Tiba-tiba air mataku menitis. Entah dari mana datangnya air mata itu. Aku tidak tahu dari mana datangnya satu perasaan aneh dari relung hatiku yang paling dalam. Kenapa air mata ini harus menitis? Hatiku meruntun-runtun untuk meminta penjelasan dari Iman sendiri. Entah kenapa aku tidak percaya apa yang dikatakan Kak Safinah.
“Annur..Annurr.. kalau kita mahukan seseorang, kita perlu berusaha.Jodoh takkan datang bergolek pada kita.Kita yang kena berusaha mencari.Berusaha berikhtiar.Iman tu dah taqdim muslimat lain.Mereka dah nak kahwin dah pun..,”
Hatiku mengulang dua ayat yang akhir itu.
“Iman tu dah taqdim muslimat lain.Mereka dah nak kahwin dah pun..,”
Iman, betulkah begitu? Betulkah kau dah taqdim muslimat lain?Betukah dah nak kahwin?
Sasarlah sangkaanku selama ini yang Iman tidak memikirkan hal-hal hati ini. Salahlah sangkaanku selama ini yang Iman hanya memusatkan hatinya pada gerak kerja Islam semata-mata. Bersalahkah kalau aku meminta penjelasan darinya sendiri? Sekadar untuk menetapkan hatiku? Ya Allah, bantulah aku. Aku menaip mesej pada dia. Pada Iman. Bantulah aku untuk buat keputusan ini.
“Salam.Maaf ganggu ustaz.Ana mahu bertanya.Muslimat yang dilamar seorang muslimin, bila dia beristikharah, jawapan istikharahnya muslimin lain.Boleh tak dia bertanya terlebih dahulu pada muslimin yang muncul dalam istikharahnya itu?Sebelum menimbangkan lamaran tadi?,”
“Wslm.Ohh..bagi ana tak ada masalah.Muslimat tu boleh bertanyakan pada muslimin tu.Itu hak muslimat tu untuk tetapkan hatinya,”
“Baiklah ustaz.Macam ni cerita sebenarnya.Ada seorang muslimat, sahabat kita juga.Dah lama dia menyimpan hati pada ustaz.Sejak di Nilam Puri lagi.Langsung dia tidak pernah bercerita tentang hal tu dengan sesiapa pun.Banyak lamaran yang datang.Tapi, Allah memberikan jawapan yang tunjukkan ustaz sebagai jawapan istikharahnya.Sehinggalah baru-baru ini, dia dilamar lagi. Allah masih tunjukkan ustaz sebagai jawapan istikharahnya. Dia dapat tahu, ustaz dah mentaqdim seorang muslimat. Dia tidak puas hati. Dia minta tolong ana untuk tanyakan pada ustaz sendiri.Sama hal itu benar atau tidak.Bolehkah ustaz kemukakan kebenarannya?Bantulah dia untuk buat keputusan ustaz.Ana janji, ini kali pertama dan kali terakhir ana bantu dia tanyakan pada ustaz.Maaf..dia nak tanya sebelum ni lagi.Tapi dia takut hal ni mengganggu ustaz.Mohon respon dan nasihat terbaik,”
Hatiku berdebar sendiri. Iman, tolong respon. Dah beberapa jam berlalu, sepi. Tiada respon. Hatiku nanar. Lebih risau, jika Iman dapat membaca hatiku saat itu. Rasa kesal pula. Aku tidak ingin kehilangan persahabatan ini. Walaupun tiada jodoh dengan Iman, cukuplah aku menjadi teman seperjuangannya hingga ke akhirat.
“Ustaz, mohon respon.Bantulah dia membuat keputusan.Dia hanya mahukan satu jawapan. Betul atau tidak ustaz dah taqdim muslimat lain?,”
Aku semakin terdesak. Hatiku gusar. Semakin gusar. Aku lebih takut kehilangan persahabatan ini. Moga Iman tidak menyangka yang buruk-buruk padaku.
“Kenapa dia wakilkan pada ustazah pula?,”
Hatiku menahan debar. Aku tahu, dia seperti meraguiku. Dia cuba membaca hatiku. Allahhu Akbarr..
“Manalah ana tahu.Mungkin dia percayakan ana.Tak kisahlah.Asalkan ustaz memberikan ana 1 jawapan.Tu dah cukup ustaz.Dah lama dia pendamkan.Bantulah dia untuk dia buat keputusan yang penting ini,”
“Ana masih tak fikirkan apa-apa lagi pasal hal tu semua.Gerak kerja jemaah perlu diaulakan.Tak sesuai lagi nak fikirkan hal-hal tu semua.Isu disiplin ahli jemaah semakin tenat.Ramai yang pentingkan diri sendiri.Mengutamakan hal hati lebih dari amanah terhadap gerak kerja jemaah. Hingga terabaikan amanah terhadap gerak kerja jemaah.Ana tidak mahu menjadi segolongan dari mereka.Amanah gerak kerja jemaah lebih utama untuk saat ini.Ana tak fikirkan hal lain lagi.Terima kasih bertanyakan ana.Kirimkan salam ana pada dia ya ustazah,”
Waalaikumussalam w.b.t.. Salamnya kujawab. Setitis air mataku gugur. Entah air mata itu datang dari mana.
