BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, March 9, 2011

Cerpen : Cinta Sehijau Warna Daun (Bhgian 5)


..Bersambung dari bahagian 4..
Bhgian 5
Annur memetik sehelai daun hijau. Daun itu diberikan kepada Ulya. Dia tersenyum. Ulya membalik-balikkan daun itu.
“Kenapa dengan daun ni kak Mia?,”
“Hati yang mencintai selain dari Allah, umpama seperti daun ini. Saat berada di pokok, ia hijau kerana pergantungan hayatnya dengan Allah sehingga hayatnya dimatikan Allah. Itulah perlambangan cinta kita pada Allah. Kekal hijau dan sentiasa hidup di saat meletakkan cinta hanya pada Allah. Tapi, ketika masih hidup setelah dipetik tangan-tangan asing, ia terus akan layu dan mati. Sudah tiada seri hijaunya lagi. Sudah tidak ada cinta kerana saat ia dipetik tangan-tangan asing itu, saat itu juga terputus hubungan dan hayatnya dengan Allah. Tangan-tangan asing itu ibarat cinta manusia. Apabila kita menyerahkan hati pada cinta manusia, cinta itu tidak akan hidup lama. Akan mati, layu dan kering seperti daun yang dipetik. Terus terputus cinta dengan Allah,”
Falsafah Iman tentang cinta sehijau warna daun itu digunapakai sebaiknya oleh Annur. Ulya mengangguk. Menunggu bicara seterusnya dari Annur.
“Ulya, jika Ulya tolak lamaran Asrul, tolaklah lamaran itu dengan istikharah kerana Allah. Jangan tolak Asrul sebab Ulya nak setia pada Nabil. Buat keputusan kerana Allah dan perjuangan Islam. Jangan buat keputusan kerana kehendak hati dan nafsu. Kalau Ulya tak nak terima lamaran Asrul, tolaklah lamaran itu kerana Allah,”
Kata-kata itu buat Ulya tertunduk. Air matanya sudah merembes-rembes. Dia terus bangun mendakap Annur. Air matanya tumpah menderu di bahu Annur.
“Ulya, akak tahu Ulya masih simpan hati pada Nabil. Tapi, yakinlah dengan pilihan Allah. Jika jodoh Ulya dengan Nabil, pasti dengan Nabil juga. Ulya banyak-banyak buat istikharah ya sayang. Moga Allah bantu Ulya,”
“Baik kak. Terima kasih kerana nasihatkan Ulya. Ulya dah buntu kak. Asrul mendesak Ulya terima dia. Ulya tak nak. Tak nakk. Ulya masih tunggu Allah tunjukkan jawapan istikharah Ulya adalah Nabil kak. Kenapa Allah masih belum tunjukkan Nabil sebagai jawapan istikharah Ulya?,”
“Ulya, itu tandanya, belum tiba lagi masanya untuk Ulya menerima sesiapa. Sampai masanya pasti Allah permudahkan urusan Ulya dan Nabil. Allah sedang menjaga hati Ulya dan Nabil. Ulya perlu bersabar dan banyakkan istikharah,”
“Akak, Ulya buntu..buntu...huhuhuhuhuu....,”
Tangisannya memanjang lagi. Mujur juga di kafetaria Apium petang itu tidak ada ramai orang. Akhirnya dibiarkan sahaja Ulya terus menangis di bahunya.
Malam itu Farhan bertandang ke rumah Iman dan Annur.
“Hmm.. Dik An.. Dua hari lepas, akak ada bincangkan hal lamaran Dik An pada Aisya. Aisya cakap, dia kosong lagi. Insya’allah, Aisya cakap dia akan fikirkan lamaran Dik An. Akak mohon Dik An buat istikharah ya,”
Farhan menerima berita itu dengan selafaz tahmid.
“Apa lagi yang Aisya sebut kak?,”
“Hmm..malam tadi Aisya ada hubungi akak. Aisya cakap, dia dah maklumkan hal lamaran Dik An tu pada ibunya. Ibu Aisya minta nak tengok gambar Dik An. Ada ke Dik An bawakan gambar yang akak minta Dik An bawa tu?,”
Farhan mengangguk. Dia mengeluarkan sebuah sampul berisi gambar dia bersama keluarganya. Sampul berisi gambar itu kini beralih ke tangan Annur.
