BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, July 11, 2011

Adakah Kebahagiaan Itu Semudah Mengikat Janji?? Siri 1


Janji dan cinta
Bergetar jiwa saya bila mengingatkan diri tentang ‘janji’ atau dalam Bahasa Arabnya ‘BAI’AH’. Tulis Bahasa Melayu , perkataan janji tu macam tak ada makna sahaja. Tapi, kalau cakap pasal ‘bai’ah’, terus sahaja minda menerawang ke lubang akhirat bila mengenangkan yang diri ini akan berdepan dengan Allah dan dipersoalkan segala yang telah dilakukan. Allahhu Rabbii.. Itulah seberatnya timbangan dari maksud ‘janji’ atau ‘bai’ah’ itu. Allahhu Akbarr.. Beratkan maksud bai’ah itu, berat lagi bahu yang memikul amanah ‘janji’ itu. Cinta? Hmm..kenapa pula saya mencoretkan catatan kali ini berkaitan dengan janji dan cinta? Apa perkaitan kedua item ini? Ya, mendalam sendiri maksudnya. Apa-apa sahaja yang berkaitan dengan cinta, maka semestinya ia ada kaitannya dengan janji. Apabila kita mengucap dua kalimah syahadah, itulah zahiran rasa cinta kita pada Islam. Rasa cinta kita pada Allah, Pemilik Segala Cinta. Bila kita isytiharkan bai’ah kita dengan Allah, maka seluruh hidup kita akan dipertanggungjawabkan pada janji itu. Dan untuk apa dilafazkan bai’ah jika bukan kerana tunas-tunas cinta yang memekar di jiwa hanya untuk Pemilik Cinta. Kerana cinta kita berbai’ah untuk mencurahkan ketaatan hanya pada Allah. Berapa ramai orang yang mengucap cintanya pada Allah dan perjuangan Islam, maka dengan cintanya itulah dia pertaruhkan diri, nyawa dan jiwa raganya untuk Allah dan perjuangan Islam? Berbanding mengucap cinta pada makhluk dan berusaha menjaga kebajikan atau komitmennya pada makhluk? Contoh yang sinonim adalah muda-mudi sekarang. Bila mengucap  cinta, berjanji macam-macam. Sehidup sematilah. Mahu susah senang bersamalah. Sehingga kapak pun boleh dicabar mahu dibelah ke dada untuk menunjukkan betapa si lelaki mahu meyakinkan si hati perempuan yang janjinya bukan palsu. Baguslah kalau si lelaki betul-betul berhajat mahu menamatkan hubungan itu di gerbang pernikahan. Sekurang-kurangnya hubungan itu ada matlamatnya. Namun bagaimana pula dengan janji buaya darat yang hanya mahu memerangkapkan mangsanya? Habis madu disedut, sepahnya dibuang merata-rata. Kemudian melambaklah bayi-bayi luar nikah, hasil janji dan cinta yang tidak bertunjangkan pada keredhaan Allah.
Janji dan pertunangan
Saya menulis catatan ini sebenarnya mahu menasihati diri saya juga. Sejak dahulu lagi, sejak awal-awal merencah diri dalam gerak kerja dakwah, sejak itu juga saya mengisytiharkan diri saya sebagai tunangan Allah. Ya. Bila kita isytiharkan hati kita sudah dimiliki, maka kita akan sentiasa menjaga diri dan hati tunangan kita kan. Menjaga segala apa yang dia tak suka. Membuat apa yang dia suka. Meninggalkan apa yang dilarang dan berusaha memberikan komitmen yang tidak ada cacat celanya pada dia kan. Subhanallah..merasa diri ini tunangan Allah, membuatkan saya begitu menjaga diri saya. Terutamanya di dalam ikhtilad dengan sahabat-sahabat muslimin. Tanyalah pada sahabat-sahabat muslimin sewaktu saya bergerak kerja dengan mereka, adakah mereka selalu melihat senyuman saya? Mungkin saat itu saya syadid, kerana mahu menjaga hati saya kerana taklifan yang saya pegang di dalam gerak kerja bukanlah sembarangan taklifan. Malah ia rencahan dari bai’ah dan cinta saya pada Tunang saya, pada Allah S.W.T. Walaupun hanya senyuman, tetap saya jaga agar tidak terlepas pada jiwa-jiwa yang punyai penyakit hati. Kerana saya lebih bimbangkan kemurkaan Allah pada saya. Jika saya menjaga segenap ruang diri dan hidup saya hanya untuk Dia pun, itupun belum lagi menyamai nikmat-nikmat dan kurniaan Allah pada saya. Allahhu Akbarr.. Subhanallah..
