BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, May 7, 2011

CERPEN : Tatkala Teratai Berbunga (Bhgian 5)




Bahagian 5

..Ya Allah, andai dengan ujian ini sebagai penyebab untuk aku berada dekat denganMu, maka teruslah uji aku dengan ujian ini, agar hatiku lebih tegar dan lebih akrab denganMu ya Allah..
Annur teringatkan perbualannya dengan Iman saat mereka sedang merenung Kaabah sewaktu masih berada di Masjidilharam semalam. Soalan Iman saat itu begitu menyentuh tangkai hatinya. Dia tidak tahu kenapa dia agak tidak senang dengan soalan Iman itu. Baginya saat itu, mungkin Iman mahu menduga ketetapan cinta di hatinya.
“Annur.. Jika jodoh kita tidak panjang, adakah Annur akan terus setia dengan abang?,”
Soalan itu saat itu membuat air mata Annur merembes laju. Iman menyeka air mata hangat itu dengan jarinya.
“Abang, sebelum Annur benar-benar yakin yang abang adalah jodoh Annur, Annur selalu berdoa semoga Annur akan bersatu sebagai isteri abang di akhirat. Annur lebih mengharapkan untuk berjodoh dengan abang di akhirat. Andai setakat ini sahaja jodoh kita di dunia, maka Annur tidak akan henti berdoa pada Allah, semoga ada jodoh kita di akhirat nanti,”
“Kenapa Annur seperti mengalah dengan dunia? Tidakkah Annur mahu hidup dengan abang di dunia dan akhirat?,”
Annur senyum pula.
“Abang, abang hanyalah teman halal yang Allah pinjamkan pada Annur agar melalu ikatan sah ini, sebagai jejambat untuk Annur sampai ke syurga dan mendapat cinta Allah. Jadi, Annur tidak akan mengharapkan yang selama-lamanya di dunia ini abang akan jadi suami Annur. Bahkan abang hanyalah pinjaman sementara buat Annur. Sedangkan cinta Annur hanyalah untuk Allah dan perjuangan Islam. Jika Annur cintakan abang lebih dari segala-galanya, maka Annur akan kecewa saat abang kecewakan Annur atau di saat abang tinggalkan Annur. Tapi jika Annur meletakkan cinta Allah adalah hati Annur di dunia dan akhirat, maka Annur tidak akan rasa hampa, kerana Annur yakin dengan janji Allah, “cinta Allah untuk sesiapa yang mencintai Allah’ dan janji Allah itu benar tanpa pengkhianatan,”
Ya, Annur sedar, jawapannya itu telah membuatkan Iman tersenyum dan berwajah tenang. Rupanya ada sebab kenapa Iman menyoalnya dengan soalan itu. Rupanya Iman sudah mendapat kad jemputan oleh Kekasihnya yang Maha Agung. Rupanya Iman ingin kepastian cinta di hatinya sama ada cinta di hatinya adalah untuk Allah atau sedikit terselit cinta yang berlebihan Annur pada dirinya. Annur mendetikkan istigfar berulangkali di dalam hati. Hatinya mengulang kata-katanya sendiri..
“Abang, abang hanyalah teman halal yang Allah pinjamkan pada Annur agar melalu ikatan sah ini, sebagai jejambat untuk Annur sampai ke syurga dan mendapat cinta Allah. Jadi, Annur tidak akan mengharapkan yang selama-lamanya di dunia ini abang akan jadi suami Annur. Bahkan abang hanyalah pinjaman sementara buat Annur. Sedangkan cinta Annur hanyalah untuk Allah dan perjuangan Islam. Jika Annur cintakan abang lebih dari segala-galanya, maka Annur akan kecewa saat abang kecewakan Annur atau di saat abang tinggalkan Annur. Tapi jika Annur meletakkan cinta Allah adalah hati Annur di dunia dan akhirat, maka Annur tidak akan rasa hampa, kerana Annur yakin dengan janji Allah, “cinta Allah untuk sesiapa yang mencintai Allah’ dan janji Allah itu benar tanpa pengkhianatan,”
Tiba-tiba meluncur ayat-ayat Allah di mindanya dari firmanNya di dalam surah Al-Ankabut, ayat ke 2 hingga ayat ke 7, yang bermaksud,
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?Dan sungguh Kami menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.Ataukah orang-orang yang mengerjakan kejahatan itu mengira bahawa mereka akan luput dari (azab) kami? Sangatlah buruk apa yang mereka tetapkan itu.Barang siapa mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang.Dan Dia Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.Dan barang siapa berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri.Sungguh, Allah Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu dari seluruh alam).Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, pasti akan Kami hapus kesalahan-kesalahanya dan mereka pasti akan Kami beri balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan..,”