“Baik. Insya’allah..Akak akan berikan sampul ni pada Aisya ya,”
“Pak Lang dan Mak Lang dah maklum ke pasal Dik An masuk melamar anak dara orang ni?,”
Malu-malu Farhan mengangguk.
“Alhamdulillah, mereka setuju kak,”
“Alhamdulillah.. Baguslah,”
Seusai pertemuan malam itu, Iman bersunyi-sunyi sendiri di bilik solat. Bilik itu sudah seperti pejabatnya sahaja. Tiapkali dia mahu membuat kerja-kerjanya, pasti di bilik itu tempat dia bertapa.
Annur pula, tiap kali selesai solat berjemaah dengan Iman di bilik solat itu, dia lekas-lekas kembali ke bilik. Faham sangat dia. Iman pasti akan ‘bertapa’ di dalam bilik itu. Jadi, dia tidak mahu mengganggu Iman. Dia lebih suka bersendiri di bilik sahaja dengan kerja-kerjanya. Di rumah itu ada televisyen. Cuma, Annur pada mulanya hanya menontonya hanya pada waktu-waktu berita, rancangan-rancangan tertentu yang ilmiah dan program-program ilmuan. Namun, setelah diperjelaskan Iman tentang peranan mereka sebagai da’ie, dia akhirnya faham sendiri. Da’ie itu fleksibel. Dalam konteks da’ie, memang kita yang perlu jadi ‘sesumpah’. Bukan jadi sesumpah yang menipu mad’u. Tetapi jadi sesumpah yang boleh berubah wajah untuk menyelami hati mad’u, bersama-sama mad’u dan merasa susah dan senang bersama mad’u..
“Annur, kita ini da’ie. Mereka yang kat luar sana tu mad’u kita. Jika kita tak mampu nak merantau ke seluruh pelusuk memantau masalah mad’u, sudah cukup kita melihat mad’u melalui media-media massa dan kaca TV sahaja. Bukankah da’ie itu perlu mengetahui masalah mad’unya. Jangan negatif atau abaikan rancangan-rancangan TV yang kurang Islamik. Sebaliknya rancangan-rancangan begitulah yang kita perlu tonton. Belajar tentang dunia mad’u melalui pemerhatian dan pembacaan. Kemudian jalankan peranan kita, untuk mencari titik-titik penyelesaian. Kita patut berterima kasih pada mad’u. Dengan adanya mereka, maka da’ie macam kita ni tak boleh berehat dari agenda gerak kerja dakwah,”
Walau bagaimanapun, setiap rancangan TV disiapkan jadualnya. Dia dan Iman ada jadual khas untuk menonton TV. Hidup berdisiplin dengan masa sebenarnya banyak manfaatnya. Selain kehidupan lebih teratur, dengan jadual yang tersusun juga memadatkan masa kita dengan perkara bermanfaat. Malah dapat mengelakkan risiko celahan maksiat.
Handset Annur berkelip-kelip. Ada panggilan. Dari Ulya. Dia mendoakan semoga ada berita baik dari Ulya. Adiknya yang seorang itu, kerapkali sangat diuji dengan dugaan dan ujian yang berat-berat. Doanya pada Ulya, moga sekecil dugaan yang Allah bagi pada Ulya itulah yang akan membina diri Ulya menjadi seorang mujahidah yang tegar bergerak kerja di landasan jalan dakwah.
Salam Ulya dijawab dengan senyuman apabila mendengar suara itu ceria, tidak kedengaran suara itu bernada sedih seperti sebelum-sebelum ini.
“Akak, anak buah Ulya apa khabar?,”
“Alhamdulillah.. dia sihat. Amboii..tanya anak buah Ulya sahajakah? Yang si uminya ni Ulya tak nak tanya?,” nadanya seperti merajuk sahaja.
Annur ketawa.
