BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, January 7, 2011

Cerpen : AKU BELAJAR TENTANG CINTA (Bahagian 3)


“Kak Annur..apa kata kalau Dik An bantu akak untuk tanyakan sendiri dengan Iman?Itu akan lebih tetapkan hati akak,”
Aku tahu Farhan cuba membantu. Farhan sepupuku. Anak kepada adik ibu yang aku panggil pak lang. Kami sama-sama menuntut di kampus uni Malaya ini. Cuma dia masuk UM dengan sijil STPM. Aku pula dengan SPM dan lepasan UM Nilam Puri. Aku tidak lokek berkongsi masalah dengannya. Kami dah seperti adikberadik.
“Bolehkah Dik An tolong kak Annur?,”
Farhan tersenyum. Mengenyitkan mata. Serentak isyarat ‘peace’ dinaikkan jarinya.
“Jap kak.Kita try,”
“Tapi, Dik An jangan cakap siapa akak ya,”
“Berehh.. kak,”
Aku menahan debar. Farhan terus menghubungi Iman. Aku biarkan Farhan bersendiri bercakap dengan Iman. Ya, aku perlukan kepastian. Aku tidak akan menganggu Iman jika ternyata dia dah taqdim muslimat lain. Kepastian itu hanyalah untuk menetapkan hatiku. Agar hatiku tidak tersalah niat. Aku menunggu hikmah Allah. Bukan menunggu Iman. Malah, awal-awal lagi aku sudah mendoakan kebahagiaan Iman. Aku sering doakan semoga dia mendapat syahidfillah dalam perjuangan ini. Kerana dari jejak langkahnya, aku dapat membaca hatinya. Dia begitu rindukan syahid. Sama sepertiku. Dalam hal ini, aku tidak mengharapkan berjodoh dengannya di dunia. Aku lebih harapkan ada pertemuan kami di akhirat nanti. Mudah-mudahan. Kerana dunia hanyalah pinjaman. Tidak akan kekal. Akhirat jua yang kekal.
“Kak Annur..,”Farhan menapak kepadaku.
“Macam mana Dik An?,”soalku. Penuh debar.
“Kak, Iman mengaku, dia memang dah taqdim seorang muslimat.Tapi, dia cakap sendiri tak buat apa-apa keputusan lagi untuk taqdim tu.Dia tak nak fikir lagi hal-hal tu kak,”
Aku terdiam. Tak tahu apa perasaanku saat ini. Kenapa Iman tak cakap terus terang dengan aku hari tu. Sebab aku muslimat? Jadi, Iman malu denganku? Kenapa Iman bagi sebab dia nak aulakan jihad, tanpa menjawab soalanku secara telus? Kenapa pula Iman cakap ‘masih tak buat keputusan’? Iman yang mentaqdim atau Iman yang ditaqdim? Kenapa Iman pula yang susah nak buat keputusan? Takkan muslimat tu yang ragu-ragu nak bagi jawapan? Bolehkah tolak lamaran dari seseorang yang seperti Iman? Iman pula seperti tak serius sahaja. Aku pelik sendiri. Semua persoalan itu seperti pedang yang menyiat-nyiatkan hatiku. Kecewakah aku? Tidak!!
“Tak apalah Dik An.Alhamdulillah, Allah dah jawab persoalan akak sebelum ni.Ternyata Iman memang betul-betul dah taqdim seorang muslimat.Cuma akak kesal, dia tak berterus-terang dengan akak hari tu,”
“Dia malu dengan akak agaknya kak.Akak, Dik An rasa, selagi mereka tak kahwin selagi tu juga akak masih ada peluang untuk berjodoh dengan Iman.Apa kata akak berterus-terang sahaja siapa akak?,”
“Tak perlu Dik An.Akak tak nak kami kekok.Akak dan dia masih sama-sama dalam gerak kerja tarbiyah.Cuma, Dik An cakaplah pada Iman, jika dia tergerak hati pada akak, carilah Dik An. Akak dah tak nak fikirkan hal-hal hati ni.Mungkin sampai bila-bila sahaja akak tak nak fikirkan hal ni.Akak hanya nak fikirkan hal ni bila Allah tunjukkan dia jawapan istikharah akak sahaja. Akak hanya nak kepastian sahaja.Akak sentiasa akan menunggu hikmah Allah,”
“Akak, kenapa ya akak suka Iman?,”
Aku tersenyum. Soalan yang tiada jawapan pasti. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku suka Iman? Tiada apa-apa alasan kenapa jawapan hatiku Iman. Yang nyatanya, ketenangan hatinya buat aku rasa tenang dan selamat.
“Entah la.. Sebenarnya tak ada sebab yang khusus kenapa ‘Iman’.Akak suka Iman bukan sebab dia ahli gerakan.Bukan juga sebab dia seorang aktivis.Malah hati akak terdetik tatkala pertama kali kenal dia di Nilam Puri dulu.Akak suka dia sejak sebelum akak kenal dia lagi.Sejak dia belum lagi memegang status ahli gerakan.Sejak belum lagi dia memegang status aktivis mahasiswa.Sejak dia belum lagi memegang title sebagai ahli jemaah.Time tu dia 0 0.Memang tak ada sebab khusus kenapa akak suka dia.Melainkan Allah yang caturkan dia menjadi jawapan istikharah akak.Kunci pada hati akak dan dia adalah ketenangan.Sejak itu akak tidak menerima mana-mana lamaran muslimin sehinggalah sekarang.Kerana, masih dia yang menjadi jawapan istikharah akak.Hanya sekadar jawapan.Itu akak dah faham.Jika Allah tak bagi dia sebagai jawapan akak, dah tentu akak pun dah jadi milik orang agaknya,”ada senyum sinis di hujung bicaraku. Teringat beberapa wajah yang lamaran mereka aku tolak beralas istikharah.
“Akak kecewa ke?,”
“Langsung tidak!Apa-apa sahaja percaturan Allah, akak terima.Akak sedar, akak sedang belajar Dik An.Belajar tentang cinta.Akak tidak ada sekelumit pun rasa cinta pada Iman.Dia hanyalah jawapan istikharah akak.Tak lebih dari itu.Suka dan cinta adalah dua perasaan yang berbeza. Rasa suka adalah ketenangan yang hadir tanpa keraguan.Sebaliknya, cinta pula rasa pergantungan yang tinggi dari hati.Semestinya cinta itu pada Allah.Sekiranya Allah mahu mengikat hati kami, itu adalah takdir Allah.Allah ada caranya.Biarlah akak terus menunggu hikmah Allah,”
“Baiklah kak.Nanti ada apa-apa berita dari Iman, Dik An akan maklumkan dengan akak ya,”
Aku mengangguk. Kami berpisah di situ. Dik An pulang ke kolej 10.