Kebelakangan ini, kerap pula junior saya bertanyakan saya, bila saya mahu mengikat? Saya hanya menjawab soalan mereka dengan seulas senyuman. Hakikatnya hati saya sudahpun terikat. Terikat dengan cinta Dia Yang Maha Agung. Allahhu Akbarr.. Di saat saya sudah pun menyerahkan urusan diri, jiwa dan hati saya kepadaNya, maka saya juga serahkan segala percaturan hidup, jodoh, ajal dan maut di tangan Allah. Hanya pada Dia saya percaya. Itu bai’ah saya. Maka, sesiapa yang dipilih Allah untuk saya dengan izin dan redhaNya, maka hati yang digerakkan Allah itulah yang saya akan terima dengan sehabis redha. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya kan. Persoalannya, hati saya masih tidak terbuka pada mana-mana hati. Mungkin juga akan terbuka hanya saat hati yang diamanahkan Allah pada saya itu mengungkap akad bersulam dengan saya. Diri sendiri pun masih tidak terpimpin, jadi saya tidak mahu memikirkan hal ini terlalu dalam. Biar segalanya berjalan mengikut aturan semula jadi yang Allah caturkan sejak di Lauh Mahfuz. Saya suka pesan pada adik-adik saya, apa-apa pun jangan letakkan ‘tembok’ dalam hati kita dengan Allah. Bukakan ruang untuk Allah rencahkan tarbiyah dan didikannya ke hati-hati kita. Dengan itu, barulah hati kita akan lebih redha dengan segala ketentuanNya. Jangan letakkan tembok hati-hati kita dengan Allah, sebaliknya binalah ‘kesediaan’ sementara masih ada detikan nadi dan hembusan nafas. Bukan kesediaan mahu menjadi as zauj atau as zaujah. Tetapi kesediaan menerima qada’ qadar Allah pada diri kita. Kesediaan menerima apa yang telah ditentukan Allah untuk diri kita. Ya, semuanya adalah ketentuan Allah. Jadi, perkara pertama yang perlu kita bina adalah kesediaan diri taat dan patuh pada ketentuan Allah. Kesediaan menerima ‘pilihan’ Allah. Itulah sebaik-baik pilihan yang kita ada.
Janji dan kebahagiaan
Subhanallah..Subhanallah..Subhanallah.. Tatkala kita berjanji untuk sehidup semati dengan perjuangan Islam, di situlah Allah akan luncurkan segala genap ruang hidup kita dalam kebahagiaan yang bernama senyuman dalam ketenangan, rezeki yang melimpah ruah, celahan kemudahan dalam kepayahan dan sebagainya.
Senyuman Dalam Ketenangan
Subhanallah.. Inilah setinggi-tinggi kebahagiaan bagi saya. Kerana ketenangan itulah kebahagiaan yang akan membuatkan kita tersenyum penuh redha dan tawakal pada ketentuan Allah. Senyuman yang terbit dari ketenangan hati dalam menerima segala rencahan tarbiyahNya itulah kebahagiaan yang tidak dapat dibeli di mana-mana. Hanya ada di dalam jiwa-jiwa yang menerima segala ujian, mehnah dan tribulasi itu sebagai tarbiyah didikan dari Allah. Senyuman itu sehabis rasa redha dengan segala ketentuan Allah pada diri.
Rezeki Yang Melimpah Ruah
Tatkala kita ingat pada Allah, maka Allah juga ingat pada kita. Beberapa siri perjuangan dalam hidup saya suatu ketika dahulu begitu memuncakkan rasa ta’zim saya pada kebesaran Allah. “..Allahhu Akbarr.. Subhanallahh..Betapa Dia sentiasa mendengar suara hatiku rupanya..”
'..Dan apabila hamba2Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang b'doa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku n beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran..'-
Albaqarah :186  ..
