BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, February 21, 2011

AIR MATA DAN DOA TUMPAH UNTUK MASTURAH DI DTC, UM


20 Februari 2011, jam 8 malam..
Tatkala kaki menjejak langkah di dataran DTC, kawasan DTC itu masih lagi lengang. Masih menunggu ketibaan mahasiswa-mahasiswa yang berjanji temu untuk mendirikan solat hajat buat mendoakan keselamatan Calon Umum Pro M yang hilang sejak petang semalam, adinda Masturah Abu Bakar. Beliau diberitakan hilang petang semalam sewaktu selesai berkempen di kawasan luar kampus, di tempat tinggal para mahasiswa di ‘Rumah Kediaman’ Pantai Permai. Beliau dikatakan hendak membeli topup, namun setelah merasa agak lama dan Masturah masih belum kunjung tiba, NurHanis (adik yang menemaninya saat itu) Hani cuba menghubungi Masturah. Pada mulanya panggilan diangkat. Namun, beberapa lama kemudian, setelah dihubungi sekali lagi, panggilan sudah tidak dijawab oleh Masturah malah mereka gagal mengesan di mana Masturah.
Saya dapat makluman tentang kehilangan Masturah pun seawal pagi 19 Februari 2011, sedangkan Masturah dilaporkan hilang sejak petang 18 Februari 2011. Saya kesal kerana tidak mengetahui tentang kehilangan ini dengan lebih awal. Namun, sejak kehilangan Masturah petang itu, gerakan mencarinya tidak henti-henti dijalankan. Kehilangannya semestinya mengundang kesedihan semua sahabat-sahabat dan rakan seperjuangan, lebih-lebih lagi ibu dan ayahnya. Namun, saya yakin, kesemuanya berwajah yakin dengan pertolongan Allah. Yakin bahawa Allah akan menbantu, melindungi Masturah sehingga kembali ke pangkuan keluarga dan sahabat-sahabat dengan selamat.
Banyak cara telah diikhtiarkan bagi mencari Masturah. Hatta di Rumah Kediaman Pantai Permai pun, sahabat-sahabat seperjuangan dan penduduk setempat juga turut berikhtiar mencari beliau. Sehingga perubatan secara Islam (darusyifa’) juga turut diikhtiarkan. Namun, masih belum ditemui. Kemudian, yakin dengan kehilangan Masturah, laporan polis kemudian dibuat. Polis juga menjalankan gerakan mencari beliau. Namun masin gagal. Apa yang saya nampak, sebenarnya ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan. Ada sesuatu yang Allah nak hikmahkan pada kita semua untuk kita sama-sama fikirkan dan renung-renungkan. Ada sesuatu yang Allah mahu tunjukkan. Jika di Mesir, kebangkitan rakyatnya kerana hanya dengan kematian seorang pemuda. Kita di UM, Allah mahu menyatu padukan semua warga UM dengan sebab kehilangan Masturah ini saya kira. Subhanallah.. Alhamdulillah.. Allahhu Akbarr..
Jadi, malam itu solat hajat diadakan bagi mendoakan keselamatan beliau. Solat demi mengembalikan dia kepada keluarga dan sahabat-sahabat. Sewaktu saya sampai di DTC pada malam itu, rata-rata topik perbualan semuanya menyentuh tentang soal kehilangan Masturah. Subhanallah.. Alhamdulillah, ini tandanya masih ada rasa sayang antara kita sebagai sesama Muslim. Solat hajat pada malam itu bukan kerana pergaduhan, bukan kerana pergelutan Pilihan Raya Kampus, bukan kerana mahu mengambil kesempatan berkempen di atas kehilangan Masturah. Tetapi, solat itu adalah untuk menyatukan hati-hati sesama Muslim. Dengan doa satu hati itulah yang diharap dapat menyelamatkan dan mengembalikan Masturah ke pangkuan kita. Sungguh kita tidak boleh berusaha sendiri, melainkan akan lebih kuat bersama-sama sahabat-sahabat. Dan pengumpulan untuk solat hajat ini adalah penyatuan aqidah hati-hati kita. Allah mahu sedarkan kita, bahawa dalam perjuangan, perlukan satu hati untuk capai kemenangan. Bukan hanya pada golongan pendokong tetapi juga pada golongan penyokong, mad’u hatta golongan yang tidak bersetuju sekalipun. Kerana hal Masturah ini isunya bukan politik. Tetapi ini soal nyawa manusia. Aqidah umat Islam perlu bersatu untuk mewujudka momentum kekuatan. Dengan kekuatan itulah kita akan menjadi golongan yang kuat dan menang.
Dan di pihak penganjur solat hajat ini, kesemua warga UM dijemput hadir bagi sama-sama mendirikan solat hajat mendoakan Masturah. Di samping turut mendoakan kemenangan Islam. Saya lihat, Pro Penggerak membawa ‘AGAMA’. Baguslah. Cuma, di mana implimentasi pada agama itu? Pokoknya adalah pada kesatuan hati ummat Islam. Kesepaduan hati mahasiswa Islam. Bukan kerana berbeza fikiran. Bukan kerana berbeza fikrah. Bukan kerana kepartian. Tetapi, bersatu kerana Allah dan perjuangan Islam. Itulah agenda keagamaan yang perlu dipasak dalam implimentasi pembawaan itu. Agama itu yang  menyatupadukan hati-hati kita. Agama juga yang menghalang kita dari melakukan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Tapi, apa sebenarnya maksud agama jika kita masih membiarkan maksiat bermaharajalela. Apa maksud agama jika kita tidak mampu untuk mencegah kemungkaran walau dengan apa cara sekalipun. Apa aplikasi agama pada pandangan kita sebenarnya jika kita terang-terangan meninggalkan hokum-hukum Allah?
