BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, May 16, 2012

CINTAKAH KITA PADA ILMU?



Saya ajukan dulu soalan itu kepada diri saya. Lantaran tidak mahu menjadi golongan yang kelima tatkala saya merenung satu hadis ini,

“Mulakan pagimu sebagai seorang guru (org yang mengajar), atau pelajar (org yang belajar), atau pendengar (org yg mendengar), orang yang cinta akan ilmu (org yg menyukai ilmu), jangan jadi orang yang kelima, anda akan binasa”

Hadis ini pernah saya ajarkan dalam satu sesi pengajaran semasa saya mengajar praktikal di SMK Telok Dato’ dulu. Hadis ini mengutarakan begitu pentingnya ilmu yang menjadi tunjang dalam mencapai kejayaan. Malahan hadis di atas juga menyenaraikan supaya kita sentiasa menuntut ilmu, mencintai ilmu dan menjadi orang-orang yang berilmu. Sebaliknya menegah keras agar kita tidak menjadi golongan yang kelima. Apakah golongan yang kelima itu? Itulah golongan yang tidak memiliki salah satu pun daripada ciri-ciri tersebut.

Di mana-mana jua, setuju tak kalau saya katakan yang kita boleh menjadi guru, pelajar dan pendengar? Lebih-lebih lagi dunia sekarang ini sudah canggih dengan pelbagai bentuk media. Ada televisyen, radio, kemudahan internet dan lain-lain lagi. Malah sahabat-sahabat, keluarga, jiran tetangga, sekolah, kampus, pasar, pekan, bandar dan macam-macam tempat lagi juga turut menjadi medium untuk kita menjadi guru, pelajar dan pendengar. Jadi, tidak ada alasan bagi kita untuk tidak menjadi salah satu dari golongan yang empat ini selain golongan kelima yang tidak ada salah satu pun dari keempat-empat ciri itu. Lalu setelah menjadi guru, pelajar dan pendengar, lalu kita pun akan menjadi golongan yang mencintai ilmu.

Contohnya di pasar tani. Farah dan Syira ingin membeli bahan-bahan untuk memasak mee goreng, kerana kelas mereka akan mengadakan lawatan ke Melaka pada hujung minggu itu. Jadi, mereka dan kelas 1 ADI memutuskan agar ibu Farah yang memasakkan mee goreng untuk bekalan sepanjang lawatan mereka nanti. Jadi, pagi hari minggu itu, Farah dan Syira pun pergilah ke pasar.

“Mak cik, kami hendak membeli sayur-sayuran untuk mee goreng. Bolehkah kami minta tolong mak cik untuk kumpulkan bahan-bahan itu? Kami tidak tahu,” ujar Farah sambil malu-malu.

Mak Timah tersenyum.

“Oh, anak berdua nak beli sayur-sayur untuk mee goreng ya. Sekejap ya mak cik ambikkan,” ujar Mak Timah lagi.

“Terima kasih mak cik,” ucap Syira pula.

“Hm..Biasanya, kalau nak masak mee goreng, perlu masukkan sayur sawi, kubis dan taugeh. Nak pilih sayur sawi ni, kena tengok pada sayur sawi yang ada lubang-lubang pada daunnya, itu beerti sayur itu bebas dari racun serangga perosak. Nah, mak cik dah masukkan semuanya ke dalam plastik ini. Semuanya berharga RM2.00 sahaja,” ujar Mak Timah lagi.

“Oh macam tu ya. Hm..itu sahaja ya mak cik? Nah duitnya. Terima kasih,” ucap Syira pula.

“Oh, saya tak tahu pula kena pilih sayur sawi yang berlubang-lubang pada daunnya,” ujar Mak Tom pula yang kebetulan turut datang membeli sayur.

Hmm..jadi, di sinilah berlakunya proses keilmuan. Mak Timah bertindak sebagai guru, Farah dan Syira pula sebagai pelajar. Ketika berlaku proses Mak Timah menerangkan dan memilihkan sayur-sayuran itu, Mak Tom pula bertindak sebagai pendengar. Farah dan Syira juga boleh menjadi pendengar. Bila kesemua mereka sudah tahu tentang pengetahuan baru itu, mereka akan menyukainya dan mempraktikkannya pada waktu yang lain pula.

Kalau suasana di kampus, memang majoritinya melibatkan pensyarah dan pelajar. Tapi perkongsian ilmu itu juga boleh berlaku pada mahasiswa yang ditaklifkan menjadi naqib dan naqibah untuk melaksanakan usrah pada anak-anak usrah mereka. Maka, di sini naqib dan naqibah ini bertindak sebagai guru, anak-anak usrah itulah pelajar dan pendengar. Namun jika kita merasakan tidak mampu untuk menjadi seorang guru dan pelajar, cukuplah kita menjadi seorang pendengar yang sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, mendengar rancangan-rancangan yang mendidik jiwa danmenambah ilmu di TV, radio dan sebagainya.

Subhanallah..di mana-mana pun kita boleh menjadi guru, pelajar, pendengar dan pencinta ilmu. Jadi, hargailah masa senggang yang ada. Manfaatkan dengan mengisi ilmu di dada. Jadi, berpagi-pagian dalam mencari ilmu itu lebih baik. Jadi, isilah masa harian kita dengan perkara yang dapat menambah keilmuan kita. Semoga kita tidak menjadi golongan yang kelima.
Wallahhu’alam..

P/S : Terkenang pada tarikh inilah pada tahun lepas (16Mei 2011) pertama kali saya menjejakkan kaki ke SMK Telok Dato' dan meraikan Sambutan Hari Guru di sana bersama para pelajar..
SELAMAT HARI GURU diucapkan kepada semua yang bernama guru, walaupun bukan dengan rasmi mempunyai tag name sebagai guru, kita tetap seorang guru pada diri kita..
Tak lupa juga...
SELAMAT HARI IBU juga diucapkan kepada semua ibu-ibu yang menjadi guru dan pendidik kepada anak-anak.. khasnya kepada kedua orang ibu saya.. Mak saya, Puan Hashnah dan umi saya, Puan Jamilah.. Moga Allah sentiasa menaungi rahmat dan kasihsayangNya buat kalian berdua..serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,..Amin Allahhumma Amin...

~Annur Iman~
Teratak baiti jannati, KKM.
16 Mei 2012, 7.49 am..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...