Keharuan hatiku membaca mesej itu. Mesej itu untukku. Khas untukku dari Iman. Air mataku makin meluncur gugur. Aku tidak tahu kenapa pula air mata ini gugur. Lega atau kecewa? Yang nyatanya hatiku rasa lebih tenang. Sekurang-kurangnya Iman memberikan jawapan yang berlawanan dengan apa yang telah dikatakan oleh kak Safinah. Bibirku tersenyum tiba-tiba.
Cinta Allah dijanjikan untuk mereka yang mencintai Allah dan perjuangan Islam. Benarkah ada hati yang mencintai Allah dan perjuangan Islam lebih dari cintanya pada kenikmatan cinta dunia?Wujudkah cinta yang begitu?Jika ada, aku mahu pada hati itu.Tapi siapa?Di mana dia? Wujudkah cinta begitu di hati Iman?
Iman, terima kasih atas jawapanmu. Jawapanmu memberikan aku lorong. Untukku tetapkan keputusan ini. Serta merta hati ini turut bertaut jihad dari hatimu. Moga Allah menemukan kau dengan cintamu. Kau sedang membina jambatan untuk bertemuNya di sana dengan cintamu.
Esoknya, seperti yang dijanjikan, aku bertemu dengan kak Safinah. Nekad kali ini. Masih dengan jawapan yang sama. Menolak lamaran yang datang sebelum masanya.
“Annur, kenapa enti masih nak mengelak?Degil.Kenapa tak nak bagi peluang pada hati?Kenapa nak tutup pintu hati tu?Orang yang merisik Annur ni bukan calang-calang orang tau,”
Kak Safinah dah berubah wajah. Wajah lembut itu sudah semakin tegang. Mungkin tekanan dari orang yang mahu melamarku agaknya. Aku tidak ambil hati pada gerak tindak kak Safinah. Aku cuba meletakkan diriku di tempatnya. Mungkin jika aku yang menerima tanggungjawab itu, aku juga akan jadi seperti kak Safinah?
Aku hanya menundukkan wajah. Berdoa, semoga Allah sentiasa meletakkan hati ini dalam keadaan tenang. Kerana aku yakin, gerak hatiku adalah ilham dan petunjuk dari Allah. Bukan main-main dalam soal istikharah. Aku sudahpun buat istikharah. Aku dah pun berikan jawapannya. Takkan kak Safinah tak boleh terima jawapanku? Aku buat keputusan bukan sebab Iman. Tapi, sebab keyakinan yang Allah hunikan di relung hatiku. Kerana Allah. Kerana petunjuk dan gerak hati yang Allah berikan.
“Kak, Annur dah buat istikharah.Itulah jawapan yang Annur boleh bagi.Harap kak dapat terima keputusan Annur.Mungkin kerana orang tu ‘bukan calang-calang orang’.Jadi, tinggi sangat darjatnya berbanding dengan Annur ni kak.Tak layak nak terima lamaran ‘orang yang bukan calang-calang orang’ tu kak.Annur minta maaf ya kak.Annur doakan dia bertemu calon yang lebih baik.Annur ni serba kekurangan kak.Tak layak pun untuk muslimin ahli jemaah,” ujarku dengan nada lirih.
“Annur..Akak tak fahamlah dengan enti ni.Orang nak pada enti.Enti jual mahal.Kenapa enti tak buka hati enti.Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi Annur.Akak tahu, enti masih nak berharap pada Iman kan?Dengar cakap akak ni.Akak makan garam dulu dari enti.Iman tu dah nak kahwin dah.Tak payah lagi enti nak tunggu-tunggu dia.Kalau enti bagitahu dia pasal istikharah enti tu sejak dulu tak apalah juga.Enti ingat, jodoh nak datang bergolek tanpa berusaha?Sia-sia sahaja enti tunggu dia,”
Aku membungkam sejuta bahasa. Rasa berbahang wajah saat itu. Kata-katanya sedikit mencalarkan hatiku. Ya, mungkin aku diibaratkan seperti menunggu bulan jatuh ke riba, tak jatuh-jatuh juga. Bahkan tak jatuh. Tak kusangka kakak yang aku hormati itu boleh keluarkan kata-kata begitu? Mungkin sebab dah tertekan sangat agaknya. Siapa agaknya muslimin itu ya. Bersungguh-sungguh sangat dia nak melamar aku.