Adakah AGAMA itu hanya jadi taruhan semata-mata? Adakah AGAMA itu jadi perhiasan semata-mata? Adakah AGAMA itu hanyalah solat, puasa, zakat, haji, umrah dan hari raya aidilfitri dan aidiladha? Begitu sahajakah hal-hal agama? Saya tinggalkan persoalan untuk pembaca jawab sendiri mengikut kefahaman bukan mengikut tradisi. Yang nyatanya, AGAMA adalah agama. Tapi ISLAM itu bukan agama. ISLAM itu the way of life. ISLAM itu adalah hidup kita. Cara hidup kita. Dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, semuanya adalah mencerminkan agama sebagai cara hidup. Fikir-fikirkan.
Sewaktu mendengar rinthan doa adinda Bukhairy, saya kira hampir kesemua yang berada di DTC pada malam itu menitiskan air mata. Adinda Bukhairy mendoakan doa yang ditutur dari hatinya yang paling dalam. Berdoa menghina diri di hadapan Allah. Betul. Sebelum kita nak berdoa pada Allah, maka semestinya kita perlu menghina diri di hadapan Allah dahulu. Menyesali dosa-dosa silam dahulu. Menyuci bersihkan hati-hati kita dahulu. Lalu, air mata itu membasuh jernih hati-hati kita dan doa yang lahir dari hati yang bersih itulah yang akan dinilai Allah.
Saya kira ramai yang mendoakan Masturah pada malam ini. Rakan-rakan IPT dari UPM, USM, UIA, UITM dan lain-lain turut mendoakan keselamatan Masturah. Malah masjid-masjid berhampiran juga turut sama-sama  mendirikan solat hajat perdana bagi mendoakan Masturah dikembalikan kepada kita dengan selamat. Dalam hal ini, kita hanya boleh meminta perlindungan dari Allah sahaja. langsung tidak boleh berharap pada manusia. Allahhu Akbarr..
Seusai berdoa, disusulu ucapan tazkirah oleh Adinda Mohd Syahid, Adinda Siti Nadzirah, YDP PMI ustaz Syazwan dan yang paling istimewa, ada ucapan dari umi kepada Masturah. Subhanallah, umi Masturah saya lihat sangat tabah dan kuat orangnya. Insya’allah Masturah sekuat ibunya juga. Takbirr..Allahhu Akbarr.. Antara kata-kata umi yang saya petik, ada tafsiran al-Quran dari ayat surah Assoff, ayat 10-11 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang beriman! Mahukah kamu AKU tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Yaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui,”
Kata umi lagi, perjuangan ini adalah perdagangan kita dengan Allah. Malah perdagangan yang sentiasa akan jadikan kita sebagai saudagar hartawan yang  kaya raya. Kerana, perdagangan dengan Allah ini tidak pernah ada ruginya. Malah sentiasa untung. Menanam benih hari ini untuk hasil 10 tahun lagi. Untuk sesuap nasi generasi akan datang. Perjuangan hari ini adalah untuk kemenangan hari esok. Yang penting di sini adalah perjuangan, bukan kemenangan. Kerana jika Allah mahu berikan kemenangan, Allah akan berikan sahaja pada kita. Kerana kita sudah sedia maklum, kita adalah umat Muhammad yang disayangi Allah. Yang dijamin mendapat naungan syurga Allah. Tapi, tidak. Allah lambatkan kemenangan Islam agar kemenangan yang diraih itu adalah dari paksi keimanan dan kesatuan hati antara umat Islam. Jika tidak, tidaklah Allah kalahkan tentera Islam di dalam perang Uhud. Sedangkan Rasulullah s.a.w itu adalah kekasih Allah. Tapi Allah tangguhkan kemenangan itu agar semua tentera ISLAM tidak leka. Tidak rasa selesa di medan perjuangan. Namun Allah berikan kemenangan di dalam Badar sebelum itu adalah sebagai lambing Allah mahu kita nampak kemenangan itu adalah berpaksi pada kesatuan hati, kesatuan aqidah umat ISLAM. Bukan hanya sekadar strategi peperangan dan kepimpinan dalam kepahlawanan.
Berdoalah semoga kita sentiasa menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa berada di dalam tarbiyah Allah. berdoalah semoga kita sentiasa menjadi hamba-hambaNya yang terpilih untuk berada di dalam mehnah dan tribulasi dalam perjuangan.
“Ya ALLAH, andai dengan ujian dan dugaan itu yang buat hatiku semakin dekat denganMu.. maka berikanlah semuanya padaku. Maka, bantu dan pinjamkan aku kekuatan untuk menghadapinya. Agar hatiku ini semakin akrab di dalam belaian tarbiyahMu.. Andai kelukaan, andai kesukaran, andai kepedihan di dalam perjuangan ini sebagai mahar untuk aku meraih redha dan cintaMu, maka terusanlah berikan aku segala ujian bagi seseorang yang Kau cintai. Kerana aku mahu menjadi salah hamba yang dicintaiMu ya Allah.. Aku menjadi hamba yang dikasihiMu.. Aku mahu menjadi hamba yang tidak ada hijab denganMu saat pertemuan di akhirat nanti.. maka, hanya Kau sahaja yang bisa menguatkan aku ya Allah.. Amin Allahumma Amin..”
Sebagai akhir kalam, ikutilah sedutan kronologi kisah kehilangan Masturah, adinda yang ditarbiyah Allah. sedutan ini saya petik dari Malaysiakini.

