Saya ajukan dulu soalan itu kepada diri saya. Lantaran tidak mahu menjadi golongan yang kelima tatkala saya merenung satu hadis ini,
“Mulakan pagimu sebagai seorang guru (org yang mengajar), atau pelajar (org yang belajar), atau pendengar (org yg mendengar), orang yang cinta akan ilmu (org yg menyukai ilmu), jangan jadi orang yang kelima, anda akan binasa”
Hadis ini pernah saya ajarkan dalam satu sesi pengajaran semasa saya mengajar praktikal di SMK Telok Dato’ dulu. Hadis ini mengutarakan begitu pentingnya ilmu yang menjadi tunjang dalam mencapai kejayaan. Malahan hadis di atas juga menyenaraikan supaya kita sentiasa menuntut ilmu, mencintai ilmu dan menjadi orang-orang yang berilmu. Sebaliknya menegah keras agar kita tidak menjadi golongan yang kelima. Apakah golongan yang kelima itu? Itulah golongan yang tidak memiliki salah satu pun daripada ciri-ciri tersebut.
Di mana-mana jua, setuju tak kalau saya katakan yang kita boleh menjadi guru, pelajar dan pendengar? Lebih-lebih lagi dunia sekarang ini sudah canggih dengan pelbagai bentuk media. Ada televisyen, radio, kemudahan internet dan lain-lain lagi. Malah sahabat-sahabat, keluarga, jiran tetangga, sekolah, kampus, pasar, pekan, bandar dan macam-macam tempat lagi juga turut menjadi medium untuk kita menjadi guru, pelajar dan pendengar. Jadi, tidak ada alasan bagi kita untuk tidak menjadi salah satu dari golongan yang empat ini selain golongan kelima yang tidak ada salah satu pun dari keempat-empat ciri itu. Lalu setelah menjadi guru, pelajar dan pendengar, lalu kita pun akan menjadi golongan yang mencintai ilmu.
Contohnya di pasar tani. Farah dan Syira ingin membeli bahan-bahan untuk memasak mee goreng, kerana kelas mereka akan mengadakan lawatan ke Melaka pada hujung minggu itu. Jadi, mereka dan kelas 1 ADI memutuskan agar ibu Farah yang memasakkan mee goreng untuk bekalan sepanjang lawatan mereka nanti. Jadi, pagi hari minggu itu, Farah dan Syira pun pergilah ke pasar.
“Mak cik, kami hendak membeli sayur-sayuran untuk mee goreng. Bolehkah kami minta tolong mak cik untuk kumpulkan bahan-bahan itu? Kami tidak tahu,” ujar Farah sambil malu-malu.
Mak Timah tersenyum.
“Oh, anak berdua nak beli sayur-sayur untuk mee goreng ya. Sekejap ya mak cik ambikkan,” ujar Mak Timah lagi.
“Terima kasih mak cik,” ucap Syira pula.
“Hm..Biasanya, kalau nak masak mee goreng, perlu masukkan sayur sawi, kubis dan taugeh. Nak pilih sayur sawi ni, kena tengok pada sayur sawi yang ada lubang-lubang pada daunnya, itu beerti sayur itu bebas dari racun serangga perosak. Nah, mak cik dah masukkan semuanya ke dalam plastik ini. Semuanya berharga RM2.00 sahaja,” ujar Mak Timah lagi.
“Oh macam tu ya. Hm..itu sahaja ya mak cik? Nah duitnya. Terima kasih,” ucap Syira pula.
“Oh, saya tak tahu pula kena pilih sayur sawi yang berlubang-lubang pada daunnya,” ujar Mak Tom pula yang kebetulan turut datang membeli sayur.
