BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, May 3, 2011

CERPEN : Tatkala Teratai Berbunga (Bhgian 2)





Bhgian 2

“Ya Allah, jadikan isteriku, isteri yang solehah. Dialah isteriku.. Dialah bidadari yang akan menemaniku di syurgaMu ya Allah.. Ya Allah, jadikan zuriatku, zuriat yang soleh solehah, yang akan mendoakan aku saat aku sudah tiada di dunia ini.. Ya Allah, andai Kau menjemputku bertemuMu maka, Kau jagalah isteri dan zuriatku ya Allah.. temukan kami di syurgaMu,”
Entah kenapa doa Iman itu kerap kali meniti-niti di minda Annur. Malam itu merupakan malam terakhir mereka berada di bumi MasjidilHaram itu. Esok malam mereka akan terbang pulang ke Malaysia. Dan esok seluruh umat manusia akan meraikan hari kebesaran seluruh umat manusia setelah sebulan menahan lapar, dahaga dan hawa nafsu. Esok adalah hari kemenangan seluruh orang-orang Islam. Dia berulang-ulang menjenguk ke luar rumah penginapan Makkah Hilton & Towers itu. Namun tiada pula kelibat Iman pulang. Jarum sudah melewati ke jam 11.30 malam. Hatinya gundah. Mahu sahaja dia menapak keluar mencari Iman di sekitar MasjidilHaram itu, namun dia bimbang juga dengan keselamatan sendiri. Lebih-lebih lagi keselamatan anak yang dikandungnya.
Namun, rasa bimbang itu buat dia jadi tidak sedap duduk. Hatinya rasa tidak senang selagi tidak menatap wajah Iman. Dia bergegas menyarung jubah labuh putih berserta tudung putih. Malam-malam di tanah haram itu suhunya tetap panas juga. Namun Annur mahu kelibatnya dilihat orang. Jika ada apa-apa berlaku pada dirinya, pasti sesiapa pun boleh nampak dirinya jika dia memakai jubah putih dan tudung putih itu.
Annur mengurut dada kelegaan. Suasana di sekitar jalan dari penginapan Makkah Hilton & Towers itu tidak lengang. Walaupun jarum jam saat itu sudah jauh tengah malam, namun masih ramai para jemaah yang masih berkeliaran di sekitar jalan. Ambil angin malam agaknya. Tambahan pula, di sini siang atau malam, suhunya tetap panas.
Annur menapak dari satu lorong jalan ke lorong jalan. Anak matanya saat itu liar mencari-cari kelibat Iman. Hatinya meneka, Iman pasti ada di sekitar MasjidilHaram ataupun di Kaabah. Kakinya terus melangkah dan terus melangkah. Namun, dia terasa dirinya seperti sedang diperhatikan. Pantas, dia mula berlari-lari anak. Jalan masjid yang agak licin menyebabkan dia lebih berhati-hati berlari. Hatinya tiba-tiba diterpa rasa takut yang amat sangat. Dia segera berzikir menyebut nama Allah banyak-banyak.
..Abang.. Di mana abang?.. ya Allah,lindungi diriku.. temukan aku dengan suamiku ya Allah..
Semakin dekat dengan dataran MasjidilHaram, semakin hatinya rasa tenteram. Air matanya sudah menitis-nitis. Anak matanya meliar-liar mencari kelibat Iman. Tiba-tiba ada tangan yang menyentuh bahunya. Spontan Annur terjerit kecil.
“Shh…Abang ni..,”
Annur terus menoleh.
“Abang..,” terus sahaja Annur memeluk Iman. Tangisannya turut tumpah. Iman mengusap bahunya.
