BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, March 16, 2011

Cerpen : Cinta Sehijau Warna Daun (Bhgian 7-akhir)




..Bersambung dari bahagian 6..
Bhgian 7
“Annur, malam ni abang ada jemputan pengisian kuliah ilmu sempena Ramadhan di kolej 8. Annur nak ikut?,”
Annur membilas pinggan-pinggan yang telah dibasuh, lalu ditiarapkan pinggan-pinggan itu ke sinki sementara pinggan-pinggan itu kering airnya. Pinggan-pinggan kotor harus dicuci segera, itu disiplin mereka di dapur.
“Abang kan tak sihat. Nak pergi jugak ke bagi kuliah tu?,”
Iman tersenyum merenung wajah Annur. Wajah itu saat itu mencerminkan kebimbangan.
“Insya’allah, abang cuba. Bukannya abang sakit teruk pun. Setakat bagi kuliah, duduk dan bercakap sahaja. Bukannya perlu angkat benda berat. Lagipun abang dah berjanji. Tak eloklah nak batalkan last-last minit. Tak sempat mereka nak cari pengganti,”
Annur tersenyum tawar. Lambat-lambat Annur mengangguk. Kalau bab berjanji Iman pasti cuba untuk tidak menjadi seorang pemungkir janji.
“Insya’allah, Annur ikut abang ya,”
Iman tersenyum. Seperti malam-malam biasa Ramadhan, jika tidak menghadiri jemputan mana-mana iftor di luar, Annur dan Iman bersolat maghrib berjemaah di rumah sahaja selepas beriftor. Selepas maghrib, Annur akan mengikut Iman ke masjid bersolat isyak berjemaah dan bersolat tarawih. Biasanya mereka bersolat jemaah dan bertarawih di masjid biru, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sahaja. Masjid itu bumbungnya berwarna biru dan terletak berhampiran dengan PPUM. Dengan sebab itu masjid itu dipanggil masjid biru. Rumah mereka terletak di Petaling Jaya, di Seksyen 12/16. Jadi, masjid itu antara masjid yang terletak paling dekat dengan rumah mereka. Masjid lain selain masjid itu ialah Masjid Sultan Abdul Aziz. Mudah dikenali dengan nama masjid bulat sahaja.
Biasanya setiap kali selesai tarawih, mereka akan pulang ke rumah dan bertadarus. Cuma pada malam itu, Iman ada jemputan sebagai penceramah Kuliah Ramadhan di Kolej Kediaman Kinabalu atau kolej 8. Jadi, selepas bertarawih, mereka terus sahaja bergerak ke kolej kediaman kelapan itu. Iman dijemput untuk menyampaikan ceramah sempena Ramadhan.
Setibanya mereka di kolej itu, Pengerusi Balai Islam kolej 8 dan Pengarah Program Ihya’ Ramadhan bagi ihya’ Ramadhan di kolej lapan kali itu menyambut mereka. Siapa lagi Pengerusi Balai Islam kolej 8 itu kalau bukan Nabil Imran dan Pengarah Program Ihya’, Faiz. Ulya yang menjadi Unit Pengisian Ihya’ turut sama menunggu ketibaan Iman dan Annur.
Gen 2 silver BKK 6030 mendarat perlahan di perkarangan balai Islam kolej kediaman ke lapan. Iman dan Annur serentak membuka pintu kereta. Malam itu, Iman memakai jubah dan kopiah putih. Serban hijau pemberian Annur diletakkan di atas bahu. Annur pula, lebih selesa dengan jubah hitam dan tudung putih. Warna hitam, lebih panaskan badan di malam yang dingin. Mereka nampak sepadan dan sedondon sekali. Cuma, jelas kelihatan wajah Iman tampak pucat.
“Assalamualaikum warahmatullah akhi..,”
“Waalaikumussalam warahmatullah..,”
Iman dan Nabil bersalaman. Iman bersalaman dengan Faiz juga. Annur hanya menunduk dan tersenyum pada Nabil. Anak matanya kemudian menjamah raut wajah Ulya pula. Hatinya rasa tenang melihat kedua orang adiknya itu. Annur menjeling nakal pada Ulya. Ulya hanya tertunduk. Faham sangat dia dengan jelingan penuh makna Annur itu.