Hmm..jadi, di sinilah berlakunya proses keilmuan. Mak Timah bertindak sebagai guru, Farah dan Syira pula sebagai pelajar. Ketika berlaku proses Mak Timah menerangkan dan memilihkan sayur-sayuran itu, Mak Tom pula bertindak sebagai pendengar. Farah dan Syira juga boleh menjadi pendengar. Bila kesemua mereka sudah tahu tentang pengetahuan baru itu, mereka akan menyukainya dan mempraktikkannya pada waktu yang lain pula.
Kalau suasana di kampus, memang majoritinya melibatkan pensyarah dan pelajar. Tapi perkongsian ilmu itu juga boleh berlaku pada mahasiswa yang ditaklifkan menjadi naqib dan naqibah untuk melaksanakan usrah pada anak-anak usrah mereka. Maka, di sini naqib dan naqibah ini bertindak sebagai guru, anak-anak usrah itulah pelajar dan pendengar. Namun jika kita merasakan tidak mampu untuk menjadi seorang guru dan pelajar, cukuplah kita menjadi seorang pendengar yang sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, mendengar rancangan-rancangan yang mendidik jiwa danmenambah ilmu di TV, radio dan sebagainya.
Subhanallah..di mana-mana pun kita boleh menjadi guru, pelajar, pendengar dan pencinta ilmu. Jadi, hargailah masa senggang yang ada. Manfaatkan dengan mengisi ilmu di dada. Jadi, berpagi-pagian dalam mencari ilmu itu lebih baik. Jadi, isilah masa harian kita dengan perkara yang dapat menambah keilmuan kita. Semoga kita tidak menjadi golongan yang kelima.
Wallahhu’alam..
P/S : Terkenang pada tarikh inilah pada tahun lepas (16Mei 2011) pertama kali saya menjejakkan kaki ke SMK Telok Dato' dan meraikan Sambutan Hari Guru di sana bersama para pelajar.. SELAMAT HARI GURU diucapkan kepada semua yang bernama guru, walaupun bukan dengan rasmi mempunyai tag name sebagai guru, kita tetap seorang guru pada diri kita.. Tak lupa juga... SELAMAT HARI IBU juga diucapkan kepada semua ibu-ibu yang menjadi guru dan pendidik kepada anak-anak.. khasnya kepada kedua orang ibu saya.. Mak saya, Puan Hashnah dan umi saya, Puan Jamilah.. Moga Allah sentiasa menaungi rahmat dan kasihsayangNya buat kalian berdua..serta dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat,..Amin Allahhumma Amin...
Subhanallah, Walhamdulillah..Menitis air mata saya tatkala merenung hikmah di sebalik kurniaan Allah terhadap ibu yang mengandung. Dan itulah yang saya mahu kongsikan dengan pembaca dalam entry kali ini..
Apabila seorang wanita hamil, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT akan mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.
2 rakaat solat seorang wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat seorang wanita yang tidak hamil. Rasulullah menyebutkan bahawa dua rakaat solat wanita hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil. Ini kerana wanita yang hamil membawa janin di dalam perutnya di mana janin berkenaan turut menyertai ibunya solat, mendengar bacaan-bacaan solat, ikut sujud bersama.
Wanita hamil perolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari.Rasulullah menyatakan bahawa wanita hamil akan memperolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari. Ini disebabkan kerana ibu yang hamil bererti membawa amanah Allah ke sana ke mari, sehingga wajar apabila ia memperolehi pahala yang besar di sisi Allah .
Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT akan mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah.
Wanita yang bersalin akan mendapat 70 tahun solat dan puasa pada setiap kesakitan pada satu uratnya akan dikurniakan oleh Allah SWT satu pahala haji.
Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.
Sekiranya seorang wanita meninggal dunia di dalam tempoh 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.
Jika seorang wanita menyusukan anaknya hingga cukup tempoh (2 1/2 tahun), malaikat-malaikat di langit akan mengkhabarkan berita gembira bahawa syurga wajib baginya.
Jika seorang wanita menyusukan anaknya yang menangis, maka Allah SWT akan memberikan pahala satu tahun solat dan puasa.