Ayat Allah itu membuatkan air mata Annur merembes semakin laju. Terasa saat itu Allah sedang menguji ketetapan cinta di hatinya. Apabila kita berjihad menetapkan sesuatu di hati, maka pasti Allah akan uji. Dan saat ini Allah sedang menilai cintanya. Annur teringat pula saat Iman menangis di bahunya pada malam itu.
 “Annur.. terima kasih,”
Iman memeluk bahu Annur. Annur mencapai tangan Iman dan mengucupnya hangat.
“Annur.. Walau apa pun yang berlaku, Annur ingat ya.. Abang sayang Annur dan anak kita,”
Serentak itu, ada kucupan hangat yang didaratkan di dahi Annur. Hatinya sebak tiba-tiba. Annur jadi terkesima dengan sentuhan itu. Iman langsung tidak bersuara selepas itu. Wajah Annur yang berbunga tadi berubah jadi bimbang. Hatinya yang girang tadi berubah jadi resah. Perlahan-lahan Iman memeluknya erat. Ada air matanya yang merembes keluar. Serentak itu, Annur juga turut menangis. Langsung dia tidak tahu kenapa dia menangis. Akhirnya, laptop itu diketepikan. Hanya dibiarkan terpasang. Tiada lagi sambungan kisah yang ditulis. Dibiarkan sahaja Iman terus menangis di bahunya. Dibiarkan sahaja air mata Iman membasahi tubuhnya malam itu. Saat itu juga Annur berdoa semoga mereka dijauhkan dari segala yang buruk-buruk.
Memikirkan hal itu air matanya merembes laju. Timbul kekesalan di hati Annur. Kenapa dia tidak tergerak hati untuk bertanya Iman tentang hal itu. Mungkin kerana Iman awal-awal lagi sudah menetapkan bahawa ada sesetengah perkara yang menjadi rahsia dirinya dan Kekasihnya dan Annur tidak boleh tahu. Dengan peraturan itu, Annur akur dan tidak mahu banyak soal.
Annur teringat pula pada hadiah Al-Quran pemberian Iman. Ada pesanan juga yang Iman titipkan padanya saat menghulurkan Al-Quran itu kepadanya. Saat Iman menghulurkan Al-Quran itu padanya, Iman membungakan senyuman yang paling manis.
“Al-Quran ini untuk Annur?,” Iman mengangguk.
“Al-Quran itu pemberian Shaykh Salih, pengarah Kompleks Percetakan Al-Quran yang kita lawati sewaktu berkunjung ke kompleks percetakan di Madinah hari tu. Shaykh Salih sendiri yang menghadiahkan senaskhah al-Quran itu kepada abang. Dan abang mahu hadiahkan pada Annur. Walau dalam saat apapun, Annur jangan sesekali tinggalkan membaca al-Quran. Ujian akan menyesakkan dada kita. Ujian akan melemahkan iman kita. Tetapi, jika kita tetap teguh berpegang pada Al-Quran dan kuat pergantungan dengan Allah, maka Allah tidak akan pernah jauh dengan kita. Ingat pesanan abang ya Annur. Jadikan Al-Quran sebagai teman rapat Annur,”
Mengingatkan pesanan itu, Annur segera mengeluarkan al-Quran yang dihadiahkan Iman. Al-Quran itu pemberian pengarah Kompleks Percetakan Al-Quran yang mereka lawati sewaktu berkunjung ke kompleks percetakan itu. Pengarahnya Shaykh Salih sendiri yang menghadiahkan senaskhah al-Quran itu kepada Iman sewaktu mereka melawati Kompleks Percetakan Al-Quran itu di Madinah. Dan Iman kemudiannya menghadiahkan al-Quran itu kepadanya. Annur mula membacakan surah Yasin. Di dalam hatinya tidak henti-henti berdoa semoga Iman berada dalam keadaan stabil.
Melihat Annur khusyuk membaca al-Quran, Amar perlahan-lahan meninggalkan ruangan menunggu itu. Waktu saat itu sudah mula menginjak ke jarum jam 4 pagi. Langkahnya dihayunkan ke Masjid Biru PPUM. Dia mahu menyembah sujud bertemu Sang Pencipta. Dia mahu memanjatkan doa buat yang dikasihi. Iman temannya yang amat dikasihinya. Annur juga teman yang dikasihi walaupun hingga saat itu hatinya tidak pernah menafikan masih ada sayang buat wanita itu.
Ruangan menunggu di luar bilik ICU itu lengang. Hanya kedengaran suara Annur yang gemersik membaca Surah Yasin. Selesai dia menutup bacaan itu, keluar doktor Azhar dari bilik ICU. Perlahan Annur bangun menghampiri doktor Azhar. Dua orang jururawat perempuan bertudung putih turut bersama-sama mereka.
“Doktor, bagaimana keadaan suami saya?,”
Doktor Azhar mencatat sesuatu pada sekeping kertas. Kertas itu dihulurkan kepada Annur.