“Annur, kenapa berjalan malam-malam ke sini?,”
“Annur cari abang. Annur risaukan abang. Abang ke mana?,”
“Kan abang pesan tadi, jangan ke mana-mana sampai abang balik? Abang terjumpa dengan Shaykh Abdul Rahman selepas solat tarawih tadi. Jadi, kami sembang-sembang dulu. Abang baru nak balik ke bilik penginapan ni. Abang nampak Annur kat sini. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati Annur cari abang kat sini. Kalau abang tak nampak Annur, macam mana tadi?,”
Nada Iman berbaur cemas. Annur masih menangis. Iman menarik tangan Annur ke dalam masjid. Rata-rata jemaah masih ramai di dalam masjid itu. Tambahan pula, esok adalah hari lebaran umat Islam. Masing-masing tidak melepaskan peluang membuat amal-amal terakhir menjelang esok. Iman mendaratkan duduk di salah satu tiang di masjid. Di situ, mereka agak terlindung dari pandangan awam. Dari situ juga, mereka dapat melihat Kaabah. Cahaya lampu di sekitar kiblat itu, nampak seperti Kaabah saat itu sedang memancarkan cahaya-cahaya yang bergemerlapan.
..Subhanallah, cantik sekali..
Gumam Iman di dalam hati. Tidak lepas-lepas dia memuji kecantikan ciptaan Allah itu. Walau sudah beratus-ratus kali pun memandang, dia tidak puas.
“Annur, sudah la tu..kesat air mata tu. Annur dah selamat. Kan abang dah ada di sisi Annur sekarang?,”
Iman mengesat air mata Annur dengan jarinya.
“Annur ok?,”
Annur mengangguk.
“Annur berlari-lari tadi. Penat sikit bang,”
“Annur mari sini..,”
Iman mengisyaratkan agar Annur baring di ribanya. Annur tidak meningkah. Pantas sahaja dia meletakkan kepalanya di riba Iman. Iman tersenyum.
“Annur, Annur pernah tanya abang kan, apa perasaan abang bila berada dekat dengan Annur sewaktu di bumi tarbiyah Nilam Puri dulu? Adakah abang merasa berjodoh dengan Annur?,”
Annur mengangguk. Menunggu Iman menyambung kalam.
“Annur, waktu pertama kali abang jumpa Annur di library UM Nilam Puri, abang hanya memandang wajah Annur sekilas. Waktu itu, hati abang berdebar kuat. Tapi, abang tidak pedulikannya dan terus lupakannya. Abang mahu menjaga hati. Abang anggap rasa-rasa tu semua hanyalah dugaan Allah pada abang,”
“Subhanallah.. Annur saat itu, tidak tahu nak ucapkan apa bang. Hanya terkedu sendiri bila abang yang tolong kutipkan buku-buku Annur. Malah abang ucapkan ‘syukran’ dan ‘kata maaf’ pada Annur. Sepatutnya, Annur yang ucap terima kasih dan minta maaf pada abang. Annur cari abang. Alhamdulillah, Allah temukan kita dalam satu kelas. Tapi Annur tidak tahu macam mana Annur nak cakap pada abang. Annur hanya minta tolong arwah Achik yang sampaikan pada abang. Mungkin sekarang ni adalah masanya. Abang, terima kasih dan Annur minta maaf ya,”
Tiba-tiba Iman diam. Annur mendongak ke wajah Iman.
..Eh.. dah tidur rupanya..
Iman kelihatan sudah menyandarkan tubuh dan kepalanya di dinding masjid tempat dia bersandar tadi. Annur tersenyum sendiri, lalu melelapkan matanya di ribaan Iman.
Iman tiba-tiba tersentak. Pandangannya jadi kelam. Bukan kerana sakit. Tetapi ada jari-jari halus yang sedang menutupi anak matanya. Dia tersenyum. Lantas menyentuh jemari itu. Halus dan wangi. Wangian melur yang selalu dipakai Annur kini menyerbak ke rongga baunya. Iman membuka mata. Saat itu dia melihat Kaabah berwarna putih bercahaya kehijauan berkilau-kilauan di hadapannya. Masjidilharam itu pula kelihatan keemas-emasan dibias cahaya.
Iman mengalih pandang pada Annur di belakangnya. ..Tiada? Di mana Annur?..