Seorang wanita yang menghiburkan hati anaknya maka Allah SWT akan memberikan 12 tahun pahala ibadat kepadanya.
Kelebihan bagi wanita-wanita mengandung yang mengalami mual atau muntah terutamanya di awal kehamilan:
1. Risiko keguguran lebih rendah dibanding dengan mereka yang tidak mengalaminya.
2. Mual merupakan mekanisme perlindungan untuk embrio yang masih muda. Kepekaan ibu terhadap pelbagai makan dapat menjauhkannya dari makanan yang berpotensi membahayakan si bayi yang belum lahir.
3. Kematian bayi selepas dilahirkan lebih rendah pada wanita yang mengalami mual-mual.4. Mual-mual berkaitan dengan rendahnya risiko kelahiran pra-matang.
5. Lebih tingginya berat lahir.
6. Lebih rendahnya kecacatan selepas dilahirkan.
7.Ukuran plasenta bertambah - Kurang makan disebabkan mual menyebabkan kurangnya pertambahan berat badan di awal kehamilan. Kurangnya berat badan menyebabkan peningkatan ukuran plasenta yang menyalurkan darah kepada janin yang sedang tumbuh. Plasenta yang lebih besar menjamin tersedianya makan dan oksigen yang sihat.
Nikmat mengandung dan melahirkan anak adalah nikmat yang cukup berharga yang dikurniakan Allah SWT kepada wanita. Pengalaman selama tempoh mengandung dan melahirkan adalah cukup indah dan berharga. Tempoh mengandung adalah detik emas yang seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh bakal ibu dan ayah. Semasa mengandung, bakal ibu sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah antaranya bertaubat kepada Allah SWT, membanyakan zikir dan doa serta membaca Al-Quran. Setiap surah yang ada di dalam Al-Quran mempunyai kelebihannya tersendiri. Antara surah amalan ketika mengandung ialah surah al-Fatihah, surah Maryam, surah Yusuf dan surah Luqman.
Surah al-Fatihah
Ibu mengandung digalakkan membaca surah al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwuduk, semoga zuriat yang dilahirkan memperoleh ilmu pengetahuan disamping dapat mengawal hati dan fikiran daripada perkara mazmumah..
Surah Yusuf
Surah Yusuf telah diturunkan di Makkah dan mengandungi 111 ayat. Dinamakan Yusuf kerana hampir keseluruhan dipenuhi akan kisah Nabi Yusuf a.s yang bermula dari ayat 4 hinngga 101. Ibu yang sedang mengandung disarankan agar memperbanyakkan membaca surah Yusuf agar dikurniakan zuriat yang soleh, cerdik, tampan dan tabah menghadapi ujian
Surah Luqman
Dalam pengkisahan Luqman dengan anaknya, Allah SWT menegaskan tentang wajibnya manusia bersyukur akan segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka dan wajib menjauhi perkara syirik. Ibu yang mengandung dianjurkan supaya membanyakkan membaca surah Luqman agar bayi yang dalam kandungan akan dikurniakan kebijaksanaan akal fikiran dan hikmah yang tersirat apabila lahir ke dunia, insya-Allah.
Surah Maryam
Ibu yang sedang hamil disarankan untuk membanyakkan membaca surah Maryam agar bayi yang dilahirkan nanti mempunyai akal yang cerdas dan hati yang sabar dan cekal dalam menempuhi ujian. Amalan surah Maryam juga memudahkan ibu semasa melahirkan anak.
Berikut perkembangan bayi semasa dalam kandungan (dari minggu 1 hga kelahiran)
Minggu 1
Hari Pertama : Persenyawaan berlaku
Hari ke-3 : Terbentuknya bebola di salur rahim yang dinamakan morula. Dari morula akan bertukar blastosista dimana terbentuknya ruang di dalam morula.
Hari ke-5 hingga ke-6 : Blastosista bergerak ke dinding rahim.