Seorang calon wanita pro-M UM dilapor hilang
Abdul Rahim Sabri  - Feb 20.2.2011, 5:35pm – Malaysiakini-

Dua laporan polis dibuat ekoran kehilangan seorang calon pro-Mahasiwa (pro-M) Universiti Malaya (UM) yang bertanding kerusi umum dalam pilihan raya kampus yang akan berlangsung berlangsung esok.
Kehilangan calon wanita tersebut - Masturah Abu Bakar - dilaporkan oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor, di balai polis Pantai, jam 12.20 tengah malam tadi. Dalam laporannya itu, Nurhanis berkata pada jam 4.15 petang semalam, dia bersama Masturah, 22, berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam - yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Katanya, ketika merada berada di antara blok D dan blok E pangsapuri tersebut, Masturah memberitahunya yang dia hendak pergi membeli tambahan kredit telefon dan memintanya menunggu di blok E. Menurut laporan polis itu lagi, Nurhanis berkata, selepas lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal.
Selepas enam jam mencari bersama penduduk di situ, dan masih gagal menemui Masturah, Nurhanis membuat laporan polis pada jam 12.20 tengah malam tadi. Dalam laporan polis itu juga, Nurhanis memberitahu bahawa seorang lagi rakannya telah menghubungi keluarga Masturah selepas insiden itu berlaku.
"Semasa kawan saya keluar, (dia) berpakaian baju kurung batik warna hijau merah jambu, bertudung warna merah jambu, kulit berwarna sawo matang bercermin mata, tinggi lebih kurang 173 (cm), berkot labuh warna hitam berkasut sandal berwarna putih," laporan polis itu dipetik.
Laporan polis itu juga menyebut bahawa sebelum itu, Masturah telah menerima kiriman SMS daripada seseorang yang tidak dikenali yang memberi amaran yang berbunyi "woi celaka jg sikit perangai kau, siapla kau lepas ni. Kau ingat kau bagus sangat".
Sehubungan itu, Nurhanis membuat laporan polis kerana "takut" tentang keselamatan Masturah di kemudian hari. Sementara itu, wakil calon Masturah - Rohayu Rosli - pula membuat satu lagi laporan polis di balai yang sama pada jam 11.40 pagi tadi selepas menerima panggilan telefon yang mengugutnya supaya jangan membuat laporan polis berhubung kehilangan Masturah.
Salinan dua laporan polis tersebut diedarkan pada wartawan dalam sidang akhbar oleh sekumpulan pelajar pro-M yang diketuai oleh pengerusi pro-M UM, Farid Jalpah di depan Dewan Tuanku Canselor UM petang ini.
Dalam sidang media, Farid mendesak pentadbiran UM agar bertanggungjawab di atas kehilangan Masturah kerana penetapan tarikh kempen yang ditentukan pada hujung minggu bermula 18 Februari hingga 20 Februari. Ini kerana katanya, penetapan tarikh itu menyukarkan proses berkempen disebabkan hampir semua pelajar universiti tidak berada di kampus, malah sebelum ini desakan pro-M meminta agar masa kempen ini diubah juga tidak dilayan.
Dakwanya, hampir seluruh kolej kediaman mengadakan sekatan kepada calon pro-M untuk berkempen dan pelajar yang mengakui diri mereka ahli jawatankuasa kolej turut didakwa menyekat kemasukan orang luar termasuk tempoh berkempen selama 10 minit.