“Alaa..ada orang cemburu pulak. Berat nii.. hehe. Akak apa khabar?,”
“Alhamdulillah.. Hmm..cerianya. Ada apa-apa berita gembirakah?,”
“Alhamdulillah.. kak, masalah Ulya dan Asrul dah selesai. Lega sangat hati Ulya ni kak, fuhh..,”
“Alhamdulillah.. macam mana boleh selesai tu?,”        
“Hmm.. hehe.. Ulya kan adik akak. Terima kasih untuk falsafah cinta sehijau warna daun akak itu ya. Hmm..Ulya ceritakan kondisi Ulya pada umi dan abah. Ulya minta tolong abah yang cakap pada Asrul yang Ulya tidak boleh terima Asrul. Abah pun bercakap dengan Asrul. Akhirnya Asrul mengalah dan terima keputusan Ulya,”
“Alhamdulillah.. baguslah kalau macam tu. Insya’allah, ada jodoh, adalah jodoh Ulya dan Nabil nanti ya,”
“Hm.. Ulya tak nak fikir lagi pasal tu kak. Ulya nak fikir gerak kerja dan akademik Ulya. Kan akak yang ajar, perkara yang datang bukan pada masanya adalah ujian. Jadi, Ulya anggap apa yang sedang berlaku ini adalah ujian untuk Ulya. Allah sedang menilai Ulya. Itukan kata-kata akak,”
Annur mengangguk walaupun Ulya tak nampak. Senang hatinya mendengar khabar Ulya. Panggilan itu berakhir dengan tautan salam antara mereka. Sejurus dia meletakkan telefon, terpacul Iman di pintu bilik. Iman datang menatang segelas besar susu dan sepiring kismis hitam. Annur tersenyum. mengisyaratkan Iman menyimpuh di sisinya.
“Dipersilakan minum wahai tuan puteri,”            
“Terima kasih wahai tuan putera. Minuman pertama adalah untuk tuan putera Iman,”
Annur menghulurkan gelas susu ke mulut Iman. Iman minum seteguk. Dia mengambil alih semula gelas susu itu.
“Terima kasih.. Sekarang giliran tuan puteri Annur pula,”
Iman pula yang menghulurkan gelas susu itu ke mulut Annur. Akhirnya mereka sama-sama menghabiskan air susu itu. Disusuli pula dengan kismis tujuh biji seorang. Kebiasaannya, waktu malam mereka hanya minum susu dan buah kismis sahaja sebelum tidur.
Iman memeluk pinggang Annur. Cuba membuat link dengan yang berada di alam rahim. Annur ketawa.
“Anak abah suka tak susu abah buat?,” soal Iman sambil mengusap perut Annur.
Annur ketawa. “Abang nii.. anak kita ni baru masuk 3 bulan. Kecil lagi dia bang,”
“Iyelaa.. manalah tahu kot-kot tak sempat dia nak jumpa abang. Lebih baik, dia kenal abang lebih awal sejak dia berumur tiga bulan ini lagi,”
Wajah Annur terus berubah mendengar kata-kata Iman itu. Dia tidak tahu kenapa hatinya jadi sebak tiba-tiba. Hal Iman menangis malam itu pun, dia tidak berani tanyakan pada Iman. Kecualilah jika Iman yang cakapkan padanya.
“Abang.. insya’allah, anak kita akan sempat untuk kenal kita bang. Kita sama-sama jaga dia sehingga ke akhirat ya bang. Biar diasuh dengan acuan al-Quran. Jadi hamlulquran macam abang juga. Annur nak minta abang sekolahkan dia di sekolah yang sama tempat abang belajar dulu ya. Boleh ke bang?,”
Iman menarik hidung Annur.  Annur tersipu-sipu. Mujur tidak ada orang lain dalam bilik itu. Hanya anak mereka di dalam kandungannya sahaja. Serta Allah dan para malaikat yang turut menjadi saksi. Perlahan-lahan Iman mengangguk.
“Insya’allah..,”
..Ya Allah..sempatkah aku melihat anakku bersekolah? Untuk melihat anakku lahir pun aku tidak pasti sempat atau tidak.. Allahh..
“Abang..,”
Suara Annur menariknya dari terus bermonolog sendiri.