Minggu ke-2 hingga ke-3
Hari ke-7 hingga ke-21 : Embrio terbentuk dan melekat di dinding rahim.
Hari ke 21 : Wanita menyedari dirinya tidak mengalami haid. Kehadiran hormon gonadotropin dalam air kencing.
Minggu ke-4 hingga ke-8
Embrio sudah mempunyai sistem pendengaran, penglihatan, tulang, daging, kulit dan organ-organ asas tetapi tidak boleh berfungsi.
Minggu ke-9 hingga ke-12
Jantung janin berdegup cepat.
Darah beredar melalui salur darah.
Perut janin mula aktif.
Ginjal mula berfungsi.
Uri kian membesar.
Organ utama tubuh sudah terbentuk.
Minggu ke-13 hingga ke-16
Otot semakin aktif.
Jantina boleh dikenal pasti.
Uri sudah lengkap terbentuk.
Uri dihubungkan melalui tali pusat.
Tali pusat membawa makanan daripada ibu dan membawa sisa janin kepada ibu untuk dikumuhkan.
Janin mula menghisap ibu jari.
Minggu ke-17 hingga ke-20
Janin menyerupai bentuk manusia.
Bulu roma halus mula tumbuh pada kulit.
Rambut, bulu kening dan bulu mata mula tumbuh pada kulit.
Mata masih tertutup.
Kuku mulai kelihatan.
Perkembangan uri semakin perlahan manakala janin semakin membesar.
Minggu ke-21 hingga ke-26
Kulit janin kelihatan kurang kemerahan dan diliputi bulu roma.
Mata mulai membuka dan mengatup.
Otot pada lengan dan kaki semakin kuat dan kental.
Ibu mula terasa kandungan dalam perut.
Minggu ke-26 hingga ke-29
Paru-paru dan salur darah sudah berkembang bagi membenarkan pertukaran gas.
Badan janin kurus.
Warna kulit kemerahan dan diliputi lapisan pelindung.
Janin boleh membuka mata.
Degup jantung janin sudah dapat didengari dengan jelas.
Janin bergerak aktif.
Ibu boleh merasa tendangan janin.
Minggu ke-30 hingga ke-38
Kulit janin kemerahan dan berkedut.
Tulang kepala lembut.
Peparu sudah boleh berfungsi.
Janin boleh mendengar bunyi yang kuat.
Janin memberi maklumbalas dengan menggerakkan kaki dan lengan.
Rupa janin bertukar menjadi bayi yang berisi.
Minggu ke-38
Janin sudah sempurna anggota tubuhnya dan bersedia ke alam baru.
Dipetik dari blog :http://www.norazizah.org/2011/03/kelebihan-wanita-mengandung-yang-mual.html
Sumber :
1.Buku 'Psikologi Kana-kanak' Mohd. Sharani Ahmad
2.http://animated-gifs.org/wp-content/themes/frugal/graphics/cat/pregnancy/pregnancy-001.gif
3.http://animated-gifs.org/wp-content/themes/frugal/graphics/cat/pregnancy/pregnancy-021.gif
Nabi Ibrahim AS. adalah salah seorang Nabi yang termasuk dalam ulul ‘azmi (golongan Nabi yang memiliki kesabaran lebih dibanding manusia biasa). Beliau juga dikenal sebagai abul adyan (bapa agama). Beliau adalah pengembara spiritual sebagaimana dikisahkan dalam surah al-An’am ayat 75-76.
Kesabaran beliau dapat kita ketahui melalui penulusuran kisah hidupnya. Salah satu kisah yang menggambarkan kesabaran beliau adalah kesabaran beliau dalam penantian yang lama menunggu kelahiran seorang anak setelah menikah dengan Siti Sarah (isteri pertamanya). Dan kesabaran beliau dalam melaksanakan perintah Allah Swt. setelah memiliki anak.Kala itu Nabi Ibrahim As. dengan sabar menunggu kurnia Allah Swt.. Sampai tibalah suatu waktu, dengan kerelaan isteri pertamanya (Siti Sarah) ia menikah dengan Siti Hajar (isteri kedua). Dari pernikahannya yang kedua inilah, ia dikurniai anak lelaki yang diberi nama Ismail.