Aku menapak pulang ke bilik. Kolej Kinabalu itu semakin sunyi. Studyweek begini ramai yang hanya duduk-duduk dalam bilik. Menghadap buku. Tak seperti selalu. Riuh rendah di floor, dewan makan dan lobi. Memang akhir-akhir ini, tumpuanku pada akademik dan gerak kerja sedikit terganggu dengan hal-hal ini. Allahhu Akbar..Memang Allah nak uji.
Handsetku berdering. Panggilan dari kak Safinah. Apa pula kali ini? Kepalaku dah berdenyut-denyut. Salamnya aku jawab.
“Annur..Akak mahu enti timbangkan sekali lagi lamaran ini.Enti akan menyesal jika buat keputusan yang salah,”
Air mataku menitis. Kenapa soal ini harus dipanjangkan lagi? Hatiku rasa sesak tiba-tiba. Bukankah aku dah berulangkali berikan jawapan? Allahhu Rabbii..
“Kak, Annur kan dah bagi jawapan pada akak hari tu?Tak cukupkah Annur jawab dengan jawapan istikharah Annur?,”
“Annur, istikharah bukan setakat kita solat dan mimpi, tapi juga perlu dirunding, dibawa ke meja perbincangan.Annur kena buka hati.Beri peluang,”keras nada Kak Safinah kali ni.
Aku naik geram sendiri. Sabar yang jadi dinding. Jika tak tahan sabar, dah lama aku letakkan telefon. Kkd program yang baru aku print di kolej 10 tadi, aku letakkan di atas meja. Minda dah kembali berserabut. Ya Allah, berikan aku ketenangan hati.
“Baiklah kak.Annur ambik masa sekali ni untuk Annur buat istikharah akhir.Annur harap dengan jawapan istikharah kali ini akan jadi penamat semua ni.Bagi masa pada Annur.Bila Annur dah ada keputusan, Annur sendiri akan contact akak,”
“Baik.Banyak-banyak berdoa,” Panggilan berakhir.
Aku biarkan sahaja hal itu. Ketepikan dulu. Fokus kuhalakan pada akademik dan gerak kerja tarbiyah. Banyak lagi kerja yang menuntut perhatianku. Cuma, aku masih tidak henti-henti beristikharah. Mohon semoga Allah berikan petunjuk yang lebih nyata dan jelas. Petang itu ada iftor bersama anak-anak usrah. Aku dikhabarkan ada penceramah yang dijemput untuk memberi pengisian. Tak tahu pula siapa yang dijemput.
Aku menapak ke block C. Mahu ke bilik seminar 24. Baru sahaja aku membuka pintu masuk ke block C, tiba-tiba aku terlanggar seseorang. Bertabur buku-buku di lantai. Alamakk..
“Opss..maafkan ana,” spontan aku meminta maaf tanpa memandang siapa yang telah kulanggar.
Aku tunduk memungut buku-bukunya yang terjatuh. Buku bertajuk “Jalan Dakwah Antara Qiadah dan Jundiyah dan Bekalan Dakwah, Petunjuk Di Sepanjang Jalan karangan Mustafa Masyhur’ aku pungut di lantai. Baru sahaja buku itu aku khatamkan minggu lepas. Aku bangun berdiri. Sebening anak mataku tertancap pada sekeping wajah mulus itu. Segera aku melarikan pandangan. Debar di hati bagaikan detikan bom jangka menunggu untuk meletup sahaja. Aku menghulurkan buku-buku itu padanya. Tak sangka nak bertemu dengannya petang itu.
“Minta maaf,”ujar kami serentak. Aku terus tersipu-sipu sendiri.
“Oh, ustazah ada meeting ke?,”
“Taklah..Ana ada iftor dengan anak-anak usrah ana.Ustaz ada apa di sini?,”soalku kembali.
“Ana dijemput untuk bagi pengisian.Saidatul yang jemput,”
“Oh, anak usrah ana la tu.Oh, jadi ustaz penceramah yang adik-adik jemput rupanya.Jomlah ustaz,”aku memberi laluan padanya.
Iman menapak ke BS24. Aku menyusul di belakangnya. Tiba-tiba rasa segan bertimpa-timpa. Tak apa, dia tak tahu pun. Aku pula buat-buat biasa ja. Selesai pengisian petang itu, Iman minta diri. Dia tidak dapat iftor sama-sama. Ada kerja katanya. Jadi, petang itu, hanya aku sahaja yang akan beriftor sama-sama dengan anak-anak usrahku. Cuma pada petang itu, sebelum beredar, Iman tiba-tiba memanggilku.
“Ustazah Annur Miazara..,”
Dia mengisyaratkan agar aku bertemunya di luar BS24. Ada apa agaknya? Iman ni buat aku berdebar-debar pula.
“Siti, ikut akak jap..Teman akak jumpa ustaz kejap,” aku menarik lengan Siti Nasuha membuntutiku ke luar BS24.
“Ya ustaz.Ada apa?,”soalku lagi.
Iman menghulurkan wang. Terkejut aku. Aku serentak mengangkat wajah menentang anak matanya. Untuk apa pula duit ini? Begitulah anak mataku menyoal Iman. Saat itu Iman tersenyum. Anak matanya bercahaya. Aku tertunduk entah kenapa. Cahaya dari sepasang anak mata itu seperti menembus terus ke hatiku.
“Ni duit sumbangan ana untuk program terdekat ni.Maaflah, ana tak dapat join.Tak dapat juga nak memenuhi undangan ceramah.Komitmen bulan ni dah full.Lebih-lebih lagi hujung-hujung minggu.Memang tak dapat.Maaf ya,”
“Ohh..duit sumbangan.Ingatkan apa tadi,”
“Nahh..terimalah..,”
Sekali lagi dia menghulurkan wang itu padaku. Aku lantas mengambil duit itu dari tangannya. Entah kenapa hatiku rasa tersentap. Mungkin kerana ini pertama kali aku menerima dan mengambil barang dari tangan muslimin. Dari tangan ke tangan. Kebetulan pula, tiada kerusi atau meja di situ. Jadi, terpaksa juga aku menerimanya dari tangan Iman sendiri. Biasanya aku akan meminta barangan yang dihulurkan muslimin diletakkan di atas kerusi atau meja. Dan aku mengambil barangan itu dari kerusi dan meja itu sahaja. Tapi, tidak kali ini.
“Terima kasih ustaz,”ujarku sekilas memandang wajah putih bersih itu.
“Afwan,.Moga Allah permudahkan urusan mentarbiyah adik-adik ya,”sempat lagi dia berpesan.
