BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 7, 2012

ADAKAH CINTA ITU SEMUDAH MENGUNGKAP ‘I LOVE U’ ???


Sudah lama rasanya saya menyepi dari laman sesawang Wadie Annur ini lantaran pelbagai perkara yang lebih menjadi keutamaan. Fasa-fasa perkahwinan sudah lebih 4 bulan berlalu namun saya kira suasana ‘honeymoon’ itu tetap hangat seiring mekarnya kuntuman cinta dan rindu yang semakin menggebu di hati. Lebih-lebih lagi saat berjauhan dari suami tercinta kerana alahan mengandung membuatkan kami memutuskan untuk saya berehat di kampung halaman di Kedah sepanjang alahan sehingga alahan saya pulih. Saya kira tinggal berjarak dari suami itu bukanlah sesuatu yang mudah walaupun saat mengalami alahan itu usia perkahwinan kami baru menginjak ke bulan ketiga.

Pada mulanya tangis rindu itu hadir juga, namun setelah dibiasakan saya semakin biasakan diri berjauhan. Namun tatkala berjauhan, rindu terasa semakin merimbun, seolah-olah inilah waktunya untuk kami memulakan episod cinta. Kekadang pelik juga, sebelum bernikah, kami memang saling tidak mengenali, namun setelah menikah, kesedihan berjauhan itu bertimpa-timpa. Lebih berat dari tinggal berjauhan dengan keluarga. Subhanallah..mudah-mudahan Allah sentiasa terus-terusan mencambahkan mawaddah wa rahmah ke dalam segenap hati-hati kami.

Namun bukanlah kisah cinta saya yang mahu saya kisahkan di sini. Apa yang dimuqaddimahkan itu hanya sekadar pembuka bicara saya dalam entry ini. Sudah lama rasanya saya tidak mencoret rasa menarikan pena di pentas ini. Tambahan lagi waktu melayan alahan, memang saya tidak mampu memerah otak berfikir untuk penulisan, melainkan hanya mengambil ruang mencari udara segar sahaja, kerana saya amat sensitif dengan bau-bauan. Alhamdulillah, saat ini usia kandungan sudah mencecah 3 bulan 3 minggu..dan saya berada di minggu ke15 dan alahan juga sudah mula berkurang.

Tajuk di atas, mengenai cinta lagi.. Lagi-lagi cinta aje.. Tak ada topik lainkah???.. Orang kata, apa-apa pun tak sah kalau tak ada part pasal cinta. Ibarat air tawar tanpa gula, gulai tawar tanpa garam. Cite kartun pun ada part pasal cinta, inikan pula kisah manusia yang mana cinta itu merupakan fitrah dalam kehidupan manusia. Malah ilham cinta inilah menjadi pelaris kepada produk-produk media seperti filem, drama, teater, novel, majalah, akhbar dan lain-lain lagi. Cuma bentuk cinta itu sahaja yang berbeza, samada cinta tiga segi, empat segi @ silinder. Hingga kura-kura pun jadi simbolik juga pada cinta. Alahaii..

Baru-baru ini salah seorang pembaca novel saya bertanya saya melalui facebook.. Soalannya lebih kurang begini,

“Bagaimana kita menetapkan iman, padahal kita menyukai seseorang??,”

Agak lama juga saya terpaku dan berfikir, sebelum merespon soalannya.. Akhirnya jawapan yang saya berikan,

“Perasaan itu fitrah..jangan diluahkan sekiranya tidak punya matlamat ke arah perkahwinan. Di situlah letak duduknya keimanan dalam menentukan tindakan. Jika kita percaya dengan jodoh dan ketentuan Allah, 10 tahun lagi pun pasti akan berjodoh dengan dia. Yang penting, kurangkan agenda ‘mencari’ yang soleh @ solehah..tetapi lebihkan agenda ‘menjadi’ yang soleh @ solehah..”


Perasaan itu fitrah..jangan diluahkan sekiranya tidak punya matlamat ke arah perkahwinan. Di situlah letak duduknya keimanan dalam menentukan tindakan.

Secara ringkasnya itu sahaja yang saya respon padanya. Bagi saya perasaan kita itu fitrah namun jika dilafazkan tanpa matlamat ke arah perkahwinan, juga dalam perhubungan yang tidak tahu arah tuju hujung pangkalnya, juga bukan dalam waktu yang sesuai, maka fitrah suci itu akan menjadi fitrah yang besar. Bukan sahaja fitnah pada halal haramnya hubungan itu, malah fitnah itu juga kesannya pada agama.