“Ramai warga 8th yang turun surau, Nabil?,”
“Alhamdulillah.. Bila organisasi yang merencanakan program ihya’ sekali penggerak program memberikan komitmen tahap tertinggi, pulangannya juga sama. Mad’u turut memberikan komitmen tahap tertinggi juga,”
“Ya akhi.. komitmen terhadap program-program keilmuan perlu bermula dari kita sendiri dahulu selaku pihak yang ditaklifkan menjalankan gerak kerja dakwah ini,”
“Abang Iman dan kak Annur apa khabar?,”soal Nabil teragak-agak.
“Alhamdulillah.. sentiasa dalam tarbiyah Allah,” jawab Iman dan Annur serentak tanpa disangka.
Terus sahaja mereka semua ketawa.
“Alhamdulillah.. Jomlah abang Iman.. hadirin dah menunggu di dalam,”
“Baiklah. Jomlah,”
Malam itu, bermula dengan perasmian jualan kuih raya balai Islam kolej 8th oleh Pengetua kolej 8, Prof Dr. Dzulkarnain. Sedikit gimik lucu, apabila Prof Dzulkarnain menyuapkan kuih raya ke mulut Nabil. Dan Nabil juga menyuapkan kuih raya ke mulut Prof Dzulkarnain. Semua jemaah surau yang hadir bertepuk tangan. Dengan gimik itu, rasmilah jualan kuih raya balai Islam 8th pada malam itu. Sejurus itu, barulah Pengarah Program Ihya’ Real di 8th sendiri yang mempersilakan Iman untuk menyampaikan ceramah bertajuk, ‘Muhasabah Di Ambang Ramadhan’.
Annur melihat suasana kuliah ilmu di dalam balai Islam itu. Dia mengucap tahmid. Ramai yang hadir pada malam itu. Setiapkali Iman keluar memenuhi jemputan, Annur juga turut ikut bersama. Dia mahu menemani Iman ke mana sahaja Iman pergi. Lebih-lebih lagi dalam kuliah ilmu yang disampaikan Iman sendiri. Kandungannya sudah hampir 4 bulan. Tubuhnya tetap kecil juga walaupun kandungannya sudah kelihatan. Sementara Iman dipersilakan memberikan pengisian di dalam balai Islam itu, Annur bersama Ulya seketika di ruang belakang balai Islam itu. ruang depan telahpun penuh dipenuhi hadirian. Ulya tiba-tiba memeluk Annur.
“Akak, akak makin cantiklah. Makin comel,” pantas sahaja Ulya mencium pipi Annur.
Annur jadi tersipu.
“Anak buah Ulya ni dah berapa bulan kak?,” pantas sahaja Ulya menyentuh perut Annur.
“Dah hampir 4 bulan Ulya,”ujar Annur lagi.
“Alhamdulillah.. tak sabarnya nak tunggu dia keluar, hehe..,”
Hati Annur memberikan fokus pada pengisian kuliah Iman. Sesekali dia melayan Ulya bercakap juga. Tambahan pula, sudah lama mereka tidak bertemu. Sama-sama sibuk dengan urusan masing-masing.
“Kak, jadi tak urusan akak dan ustaz nak pergi umrah Ramadhan ni?,”
“Insya’allah, kami bertolak minggu depan. Akan berada di sana selama dua minggu akhir Ramadhan ini,”
“Alhamdulillah.. sampai juga hajat akak ya,”
“Hmm..sepatutnya nazar akak tu dah lama akak tunaikan. Cuma, baru sahaja akak maklumkan pada ustaz. Akhir-akhir ini ustaz sibuk. Tak berani akak nak ganggu. Tapi, memandangkan Ramadhan setahun sekali sahaja. Ramadhan ini Ramadhan pertama kami sebagai suami isteri juga. Biar jadi lebih bermakna dengan meriahkannya dengan umrah,”
“Insya’allah, moga selamat semuanya ya kak,”
“Insya’allah..Amin.. Doakan ya,”
.........................................................
Handset Annur berbunyi. Ada panggilan. Annur di bilik air. Petang itu Annur dan Iman mendapat jemputan berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Masjid Bulat. Majlis berbuka puasa itu anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya dengan kerjasama warga masjid itu. Program itu juga di bawah kelolaan bersama program ihya’ Ramadhan PMIUM, Wadie Raudhah’08. Program itu bermula tengahari itu lagi. Ada gotong royong membersihkan masjid oleh anak-anak yatim DarulNajimin. Cuma Iman dan Annur mendapat jemputan iftor di sebelah petangnya. Iman dijemput member pengisian sebelum iftor. Malah program itu juga adalah untuk meraikan Iman dan Annur yang akan bertolak ke ke mekah mengerjakan umrah pada esok malamnya. Presidennya Dzulrahman dan Timbalan Presidennya Fatimah Husna yang beria-ia mahu menjemput mereka berdua ke majlis itu.