Bila difikirkan semula, ketika awal-awal berada di garisan perjuangan, diri ini bukan sesiapa pun. Tak pernah kenal apa itu perjuangan. Apatah lagi mendengar kalimah-kalimah yang sinonim dengan perjuangan seperti jihad, tsabat, wala’, istiqamah, mantap, usrah, jamaah dan sebagainya lagi. Bahkan saya sendiri tidak kenal apa itu ikhtilat, apa itu mathurat, apa itu halaqah, apatah lagi usrah. Saya langsung tidak kenal semua itu. Alhamdulillah, Allah lorongkan saya ke jalanNya yang benar berdasarkan petunjukNya yang Maha Halus. Subhanallah..
Setuju tak kalau saya cakap, sahabat baik juga adalah rezeki pada kita? Dalam satu hadis ada menyebut berkenaan Allah memberi kurniaan rezeki seorang teman yang soleh. Saat kau terlupa, maka dialah yang memperingatkanmu. Dan saat kau perlukan bantuan, maka dia yang akan menolongmu. Maafkan saya, saya terlupa hadis tersebut yang lengkap. Bila difikirkan, dengan adanya sahabat di sisilah yang akan menghalakan jalan kita kea rah keredhaanNya. Berkawan dengan penjual minyak wangi, maka sedikit sebanyak juga kita pun akan tertempias kewangian minyak wanginya. Berkawan dengan orang-orang yang soleh solehah kerana Allah, insya’allah persahabatan itu menuju ke mardhatillah.
Teringat saya beberapa kondisi saat-saat saya perlu membuat beberapa keputusan penting dalam hidup saya. Maka sahabat-sahabat sayalah yang paling banyak membantu. Lebih-lebih lagi berkenaan hal akademik dan tsabatnya saya di jalan perjuangan ini. Saya sangat suka bercakap tentang perihal sahabat-sahabat saya, kerana saya begitu menyanjungi mereka. Kerana adanya mereka bersama saya dalam dunia perjuangan inilah, adanya saya pada hari ini. Susah senang. Pahit getir. Menangis dan ketawa sama-sama. Allahhu Rabbiii.. Betapa saya rindui saat-saat itu. Teringat pada Deq Yah dan Kak Lina Awang, yang kerap mengunjungi ke bilik saya, sewaktu saya di APIUM NP dulu. Setiap pagi agendanya bersarapan bersama. Kak Lina dan Deq Yah suka buatkan susu. Kemudian satu jug air minuman itu dikongsi kami sama-sama di dalam satu cawan. Makan lekor dan nasi lemaj satu pinggan. Sama juga dengan romate saya, kak Pipun. Rindunya saya pada kalian. Memori di teratak tarbiyah A122 tidak akan pernah kulupakan sampai bila-bila. Adakalanya saya kesempitan wang, Allah hadirkan sahabat-sahabat di sisi saya untuk membantu. Adakalanya dengan tidak disangka-sangka, ada-ada sahaja rezeki yang saya terima.
Teringat pula pada pesanan Ustazah Khadijah ketika di sek men dulu. Saat itu beliau tengah mengandung anak sulung. Kata beliau,
“Hashima, kamu amalkan baca Al-Waqi’ah selepas subuh. Insya’allah rezeki melimpah ruah. Kadang-kadang datangnya tidak pernah kita jangkakan. Yang paling ustazah tak boleh lupa, ialah Allah memberikan ustazah rezeki sahabat ketika di alam persekolah dan rezeki seorang suami yang soleh ketika di alam keluarga dan Allah berikan ustazah kehidupan yang sentiasa dihujani rezeki dan ketenangan hati,”
Subhanallahh.. Pesanan itu saya tidak pernah lupakan. Ia wasiat untuk saya dalam larian jihad ini. Puncaknya pada keredhaan Allah dan ketenangan hati kerana redha Allah pada setiap amalan yang kita lakukan kerana Allah. Beribadah biar kerana Allah, namun apa-apa sahaja nikmatNya yang Dia mahu kurniakan, terimalah dengan sepenuh rasa syukur pada Allah. ‘..Alhamdulillahhi ‘ala kulli ha’lin wannikmatin wa astagfirullahha ‘ala kulli zanbin..’