Namun kebahagiaan sebagai seorang yang dirasakan Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar kembali diuji oleh Allah Swt.. Ia diperintahkan untuk mengasingkan Siti Hajar serta Ismail yang masih bayi ke bukit Safa yang gersang dan tandus. Tempat yang jauh dari pemukiman penduduk. Tidak mustahil banyak terdapat binatang buas di tempat tersebut. Tetapi dengan penuh ketaatan dan kesabaran berangkatlah Ibrahim menghantarkan isteri dan puteranya ke tempat tersebut. Kemudian meninggalkan mereka di bukit gersang dan tandus tersebut.
Selang beberapa waktu Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan Nabi Ibrahim, ujian menyapa mereka. Ismail merasakan kehausan. Sedangkan persediaan minuman serta makanan telah habis. Ditambah lagi air susu sang ibu tidak dapat disusukan kerana telah banyak keluar tenaga dan susu kering. Namun, Ismail yang belum cukup faham dengan keadaan ibunya tetap menangis minta disusukan.
Siti Hajar dibaluti kebingungan. Secara logiknya di bukit gersang dan tandus itu, sangat sulit mahu mendapatkan air. Tapi agungnya pengorbanan seorang ibu tidak terhalang oleh hal demikian. Dengan gigih Siti Hajar berlari-lari kecil (melakukan sa’ie) menuju bukit Marwah. Dalam pandangannya, ia melihat genangan air di bukit tersebut. Namun, setelah didatangi ternyata yang ia dapati hanya fatamorgana. Lantas ia pun kembali lagi ke bukit Safa kerana setelah tiba di bukit Marwah ia melihat genangan air berada di bukit Safa. Tapi yang ia dapati fatamorgana lagi. Akhirnya dia berulangkali berlari-lari anak antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Berlari-lari anak ini menjadi syari’at umat Nabi Muhammad saw., sebagai salahsatu rukun ibadah haji iaitu sa’ie.
Setelah berlari-lari anak sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah, tiba-tiba dia melihat pancaran air dari tanah bawah. Tepat pada bekas jejak kaki Ismail yang selonjor. Air tersebut terus memancar keluar dari permukaan tanah. Sehingga menjadi genangan. Melihat genangan air yang semakin membanyak itu, Siti Hajar mengucap syukur atas anugerah Allah tersebut dan berkata pada air itu, “zam zam ya al maa’u” (kumpul, kumpul wahai air). Air tersebut membentuk genangan yang semakin lama semakin membanyak membentuk sebuah sumur. Subhanallah.. WAlhamdulillah, akhirnya kehausan Ismail pun dapat dhilangkan dengan air yang penuh berkah itu. Bahkan sampai saat ini, air tersebut masih tetap memacarkan berkah bagi semua peminumnya dan tiada pernah kering walau sudah jutaan orang meminumnya selama berabad-abad.
Beberapa tahun kemudian Nabi Ibrahim mendapat ilham dari Allah melalui mimpi untuk menyembelih puteranya Ismail. Tepat ketika Ismail telah membesar menjadi anak remaja yang selalu membantu sang ayah bekerja. Namun dengan kesabarannya, Ibrahim menyampaikan perintah Allah tersebut (ilham) yang didapat melalui mimpinya kepada Ismail dengan diliputi perasaan gundah. Perlahan-lahan dia memberitahu anaknya, Ismail.
“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka apa pendapatmu anakku?”.