Aku mengangguk. “Insya’allah ustaz..Doakan ya..Syukranjazilan..,”
Iman mengangguk. Lantas berlalu. Aku dan Siti juga kembali ke dalam BS24. Bersedia untuk iftor bersama anak-anak usrah.
“Kak Annur, ramai kakak-kakak dan ustaz-ustaz tahun akhir yang dah kahwin kan.Akak bila lagi?,”Saidatul dah mulakan perbulan tak formal petang itu. Usrah juga kan.
Masih berbaki 15 minit sebelum masuk waktu berbuka.
“Hmm..Akak malas nak fikir lagi la hal-hal tu semua.Calon pun tak ada lagi,”ujarku beralasan dengan alasan biasa.
“Haa..Min rasa ada seseorang yang sangat sesuai untuk akak tau,hehe..,”
Aimin menjeling-jeling pada sahabat-sahabatnya yang lain. Mereka sama-sama ketawa. Macam 1 fikiran ja mereka semua ini. Hmm.. Aku dah tersipu-sipu. Kenapalah asyik-asyik isu ni juga yang timbul?Hmm..
“Ish..pandai-pandai ja Min ni.Entah siapa yang nakkan akak ni,”aku tergelak.
“Alaaa..kami tau la.Akak kan kakak kami.Insya’allah, kami doakan untuk akak ya,”Halimah pula mencelah.
Azan berkumandang.
“Ok, dah azan.Jomlah beriftor.Adik-adik ni macam-macam la..Hishh,”ujarku lagi.
Mereka semua ketawa. Alhamdulillahh..tenang hatiku dapat menatap wajah-wajah mereka ini. Mereka dah seperti adik-adik kandungku.
Malam itu sesudah sampai di bilik, aku mengeluarkan wang pemberian Iman tadi. RM50 itu aku renung-renungkan. Entah kenapa aku jadi sayang pula dengan wang itu. Aku akhirnya menukarkan wang itu dengan wangku. Wang yang diberikan Iman itu kini menjadi wangku. Wangku pula aku akan berikan pada bendahari program terdekat sebagai sumbangan dari Iman.
Aku membuka album gambar. Lukisan Iman yang satu-satunya aku lukis kini aku pandang. Dalam puluhan gambar Iman yang aku lukis, hanya satu gambar ini sahaja yang berjaya aku lukis dan lukisan itu menjadi seiras wajah Iman. Lukisan itu aku lukis lebih 3 tahun lepas. Aku terus menyisip wang RM50 itu di bawah lukisan Iman itu. Andai kami berjodoh, satu masa nanti, aku akan tunjukkan lukisan ini pada Iman. Dan aku akan minta Iman jenguk di belakangnya. Pasti dia terkejut melihat wang miliknya masih kusimpan. Hehe..macam lawak pula kan.
Esoknya jumaat bertandang lagi. Hari ini genap 2 minggu aku beristikharah. Kali ini, aku memusatkan untuk mengosongkan hatiku dari sebarang perasaan. Tak nak perasaan mempengaruhi keputusanku. Aku dah berjanji. Ini istikharah akhir. Istikharah yang akan menentukan keputusan hidupku selepas ini. Andai Allah masih tunjukkan Iman, aku akan terus menunggu hikmah Allah dari segala yang berlaku ini. Jika sebaliknya, aku akan cuba masuk semula ke meja rundingan baitul muslim.
Petang itu, selesai asar, aku berteleku sendiri di tikar sejadah. Akak bersendiri saat itu. Jalilah dah keluar. Turun makan. Memang aku sendiri mahu bersendiri. Aku bersolat hajat diikuti solat istikharah. Lama sujud akhirku. Tak sedar, air mata ini meluncur laju. Basah telekung solat. Aku tidak tahu kenapa. Tapi, apa yang kurasakan, seperti ada angin yang masuk ke hatiku. Angin itu seperti menolak segala yang kupendamkan, keluar dari relung hatiku. Keluar berupa bicara kalamku denganNya. Aku bercakap-cakap dengan Allah. Memang saat ini kuluahkan segalanya pada Allah. Dia yang lebih Maha Mengetahui hati hamba-hambaNya. Aku hanya berserah padaNya. Dialah selama-lamanya Pemilik cintaku. Allahhu Akbarr..
Merasa sedikit tenang sesudah berdoa. Aku bangun perlahan. Duduk di kerusi. Lama handsetku aku pandang. “Ya Allah, jika masih dia menjadi jawapan istikharahku, gerakkan hati dia untuk mengirim khabar padaku.Andai Kau masih tunjukkan dia, maka selamanya aku akan menunggu sehingga Kau tunjukkan hikmahMu padaku ya Allah.Aku menunggu hikmahMu.Bukan menunggu dia,”. Aku tidak tahu kenapa hatiku mendetik begitu. Namun aku akhirnya sedar sendiri. Mana mungkin dia akan mesej aku jika tidak ada apa-apa urusan. Aku ingin bangun. Ingin membuang telekung solat. Tapi, tiba-tiba ada bunyi mesej masuk. Hatiku segera terdetikkan dia. Adakah mesej itu dari dia? Adakah mesej itu dari Iman? Hatiku berdebar. Bagai nak pecah jantungku bila kubuka, memang mesej itu dari dia. Mesej dari Iman yang masuk ke inbox handsetku. Aku menyandarkan tubuh ke kerusi. Dada terus bermain getar. Getar yang tak terjumlah. Adakah ini pentunjukMu ya Allah? Lambat-lambat aku membukanya.....
Subhanallahh.. Melihat mesej itu, aku hanya mampu bertasbih. Lantas aku menyembah sujud syukur.. Allahhu Akbarr.. Hanya padaMu kami meminta, dan hanya padaMu kami memohon pertolongan dan petunjukk..
Bersambung ke bahagian 4....tunggu dan tunggu lagi ya..entah bilalah cite ni nak abihh..
3 Januari 2011, Kolej Kediaman Kinabalu (8th), UMKL

Thursday, January 6, 2011

Cerpen : AKU BELAJAR TENTANG CINTA (Bahagian 2)


Dah hampir 3 minggu berlalu. Aku masih tidak memberikan sebarang jawapan pada kak Safinah. Lamaran itu kusisih ke tepi. Aulakan pada gerak kerja yang semakin bertimbun. Minggu depan pun dah masuk study week. Banyak urusan akademik juga yang menuntut fokusku. Malas nak fikir sebenarnya. Ya Allah, berikan aku petunjukMu. Andai lamaran itu baik untukku, berikanlah padaku. Namun, jika memang Kau dah tetapkan Iman jodohku, maka aku sentiasa akan berlapang dada ya Allah. Menunggu ketentuan hikmahMu..