“Abang, Annur di sini..,”
Iman menoleh ke hadapan. Dia tergamam. Terkejut besar. Dia melihat Annur berkepak cantik. Persis bidadari yang turun dari syurga. Annur mendepakan tangannya pada Iman. Beberapa kali Iman beristigfar berseli dengan tasbih, memuji Allah. Bagaikan dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya saat itu. Iman menghampiri Annur. Annur segera memegang tangan Iman.
“Kenapa abang terkejut?,”
“Abang seperti tidak percaya,”
“Kebesaran Allah itu jangan sesekali diragui. Bukankah abang yang berdoa begini..
“Ya Allah, jadikan isteriku, isteri yang solehah. Dialah isteriku.. Dialah bidadari yang akan menemaniku di syurgaMu ya Allah.. Ya Allah, jadikan zuriatku, zuriat yang soleh solehah, yang akan mendoakan aku saat aku sudah tiada di dunia ini.. Ya Allah, andai Kau menjemputku bertemuMu maka, Kau jagalah isteri dan zuriatku ya Allah.. temukan kami di syurgaMu,”
Jadi, kerana doa abang sangat tulus, maka Allah ingin memberi Annur sebagai anugerah cinta buat abang. Annur bidadari abang sehingga ke akhirat,”
Seusai Annur menuturkan kata-kata itu, hujan renyai mula-mula menitis-nitis. Iman membuka mata. Keadaan kilauan bercahaya kehijauan tadi sudah tiada. Masjid indah tadi juga sudah tiada. Bidadari yang berwajah Annur tadi juga sudah tiada. Dia mencari-cari Annur. Tiada juga.
“Abang cari Annur?,” suara itu dari sebelah kanannya.
Annur menapak ke arahnya dengan segelas air zam-zam di tangan. Kali ini Annur tidak bersayap. Tahulah kini, bahawa tadi dia hanya bermimpi. Namun kata-kata bidadari berwajah Annur itu masih lagi kedengaran di telinganya.
..Jadi, kerana doa abang sangat tulus, maka Allah ingin memberi Annur sebagai anugerah cinta buat abang. Annur bidadari abang sehingga ke akhirat..
Dalam dia merenung kata-kata itu.
“Kenapa abang pandang Annur macam tu?,”
Iman segera menyambut gelas air zam-zam itu. Dia membaca bismillah serta beberapa doa. Lalu dia minum sedikit dan kemudian, memberikan Annur minum. Lebihan air itu, disapunya pada wajah Annur sehingga ke ubun-ubun rambut. Dan disapukan juga air itu ke kepalanya.
“Annur, jom kita qiam. Sudah hampir jam 4 pagi ni. Tunggu sekejap ya, abang pergi ambil wuduk,”
Annur mengangguk. Sebentar kemudian, Iman kembali. Mereka mendirikan qiam. Dalam setiap sujud, ada saja rembesan air mata Iman yang gugur. Lebih-lebih sedih lagi bila mengenangkan itu hari terakhir mereka berada di tanah haram itu. Esok petang, mereka akan bertolak pulang ke Malaysia.
“Allahhu Akbar… Allahhu Akbar.. Allahhu Akbar.. La ila’haillallahhu wallahhu Akbarr.. Allahhu Akbar walillahhilhamd..,”
“Allahhu Akbar… Allahhu Akbar.. Allahhu Akbar.. La ila’haillallahhu wallahhu Akbarr.. Allahhu Akbar walillahhilhamd..,”
Mendengar laungan takbir menyambut 1 Syawal itu, segera Iman bangun duduk di antara dua sujud. Saat itu lagi beberapa minit lagi menjelang masuk waktu subuh. Kawasan masjid yang sejak tadi lengang kini sudah mula dipenuhi oleh para jemaah. Annur turut bangun duduk di antara dua sujud. Berjuraian air matanya mengalir mendengar laungan takbir itu. Mengucap lafaz tahmid setelah sebulan berpuasa. Ini kali pertama Annur berpuasa penuh bulan Ramadhan kerana tidak didatangi haid kerana mengandung. Seterusnya azan subuh dilaungkan. Annur mengundur langkah ke belakang, memenuhi saff jemaah muslimat di bahagian belakang. Manakala saff muslimin di hadapan.