"Oleh hal demikian, calon-calon pro-Mahasiswa mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi ziarah ke luar kampus.

"Rentetan penetapan syarat-syarat yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa induk inilah memaksa para calon menjalankan sesi ziarah diluar yang secara jelas tidak menjamin keselamatan para calon," katanya.
Farid juga menuntut agar pihak universiti menunda pilihan raya kampus sehingga Masturah yang juga pelajar Akademi Pengajian Islam UM ditemui semula.  Ketika ditemui pemberita selepas sidang media itu, Farid berkata pihak universiti juga turut dimaklumkan berhubung kehilangan Masturah.
Sehingga selesai sidang akhbar tersebut kira-kira jam 5.15 petang tadi, Farid memberitahu pemberita bahawa pihaknya masih belum menerima apa-apa perkembangan berhubung kehilangan Masturah. UM adalah antara lima universiti utama yang akan mengadakan pilihan raya kampusnya esok.

Kehilangan Masturah saat itu tidak mematahkan semangat sahabat-sahabat
seperjuangan utk teruskan perjuangan

Calon pro-M ditemui dalam keadaan lemah
Abdul Rahim Sabri- Feb 21.2.2011- 10:31am
Calon Umum Pro-Mahasiswa (pro-M) Masturah Abu Bakar yang dilaporkan hilang petang kelmarin, telah ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira jam 12.30 malam tadi - beberapa jam selepas kumpulan itu mengadakan sidang media.
Menurut seorang calon umum Mohd Syahid Mohd Zaini berkata ketika Masturah ditemui, beliau dalam "keadaan lemah dan tidak mampu untuk berbicara panjang".

Mohd Syahid berkata Masturah (kanan) sendiri yang menghubungi ibunya dengan meminjam telefon bimbit orang yang berada berdekatan masjid berkenaan. Menurut Mohd Syahid panggilan itu dibuat kira-kira jam 11.19 malam tadi. Susulan itu, ibu-bapa Masturah dan wakil calon Rohayu Rosli - yang bersama-sama dengan pelajar mengadakan solat hajat - bergegas ke masjid berkenaan untuk mengambil dan membawanya pulang.

"Beliau kini berada bersama ibu-bapanya di Sungai Buloh... Dia sekarang (masih) trauma, tidak mampu untuk bercerita panjang mengenai insiden itu," katanya dalam satu sidang media.

Sementera itu, sebanyak 18 pusat pengundian termasuk enam fakulti di Universiti Malaya (UM) dijadikan tempat mengundi dalam pilihan raya kampus itu hari ini. Bagi pelajar-pelajar yang tinggal di kolej kediaman, pihak jawatankuasa pemilihan menetapkan pengundian dijalankan di kolej kediaman masing-masing.

Pilihanraya muram dan perlahan

Sebanyak 12 kolej kediaman terdapat di kampus ini. Manakala pelajar yang tinggal di luar kampus, mereka diarahkan untuk mengundi di enam pusat pengundian yang tetapkan.

Enam fakulti tersebut adalah Fakulti Sains, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Fakulti Alam Bina, Akademi Pengajian Melayu, Fakulti Bahasa dan Linguistik dan Fakulti Perubatan.

Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan pelajar yang tinggal di luar kampus mengundi di Dewan Tunku Canselor (DTC). Ekoran itu, Tinjauan Malaysiakini ketika ini mendapati suasana pengundian kelihatan "muram dan perlahan" di universiti ini.