“Iman, perlukah aku menuntut jawapan darimu?,”
Persoalan itu masih tinggal soalan. Masih tiada jawapan. Tiba-tiba air mataku menitis. Entah dari mana datangnya air mata itu. Aku tidak tahu dari mana datangnya satu perasaan aneh dari relung hatiku yang paling dalam. Kenapa air mata ini harus menitis? Hatiku meruntun-runtun untuk meminta penjelasan dari Iman sendiri. Entah kenapa aku tidak percaya apa yang dikatakan Kak Safinah.
“Annur..Annurr.. kalau kita mahukan seseorang, kita perlu berusaha.Jodoh takkan datang bergolek pada kita.Kita yang kena berusaha mencari.Berusaha berikhtiar.Iman tu dah taqdim muslimat lain.Mereka dah nak kahwin dah pun..,”
Hatiku mengulang dua ayat yang akhir itu.
“Iman tu dah taqdim muslimat lain.Mereka dah nak kahwin dah pun..,”
Iman, betulkah begitu? Betulkah kau dah taqdim muslimat lain?Betukah dah nak kahwin?
Sasarlah sangkaanku selama ini yang Iman tidak memikirkan hal-hal hati ini. Salahlah sangkaanku selama ini yang Iman hanya memusatkan hatinya pada gerak kerja Islam semata-mata. Bersalahkah kalau aku meminta penjelasan darinya sendiri? Sekadar untuk menetapkan hatiku? Ya Allah, bantulah aku. Aku menaip mesej pada dia. Pada Iman. Bantulah aku untuk buat keputusan ini.
“Salam.Maaf ganggu ustaz.Ana mahu bertanya.Muslimat yang dilamar seorang muslimin, bila dia beristikharah, jawapan istikharahnya muslimin lain.Boleh tak dia bertanya terlebih dahulu pada muslimin yang muncul dalam istikharahnya itu?Sebelum menimbangkan lamaran tadi?,”
“Wslm.Ohh..bagi ana tak ada masalah.Muslimat tu boleh bertanyakan pada muslimin tu.Itu hak muslimat tu untuk tetapkan hatinya,”
“Baiklah ustaz.Macam ni cerita sebenarnya.Ada seorang muslimat, sahabat kita juga.Dah lama dia menyimpan hati pada ustaz.Sejak di Nilam Puri lagi.Langsung dia tidak pernah bercerita tentang hal tu dengan sesiapa pun.Banyak lamaran yang datang.Tapi, Allah memberikan jawapan yang tunjukkan ustaz sebagai jawapan istikharahnya.Sehinggalah baru-baru ini, dia dilamar lagi. Allah masih tunjukkan ustaz sebagai jawapan istikharahnya. Dia dapat tahu, ustaz dah mentaqdim seorang muslimat. Dia tidak puas hati. Dia minta tolong ana untuk tanyakan pada ustaz sendiri.Sama hal itu benar atau tidak.Bolehkah ustaz kemukakan kebenarannya?Bantulah dia untuk buat keputusan ustaz.Ana janji, ini kali pertama dan kali terakhir ana bantu dia tanyakan pada ustaz.Maaf..dia nak tanya sebelum ni lagi.Tapi dia takut hal ni mengganggu ustaz.Mohon respon dan nasihat terbaik,”
Hatiku berdebar sendiri. Iman, tolong respon. Dah beberapa jam berlalu, sepi. Tiada respon. Hatiku nanar. Lebih risau, jika Iman dapat membaca hatiku saat itu. Rasa kesal pula. Aku tidak ingin kehilangan persahabatan ini. Walaupun tiada jodoh dengan Iman, cukuplah aku menjadi teman seperjuangannya hingga ke akhirat.
“Ustaz, mohon respon.Bantulah dia membuat keputusan.Dia hanya mahukan satu jawapan. Betul atau tidak ustaz dah taqdim muslimat lain?,”
Aku semakin terdesak. Hatiku gusar. Semakin gusar. Aku lebih takut kehilangan persahabatan ini. Moga Iman tidak menyangka yang buruk-buruk padaku.
“Kenapa dia wakilkan pada ustazah pula?,”
Hatiku menahan debar. Aku tahu, dia seperti meraguiku. Dia cuba membaca hatiku. Allahhu Akbarr..
“Manalah ana tahu.Mungkin dia percayakan ana.Tak kisahlah.Asalkan ustaz memberikan ana 1 jawapan.Tu dah cukup ustaz.Dah lama dia pendamkan.Bantulah dia untuk dia buat keputusan yang penting ini,”
“Ana masih tak fikirkan apa-apa lagi pasal hal tu semua.Gerak kerja jemaah perlu diaulakan.Tak sesuai lagi nak fikirkan hal-hal tu semua.Isu disiplin ahli jemaah semakin tenat.Ramai yang pentingkan diri sendiri.Mengutamakan hal hati lebih dari amanah terhadap gerak kerja jemaah. Hingga terabaikan amanah terhadap gerak kerja jemaah.Ana tidak mahu menjadi segolongan dari mereka.Amanah gerak kerja jemaah lebih utama untuk saat ini.Ana tak fikirkan hal lain lagi.Terima kasih bertanyakan ana.Kirimkan salam ana pada dia ya ustazah,”
Waalaikumussalam w.b.t.. Salamnya kujawab. Setitis air mataku gugur. Entah air mata itu datang dari mana.
Keharuan hatiku membaca mesej itu. Mesej itu untukku. Khas untukku dari Iman. Air mataku makin meluncur gugur. Aku tidak tahu kenapa pula air mata ini gugur. Lega atau kecewa? Yang nyatanya hatiku rasa lebih tenang. Sekurang-kurangnya Iman memberikan jawapan yang berlawanan dengan apa yang telah dikatakan oleh kak Safinah. Bibirku tersenyum tiba-tiba.
Cinta Allah dijanjikan untuk mereka yang mencintai Allah dan perjuangan Islam. Benarkah ada hati yang mencintai Allah dan perjuangan Islam lebih dari cintanya pada kenikmatan cinta dunia?Wujudkah cinta yang begitu?Jika ada, aku mahu pada hati itu.Tapi siapa?Di mana dia? Wujudkah cinta begitu di hati Iman?
Iman, terima kasih atas jawapanmu. Jawapanmu memberikan aku lorong. Untukku tetapkan keputusan ini. Serta merta hati ini turut bertaut jihad dari hatimu. Moga Allah menemukan kau dengan cintamu. Kau sedang membina jambatan untuk bertemuNya di sana dengan cintamu.
Esoknya, seperti yang dijanjikan, aku bertemu dengan kak Safinah. Nekad kali ini. Masih dengan jawapan yang sama. Menolak lamaran yang datang sebelum masanya.