“Annur, ada panggilan telefon dari Aisya,”
“Boleh abang tolong jawabkan? Cakapkan yang Annur mandi. Kejap lagi Annur call Aisya semula,”
“Ok,”
Baru sahaja Iman mahu menjawab, panggilan itu terus mati. Beberapa minit kemudian, sejurus selesai mandi, Annur menghubungi Aisya semula. Salamnya berjawab. Namun, hatinya nanar sendiri. Tiada kata bicara yang keluar. Hanya esak tangis yang tidak keruan bergema di hujung gagang. Annur merenung Iman tidak berkedip. Iman yang turut mendengar esak tangis Aisya itu kelihatan terpinga-pinga.
“Kakk..,”
“Aisya, tenang sayang.. cuba ceritakan pada akak perlahan-lahan,”
“Kak..Aisya jejak sahaja langkah di rumah..,” nafasnya sesak, terhenti sebentar.
“Aisya, tenang sayang.. cerita baik-baik sayang,”
“Aisya.. Aisya tak sempat nak beritahu ibu.. keputusan istikharah Aisya..,”nafasnya berseli dengan esak tangis.
Annur mempertajamkan pendengarannya. Esak tangis Aisya buat kata-katanya tidak jelas. Annur menunggu bicara Aisya lagi. Memberikan ruang tenang pada gadis itu untuk meluahkan apa yang telah berlaku.
“Kak, ibu dah terima pinangan keluarga Iskandar. Malam ni, majlis pertunagannya. Sebab itulah ibu minta Aisya balik rumah minggu ni.. Kak, Aisya tak tahu nak buat apa kak.. kak..,”
“Allahhu Akbarr…,” hanya itu sahaja yang mampu dilafazkan Annur.
Jika Aisya berada di hadapannya saat itu, sudah tentu Aisya dipeluknya erat-erat. Lama Aisya termenung sejurus memutuskan talian itu. Dia hanya mampu menasihati Aisya agar kuat dan yakin dengan keberkatan ketaatan pada ibu dan abahnya. Annur menggeleng-gelengkan kepala. Dia sendiri pun tidak pasti, samada dia akan kuat atau tidak jika diuji dengan ujian yang sebegitu.
Farhan mematikan panggilan. Panggilan dari kak Annur sebentar tadi terasa aneh. Dari riak suara kak Annur, bagai ada berita buruk yang hendak disampaikan padanya.
..Tentang Aisyakah?..
Sungguhpun Ramadhan hari itu bakal masuk ke malam ke 13 Ramadhan bersamaan 13 Oktober 2008, namun hatinya rasa resah sendiri. Apa sahaja yang dibuat terasa ada yang tidak kena sahaja.
Petang itu Iman dan Annur tiba ke masjid lebih kurang jam 5.30 petang. Kuliah petang itu akan bermula pada jam 6 petang. Jadi, seperti yang diaturkan, Iman dan Annur bertemu Farhan terlebih dahulu.
“Ada apa kak, nak jumpa Dik An?,”
Iman dan Annur saling memandang. Iman mengangguk, memberi isyarat agar Annur mulakan kalam terlebih dahulu.
“Tentang Aisya. Dalam istikharah Aisya, dia menetapkan hatinya dengan Dik An, tapi..,”
Wajah Farhan sudah cuak. Dia dah dapat meneka, berita yang akan disampaikan Annur.
“Tapi..Bila dia balik rumah hujung minggu ni, dia dimaklumkan bahawa ibu dan abahnya telahpun menerima pinangan keluarga sahabat ibu Aisya. Insya’allah, majlis pertunangan tu akan berlangsung malam ini. Sebab itulah Aisya disuruh balik kampung hujung minggu ini. Dia mohon maaf pada Dik An,”
Farhan diam. Iman memeluk bahunya. Menepuk-nepuk belakang tubuhnya juga.