Astagfirullahh.. Jika satu ketika aku dicaturkan Allah untuk berada di tempat kak Safinah, dalam menguruskan hal-hal jodoh ahli gerakan ni, insya’allah, aku akan jadi seorang kakak yang boleh meminjamkan bahu pada seorang adik. Yang boleh mengesat air mata seorang adik yang masih mentah dalam hal-hal hati ini. Yang boleh memberikan kata-kata semangat agar tidak berhenti berputus asa dalam berdoa. Yang boleh menjadi seorang kakak yang boleh menenangkan hati adik-adik yang gusar mahu menetapkan keputusan. Yang jadi seorang kakak yang tambah menambahkan kecintaan seorang adik pada Allah. Baitul Muslim adalah jalan menyatukan 2 hati ahli gerakan. Cara yang bersih berlandaskan syara’. Harus diuruskan penuh tertib dan beradab dari segenap sudut. Bukan dengan cara paksaan. Hubungan perlu dibentuk kerana Allah, bukan dengan paksaan yang berlapik-lapik.
“Tak apalah kak.Annur langsung tak mengharapkan pada Iman kak.Dia hanyalah jawapan istikharah yang Allah berikan pada Annur.Allah berikan dia jawapan pada Annur untuk membantu Annur membuat keputusan penting dalam hidup Annur.Iman hanyalah jawapan istikharah pada Annur kak.Tidak lebih dari itu.Dan Annur tak pernah berharap pada dia kak.Melainkan redha dengan ketetapan Allah pada Annur.Jalan jihad Annur masih jauh.Gerak kerja jemaah menjadi pilihan utama buat detik ini kak,”ujarku lagi cuba buat kak Safinah faham.
“Takkan kalau dah kahwin, tak boleh nak teruskan jihad?Annur perlukan seseorang untuk pegang Annur.Bukankah dengan jalan kahwin ini, Annur akan lebih terjaga.Lebih mudah nak bawa diri dalam gerakan?,”
Aku tersenyum. Aku akui kata-kata kak Safinah tu. Cuma, jika aku menerima seseorang, aku akan terima dia kerana Allah dan perjuangan Islam. Bukan sebab nak bergantung jihad dengan dia. Bukan juga atas sebab, aku perlukan dia untuk jaga aku. jauh sekali sebab terpaksa atau kasihan. Jika ditakdir aku bersendiri selama-lamanya pun, aku tidak akan bersendiri. Melainkan Allah ada di sisiku. Dah cukup. Memang aku sedang belajar meletakkan cinta Allah di hadapan.
“Annur tak kisah kak.Jika tiada yang menemani, cukuplah Allah sebagai Penolong dan Pelindung.Selama ini, Allah yang memegang hati Annur.Allah yang menjaga Annur dalam gerak kerja Islam selama ini kak.Annur redha dengan segala ketentuan Allah.Annur tak mengharap apa-apa lagi selain hanya untuk berada dekat dengan Allah kak,”
“Hm..susahnya nak cakap dengan enti.Tak semua orang dapat lamaran BM ni.Annur bertuah menjadi insan terpilih.Bersyukurlah sikit,”
“Kak, belum tentu lagi muslimin yang nak taqdim Annur tu baik untuk Annur.Siapa kita nak cakap, hubungan melalui BM adalah yang terbaik.Sedangkan hanya Allah yang Maha Maklum.Annur boleh buat keputusan ni sebab dengan keizinan Allah dan petunjuk dari Allah juga kak.Bukan dari kehendak nafsu sendiri.Biarlah kalau kak cakap Iman dah taqdim muslimat lain.Annur tak ada kena mengena dengan Iman.Iman juga tak ada kena mengena dengan Annur.Cuma Allah tunjukkan Iman sebagai jawapan istikharah Annur.Dari dulu hingga sekarang.Annur faham dengan mesej Allah kak.Walaupun Allah tunjukkan Iman, tak semestinya Iman betul-betul berjodoh dengan Annur.Jadi, Annur awal-awal lagi tak pernah menyimpan apa-apa harapan pada Iman kak.Annur lebih nak tunggu hikmah Allah di sebalik semua ini kak,”
“Hmm..kalau itulah pendirian Annur.Baiklah..Akak tak nak paksa Annur.Moga terus istiqamah dalam gerak kerja Islam,”
“Insya’allah kak.Syukranjazilan..Jazakillahh,”
Kalam itu menutup pertemuan kami pada petang itu. Alhamdulillahh..Tenang merajai hatiku saat ini. Subhanallahh...syukran ya Allah. Iman, terima kasih. Moga keputusan yang aku buat ini baik untuk gerak kerja Islam. Moga cabaran ini baik untuk mengecas jihadku. Moga dengan dugaan sekecil ini bisa meletakkan aku sentiasa terus berada dalam istiqamah dalam gerak kerja Islam ini.
Bersambung ke bahagian 3....nantikan sambungannya ya..banyak lagi sambung dan sambung..
28Dis’2010, 10.00 p.m, Jalan Raja Dewa, Telipot, KB, Kelantan

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...