“Annur, kenapa enti masih nak mengelak?Degil.Kenapa tak nak bagi peluang pada hati?Kenapa nak tutup pintu hati tu?Orang yang merisik Annur ni bukan calang-calang orang tau,”
Kak Safinah dah berubah wajah. Wajah lembut itu sudah semakin tegang. Mungkin tekanan dari orang yang mahu melamarku agaknya. Aku tidak ambil hati pada gerak tindak kak Safinah. Aku cuba meletakkan diriku di tempatnya. Mungkin jika aku yang menerima tanggungjawab itu, aku juga akan jadi seperti kak Safinah?
Aku hanya menundukkan wajah. Berdoa, semoga Allah sentiasa meletakkan hati ini dalam keadaan tenang. Kerana aku yakin, gerak hatiku adalah ilham dan petunjuk dari Allah. Bukan main-main dalam soal istikharah. Aku sudahpun buat istikharah. Aku dah pun berikan jawapannya. Takkan kak Safinah tak boleh terima jawapanku? Aku buat keputusan bukan sebab Iman. Tapi, sebab keyakinan yang Allah hunikan di relung hatiku. Kerana Allah. Kerana petunjuk dan gerak hati yang Allah berikan.
“Kak, Annur dah buat istikharah.Itulah jawapan yang Annur boleh bagi.Harap kak dapat terima keputusan Annur.Mungkin kerana orang tu ‘bukan calang-calang orang’.Jadi, tinggi sangat darjatnya berbanding dengan Annur ni kak.Tak layak nak terima lamaran ‘orang yang bukan calang-calang orang’ tu kak.Annur minta maaf ya kak.Annur doakan dia bertemu calon yang lebih baik.Annur ni serba kekurangan kak.Tak layak pun untuk muslimin ahli jemaah,” ujarku dengan nada lirih.
“Annur..Akak tak fahamlah dengan enti ni.Orang nak pada enti.Enti jual mahal.Kenapa enti tak buka hati enti.Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi Annur.Akak tahu, enti masih nak berharap pada Iman kan?Dengar cakap akak ni.Akak makan garam dulu dari enti.Iman tu dah nak kahwin dah.Tak payah lagi enti nak tunggu-tunggu dia.Kalau enti bagitahu dia pasal istikharah enti tu sejak dulu tak apalah juga.Enti ingat, jodoh nak datang bergolek tanpa berusaha?Sia-sia sahaja enti tunggu dia,”
Aku membungkam sejuta bahasa. Rasa berbahang wajah saat itu. Kata-katanya sedikit mencalarkan hatiku. Ya, mungkin aku diibaratkan seperti menunggu bulan jatuh ke riba, tak jatuh-jatuh juga. Bahkan tak jatuh. Tak kusangka kakak yang aku hormati itu boleh keluarkan kata-kata begitu? Mungkin sebab dah tertekan sangat agaknya. Siapa agaknya muslimin itu ya. Bersungguh-sungguh sangat dia nak melamar aku.
Astagfirullahh.. Jika satu ketika aku dicaturkan Allah untuk berada di tempat kak Safinah, dalam menguruskan hal-hal jodoh ahli gerakan ni, insya’allah, aku akan jadi seorang kakak yang boleh meminjamkan bahu pada seorang adik. Yang boleh mengesat air mata seorang adik yang masih mentah dalam hal-hal hati ini. Yang boleh memberikan kata-kata semangat agar tidak berhenti berputus asa dalam berdoa. Yang boleh menjadi seorang kakak yang boleh menenangkan hati adik-adik yang gusar mahu menetapkan keputusan. Yang jadi seorang kakak yang tambah menambahkan kecintaan seorang adik pada Allah. Baitul Muslim adalah jalan menyatukan 2 hati ahli gerakan. Cara yang bersih berlandaskan syara’. Harus diuruskan penuh tertib dan beradab dari segenap sudut. Bukan dengan cara paksaan. Hubungan perlu dibentuk kerana Allah, bukan dengan paksaan yang berlapik-lapik.
“Tak apalah kak.Annur langsung tak mengharapkan pada Iman kak.Dia hanyalah jawapan istikharah yang Allah berikan pada Annur.Allah berikan dia jawapan pada Annur untuk membantu Annur membuat keputusan penting dalam hidup Annur.Iman hanyalah jawapan istikharah pada Annur kak.Tidak lebih dari itu.Dan Annur tak pernah berharap pada dia kak.Melainkan redha dengan ketetapan Allah pada Annur.Jalan jihad Annur masih jauh.Gerak kerja jemaah menjadi pilihan utama buat detik ini kak,”ujarku lagi cuba buat kak Safinah faham.
“Takkan kalau dah kahwin, tak boleh nak teruskan jihad?Annur perlukan seseorang untuk pegang Annur.Bukankah dengan jalan kahwin ini, Annur akan lebih terjaga.Lebih mudah nak bawa diri dalam gerakan?,”
Aku tersenyum. Aku akui kata-kata kak Safinah tu. Cuma, jika aku menerima seseorang, aku akan terima dia kerana Allah dan perjuangan Islam. Bukan sebab nak bergantung jihad dengan dia. Bukan juga atas sebab, aku perlukan dia untuk jaga aku. jauh sekali sebab terpaksa atau kasihan. Jika ditakdir aku bersendiri selama-lamanya pun, aku tidak akan bersendiri. Melainkan Allah ada di sisiku. Dah cukup. Memang aku sedang belajar meletakkan cinta Allah di hadapan.
“Annur tak kisah kak.Jika tiada yang menemani, cukuplah Allah sebagai Penolong dan Pelindung.Selama ini, Allah yang memegang hati Annur.Allah yang menjaga Annur dalam gerak kerja Islam selama ini kak.Annur redha dengan segala ketentuan Allah.Annur tak mengharap apa-apa lagi selain hanya untuk berada dekat dengan Allah kak,”
“Hm..susahnya nak cakap dengan enti.Tak semua orang dapat lamaran BM ni.Annur bertuah menjadi insan terpilih.Bersyukurlah sikit,”
“Kak, belum tentu lagi muslimin yang nak taqdim Annur tu baik untuk Annur.Siapa kita nak cakap, hubungan melalui BM adalah yang terbaik.Sedangkan hanya Allah yang Maha Maklum.Annur boleh buat keputusan ni sebab dengan keizinan Allah dan petunjuk dari Allah juga kak.Bukan dari kehendak nafsu sendiri.Biarlah kalau kak cakap Iman dah taqdim muslimat lain.Annur tak ada kena mengena dengan Iman.Iman juga tak ada kena mengena dengan Annur.Cuma Allah tunjukkan Iman sebagai jawapan istikharah Annur.Dari dulu hingga sekarang.Annur faham dengan mesej Allah kak.Walaupun Allah tunjukkan Iman, tak semestinya Iman betul-betul berjodoh dengan Annur.Jadi, Annur awal-awal lagi tak pernah menyimpan apa-apa harapan pada Iman kak.Annur lebih nak tunggu hikmah Allah di sebalik semua ini kak,”
“Hmm..kalau itulah pendirian Annur.Baiklah..Akak tak nak paksa Annur.Moga terus istiqamah dalam gerak kerja Islam,”
“Insya’allah kak.Syukranjazilan..Jazakillahh,”
Kalam itu menutup pertemuan kami pada petang itu. Alhamdulillahh..Tenang merajai hatiku saat ini. Subhanallahh...syukran ya Allah. Iman, terima kasih. Moga keputusan yang aku buat ini baik untuk gerak kerja Islam. Moga cabaran ini baik untuk mengecas jihadku. Moga dengan dugaan sekecil ini bisa meletakkan aku sentiasa terus berada dalam istiqamah dalam gerak kerja Islam ini.