Mungkin jarang-jarang remaja sekarang memikirkan kesannya pada agama, kerana merasakan apa yang dilakukan itu hanya diri sendiri yang menanggungnya. Tapi itu hanyalah apa yang dirasakan sebelum perkara-perkara seperti zina berlaku. Dialog yang selalu kita dengar dalam drama @ filem, “aku pye suke la nak buat apapun, kubur lain-lain”. Namun setelah berlakunya gejala zina ini, barulah sedar tindakan itu umpama mencalit tahi pada wajah sendiri, pada keluarga, masyarakat dan agama. Jadi, sebelum bermulanya hal-hal yang tidak diingini itu, kita perlulah berfikir panjang terlebih dahulu perihal berkenaan apa yang kita lakukan, apa kesannya sebelum dan selepas kita melakukan? Lebih-lebih lagi kesan jangka masa panjang pada agama, diri, keluarga, masyarakat dan Negara sendiri.
Firman Allah s.w.t ;-
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk,”                                                                                -Surah Al-Isra’ 17 : 32


Jika kita percaya dengan jodoh dan ketentuan Allah, 10 tahun lagi pun pasti akan berjodoh dengan dia.

Semuanya hanya bermula dengan lafaz ‘I love u’, habis tergadai maruah. Padahal lafaz itu belum lagi menghalalkan perhubungan. Sebaiknya sekalipun kita sukakan seseorang, biar diam-diamkan dulu andai belum tiba waktu yang sesuai dan tiada matlamat ke arah perkahwinan. Tak perlu dirunsingkan samada dia perlu tahu atau tidak tentang perasaan kita itu padanya.  Rasulullah s.a.w pernah bersabda di dalam satu hadis,
“Sesiapa yang jatuh cinta, kemudian menyembunyikannya hingga kematian datang menjemputnya, maka dia adalah seorang yang syahid,” –Hadis Riwayat Hakim, Ibn Asakir, Al-Dailami dlln.

Malah ia akan jadi lebih manis andai ungkapan perasaan itu dilafazkan setelah akad bersulam seiring dengan sentuhan salam yang akan meleraikan seluruh dosa-dosa.
Sabda Nabi saw:
"Apabila pasangan suami isteri berpegangan tangan (dengan menyelitkan jari-jemari mereka), maka dosa-dosa akan keluar melalui celah-celah jari mereka".


Yang penting, kurangkan agenda ‘mencari’ yang soleh @ solehah..tetapi lebihkan agenda ‘menjadi’ yang soleh @ solehah..”

 Tapi kalau dah percaya pun, janganlah percaya kosong, tapi biarlah berikhtiar dengan doa, beristikharah dan bermusyawarah. Kalau kita mahukan yang terbaik, maka kita sendirilah dahulu perlu menjadi yang terbaik.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi S.A.W bersabda :
“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara : kerana hartanya dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya maka pilihlah yang mempunyai (mengamalkan) agama, ia menyenangkan kamu”

Strategi untuk mendapat pasangan yang baik samada bagi lelaki atau perempuan, bagi saya perlu sama-sama renungi hadis di atas. Inilah panduan kritirea sebenar yang perlu dinilaikan pada diri sendiri dan pada diri pasangan yang menjadi pilihan kita. Kalau kita pandang dia berharta, pastikan kita juga berharta. Kalau kita pandang dia berketurunan yang baik-baik, pastikan kita juga berketurunan baik-baik. Kalau kita kita pandang dia cantik, pastikan kita juga perlu cantik. Namun jika kita serba kekurangan pada ketiga-tiga perkara ini, maka mantapkanlah diri kita tentang soal agama. Jika dia serba kekurangan pada tiga perkara itu tetapi lebih pada agamanya, maka pilihlah dia kerana agamanya. Jika dia punya keempat-empat perkara itu, maka bersyukurlah dan terimalah dia seadanya dalam masa yang sama kita juga perlu menyediakan diri sebaik-baiknya untuk dia.

Dan hal ini bukan sahaja setakat di awal-awal pernikahan, tetapi juga sehingga ke akhir hayat. Kedua-duanya punya sifat malu dan saling menjaga agar masing-masing senang dengan diri masing-masing. contohnya, jika isteri berwangi-wangian dan berhias untuk suami, sudah tentulah suami juga perlu berwangi-wangian dan berhias untuk isterinya. Sebarang kekurangan sama-sama ditopup dan ditampung sehabis baik. Itulah rencah persefahaman yang akan mengharmonikan rumahtangga sehingga ke syurga Allah. Jadi, tuntasnya, kebahagiaan rumahtangga itu perlu bermula dengan ‘menjadi’ yang terbaik bukan ‘mencari’ yang terbaik.. Insya-Allah kita akan dapat yang terbaik juga.

Selalulah kita berdoa dengan doa ini,

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

...“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa,”...
Kenangan : Gambar Walimah sebelah pihak lelaki pada 22 Jan 2012
p/s ; Jika ingin memulakan kisah cinta, biar dgn ikatan yg halal kerana Allah. Selain menghidupkan mawaddah wa rahmah di dlm rumahtangga, juga mendapat keberkatan cinta kerana Allah..

WALLAHHU’ALAM..

~Annur Iman~
Teratak Baiti Jannati, KKM..
7 April 2012, 9.19 pm.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...