“Ya, ada apa tuan puteri?,”
“Abang, Annur ada satu hal yang kena suarakan pada abang. Satu hajat,”
“Hajat apa pula ni Annur? Nak kita beraya kat rumah Annur ke raya ni?,”
Annur ketawa. Menggeleng perlahan. Sungguhpun Ramadhan bakal datang seminggu lagi, dia tidak kisah beraya di mana-mana pun. Asalkan berada di samping Iman.
“Abang, Ramadhan ni Annur nak pergi umrah dengan abang. Sekejap pun tak apa bang. Sementara baby baru berumur 3 bulan, Annur masih boleh naik kapal terbang,”
Iman terdiam seketika. Lambat-lambat dia mengangguk.
“Insya’allah, nanti abang usahakan ya. Abang pun teringin nak menjejak kaki ke bumi Allah,”
“Ya ke? Abang..terima kasih. Sebenarnya, umrah ini adalah nazar Annur,”
“Nazar Annur?,”
Annur tersenyum, mengangguk. Kepalanya dilentokkan ke bahu Iman.
“Annur pernah bernazar sewaktu di Nilam Puri dulu. Jika Annur berjodoh dengan abang, Annur nak pergi umrah dengan abang,”
Iman tersenyum. dia berazam ingin menunaikan harapan dan nazar Annur. mungkin itu perkara terakhir yang dia akan cuba tunaikan untuk Annur. Selepas itu, dia akan berterus terang pada Annur tentang penyakitnya. Allah adalah cintanya. Tiada apa yang setanding dengan cintanya pada Allah. Namun, Annur adalah kebahagiaannya. Pelengkap ibadah dan cintanya pada Allah.
Dia teringat pesanan doktor Azhar.
“Encik Iman, jika encik mahu menjalankan rawatan kemoterapi, kita perlu jalankannya segera. Tumor di dalam otak encik Iman semakin merebak. Kita bimbang, tumor itu akan merebak menyerang ke hati pula. Jadi, kami minta agar encik Iman boleh mula jalani rawatan kemoterapi bermula minggu depan,”
..Minggu depan? Minggu depan dah masuk bulan Ramadhan. Tidak.. Aku harus penuhi nazar Annur terlebih dahulu..
Iman membuat keputusan, menjalankan rawatan kemoterapi itu selepas pulang dari umrah. Dia mahu menunaikan nazar Annur dahulu. Pulang dari umrah, barulah dia akan menjalankan rawatan kemoterapi itu.
“Annur dah ada pasport?,”
Soalannya senyap. Baru dia sedar, rupanya Annur sudah terlena di bahunya. Dia mengalihkan tubuh Annur ke katil. Menarik selimut ke dada Annur, lalu didaratkan kucupan di dahi Annur. Iman membetulkan baringannya. Badannya menyandar ke bantal di sisi katil. Dia merenung wajah lena Annur.
Tiba-tiba hatinya ditusuk rasa kesal. Bagaimana dia hendak berterus terang dengan Annur tentang penyakitnya? Tegarkah Annur untuk menerima kehilangannya. Sudah tentu Annur akan bersedih setelah mengetahui suaminya itu akan pergi menemui Ilahi tak lama lagi. Iman meraup wajah. Rasa bersalah itu semakin menebal. Dia rasa berdosa mengahwini Annur padahal doktor telah sahkan bahawa dia mengidap tumor otak peringkat ketiga. Bila-bila masa sahaja nyawanya akan ditarik. Bila-bila masa sahaja dia akan dijemput menemui kekasihNya yang Agung. Adakah dia seorang yang pentingkan diri sendiri sehingga membuat keputusan untuk mengahwini Annur hanya kerana dia mahu mengecapi kebahagiaan berkeluarga dan menginginkan ada zuriat yang akan mendoakannya kelak? Selafaz istigfar dilafazkan bersama satu keluhan berat. Hatinya segera dilebatkan dengan zikrullah semula. Air mata yang sudah mula merembes di lereng pelupok matanya dibiarkan mengalir. Sunyi tanpa suara. Dia kembali merenung wajah Annur yang sedang tersenyum menggapai mimpi indah.
..Annur sayang, maafkan abang..

..Bersambung ke bahagian 6..
Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah (12th),
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
4 Februari 2011, 1 Rabi’ulAwal 1432H, 11.13p.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...