Bersambung ke bahagian 3....nantikan sambungannya ya..banyak lagi sambung dan sambung..
28Dis’2010, 10.00 p.m, Jalan Raja Dewa, Telipot, KB, Kelantan

Monday, January 3, 2011

Cerpen : AKU BELAJAR TENTANG CINTA (Bahagian 1)


Bhgian 1
“Annur..nak ke mana?,”suara lunak itu milik Azwa yang comel.
Aku menjawab soalannya dengan senyuman. Lantas salamnya aku sambut. Aku perlahankan langkah. Menunggu mahu beriringan dengan Azwa.
“Annur nak ke Api.Ada meeting,”ujarku. Akhir-akhir ini banyak program tarbiyah yang menuntut komitmen. Perlu perbincangan serius. Kami beriringan menunggu bas di luar pintu gate Kolej Kediaman Kinabalu.
“Haii..Annur ni dah tahun akhir pun busy juga ya?Saya tengok, kawan-kawan seangkatan Annur yang 1batch SMPI dengan kita, semuanya taklah nampak busy macam Annur.Busy dengan subjek SMPI ada la..Apa sangat la yang Annur busykan ya,”
Aku tersenyum. Sebenarnya tiada istilah henti bagi seorang aktivis tarbiyah. Hmm..rasa tak layak diri ini nak mengaku aktivis tarbiyah. Walau apa pun, sebagai seorang mahasiswa Islam yang ditaklifkan amanah untuk kerja-kerja Islam, aku sentiasa beringat, sesekali jangan abaikan kerja-kerja Islam walau sesibuk mana pun. Masalah ummat, tetap perlu difikirkan.
“Tak ada busy la Wawa..Annur memang suka involve program PMI.Kekadang jadi pelaksana. Kekadang jadi pemantau sahaja.Sayang nak tinggalkan gerak kerja tarbiyah.Dah jadi darah daging Annur dah Wawa,”ujarku tulus.
Selagi aku masih bernafas di bumi uni Malaya ini, selagi itu tanggungjawab tarbiyah di kampus ini tetap terpundak di bahu ini. Azwa tersenyum.
“Wahh..Wawa tabik la dengan Annur.Annur kuat.Moga terus istiqamah ya.Wawa ni, ahli PMI juga.Tapi, Wawa sendiri kecewa sendiri dengan diri Wawa.Wawa tak sekuat Annur dan sahabat-sahabat.Wawa dah lama tinggalkan dunia perjuangan.Wawa fokus pada akademik,”
Aku tersenyum. Tangan kananku menyentuh tangannya. Kuusap lembut jemarinya. Azwa memang pernah terlibat dalam gerak kerja tarbiyah. Sama-sama denganku. Namun, dia mengundur diri. Mahu fokus akademik. Tak mampu nak bawa katanya. Memang akademik dia tahap dekan. Bagus sangat.
“Wawa..jangan sedih.Alhamdulillah..Wawa fokus akademik.Mudah-mudahan kecemerlangan Wawa dalam akademik itu akan dapat membantu untuk Islam juga.Ilmu-ilmu yang Wawa dapat dan timba itu, mudah-mudahan berguna untuk Islam.Bukankah ia juga gerak kerja Islam?,”
Aku cuba memujuk. Azwa tersenyum.
“Annurr..kerja-kerja jugak.Tu..jari tu bila nak bersarung?,”soal Azwa lagi.
Aku tergelak. Tiba-tiba pula Azwa ni masuk topik tu kenapa. Aku pandang jari manis kanan. Jari ini memang masih tidak bersarung cincin. Aku tersenyum pada Azwa.
“Wawa ni..siapalah yang nak dengan Annur ni?Hehe..Annur rasa, macam kanak-kanan rebina lagilah Wawa..kalau Annur tak nak fikir lagi pasal hal-hal hati boleh ke Wawa?,”sengaja aku mahu menduga.
Azwa ketawa. Pantas jari telunjuk kanannya mencuit pipiku.
“Ellehh..rupa cute macam ni mustahil tak ada orang yang nak.Agaknya Annur yang jual mahal kot?Bohonglah tak ada calon lagi,”ujar Azwa lagi.
Aku ketawa. Azwa ni. Orang cakp betul, dia sangka orang main-main pulak. Hmm.. persoalan begini memang biasa ditanyakan padaku. Bukan setakat Azwa seorang yang tanya. Ramai lagi sahabat-sahabat yang bertanya. Namun, aku hanya respon dengan satu jawapan sahaja.
“Wawa..hati Annur hanya mahu mengejar cinta Allah.Annur mahu cuba sempurnakan janji Annur pada Allah dan perjuangan Islam.Selagi Annur masih bernafas, Annur tidak akan palingkan hati ini dari gerak kerja tarbiyah ini.Lebih-lebih lagi gerak kerja tarbiyah di kampus ini.Banyak lagi yang belum langsai.Tak nak hal hati jadi fitnah pada gerak kerja Islam,”ujarku lagi.
Azwa memegang bahuku. Ada senyuman di bibirnya.
“Alhamdulillahh.. Annur jaga hak Allah, insya’allah Allah jaga hak dan hidup Annur. Insya’allah,”ujar Azwa lagi.
“Wawa bila lagi nak jamu nasi minyak ni?Tu..kat jari manis tu, bila bersarung?Tak tahu pun,” anak mataku pula yang tertancap pada cincin bertatahkan berlian berbentuk hati di jari manis Azwa.
Azwa tersenyum.
“Alhamdulillah, baru sebulan diikat.Maaflah tak jemput Annur.Pihak lelaki tiba-tiba sahaja hantarkan pinangan.Family buat kenduri kecil-kecil sahaja,”
Aku tersenyum. Tumpang gembira. Patutlah berseri-seri wajahnya.