Selesai solat subuh dan bersalam-salaman dengan para jemaah muslimin, Iman berkira-kira mahu mencari Annur. Tiba di satu ruang masjid, dia melihat berpuluh-puluh mayat yang dikafankan disembahyangkan di dataran MasjidilHaram itu. Mayat-mayat itu akan dikebumikan di tanah perkuburan Baqi’. Tiba-tiba dia rasa sangat cemburu dengan mereka-mereka yang dijemput Allah di sini.
..Ya Allah, teringin benar aku hendak disemadikan di perkuburan Baqi’. Teringin benar aku mahu disemadikan bersama-sama dengan para sahabat dan para pejuang fi sabilillah.. namun,  aku tidak layak ya Allah..
Serentak itu air matanya menitis lagi. Dia mengesatnya cepat-cepat. Cahaya matahari pagi sudah mengufuk dari timur. Sungguhpun di waktu pagi, namun bahangnya terasa seperti di waktu petang.
“Abang.,”
Iman menoleh ke arah suara itu. Walau baru sekejap berpisah, rindu yang bersilih di hatinya rasa terubat tatkala mendengar suara lunak itu. Suara bidadarinya. Masih terngiang kata-kata bidadari berwajah Annur yang hadir dalam mimpinya malam tadi. Entah apa maksudnya dia sendiri tidak maklum.
..Jadi, kerana doa abang sangat tulus, maka Allah ingin memberi Annur sebagai anugerah cinta buat abang. Annur bidadari abang sehingga ke akhirat..
Hatinya cepat-cepat membilang istigfar dan lafaz tasbih. Dia memberikan senyuman paling indah buat Annur. Annur pantas mencapai tangannya. Lalu jemarinya dikucup hangat Annur.
“Abang, kita nak beraya di mana sebelum bertolak pulang? Kita akan bertolak ke Madinah tengahari ni. Seterusnya bertolak ke Jeddah petang nanti. Kak Muna yang maklumkan pada Annur tadi,”
Iman mengangguk. Dia juga ada bertemu mutawif mereka, Ustaz Yusri tadi. Ustaz Yusri ada memaklumkan padanya juga.
“Jadi, Annur nak ke mana?,”
Annur tersenyum. Lalu dia menarik lengan Iman. Mereka menapak ke depan Kaabah. Annur dan Iman mengucap tasbih.
“Subhanallah.. Cantik kan bang?,”
“Annur, kenangkanlah segala ciptaan Allah itu sebagai satu kebesaran Allah menciptakannya. Jangan dikagumi cantiknya ciptaan, tetapi kagumlah dengan kebesaran Penciptanya yang Maha Agung,”
“Astagfirullahh.. Allahhu Akbarr.. Alhamdulillahh.,”
Iman memeluk bahu Annur. Keduanya masih ralit memandang Kaabah. Air mata Iman menitis tiba-tiba. Annur hanya memandang hening air mata yang gugur itu. Iman membalas pandangan Annur. Annur merenung dalam ke dalam wajah itu. Entah kenapa gelora di dalam anak mata Iman buat dadanya terasa sebak. Sungguh dia dapat membaca hati Iman. Lalu air matanya turut menitis. Lalu cepat-cepat Iman kesatkannya.
“Annur, kenapa Annur menangis?,”
“Annur menangis sebab Annur lihat cinta di dalam anak mata abang. Abang sangat rindukan Kekasih abang?,”
Iman mengalih pandang ke Kaabah semula. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Annur tak kecil hati?,”
Annur menggelengkan kepala.
“Annur hanya mahukan abang terus menjadi suami Annur di dunia dan akhirat. Dan hari ini tanah haram ini menjadi saksi doa Annur ini. Annur mahu bersama abang di dunia dan akhirat,”
Iman tersenyum.
“Ya, Annur akan jadi bidadari abang, di dunia dan akhirat,”

Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur
3 Mei 2011, 29 JamadilAwal 1432H, 1.01 am.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...