BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, May 3, 2011

CERPEN : Tatkala Teratai Berbunga (Bhgian 3)




Annur tersenyum. Wajah pucat Iman direnungnya dalam.
“Abang, apa yang abang nak namakan pada anak kita?,”
Iman tersenyum. Merasa bahagia mendengar soalan Annur itu.
“Jika lelaki, Annur namakan dia Muhammad Iman Mujahid. Jika perempuan Annur namakan dia AnnurIman Mujahidah,”
Annur tiba-tiba menangis lalu memeluk Iman. Entah kenapa dia rasakan dada Iman sangat sebak. Senyuman Iman dirasakan teramat mahal. Dan dia tidak ingin sedetik pun Iman mengalih wajah dari anak matanya.
“Annur kenapa menangis?,”
“Abang, kenapa abang cakap, ‘Annur namakan’, bukan ‘kita namakan’? Abang mahu ke mana? Kenapa Annur rasa abang tidak akan bersama dengan Annur? Abang nak ke mana? Entah kenapa Annur risau. Hati Annur tidak tenteram. Abang ada rahsiakan sesuatu dari Annur?,”
Iman kembali memandang ke Kaabah. Benar seperti kata Annur tadi. Hatinya semakin rindu untuk bertemu KekasihNya. Lebih-lebih lagi mimpi malam tadi tunjukkan bahawa Annur akan menjadi bidadari akhiratnya. ..Walau bagaimana berat pun ujian yang datang, hidup perlu terus. Mati itu pasti. Cinta Ilahi jejambat ke syurga hakiki.. Kata-kata itu yang selalu bergema di ruangan hatinya saat jiwanya bermain dengan emosi kesedihan.
“Annur nii.. Janganlah terasa hati. Abang tidak ke mana-mana. Abang ada di sisi Annur dengan izin Allah. Takkan itu pun nak merajuk? Agaknya sebab alahan mengandung kot yang buat Annur jadi sensitif macam ni?,” pantas Iman menarik hidung Annur.
Annur kembali tersenyum. Namun gurauan itu masih belum mampu untuk tenangkan hatinya.
“Annur..,”
“Ya…”
“Annur.. Jika jodoh kita tidak panjang, adakah Annur akan terus setia dengan abang?,”
Soalan itu sekali lagi buat air mata Annur merembes laju. Iman menyeka air mata hangat itu dengan jarinya. Annur merasakan soalan itu seperti ingin menguji cintanya.
“Abang, sebelum Annur benar-benar yakin yang abang adalah jodoh Annur, Annur selalu berdoa semoga Annur akan bersatu sebagai isteri abang di akhirat. Annur lebih mengharapkan untuk berjodoh dengan abang di akhirat. Andai setakat ini sahaja jodoh kita di dunia, maka Annur tidak akan henti berdoa pada Allah, semoga ada jodoh kita di akhirat nanti,”
“Kenapa Annur seperti mengalah dengan dunia? Tidakkah Annur mahu hidup dengan abang di dunia dan akhirat?,”
Annur senyum pula.
“Abang, abang hanyalah teman halal yang Allah pinjamkan pada Annur agar melalui ikatan sah ini, sebagai jejambat untuk Annur sampai ke syurga dan mendapat cinta Allah. Jadi, Annur tidak akan mengharapkan yang selama-lamanya di dunia ini abang akan jadi suami Annur. Bahkan abang hanyalah pinjaman sementara buat Annur. Sedangkan cinta Annur hanyalah untuk Allah dan perjuangan Islam. Jika Annur cintakan abang lebih dari segala-galanya, maka Annur akan kecewa saat abang kecewakan Annur atau di saat abang tinggalkan Annur. Tapi jika Annur meletakkan cinta Allah adalah hati Annur di dunia dan akhirat, maka Annur tidak akan rasa hampa, kerana Annur yakin dengan janji Allah, “cinta Allah untuk sesiapa yang mencintai Allah’ dan janji Allah itu benar tanpa pengkhianatan,”
Iman tersenyum. Kata-kata Annur seperti embun pagi yang menitis ke wajahnya saat mentari mengufuk dari Timur. Segar dan nyaman. Dengan itu dia tidak ragu-ragu lagi mahu mengisytiharkan bahawa, cintanya akan diserahkan sepenuhnya pada Allah. Annur dan zuriatnya juga mahu diserahkan berada  dalam lindungan rahmat Allah.
..Ya Allah, terima kasih ya Allah. Kerana memberikan bidadari kepadaku..
“Annur sayang, terima kasih..,”
Hati Annur bergetar mendengar perkataan ‘sayang’ itu. Itu kali pertama Iman memanggilnya sayang. Annur lalu mengucup tangan Iman tanda menghargai ucapan terima kasih Iman. Iman kemudian menghulurkan sesuatu pada Annur. Annur menerimanya dengan wajah persoalan. Iman membungakan senyuman paling manis.
“Al-Quran ini untuk Annur?,”
Iman mengangguk. Kepalanya tiba-tiba rasa berbinar. Namun reaksi wajahnya tetap tenang.
“Al-Quran itu pemberian Shaykh Salih, pengarah Kompleks Percetakan Al-Quran yang kita lawati sewaktu berkunjung ke kompleks percetakan di Madinah hari tu. Shaykh Salih sendiri yang menghadiahkan senaskhah al-Quran itu kepada abang. Dan abang mahu hadiahkan pada Annur. Walau dalam saat apapun, Annur jangan sesekali tinggalkan baca al-Quran. Ujian akan menyesakkan dada kita. Ujian akan melemahkan iman kita. Tetapi, jika kita tetap teguh berpegang pada Al-Quran dan kuat pergantungan dengan Allah, maka Allah tidak akan pernah jauh dengan kita. Ingat pesanan abang ya Annur. Jadikan Al-Quran sebagai teman rapat Annur,”
“Insya’allah abang. Abang, terima kasih. Annur mohon maaf di dunia dan akhirat,”
Sekali lagi Annur mengucup hangat jemari Iman. Saat itu kepala Iman terasa bertambah sakit. Pandangannya kian samar-samar. Iman pantas memandang Kaabah. Namun tiba-tiba pandangannya kelam. Dia sudah tidak nampak Kaabah dengan jelas. Dia mengalih pandang ke wajah Annur pula. Wajah itu samar-samar tampak cemas. Dia pantas memeluk Annur.
“Allahh..Allahh.. Allahhu Akbarr.. Allahhh…,”
“Abang..Kenapa dengan abang? Abang..Abang..”
Kepalanya seperti ditusuk jarum. Sakitnya mula bergendang di urat saraf serebrumnya. Tekaknya mual, kemudian terasa perit. Iman ingin batuk. Dan Iman batuk sekuat hati. Lututnya terasa lemah. Kepalanya pening. Lalu dia rebah ke lantai Masjidilharam itu. Tiba-tiba ada ketulan darah cair memekat di jubah putihnya. Beberapa orang lelaki Arab datang memangku tubuhnya. Pandangannya semakin kabur. Dia hanya sempat mendengar esak tangis Annur memanggilnya. Tangannya masih erat menggenggam jemari Annur saat itu.
“Abang.. Ya Allah.. Abang, banyaknya darah.. Ya Allahh.. Abanggg..Abangg..,”
Dan suara tangisan itu sayup-sayup kedengaran dan akhinya senyap. Dan tangannya tidak lagi merasa haba tangan Annur yang suam.

Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur
3 Mei 2011, 29 JamadilAwal 1432H, 7.16 pm

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...