“Alhamdulillahh..baguslah.Siapa muslimin bertuah tu Wawa?Annur kenal?,”
Azwa senyum malu-malu. Dah naik merah dah pipi tu.
“Malu Wawa nak cakap nama dia..Hmm.. dengan Hisyam,”akhirnya dia memberitahu.
Aku tersenyum. Azwa pernah ceritakan padaku tentang Hisyam sebelum ini. Alhamdulillah, semoga panjang jodoh mereka hingga ke walimah. Bahagia dunia dan akhirat.
“Alhamdulillah..tahniah Wawa..,”ujarku lagi.
Wawa tersipu-sipu. Mengangguk-angguk. Bas UM ke Api dah tiba ke perkarangan kolej kediaman ke lapan.
“Jom Wawa..,”ujarku.
“Jom..jomm..,”balas Wawa lagi.
Sepanjang perjalanan ke Api, fikiran kulayarkan pada persoalan Wawa tadi.
“Annurr..kerja-kerja jugak.Tu..jari tu bila nak bersarung?,”
Wawa dah lama berhubungan dengan Hisyam. Sejak mereka masih di Nilam Puri lagi mereka dah berkawan. Alhamdulillah, Allah panjangkan jodoh mereka. Lega dengar mereka dah bertunang. Tu tandanya, Hisyam bertanggungjawab melunaskan janjinya pada Azwa. Janji beralas cinta.
Sebut tentang cinta,pasti kita terbayangkan batang tubuh lelaki dan perempuan kan? Apa maksud cinta sebenarnya? Cinta yg bagaimana? Betulkah nak wujudkan cinta perlu libatkan dua hati adam dan hawa? Tidakkah cinta itu perlu dipusatkan hanya pada Allah? Berapa ramai manusia yang bernama hamba memusatkan seluruh cintanya pada Allah? Berapa ramai lagi yang memusatkan seluruh jiwa, raga, nyawa dan darahnya untuk Islam. Hanya untuk meraih cinta Allah?
Teringat lima bulan yang lepas, kak Hanum ada bertemu denganku. Membawakan lamaran seorang muslimin. Muslimin Kedah yang sedang mencari calon. Kak Hanum mahu kirakan dia untukku. Ahh..kenapa pula aku yang menjadi pilihannya? Apa yang ada padaku?
“Annur..fikirlah baik-baik. Dr. Saif Al-Qamar ini baru sahaja grad dari UM. Dia mahukan zaujah bercirikan ustazah. Dr. minta akak tanyakan pada batch adik-adik.Akak terdetik Annur. Sesuai sangat dengan Dr. ni.Sama kecik.Sama padan.Mohon Annur fikirkan ya.Rugi lepaskan orang sebaik Dr.Saif ni,”ujar kak Hanum dengan wajah mengharap.
Ya. Aku kenal juga dengan Dr.Saif Al-Qamar ini. Orangnya hebat. Disegani ramai. Dia juga antara aktivis kampus yang aktif dalam urusan gerak kerja dakwah dan tarbiyah di kampus ini. Rasa kecilnya aku saat ini. Tak layak sangat aku nak fikirkan lamaran itu.
Sudahnya aku beristikharah. Namun, gerak hatiku menetapkan tidak menerima lamaran itu. Lalu aku menolak lamaran itu dengan baik. Sebab apa? Sebab aku tidak mahu hal hati mengganggu fokus hatiku pada gerak kerja tarbiyah. Satu sebab lagi, Allah masih tunjukkan ‘dia’ sebagai jawapan istikharahku. Dia yang masih lagi menjadi jawapan istikharahku sehingga ke hari ini. Aku tersenyum sendiri. Ya. Aku hanya menganggap dia hanya jawapan istikharah yang Allah berikan padaku. Yang Allah berikan padaku untuk membantuku membuat keputusan. Dan lamaran itu pun berlalu. Semoga Dr. Saif al-Qamar bertemu jodoh dengan muslimat yang lebih baik. Ameenn..
Dua bulan lepas pula, di celahan keributan aku berperang dan berlumba dengan masa, tiba-tiba malam itu aku terima satu mesej. Mesej dari seorang sahabat muslimin SMPI. Mesej dari Sufian.
“Salam.Annur..boleh saya tanya Annur beberapa soalan?,”
“Wslm.Baik akh Sufian.Ada apa?Insya’allah, ana cuba jawab,”
“Annur dah berpunya ke belum?,”
Aku tersenyum membaca mesej itu. Dah dapat mengagak apa sebenarnya respon yang dia mahukan. Nak merisik aku rupanya. Ishh..ishh…CObaann..
“Belum.Kenapa akh Sufian?,”
“Annur dah bersedia ke belum?,”
“Bukan tak bersedia.Cuma, hati ana masih tak terbuka lagi untuk hal-hal hati ni.Banyak lagi tanggungjawab dan amanah gerak kerja yang ana perlu selesaikan.Ana masih tidak mahu fikirkan tentang hal-hal hati ni.Ana ni masih baby jagung lagi lah akh Sufian.Rasa macam kecik lagi nak fikir hal-hal tu.Tak matang lagi.Jadi, ana mohon maaf ya,”
“Hmm..Baiklah.Jika itu pendirian Annur, insya’allah, nanti ana sampaikan respon Annur pada muslimin itu ya,”
“Baik..Ana doakan semoga Allah berikan dia seorang muslimat solehah lagi mukminah.Moga pilihan Allah itu lebih baik,”
“Na’am..Syukranjazilan..,”
“Afwan..,”
Aku menggeleng-geleng sendiri. Mengulum senyum. Di tengah-tengah larian jihad ini, tak nak mencelah dengan hal-hal yang tak sepatutnya difikirkan. Masa yang ada perlu diisi baik-baik dengan gerak kerja Islam.Perlu diisi masa yang Allah bagi dengan rasa amanah terhadap gerak kerja Islam. Yakin dengan janji Allah.. Kita jaga agamaNya, Allah jaga urusan hidup kita dunia dan akhirat.
Bas shuttle UM jalan 1 berhenti di perkarangan APIUM. Aku menapak turun. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Bunyi handset. Ada mesej. Dari kak Safinah.
“Slm.Annur..enti ada masa lapang tak hari ni?,”
“Wslm.Maaf kak.Hari ni kelas full.Tapi, insya’allah, dalam jam 5 petang nanti Annur free.Ada apa kak?,”
“Hmm..tak apa.Nanti enti mesej akak bila dah habis kelas ya.Akak nak jumpa enti,”
“Insya’allah..Baiklah kak,”
Petang itu, sebaik habis kelas petang itu, seperti yang dijanjikan, aku bertemu dengan kak Safinah. Senyuman manis menyambutku. Salam kami bertaut. Bertukar pelukan juga. Lembut wajah kak Safinah menenangkan jiwa. Seri pengantinnya masih ada. Walimah yang diikat dengan Baitul Muslim. Suaminya seorang aktivis masyhur UM. Kak Safinah tersenyum. Kami duduk berhadapan di kafetaria Apium.