“Enta banyak-banyakkan bersabar Farhan. Mungkin sudah bukan jodoh enta. Ada hikmahNya tiap-tiap apa yang berlaku. Berdoalah pada Allah semoga Allah permudahkan urusan Aisya. Bukan niat dia nak tolak enta. Tapi, segala qada’ qadar Allah sudahpun tercatat. Jika Aisya tu jodoh enta, kot mana pun akan tetap berjodoh juga. Tapi, jika Allah dah tetapkan jodoh dia dengan orang lain, takkan terikat juga walau enta dah berkawan selama 10 tahun pun dengan dia,”
“Gantungkan cinta kita pada Allah. maka, kita tidak akan kecewa saat dikecewakan manusia. Sebab bukan manusia yang kecewakan kita. Tetapi Allah yang telah menetapkan segalanya ada baik buruknya. Ana petik terjemahan tafsir dari surah Al-Baqarah ayat 216, yang bermaksud,
“..Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.,”
Kata-kata Iman itu seperti embun yang menyegar tenangkan jiwanya yang sedikit terasa kusut. Kata-kata itu dijadikan diang untuk dia menjadi hamba Allah yang redha menerima ketentuan dari Allah. Aisya tuan punya badan pun boleh redha dan taat dengan pilihan ibu dan bapanya. Kenapa pula dia tidak boleh menerima kenyataan itu?
Program petang itu berjalan dengan ucap perasmian program oleh Presiden PMIUM, Dzulrahman. Disusuli pengisian kuliah oleh Iman. Namun, Farhan akhirnya keluar dari dewan masjid itu. Dia mahu menenangkan fikirannya yang sudah kembali serabut. Dia tidak dapat menipu diri, yang dia rasa sedih dan kecewa. Sungguh dia akui, dia tidak sekuat Aisya. Pantas sahaja dia menghubungi Aisya. Salam bertautan. Kedengaran suara Aisya sedikit serak. Seperti baru menangis. Namun, Farhan tidak pula bertanyakan tentang itu. Hanya mengangak sahaja.
“Ustazah apa khabar?,”
“Alhamdulillah.. Ustaz pula apa khabar?,”
“Alhamdulillah.. bagaimana persiapan majlis malam ni?,”
“Hmm..Ibu dan adik-adik yang uruskan. Ustaz, ana mohon maaf,”
Aisya segera menekup mulutnya. Menahan nafas. Air matanya saat itu sudah mula merembes.
“Hmm.. Ana faham. Nak buat macam mana, dah tiada jodoh ana dan ustazah. Ana doakan majlis malam ni berjalan lancar ya. Moga Allah terus pinjamkan kekuatan,”
“Ustaz.. Ana teringat kata-kata kak Annur. Moga ia dapat kita ambil sebagai peneguh hati kita. Kak Annur ada pesan pada ana, “
“Apa pesanan kak Annur tu? Kongsilah..,”
“Kak Annur ada petik sehelai daun. Daun itu diberi pada ana. Ana pelik sendiri. Namun, apabila kak Annur menerangkan hikmah di sebalik dia memetik daun itu, barulah jelas segala tunjang cinta itu paksinya keimanan dan kebergantungan diri sepenuhnya pada Allah,”
Farhan menunggu Aisya menyambung bicaranya lagi.
“Kak Annur cakap, hati yang mencintai selain dari Allah, umpama seperti daun yang dipetik itu. Saat berada di pokok, ia hijau kerana pergantungan hayatnya dengan Allah sehingga hayatnya dimatikan Allah. Itulah perlambangan cinta kita pada Allah. Kekal hijau dan sentiasa hidup di saat meletakkan cinta hanya pada Allah. Tapi, ketika masih hidup setelah dipetik tangan-tangan asing, ia terus akan layu dan mati. Sudah tiada seri hijaunya lagi. Sudah tidak ada cinta kerana saat ia dipetik tangan-tangan asing itu, saat itu juga terputus hubungan dan hayatnya dengan Allah. Tangan-tangan asing itu ibarat cinta manusia. Apabila kita menyerahkan hati pada cinta manusia, cinta itu tidak akan hidup lama. Akan mati, layu dan kering seperti daun yang dipetik. Terus terputus cinta dengan Allah,”
“Kak Annur pesan lagi, apa-apa pun kita perlu timbangkan segala keputusan kerana Allah dan perjuangan Islam. Bukan atas faktor perasaan atau nafsu. Jika kita kuat pergantungan dengan Allah, kita tidak akan rasa kecewa dengan segala ketentuan Allah. Sebab kita tahu, baik buruk apa pun yang Allah tentukan, itulah yang terbaik untuk kita. Sebab Allah yang berikan ketentuan. Sudah tentu, apa yang berlaku, itulah yang terbaik dari Allah untuk kita. Sebab Allah Pencipta kita. Jadi, Allah yang lebih memahami, apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya,” ujar Aisya lagi, mengulang kata-kata Annur.