“Encik Iman perlu dibedah segera. Tumor di otaknya sudah mula merebak ke hati. Sebab itulah berlaku pendarahan dan Iman muntah darah. Langkah utama dan yang paling penting saat ini adalah kita perlu segera lakukan bedah saraf. Tujuan pembedahaan adalah membuang sel tumor sebanyak mungkin dan memastikan jaringan otak sekitarnya sihat dan selamat. Terdapat banyak teknologi yang ditawarkan oleh para ahli bedah, yang membuat proses pembedahan selamat dengan komplikasi yang lebih sedikit,”
“Alat itu memungkinkan untuk menunjuk tepat pada titik lokasi tumor dan membuat sebuah lubang kecil sebesar lubang kunci untuk pembedahan. Terkadang, neuro-endoskopi dapat menjadi pilihan dengan penglihatan langsung ke dalam otak dan membuang tumor. Selepas pembedahan, terapi radiasi dan kemoterapi akan dilakukan sebagai rawatan susulan, terutama jika tumor tersebut memiliki sifat ganas dan aktif merebak. Terapi tambahan dan ubat-ubatan akan diberikan untuk mengurangi gejala, seperti pembuatan saluran sebagai aliran pembuangan cairan otak, dan ubat-ubatan untuk mengurangi kejang dan pembengkakkan otak,”
“Adakah pembedahan ini berisiko terhadap keselamatan nyawa suami saya doktor?,”
“Untuk pengetahuan Puan, meskipun barah ini diubati, hanya sekitar 25% penderita barah otak yang bertahan hidup setelah 2 tahun. Prognosis yang lebih baik ditemukan pada astrositoma dan oligodendroglioma, di mana barah biasanya tidak sembuh dalam waktu 3-5 tahun setelah pengubatan. Sekitar 50% penderita meduloblastoma yang diubati hanya bertahan hidup lebih dari 5 tahun. Dan pesakit barah yang dapat hidup lebih dari 5 tahun akan terbebas sepenuhnya dari barah. Cuma, kita sebagai manusia tidak mampu menentukan panjang mana hayat hidup kita. Hanya Allah sahaja yang berkuasa menentukannya,”
Puan, kita panjatkan tawakal kita pada Allah. mudah-mudahan Allah bantu dan permudahkan urusan ini. Kami perlu menjalankan pembedahan ini segera. Jika di pihak puan tidak ada masalah, mohon turunkan tanda tangan di surat ini,”
Annur segera menurunkan tanda tangannya di surat itu.
“Baiklah. Insya’allah kita sama-sama doakan semoga Encik Iman selamat. Puan banyak-banyakkan berdoa dan bersabar,”
Iman segera dipindahkan ke wad otak neorologi di tingkat 3, Menara Utama PPUM. Pembedahan pembuangan tumor di otak Iman akan dilakukan pada pagi itu. Annur menapak ke luar PPUM. Langkahnya terarah ke perkarangan Masjid Biru. Hatinya tidak henti-henti membilang istigfar dan takbir. Dia meratakan wuduk dan mendirikan solat sunat taubat, diikuti solat sunat tahajud dan solat sunat hajat.
..Ya Allah, Kau Kekasihku.. Pemilik Cinta manusia yang lemah. Kau berikan kekuatan pada suamiku. Kau panjangkan umurnya agar dia dapat terus menjadi suami yang akan membimbing langkahku sehingga ke syurgaMu ya Allah. Aku tahu cintaku padaMu sedang diuji. Kau sedang menguji ketetapan cintaku padaMu. Ya Allah, suamiku adalah pelengkap ibadahku padaMu. Suamiku sebagai pembimbing cintaku padaMu. Kau berilah kesembuhan pada suamiku ya Allah. Namun, andai sudah tiba masanya Kau mahu menjemputnya, jemputlah dalam keadaan dia syahid di jalanMu. Jemputlah dia dalam husnulkhatimah. Aku hanya hambaMu yang lemah. Aku tidak layak untuk menghalang segala takdirMu yang Maha Agung. Andai pemergiannya ke sisiMu lebih baik pada pandanganMu, maka ambillah dia ya Allah. Sungguhpun aku sangat mengasihi dan menyayangi dirinya, namun kasih dan sayangku itu tidak melewati cintaku hanya buatMu ya Allah. Ampunkan segala dosa-dosanya. Berikan kemudahan untuk setiap urusan kehidupannya ya Allah. Moga hanya Kau sahaja yang dapat terus menjaganya. Moga dia sentiasa berada di dalam pandangan rahmat dan magfirahMu..Ampunkan dosa-dosaku ya Allah. Andai jodoh kami tidak panjang di dunia ini, maka Kau kekalkanlahh jodoh kami di akhiratMu ya Allah.. Amin Allahhumma Amin. Amin Amin ya Rabbal’alamin.,”

Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
7 Mei 2011, 4 JamadilAkhir 1432H, 8.09 pm
Universiti Malaya Kuala Lumpur

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...