BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, November 5, 2011

Kisah Nabi Ibrahim Sempena Aidil Adha






Nabi Ibrahim AS. adalah salah seorang Nabi yang termasuk dalam ulul ‘azmi  (golongan Nabi yang memiliki kesabaran lebih dibanding manusia biasa). Beliau juga dikenal sebagai abul adyan (bapa agama). Beliau adalah pengembara spiritual sebagaimana dikisahkan dalam surah al-An’am ayat 75-76.
Kesabaran beliau dapat kita ketahui melalui penulusuran kisah hidupnya. Salah satu kisah yang menggambarkan kesabaran beliau adalah kesabaran beliau dalam penantian yang lama menunggu kelahiran seorang anak setelah menikah dengan Siti Sarah (isteri pertamanya). Dan kesabaran beliau dalam melaksanakan perintah Allah Swt. setelah memiliki anak. Kala itu Nabi Ibrahim As. dengan sabar menunggu kurnia Allah Swt.. Sampai tibalah suatu waktu, dengan kerelaan isteri pertamanya (Siti Sarah) ia menikah dengan Siti Hajar (isteri kedua). Dari pernikahannya yang kedua inilah, ia dikurniai anak lelaki yang diberi nama Ismail.
Namun kebahagiaan sebagai seorang yang dirasakan Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar kembali diuji oleh Allah Swt.. Ia diperintahkan untuk mengasingkan Siti Hajar serta Ismail yang masih bayi ke bukit Safa yang gersang dan tandus. Tempat yang jauh dari pemukiman penduduk. Tidak mustahil banyak terdapat binatang buas di tempat tersebut. Tetapi dengan penuh ketaatan dan kesabaran berangkatlah Ibrahim menghantarkan isteri dan puteranya ke tempat tersebut. Kemudian meninggalkan mereka di bukit gersang dan tandus tersebut.
Selang beberapa waktu Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan Nabi Ibrahim, ujian menyapa mereka. Ismail merasakan kehausan. Sedangkan persediaan minuman serta makanan telah habis. Ditambah lagi air susu sang ibu tidak dapat disusukan kerana telah banyak keluar tenaga dan susu kering. Namun, Ismail yang belum cukup faham dengan keadaan ibunya tetap menangis minta disusukan.
Siti Hajar dibaluti kebingungan. Secara logiknya di bukit gersang dan tandus itu, sangat sulit mahu mendapatkan air. Tapi agungnya pengorbanan seorang ibu tidak terhalang oleh hal demikian. Dengan gigih Siti Hajar berlari-lari kecil (melakukan sa’ie) menuju bukit Marwah. Dalam pandangannya, ia melihat genangan air di bukit tersebut. Namun, setelah didatangi ternyata yang ia dapati hanya fatamorgana. Lantas ia pun kembali lagi ke bukit Safa kerana setelah tiba di bukit Marwah ia melihat genangan air berada di bukit Safa. Tapi yang ia dapati fatamorgana lagi. Akhirnya dia berulangkali berlari-lari anak antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Berlari-lari anak ini menjadi syari’at umat Nabi Muhammad saw., sebagai salahsatu rukun ibadah haji iaitu sa’ie.
Setelah berlari-lari anak sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah, tiba-tiba dia melihat pancaran air dari tanah bawah. Tepat pada bekas jejak kaki Ismail yang selonjor. Air tersebut terus memancar keluar dari permukaan tanah. Sehingga menjadi genangan. Melihat genangan air yang semakin membanyak itu, Siti Hajar mengucap syukur atas anugerah Allah tersebut dan berkata pada air itu, “zam zam ya al maa’u” (kumpul, kumpul wahai air). Air tersebut membentuk genangan yang semakin lama semakin membanyak membentuk sebuah sumur. Subhanallah.. WAlhamdulillah, akhirnya kehausan Ismail pun dapat dhilangkan dengan air yang penuh berkah itu. Bahkan sampai saat ini, air tersebut masih tetap memacarkan berkah bagi semua peminumnya dan tiada pernah kering walau sudah jutaan orang meminumnya selama berabad-abad.
Beberapa tahun kemudian Nabi Ibrahim mendapat ilham dari Allah melalui mimpi untuk menyembelih puteranya Ismail. Tepat ketika Ismail telah membesar menjadi anak remaja yang selalu membantu sang ayah bekerja. Namun dengan kesabarannya, Ibrahim menyampaikan perintah Allah tersebut (ilham) yang didapat melalui mimpinya kepada Ismail dengan diliputi perasaan gundah. Perlahan-lahan dia memberitahu anaknya, Ismail.
“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka apa pendapatmu anakku?”.
Ismail dengan tenang menjawab,
“Wahai ayah, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”                       -As-Shaaffaat : ayat 102-
Tatkala keduanya telah bersepakat melaksanakan titah Yang Mahakuasa, mereka pun pergi mencari tempat untuk melaksanakan penyembelihan. Tetapi kemudian godaan datang dari syaitan, mereka (Ibrahim dan Ismail) dipengaruhi supaya tidak jadi melaksanakannya. Tetapi dengan komitmen yang kuat mereka berdua tetap mahu melaksanakan perintah Allah tersebut. Sampai Ibrahim melempar batu mengusir syaitan yang mengganggu mereka di beberapa tempat. Inilah asal mula disyari’atkannya melempar jumrah pada saat ibadah haji.
Setelah tiada lagi yang mengganggu, Ibrahim membaringkan anaknya. Dengan penuh kesabaran dan ketaatan, Ibrahim pun menempelkan sebilah senjata tajam (sejenis golok) ke leher Ismail. Subhanallah.. Itulah puncak penyerahan dirinya yang optimal kepada Allah. Namun yang terjadi di luar dugaan mereka. Ketika senjata tajam itu digeselkan ke leher Ismail, Allah menggantinya dengan seekor kibas yang besar. Demikian ini menjadi sunnah ibadah qurban yang kita laksanakan pada hari Aidul Adha dan tiga hari berikutnya.