“Ya, ana pun turut terkesan juga dengan kata-kata itu. Moga apa yang berlaku inilah yang terbaik di sisi Allah. Ana harap, kita dapat teruskan hubungan ukhwah sebagai teman seperjuangan dalam gerak kerja dakwah ini ya,”
“Insya’allah ustaz, syukran jazilan”
“Afwan,”
Kata-kata itu mengakhiri perbualan mereka.
.....................................................
Akhirnya seperti yang dirancang, Iman dan Annur bertolak ke Jeddah pada hari khamis, malam ke 16 Ramadhan bersamaan dengan 16 Oktober 2008. Mutawif yang membawa rombongan mereka adalah Ustaz Yusri dan Ustaz Hakim. Perkhidmatan umrah Adiwarna itu begitu menitik beratkan keperluan dan kebajikan para jemaah umrah.
Mereka tiba di Jeddah pada hari Jumaat, sekitar jam 8 pagi. Kemudian mereka mengambil penerbangan ke Madinah sekitar jam 12 tengahari dan tiba di lapangan terbang Madinah sekitar jam 1. Mereka menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Nabawi. Saat menjejak langkah ke masjid Nabi itu, air mata Iman dan Annur terus bercucuran. Lidah mereka tidak henti-henti mengalunkan zikrullah, menghina diri dan membesarkan Allah. Tidak sabar-sabar hendak menjejak langkah bersolat di masjid Nabi itu. Sepanjang berada di Madinah, mereka menginap di Elaf Taiba, yang terletak begitu dekat dengan Masjid An-Nabawi.
Masjid An-Nabawi sangat indah, menawan, mempesona, mendamaikan, dan sejuk mata memandang. Ke mana-mana sahaja, Annur pergi, dia akan sentiasa berada di samping Iman. Iman memegang tangan Annur walau ke mana sahaja mereka pergi. Iman mengaplikasikan mazhab Hanafi yang mengharuskan suami untuk memegang tangan isteri ketika mengerjakan umrah atau haji. Dan wuduk mereka tidak terbatal. Ini memandangkan jumlah jemaah saat itu sangat ramai dan susah nak bergerak sendiri. Dikhuatiri terpisah atau sesat. Tambahan pula, mereka hanya datang berdua sahaja. Lebih-lebih lagi, ketika bulan Ramadhan ini. Memang ramai jemaah yang mengerjakan umrah dan haji. Iman bimbangkan keselamatan Annur. Cuma ketika menjejak masuk ke dalam masjid An-Nabawi, mereka terpaksa berpisah seketika. Masjid An-Nabawi ada kawasan solat untuk lelaki dan perempuan. Masing-masing menunaikan solat masing.
Ketika Iman melangkah masuk ke Masjid An-Nabawi itu, jantung terasa berdegup dengan lebih kencang. Rasa kasih sayang dan kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda terasa makin hangat. Kawasan Raudhah, tempat antara Mimbar dan rumah Baginda s.a.w ditutup sehingga Asar untuk tujuan pembersihan, dan seketika kemudian, tempat tersebut dibuka, menandakan azan Asar akan berkumandang tidak lama lagi.

Tidak henti-henti Iman dan Annur mengucap tasbih dan tahmid. Sebaik sahaja tempat itu dibuka, kawasan Raudhah itu diisi sepantas kilat orang para jemaah. Malah ada antara mereka yang berlari-lari mahu berada di kawasan itu. Mujur kak Muna cepat-cepat menarik tangan Annur untuk berada di kawasan Raudhah pada waktu itu. Kawasan sebenar masjid yang dibina oleh Rasulullah s.a.w dapat dibezakan melalui warna karpetnya iaitu hijau. Kawasan yang lain dilitupi oleh karpet berwarna merah dan karpet berwarna hijau hanya meliputi kawasan sebenar Raudhah, dari mimbar sehingga ke kawasan makam baginda. Iman lebih mudah menyelit masuk ke Raudhah. Jadi, awal-awal lagi Iman sudahpun berada di dalam kawasan Raudhah.

Kecil sahaja kawasan Raudhah itu. Jadi, para jemaah terpaksa berhimpit-himpit dan berebut-rebut untuk memenuhi ruangan Raudhah itu. Perkara yang turut menjadi tumpuan, kawasan itu merupakan kawasan yang pernah digunakan oleh Rasulullah untuk menunaikan solat. Ramai sekali yang mahu bersolat di kawasan tersebut. Mujur kak Muna cepat-cepat menarik tangan Annur masuk tadi. Dapatlah mereka bersolat di bahagian karpet hijau yang pernah digunakan oleh Baginda s.a.w untuk bersolat. Selesai solat Asar, mereka mengambil peluang untuk menziarahi makam Ar-Rasul s.a.w dan sahabat Baginda Abu Bakar r.a dan Umar r.a.