“Akak apa khabar?,”
“Alhamdulillah..sihat.Annur apa khabar?Sekarang di tahun berapa?,”
“Ohh..alhamdulillah kak.Sentiasa dalam tarbiyah Allah.Sekarang Annur berada di tahun akhir kak.Ada apa akak nak jumpa Annur?,”
Kak Safinah tersenyum. Dia menyentuh jemariku. Tiba-tiba dadaku bergetar debar. Senyuman di wajahnya begitu mendebarkan hatiku. Ada apa sebenarnya ni?Hmm..
“Annur..boleh terus terang dengan akak?Annur dah berpunya ke?,”
Aku tersenyum. Rupanya kak Safinah mahu merisik aku. Ahh..sekali lagi ada yang mahu melamar. Memang Allah mahu uji. Memang aku sedang diuji Allah.
“Kak, Annur masih tak ada sesiapa kak,”
Kak Safinah tersenyum. Tanganku digenggamnya. Erat. Wajahnya berbunga-bunga dengan senyuman. Wajah mengharap. Ahh..
“Annur, akak bawakan lamaran seorang muslimin.Ada muslimin merisik Annur.Mahu buat baitul muslim dengan Annur,”
Lidahku kelu. Wajah ‘dia’ tiba-tiba menerpa ke minda.
“Kak, Annur tak fikir lagi tentang hal ni kak.Annur masih tak bersedia kak,”
“Annur..jangan bagi jawapan macam tu.Annur kena bagi peluang pada hati.Buka pintu hati Annur tu.Jangan tutup hati tu lama-lama sangat.Tapi, kenapa Annur tak nak fikir lagi?Annur jangan bagi alasan.Ataukah Annur ada orang lain?,”
Aku terdiam. Wajah dia semakin membesar di minda. Selama ini dia menjadi jawapan istikharahku. Sekali lagi kak Safinah menyentuh jemariku.
“Annur, cuba bagitahu akak.Annur simpan hati pada siapa ni?,”
Aku diam. Wajah dah rasa berbahang. Kak Safinah masih galak merenungku.
“Hmm..Annur tak ada tunggu sesiapa kak.Cuma, Annur memang tak nak fikirkan lagi hal hati ni kak.Buat masa ni, tanggungjawab pada akademik dan gerak kerja lebih aula kak,”
Kak Safinah tersenyum.
“Annur, jangan bagi alasan.Annur jangan sembunyikan hati.Siapa muslimin tu Annur.Cuba ceritakan pada akak.Mana tau kot-kot akak boleh tolong?,”
Aku tersenyum. Tawar. Sebenarnya aku sendiri tak rasa apa-apa pada dia. Cuma aku anggap dia hanya sekadar jawapan istikharah yang Allah tunjukkan padaku. Aku tahu, Allah sedang menjaga hatiku. Lebih-lebih lagi aku sendiri tidak sihat. Aku tidak rasa, seseorang akan dapat terima diriku jika tahu aku sakit. Jadi, dengan sebab itu, awal-awal lagi aku dah kunci rapat-rapat hatiku ini. Tak mengharap dan tak nak memberi harapan pada sesiapa. Biar selamanya hati ini menjadi milikNya. Allah akan sentiasa terima aku walau apa jua keadaanku.
“Kak, before ni dah ada yang masuk melamar.Tapi, istikharah Annur masih pada ‘dia’.Dia jawapan istikharah Annur kak.Tapi, Annur tak mengharap pun pada dia.Hanya menganggap dia hanyalah jawapan istikharah Annur sahaja.Jawapan yang Allah bagi.Jadi, Annur simpulkan, Annur masih tak nak fikirkan lagi hal-hal hati ni kak.Nak berjuang puas-puas dahulu,”ujarku panjang lebar.
“Siapa muslimin tu?Cakaplah kat akak,”kak Safinah mula mendesak.
“Hmm..Orang Perlis kak, batch Annur,”
“Siapa?Bagitahulah namanya..,”
“Hmm..Err.. Iman kak,”meluncur nama itu seiring dengan nafas penuh getar di dada.
Kak Safinah tersenyum.
“Annur..Annurr.. kalau kita mahukan seseorang, kita perlu berusaha.Jodoh takkan datang bergolek pada kita.Kita yang kena berusaha mencari.Berusaha berikhtiar.Iman tu dah taqdim muslimat lain.Mereka dah nak kahwin dah pun..,”
Tiba-tiba terasa dunia terhenti. Sunyi. Kelam. Aku mati kalam. Aku tak berani memandang wajah kak Safinah. Hatiku semakin kelam. Ada guruh yang mula berdentum. Cuaca semakin dingin. Sekejap lagi pasti hujan. Aku tidak tahu kenapa tiba-tiba hatiku semakin terasa dingin.
“Annur..akak nasihatkan, Annur timbangkan lamaran tadi ya.Bukan calang-calang orang yang masuk melamar Annur ni.Ambiklah masa untuk fikirkan lamaran ini,”
Aku hanya mengangguk.
“Boleh Annur tahu siapa dia yang mahu melamar Annur tu kak?,”
Kak Safinah tersenyum.
“Orangnya muslimin berasal dari Selangor.Orangnya wara’.Juga aktivis tarbiyah.Maaflah, akak terpaksa rahsiakan namanya.Annur perlu betul-betul bersedia, barulah akak boleh maklumkan hal lebih lanjut tentang dia,”
Aku mengangguk. Senyum tawar. Tak ada apa-apa perasaan.
“Baiklah kak.Insya’allah, Annur ambik masa untuk beristikharah.Kak, tentang Iman tu, rahsiakan ya.Annur tak tahu dia dah taqdim muslimat lain.Akak rahsiakan ya.Annur tak pernah cakapkan hal Iman tu pada sesiapapun sebelum ni.Harap kak rahsiakan ya,”
Kak Safinah mengusap lenganku. Kami bersalaman. Sempat juga kak Safinah memelukku.
“Banyak berdoa ya.Moga Allah tentukan yang terbaik,”bisiknya lagi.
Aku mengangguk.“Insya’allah kak..,”
Salam kami sekali lagi bertaut. Ucapan salam mengakhiri pertemuan petang itu.
Bersambung ke bahagian 2....nantikan sambungan kisah ini ya..
28Dis’2010, 4.00 p.m, Jalan Raja Dewa, Telipot, KB, Kelantan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...