Ismail dengan tenang menjawab,
“Wahai ayah, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.” -As-Shaaffaat : ayat 102-
Tatkala keduanya telah bersepakat melaksanakan titah Yang Mahakuasa, mereka pun pergi mencari tempat untuk melaksanakan penyembelihan. Tetapi kemudian godaan datang dari syaitan, mereka (Ibrahim dan Ismail) dipengaruhi supaya tidak jadi melaksanakannya. Tetapi dengan komitmen yang kuat mereka berdua tetap mahu melaksanakan perintah Allah tersebut. Sampai Ibrahim melempar batu mengusir syaitan yang mengganggu mereka di beberapa tempat. Inilah asal mula disyari’atkannya melempar jumrah pada saat ibadah haji.
Setelah tiada lagi yang mengganggu, Ibrahim membaringkan anaknya. Dengan penuh kesabaran dan ketaatan, Ibrahim pun menempelkan sebilah senjata tajam (sejenis golok) ke leher Ismail. Subhanallah.. Itulah puncak penyerahan dirinya yang optimal kepada Allah. Namun yang terjadi di luar dugaan mereka. Ketika senjata tajam itu digeselkan ke leher Ismail, Allah menggantinya dengan seekor kibas yang besar. Demikian ini menjadi sunnah ibadah qurban yang kita laksanakan pada hari Aidul Adha dan tiga hari berikutnya.
Demikian kisah yang dialami keluarga teladan dalam memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah. Pengalaman sang ibu yang diasingkan, ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih buah hatinya yang sangat dicintainya serta sang anak yang merelakan diri untuk disembelih. Semua kisah ini adalah kisah cinta yang sangat terulung. Cinta pada Allah.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Mudah-mudahan kita dapat meneladani kesabaran, ketaatan serta pengorbanan di jalan kebaikan yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim As. dan keluarganya.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Sama-sama kita renungi hikmah kisah yang bagi saya merupakan tarbiyah yang begitu mendidik hati-hati kita ke arah penyerahan cinta yang mutlak hanya pada Allah S.W.T.
Ujian itu adalah tarbiyah dari Allah. Tatkala kita diuji, ingatlah pada kisah-kisah Nabi-Nabi terdahulu, para sahabat dan para pejuang yang berlarian dalam jihad demi redha Allah. Kita ini belum pun memegang senjata. Belum pun terluka dan menitiskan darah. Belum pun menjejak langkah di medan perang. Lalu apa kesusahan pada kita untuk mengerjakan apa yang menjadi kecintaan Allah? Sedangkan itulah kewajipan pada kita hamba2Nya yang memang diutuskan ke dunia adalah untuk bertaubat pada Allah. alhamdulillah, Allah pinjamkan nikmat Iman dan Islam, sehingga kita masih mampu bernafas. Bernafaslah kerana Allah dan lakukan apa yang termampu untuk Islam. persoalkan pada diri, apa lagi yang belum kusumbangkan untuk Islam? Apa lagi yang belum kukorbankan untuk Allah? Sama-sama kita koreksi dan muhasabah bersama. Firman Allah s.w.t :-
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?”- Surah Al-Ankabut: ayat 2-
Pengorbanan Siti Sarah mengizinkan suami tercinta mengahwini Siti Hajar lantaran Siti Sarah memahami suaminya itu teramat merindu kehadiran cahaya mata yang tidak mampu diberikannya. Lalu Siti Sarah mengizinkan Nabi Ibrahim menikahi Siti Hajar. Asbab itu, lahirlah Ismail menjadi pengubat rindu dan penyejuk hati mereka sekeluarga. Jika ada di kalangan pembaca yang dirinya seorang isteri, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dikorbankan untuk suami? Sabda Rasulullah s.a.w :-
“Jika seorang wanita itu bersolat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk syurga darimana-mana pintu yang disukainya..,”(Hadis Riwayat Hibban dalam sahihnya)
Ketaatan seorang hamba pada Allah, di mana Nabi Ibrahim telah mendapat perintah Allah menyuruhnya mengasingkan Siti Hajar dan Ismail di Bukit Safa. Subhanallah.. Kerana ketaatan Siti Hajar pada suami dan Tuhannya, maka dia rela ditinggalkan suami bersama anaknya. Demi kasih sayangnya pada Ismail, dia bersusah payah mencari air untuk memberi minum pada anaknya yang menangis kerana haus. Itu juga pengorbanan seorang ibu pada anaknya. Jika pembaca yang membaca entry ini seorang anak, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dilakukan, belum disumbagkan dan belum dikorbankan untuk ibu yang melahirkannya? Jumhur Ulama telah menetapkan bahawa hak ibu lebih perlu diutamakan melebihi hak bapa,utamakan berbakti pada ibu dan bergaullah dengan lemah lembut.Ini adalah kerana di dalam sebuah hadis Rasulullah telah menyebut ibu sebanyak 3 kali dan ayah hanya sekali, iaitu :-
“Seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu”.