Berulang-ulang Iman dan Annur mengulang zikrullah, membesarkan Allah. Sungguh kebesaran Allah yang mereka saksikan sendiri di situ tidak dapat digambarkan dengan lukisan. Tidak mampu juga diterangkan dengan kalam. Malah tidak mampu juga dituturkan dengan kata-kata. Biarlah hati mereka sendiri sahaja yang menyimpannya.
Di Madinah, mereka melawati Kompleks Percetakan Al-Quran. Mereka disambut oleh Pengarah kompleks itu sendiri, Shaykh Salih. Beliau menawarkan satu tawaran yang sungguh istimewa. Iaitu sebut sahaja berapa banyak naskhah Al-Quran yang diperlukan dan berapa banyak maksud (translation) Al-Quran yang diperlukan dalam pelbagai jenis bahasa, diberi percuma untuk tujuan dakwah dan faedah kepada masjid dan lokaliti. Iman memilih untuk mendapatkan maksud Al-Quran dalam Bahasa Melayu. Akhirnya Iman mendapat empat naskhah terjemahan Al-Quran dalam Bahasa Melayu, satu dalam Bahasa Inggeris dan lain-lain lagi.

Mereka kemudian melawati Islamic University of Madinah, menunaikan solat sunat di Masjid Quba’ dan Masjid Qiblatain, melawat Dar Al-Hadith, di mana mereka disambut oleh Pengetua Shaykh Abdullah sendiri, juga ladang kurma sebagai selingan. Annur ada membeli sedikit kurma ajwa dan kurma Nabi.
Iman, Annur dan para jemaah serombongan berada di Al-Madinah Al-Munawwarah selama empat hari, dan mereka bertolak menuju ke Makkah Al-Mukarramah pada hari Selasa petang selepas Asar. Mereka berniat Ihram di Dhul Hulayfah yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan dari Madinah. Dari sana sehingga tiba di Makkah, di dalam bas, mereka tidak putus-putus melaungkan “Labbaykallah humma labbayk,”. Ini bermakna sejak perjalanan itu bermula lagi, mereka telahpun berniat untuk berihram.
Mereka tiba di Makkah sekitar jam 11 malam dan menginap di Makkah Hilton & Towers yang terletak sangat dekat dengan MasjidilHaram. Tanpa banyak membuang masa, mereka bersiap untuk menunaikan umrah. Iman mengucap syukur. Sepanjang 5 hari ini, dia tidak mengalami apa-apa kesakitan pada kepalanya. Doktor Azhar ada berpesan, kemoterapi yang hanya sempat dijalankan selama seminggu sahaja itu, tidak cukup untuk mengekang pertumbuhan tumor itu. Namun, Iman hanya menyerahkan segalanya pada ketentuan Allah.
“Abang ok?,”
Annur sedikit hairan melihat Iman tiba-tiba termenung pula setelah bersiap-siap. Iman lantas menggeleng lembut dan membungakan senyuman di bibir. Wajahnya tampak berseri walaupun sedikit terasa letih.
“Jomlah.. Annur jangan lupa banyak minum air ya. Sini cuaca panas,”
“Baik bang. Ada bekas air yang Annur bawa. Terima kasih abang,”
Mereka beriringan untuk menunaikan umrah. Hati Annur berdebar-debar. Terasa panas bumi anbiya’ itu kian membara. Sebelum melangkah masuk ke MasjidilHaram, mereka perlu memastikan dari pintu mana mereka masuk. Perlu mengingati nombor atau nama pintu. Ini bagi mengelakkan sesat. Ketika Iman melangkah masuk melalui pintu King Abdul Aziz, matanya hanya terpana pada sesuatu yang menjadi qiblat umat Islam selama ini. Kaabah. Degupan jantungnya seolah terhenti, matanya terpaku apabila memandang kiblat itu kini berada di depan matanya. Annur berdiri di sebelah Iman.
“Subhanallah.. abang, lihat kebesaran Allah sebagai Pencipta yang Agung. Allahhu Akbar,” segera air mata Annur menitis.
“Alhamdulillah, kita masih lagi diberikan kesempatan untuk berada di MasjidilHaram dan melihat sendiri qiblat Islam ini dengan mata dan kepala sendiri,” ujar Iman pula.