Tinjauan Malaysiakini di Fakulti Sains, perjalanan pengundian masih lagi lembab pada jam 9.30 pagi ini. Kelihatan seorang atau dua baru sahaja keluar daripada pusat pengundian tersebut. Pusat pengundian mula dibuka jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang.

Itu sahaja sedutan berita dari Malaysiakini yang dapat saya paparkan di sini. Berikut pula berita yang saya baca di harakah daily.

Masturah di rumahnya di sungai buluh setelah ditemui di masjid
KUALA LUMPUR, 21 Feb: Cara kehilangan calon Umum Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM), Masturah Abu Bakar  22, yang ditemui malam tadi masih menjadi misteri apabila beliau tidak dapat mengingati apa yang berlaku sebelum beliau hilang sebaliknya hanya berada dalam keadaan sedar ketika berada di sebuah masjid di Bangi malam tadi.
Masturah terus meminjam telefon bimbit seorang jemaah masjid dan menghubungi ibunya.
Setelah mendapat penggilan berkenaan, ibu dan bapanya terus bergegas ke masjid berkenaan untuk menjemput Masturah.
Menurut wakil calon, Rohayu Rosli yang turut menziarahi Masturah di rumahnya (gambar Masturah dua dari kanan) setelah dibawa pulang, Masturah kelihatan lemah dan tidak mampu bercakap banyak.
Beliau juga tidak dapat mengingati bagaimana beliau boleh berada di masjid tersebut dan apa yang berlaku selepas beliau membeli kredit tambahan telefon bimbitnya di sebuah kedai di Pangsapuri Pantai Permai, tempat beliau hilang.
"Keadaan dia memang lemah, nampak letih. Kami sampai rumah dia, tengok mak dia tengah suapkan makan. "Masturah dapat mengingati kami dan saya tanya dia ingat tak apa yang berlaku. Dia kata tak ingat. Yang dia ingat dia beli top up, lepas tu bila terjaga dia dah ada di masjid," ceritanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Menurut Rohayu, ibu bapa Masturah berada di pangsapuri Pantai Permai untuk menemui seorang uztaz, bagi meminta pertolongannya mencari Masturah sewaktu menerima panggilan Masturah.
Sebelum itu, ibu bapa Masturah bersama-sama Pro-M mengadakan solat hajat di dataran hadapan Dewan Tunku Canselor.
Rohayu berkata, keadaan Masturah sewaktu ditemui sama seperti sebelum beliau hilang iaitu berbaju kurung batik, tudung merah jambu dan kot labuh.
Masturah hadir ke UM tengah hari ini
Sementara itu, menurut Rohayu, Masturah akan pergi ke kampus UM bersama-sama ibu bapanya untuk bersama-sama menyaksikan proses pembungan undi hari ini.
"Tengah hari ini Masturah akan datang ke kampus tapi bersama ibu bapanya sebab mak dia memang sangat risau keselamatan dia sekarang ni, takut apa-apa berlaku lagi," katanya.
Tambahan pula ujarnya, hari ini merupakan hari kemuncak kepada pilihan raya kampus.
Itu sahaja berita dari Harakah Daily. Sekadar pengkongsian sahaja. Doakan Masturah yang masih lagi lemah dan mengalami trauma. Insya’allah, kita akan susuli apa yang telah dilaluinya selama dia hilang selepas dia sudah pulih dari traumanya.
Hari ini hari pengundian. Ya, saya akui, rasa pilihan raya kali ini terasa sangat perlahan. Mungkin kerana hari kuliah. Atau mungkin juga kerana isu-isu panas yang timbul di sepanjang hari kempen. Apa pun semoga kemenangan milik yang berhak untuk memimpin. Siapapun yang menang, pastikan amanah itu dijunjung dan gerak kerja untuk kebajikan mahasiswa dilaksanakan dengan rasa tanggungjawab. Bukan hanya sekadar mahu menang dan duduk di kerusi MPMUM. Menang untuk bekerja. Bukan menang hanya untuk berkata-kata dan bergaya dengan jawatan yang dipegang. Apapun ingat, amanah itu akan disoal di akhirat nanti. Maka, bersiap sedialah..

Note 1: Nantikan keputusan kemenangan PRK UM 2011..
Note 2 : Doakan kemenangan Islam..

Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
21 Februari 2011, 18 Rabi’ulAwal 1432H, 1.43p.m.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...