Demikian kisah yang dialami keluarga teladan dalam memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah. Pengalaman sang ibu yang diasingkan, ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih buah hatinya yang sangat dicintainya serta sang anak yang merelakan diri untuk disembelih. Semua kisah ini adalah kisah cinta yang sangat terulung. Cinta pada Allah.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Mudah-mudahan kita dapat meneladani kesabaran, ketaatan serta pengorbanan di jalan kebaikan yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim As. dan keluarganya.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Sama-sama kita renungi hikmah kisah yang bagi saya merupakan tarbiyah yang begitu mendidik hati-hati kita ke arah penyerahan cinta yang mutlak hanya pada Allah S.W.T.
Ujian itu adalah tarbiyah dari Allah. Tatkala kita diuji, ingatlah pada kisah-kisah Nabi-Nabi terdahulu, para sahabat dan para pejuang yang berlarian dalam jihad demi redha Allah. Kita ini belum pun memegang senjata. Belum pun terluka dan menitiskan darah. Belum pun menjejak langkah di medan perang. Lalu apa kesusahan pada kita untuk mengerjakan apa yang menjadi kecintaan Allah? Sedangkan itulah kewajipan pada kita hamba2Nya yang memang diutuskan ke dunia adalah untuk bertaubat pada Allah. alhamdulillah, Allah pinjamkan nikmat Iman dan Islam, sehingga kita masih mampu bernafas. Bernafaslah kerana Allah dan lakukan apa yang termampu untuk Islam. persoalkan pada diri, apa lagi yang belum kusumbangkan untuk Islam? Apa lagi yang belum kukorbankan untuk Allah? Sama-sama kita koreksi dan muhasabah bersama. Firman Allah s.w.t :-
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?”       - Surah Al-Ankabut: ayat 2-
Pengorbanan Siti Sarah mengizinkan suami tercinta mengahwini Siti Hajar lantaran Siti Sarah memahami suaminya itu teramat merindu kehadiran cahaya mata yang tidak mampu diberikannya. Lalu Siti Sarah mengizinkan Nabi Ibrahim menikahi Siti Hajar. Asbab itu, lahirlah Ismail menjadi pengubat rindu dan penyejuk hati mereka sekeluarga. Jika ada di kalangan pembaca yang dirinya seorang isteri, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dikorbankan untuk suami? Sabda Rasulullah s.a.w :-
“Jika seorang wanita itu bersolat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk syurga darimana-mana pintu yang disukainya..,”    (Hadis Riwayat Hibban dalam sahihnya)
Ketaatan seorang hamba pada Allah, di mana Nabi Ibrahim telah mendapat perintah Allah menyuruhnya mengasingkan Siti Hajar dan Ismail di Bukit Safa. Subhanallah.. Kerana ketaatan Siti Hajar pada suami dan Tuhannya, maka dia rela ditinggalkan suami bersama anaknya. Demi kasih sayangnya pada Ismail, dia bersusah payah mencari air untuk memberi minum pada anaknya yang menangis kerana haus. Itu juga pengorbanan seorang ibu pada anaknya. Jika pembaca yang membaca entry ini seorang anak, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dilakukan, belum disumbagkan dan belum dikorbankan untuk ibu yang melahirkannya? Jumhur Ulama telah menetapkan bahawa hak ibu lebih perlu diutamakan melebihi hak bapa,utamakan berbakti pada ibu dan bergaullah dengan lemah lembut.Ini adalah kerana di dalam sebuah hadis Rasulullah telah menyebut ibu sebanyak 3 kali dan ayah hanya sekali, iaitu :-
 “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu”. 
(Hadis sahih Riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim)
Cinta tertinggi Nabi Ibrahim kepada Allah, tatkala Baginda mendapat mimpi perlu menyembelih anak yang disayanginya. Sejenak kita sama-sama muhasabah diri, adakah sehingga hari ini kita benar-benar menjadi hambaNya yang taat dan cinta padaNYA? Sedangkan nikmat Allah pada kita terlalu banyak, subhanallah.. Firman Allah S.W.T :-
“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
-Surah Ali Imran : ayat 31-
Ketaatan Ismail. Berbekalkan ketaatan Ismail pada Allah dan bapanya, maka dia menerima dengan redha untuk disembelih bapanya jika itulah yang akan meletakkan mereka dalam redha dan cinta Allah. Jika pembaca seorang anak, maka fikirkan apa lagi perkara yang belum disumbangkan dan belum dikorbankan untuk ibu dan bapa yang telah melahirkan kita ke dunia ini. Subhanallah Walhamdulillah..
Firman Allah taala dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:-
 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
Sabda Nabi S.A..W, Maksudnya:-
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”        
(Hadis Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya)
Maka tatkala Nabi Ibrahim mahu menyembelih anaknya, maka dia diganggu oleh syaitan yang mahu memesongkan hatinya dari menyempurnakan perintah Allah. Berkat keazaman cinta dan ketaatannya, maka dia akhirnya sudah hampir mahu menyembelih anaknya. Namun tatkala itu Allah menggantikan anaknya dengan seekor kibas dan membalas cintanya dengan redhaNya. Subhanallah..
Petikan sumber :-
http://lenterapena.wordpress.com/2007/12/30/pengorbanan-dan-kesabaran-nabi-ibrahim/
http://www.sharemotivasi.com/2010/11/kisah-nabi-ibrahim-sempena-aidiladha.html
http://ordinaryguy92.wordpress.com/2011/04/23/berbakti-kepada-ibu-bapa/

Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Pesanan dan tulisan ini adalah untuk memuhasabahkan diri saya sendiri juga buat santapan pembaca sempena Aidil Adha. Beberapa ketika lagi saya akan mengubah status diri, lalu membuatkan saya terfikir, begitu banyak lagi perkara yang belum saya korbankan, sebagai seorang hamba, sebagai seorang anak, sebagai seorang adik, sebagai seorang kakak, sebagai seorang sahabat dan banyak lagi taklifan diri ini yang masih terbengkalai. Astaghfirullahhal’azim.. Lalu saya terfikir, apa yang perlu saya korbankan tatkala mengubah status diri menjadi seorang isteri? Adakah saya setabah Siti Sarah? Adakah saya setegar Siti Hajar? Adakah iman saya kuat sekuat iman Nabi Ibrahim dalam mendepani ujian Allah? Adakah cinta saya akan capai tahap tertinggi setinggi cinta Nabi Ibrahim pada Allah S.W.T? Sungguh, saya tidak mampu menjawab segala persoalan ini melainkan di hati saya hanya mengungkap lafaz istighfar kerana Allah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullah..
Lalu hati saya membingkiskan doa mahabbah yang terdetik di hati saat ini :-
..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa..
..Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu.
Amin ya Allah... Amin Amin.. Allahhumma Aminn…




~Salam Aidil Adha 1432H~
~AnNurIman~
7.00 pm, 5 November 2011, 9 Dzulhijjah 1432H,
Teratak Baiti Jannati, KKM..



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...