Seketika mereka berpisah untuk menunaikan solat sunat. Jemaah muslimin berada di saff hadapan. Jemaah muslimat di belakang saff muslimin. Selesai solat, mereka akan menunaikan tawaf. Kali ini Iman mencari Annur. Mengisyaratkan Annur berada di sebelahnya. Mereka akan bertawaf bersama-sama selama tujuh kali.
“Jom Annur,” Iman menggenggam dan menarik tangan Annur beriringan dengannya. Mereka akan melakukan tawaf bersama-sama dengan Shaykh Abdul Rahman, Jaweed, ‘Ali, Gous dan keluarganya. Tidak ketinggalan Mas’oud dengan keluarganya juga. Kemudian, selepas itu mereka menunaikan solat sunat di belakang Maqam Ibrahim.
Kemudian, mereka menuju ke tempat sa’ie. Ada sedikit pembinaan berlaku di sekitar perjalanan antara Safa dan Marwa. Walaupun ramai jemaah yang mengerjakan ibadah sa’ie ketika itu, namun, akhirnya mereka berjaya juga menunaikan ibadah sa’ie itu dengan lancar. Berulang-ulang tujuh kali antara Safa dan Marwa. Pada pusingan ketujuh di Marwa, mereka bergunting rambut sekurang-kurangnya 3 helai rambut. Cuma jemaah muslimin pula sunat bercukur. Iman hanya menggunting rambut sahaja. Sekejap lagi dia akn pergi bercukur. Selesai menggunting rambut, Iman segera menarik tangan Annur, ikut berqiamullail sementara waktu qiam saat itu masih ada. Agak lama mereka bersujud dan berdoa.
“Ya Allah, jadikan isteriku, isteri yang solehah. Dialah isteriku.. Dialah bidadari yang akan menemaniku di syurgaMu ya Allah.. Ya Allah, jadikan zuriatku, zuriat yang soleh solehah, yang akan mendoakan aku saat aku sudah tiada di dunia ini.. Ya Allah, andai Kau menjemputku bertemuMu maka, Kau jagalah isteri dan zuriatku ya Allah.. temukan kami di syurgaMu,”
Air mata Iman menitis tidak keruan. Air matanya mengalir bagaikan aliran sungai yang tiada hentinya. Annur yang mengaminkan doa itu juga turut terkesan. Dia tidak tahu kenapa Iman berdoa sedemikian.
“Abang,”
Iman menoleh. Wajah yang basah dengan air mata itu direnung lembut.
“Abang, walau apa-apa pun yang berlaku, Annur akan cuba jadi isteri dan ibu yang baik pada abang dan zuriat kita sehingga ke akhirat bang, dengan izin Allah,”
Serentak itu, Annur memaut tangan Iman ke pipinya.
“Annur, abang minta maaf atas segala salah silap abang pada Annur ya,”
“Annur juga bang.. Maafkan salah silap Annur, bang,”
Setelah itu mereka menikmati air zam-zam sepuas-puasnya. Iman menarik Annur mendepani dirinya. Dia kumat kamit membaca doa pada air zam-zam itu. Lalu diminum sedikit, dan kemudian dia memberi Annur minum air itu. Diratakan juga lebihan air itu pada wajah Annur dan dibasahkan juga rambutnya dengan air itu. Namun, tiba-tiba, Iman berdebar-debar sendiri. Beberapa helai rambutnya gugur dan melekat pada tangannya yang basah. Dia cepat-cepat membuang rambut-rambutnya yang melekat pada tangan. Bimbang dilihat Annur. Nampaknya kemoterapi itu sudah menampakkan kesan.
Azan Subuh kedengaran menandakan waktu subuh telahpun masuk. Ketika itu Iman masih belum bercukur. Seusai menunaikan solat Subuh, Iman bersama Shaykh Abdul Rahman, Jaweed dan ‘Ali pergi mencukur rambut mereka. Sementara itu Annur mengikut Kak Muna dan rakan jemaah umrah perempuan yang lain pulang ke tempat penginapan. Iman sempat memesan, meminta Annur pulang dulu ke tempat penginapan sementara menunggu Iman bercukur.
Iman menarik nafas lega sendiri setelah rambutnya sudah selesai dicukur. Dia bersyukur Allah membantunya. Macam kebetulan pula rambutnya memang keguguran akibat kemoterapi dan dia kini sudah mencukur seluruh rambutnya. Jadi, dia tidak perlu risau lagi soal rambut gugur.