(Hadis sahih Riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim)
Cinta tertinggi Nabi Ibrahim kepada Allah, tatkala Baginda mendapat mimpi perlu menyembelih anak yang disayanginya. Sejenak kita sama-sama muhasabah diri, adakah sehingga hari ini kita benar-benar menjadi hambaNya yang taat dan cinta padaNYA? Sedangkan nikmat Allah pada kita terlalu banyak, subhanallah.. Firman Allah S.W.T :-
“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
-Surah Ali Imran : ayat 31-
Ketaatan Ismail. Berbekalkan ketaatan Ismail pada Allah dan bapanya, maka dia menerima dengan redha untuk disembelih bapanya jika itulah yang akan meletakkan mereka dalam redha dan cinta Allah. Jika pembaca seorang anak, maka fikirkan apa lagi perkara yang belum disumbangkan dan belum dikorbankan untuk ibu dan bapa yang telah melahirkan kita ke dunia ini. Subhanallah Walhamdulillah..
Firman Allah taala dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:-
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
Sabda Nabi S.A..W, Maksudnya:-
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”
(Hadis Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya)
Maka tatkala Nabi Ibrahim mahu menyembelih anaknya, maka dia diganggu oleh syaitan yang mahu memesongkan hatinya dari menyempurnakan perintah Allah. Berkat keazaman cinta dan ketaatannya, maka dia akhirnya sudah hampir mahu menyembelih anaknya. Namun tatkala itu Allah menggantikan anaknya dengan seekor kibas dan membalas cintanya dengan redhaNya. Subhanallah..
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Pesanan dan tulisan ini adalah untuk memuhasabahkan diri saya sendiri juga buat santapan pembaca sempena Aidil Adha. Beberapa ketika lagi saya akan mengubah status diri, lalu membuatkan saya terfikir, begitu banyak lagi perkara yang belum saya korbankan, sebagai seorang hamba, sebagai seorang anak, sebagai seorang adik, sebagai seorang kakak, sebagai seorang sahabat dan banyak lagi taklifan diri ini yang masih terbengkalai. Astaghfirullahhal’azim.. Lalu saya terfikir, apa yang perlu saya korbankan tatkala mengubah status diri menjadi seorang isteri? Adakah saya setabah Siti Sarah? Adakah saya setegar Siti Hajar? Adakah iman saya kuat sekuat iman Nabi Ibrahim dalam mendepani ujian Allah? Adakah cinta saya akan capai tahap tertinggi setinggi cinta Nabi Ibrahim pada Allah S.W.T? Sungguh, saya tidak mampu menjawab segala persoalan ini melainkan di hati saya hanya mengungkap lafaz istighfar kerana Allah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullah..
Lalu hati saya membingkiskan doa mahabbah yang terdetik di hati saat ini :-
..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa..
..Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu.
Ya Allah, peganglah hatiku untuk sejuta lagi musim perjuangan. Jika tiada yang menemani, cukuplah Kau sebagai Penolong dan Pelindung. Ameen Ya Rabbal Alamin.