Apa yang bernama amalan kebaikan, buatlah walau kebaikan apa pun. Walau hanya memungut sampah di jalanan. Walau hanya menyapu dedaun kering di halaman. Walau hanya menebarkan senyuman, semoga ada nilaiannya di sisi Allah. Sebaliknya sekecil-kecil keburukan hindarkanlah. Jangan bermudah-mudah dengan dosa kerana kita tidak mahu walau neraka paling rendah sekalipun. Kita tidak mahu walau sekecil pun amarah Allah pada kita. Akhlak ahli gerakan, apabila mendapat nikmat, maka kita bersyukur. Namun jika kita mendapat ujian, maka kita bersabar.
Celahan Kemudahan Dalam Kepayahan
Bila saya menghitung-hitung segala nikmatNya, tidak terhitung rasanya. Subhanallah.. Menitis juga air mata ini tatkala mengenangkan betapa Allah yang paling memahami naluri jiwa kerinduan ini. Adakalanya diri ini dalam kepayahan, namun kerana celahan pertolonganNya maka segala kepayahan itu mampu saya tempuhi. Tentu pembaca juga pernah mengalami kondisi-kondisi yang kita tidak pernah terjangka kan? Contohnya.. Saat saya pertama kali diobserve oleh pensyarah saya, pagi itu beliau datang ke sekolah secara mengejut. Mahu observe saya mengajar Bahasa Arab. Tapi, sebenarnya saya tidak ada kelas Bahasa Arab pada pagi itu. Saya hanya ada kelas Pendidikan Islam pada waktu petang itu. Rupanya beliau tersalah tengok jadual. Sungguhpun begitu, saya merafa’kan rasa syukur. Kerana kesilapan itulah saya dapat mengambil sebanyak masa yang ada pada waktu pagi itu untuk menyediakan persiapan mengajar pada waktu petangnya. Subhanallah.. Walhamdulillah.. Akhirnya saya mampu juga mengharung detik kena observe itu dengan kepuasan di atas usaha saya yang sedikit pada pagi itu. Alhamdulillah..saya hanya menadah hati mendengar komen beliau dengan wajah tersenyum penuh keredhaan. Alhamdulillah ya Allah..
Sekadar itu dulu untuk siri ini..Sekadar mahu berkongsi rasa dengan pembaca.
Note 1 : Minggu ini, minggu kesembilan saya praktikal di Banting, Selangor ini. Kalian pembaca, doakan saya ya. Doakan semoga segala urusan saya ini dicelahkan sedikit kemudahan oleh Allah.
Note 2 : Adanya saya di sini juga adalah satu ‘janji’ dan ‘amanah’. Insya’allah saya cuba buat yang termampu. Kepada semua sahabat-sahabat yang sama-sama praktikal di seluruh kawasan Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, saya ucapkan selamat berjaya dalam fasa praktikal masing-masing. Keputusan praktikal perkara kedua. Namun yang penting, apa yang kita pelajari sepanjang fasa praktikal ini. Adakah ia mengajar kita menjadi seorang guru? Atau ia mengajar kita menjadi seorang murabbiyah dan da’ieyah? Sejauhmana KPI yang dicapai sepanjang kita berada dalam fasa ini? Jawapannya saya pulangkan kepada diri kalian sahabat-sahabat dan pembaca sekalian.. Wallahhu’alam..


Di malam sepi, kusujud menghadapmu..
Mengharap magfirah dariMu oh Tuhan yang Esa..
Kucemari hidup dengan kesesatan..
Membutakan hati yang sering terleka..
Terasa jauh diriku dari Tuhan dengan godaan syaitan..
Kutahu Dialah penerima taubat, walaupun kusering tinggalkan suruhan..
Berilah kesempatan ini untuk berubah..
Cintaku dambakan.. hanya padaMu oh Tuhan..
Terimalah permintaan dariku hamba yang hina..
Sering berjanji..namun sering kumungkiri..
Janji yang tak pernah lagi kutepati..
rahsiakan segala padaMu oh Tuhan..
Jangan Kau palingkan hati ini dari kebenaran..
Andai esok nafasku kan terhenti di sini..

Kupohon selamatkan diriku dari azabMu...
-Cinta Bersulam Noda-Dehearty
Bilik Guru, SMK Telok Dato’, Banting.
11 Julai 2011, 3.12pm.
Banting, Selangor..

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...