..Alhamdulillah, selesai ibadah umrah ini. Ya Allah, Kau terimalah ibadah umrah kami ini Ya Allah, ameen..
Peluang berjauhan dengan Annur saat itu, digunakan sebaiknya. Iman mencari hospital di sekitar tempat itu. Dia bernasib baik kerana Hospital Al-Jamil itu masih dibuka walaupun sudah menjelang Syawal. Iman bertutur dalam bahasa Arab dengan doktor yang memeriksa kesihatannya.
“Bagaimana keadaan saya doktor?,”
“Alhamdulillah, awak sihat. Tumor di otak awak itu sudah kurang aktif,”
Kata-kata doktor itu begitu mengejutkan Iman. Wajahnya kembali bercahaya.
“Cuma, pihak kami tidak dapat menjamin awak sudah sembuh dari tumor. Hanya yang kami dapati, pertumbuhan tumor itu di kepala awak sudah kurang aktif,”
Iman terus sahaja bersujud syukur di lantai saat itu. Dia tidak henti-henti mengucap tahmid. Namun, dia sendiri beringat pada diri. Tumor itu hanya kurang aktif. Mungkin faktor cuaca. Tidak tentu lagi sembuh atau tidak.
..Ya Allah..sempatkan aku untuk menatap wajah zuriatku ya Allah..

Hari-hari di Makkah, diisi sebanyak mungkin amal ibadah untuk berada di dalam MasjidilHaram. Sedaya upaya mereka memanfaatkan masa di MasjidilHaram itu hanya dengan beribadah kepada Allah. Dahaga pula diisi sepuas-puasnya dengan air zam-zam. Iman banyak minum air zam-zam. Malah disapukan ke kepalanya juga. Malah, Iman dan Annur diberikan peluang oleh Allah untuk mencium Hajarul Aswad. Itupun memakan masa hampir sejam dan sungguh menguji kesabaran mereka untuk menghampirinya. Kerana Hajarul Aswad dipenuhi lautan manusia.
Ketika di Makkah, mereka berpeluang melawati muzium MasjidilHaram yang baru dibuka dan jarang dibuka kepada umum. Mereka juga sempat menziarahi perkuburan Baqi’ yang menjadi kuburan ramai sahabat, Tabi’, Tabi’een dan lain-lain lagi. Sempat Annur berdoa, semoga Allah merahmati roh mereka semua, dan semoga mereka berdua juga akan turut sama mengikuti jejak langkah mereka-mereka yang menjadi syahid dan syahidah di jalan Allah.

Hari-hari yang berlalu selama lebih 10 hari itu merupakan antara hari-hari yang terindah buat mereka berdua. Bukan sahaja berpeluang mendapat tempat penginapan yang begitu dekat dengan MasjidilHaram dan Masjid An-Nabawi yang ganjaran menunaikan solat di situ ribu kali ganda banyaknya. Malah mereka sangat bersyukur, kerana tidak pernah terlepas untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah di masjid. Malah dapat mendengar bacaan daripada Shaykh Abdul Rahman As-Sudais merupakan elaun tambahan pada mereka. Semangat untuk beribadah ketika di Makkah dan Madinah terasa begitu panas dan istimewa. Seakan-akan semua masa mahu dihabiskan di MasjidilHaram dan Masjid An-Nabawi sahaja.
“Alhamdulillah, moga-moga Allah menerima ibadah kita,” ujar Iman.
“Amin..,” bisik Annur.
“Abang..,”
Iman menoleh ke wajah Annur.
“Abang, terima kasih kerana mahu bersama-sama menunaikan nazar Annur,”
Iman tersenyum.
“Terima kasih pada Allah yang mencipta pertemuan dan menjodohkan kita,”
Tangan mereka bertaut dan anak mata mereka lepas merenung kaabah yang bercahaya.
“Abang, benarkah cinta kita pada Allah cinta sehijau warna daun?,”ujar Annur.
“Insya’allah.. Cinta kita hanya untuk Allah dan perjuangan Islam. Hanya dengan sebab itulah, lahirnya kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.. Saat cinta ini berdaun hijau di pokok, selama-lamanya biar ia kekal hijau di pokok sehinggalah tiba waktu dijemput Allah..,” tuntas Iman lagi.
“Amin.. insya’allah, hingga akhirat bang,”
“Amin.. Insya’allah,”


Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
7 Februari 2011, 4 Rabiul Awal 1432H, 2.07 p.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...