BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, May 19, 2011

Dari Jauh Kugamitkan Rindu..


Baru sahaja 5 hari berada di Banting, namun saya rasa macam dah berada di sini sudah lebih dari seminggu. Rindunya pada gerak kerja tarbiyah yang selama ini menjadi pedamping. Rindu pada riak wajah adik-adik saya yang sentiasa menjadi peneman kala susah, senang, sunyi, suka dan duka.
..Adik-adikku sekalian, rindukah kalian pada diriku? Apa khabar gerak kerja tarbiyah dan perjuangan yang kutinggalkan pada kalian? Walaupun baru sahaja 6 hari akak meninggalkan kalian dan bumi kampus UM, namun terasa seperti sudah lama sangat. Dan hati ini akhirnya hanya melaut rindu pada meeting, pada iftor, pada gelak tawa kalian, pada usul-usul idea dalam meeting, pada usikan-usikan nakal kalian. Allahh.. Rindunya akak pada kalian. Insya'allah.. Akak akan ke UMKL pada 29-31Mei ini. Ada urusan di API. Moga kita dapat ketemu walau seketika ya. Akak sangat rindukan kalian semua.. Rindu sangatt..
Hari ini saya mesej pada adik-adik saya. Namun hanya sepi sahaja. Tiada tanda-tanda inbox ini akan menerima mesej balasan. Adakah saya ini sudah tidak boleh untuk mencampuri urusan gerak kerja tarbiyah? Sedangkan amanah itu terasa masih terjunjung di pundak kecil ini? Mungkin hanya sekadar perasaan dan emosi saya yang kini diamuk rindu pada gerak kerja lalu. Perjuangan tarbiyah masih di hati ini. Bahkan saya mengharung detik-detik hidup saya kini dengan lampiran istigfar yang tidak bertepi, kerana berhadapan dengan realiti kerja Islam yang lebih menuntut kesabaran. Lebih-lebih lagi ke arah mencernakan keikhlasan dalam diri untuk terjun ke lapangan mad’u sedangkan di hati ini masih mendetik rasa cinta pada gerak kerja lampau. Namun saya tidak dapat menipu diri bahawa saya sangat merindui bumi tarbiyah. Merindui kalian yang pernah bersama-sama saya dalam perjuangan. Moga langkah kaki saya dalam dunia perjuangan bukan yang terakhir hanya setakat saya berada di UM pada tarikh 13 Mei 2011 sahaja.
..Ya Allah, tsabatkan aku terus istiqamah berada di jalan ini..
Kalau sebelum ini, saya sangat suka membuka YM. Yela..tinggal di kolej, ada wifi. Jadi setiapkali YM dengan adik-adik, itulah yang akan jadi usrah saya dengan mereka. Apa khabar kalian semua ya? Semoga baik-baik, sentiasa berada dalam tarbiyah Allah serta mendapat perlindungan Allah s.w.t. Namun, di Banting ini, berlainan pula konsep usrah saya. Lapangan usrah saya kali ini lebih luas. Misi untuk menebarkan fikrah. Ada usrah yang perlu saya rencahkan bersama sahabat-sahabat serumah ini. Ada usrah yang perlu saya rencahkan bersama para guru-guru. Ada usrah yang perlu saya rencahkan bersama anak-anak murid saya nanti. Semuanya itu adalah tanggungjawab saya di sini. Dan semestinya saya menyediakan usrah juga untuk ibu dan ayah saya di kampung setiapkali saya menghubungi mereka di telefon. Sedikit perkara pun, itulah yang akan saya lakukan.
Usrah dengan sahabat-sahabat, sewaktu berada di rumah adalah ketika sama-sama bermesyuarat tentang hal rumah, kemudian ketika sama-sama masak di dapur, ketika sama-sama buat kerja, ketika sama-sama solat, ketika sama-sama menonton kisah (laptop aninah), ketika sama-sama makan (sarapan, makan tengahari dan makan malam), ketika sama-sama mengampai baju dan ketika sama-sama tidur. Hehe..dah duduk serumah, waktu tidur pun waktu usrah juga.
Usrah dengan guru-guru, saat berkomunikasi, bersembang dan ketika bertemu di surau dan bilik guru. Senyum, Sapa dan Salam menjadi methodnya. Usrah dengan anak-anak murid, setakat ini hanya senyum, sapa dan salam sahaja. Saya masih belum mengajar kerana murid-murid akan menduduki exam bermula minggu ini hingga minggu depan. Saya hanya menjaga exam. Tapi, tetap ada mesej juga yang saya sedia untuk selitkan. Insya’allah saya mula mengajar selepas waktu cuti nanti, 13 Jun 2011.

Di rumah sewa ini juga, saya berkenalan dengan 3 ekor kucing comel. Mereka 3 beradik kerana wajah mereka seiras dan mereka tidak bergaduh. Cuma bergaduh saat berebutkan ikan yang saya bagi sahaja. Hehe..3 ekor kucing ini sering menemani saya saat saya memasak di dapur. Akhirnya saya namakan mereka MEOW, MUMU dan MIMI.. Kucing yang berwarna oren, namanya MEOW. Kucing yang berwarna koko, namanya MUMU. Kucing yang berwarna putih tompok hitam namanya MIMI. Mereka ini jinak-jinak merpati dengan saya. Saat saya memasak di dapur, mereka suka duduk di luar tingkap. Tapi jika saya mahu pegang mereka, mereka lari. Hmm..malu-malu arnab lagi dengan saya nampaknya. Hm.. Setiapkali saya dan sahabat-sahabat masak, merekalah yang akan datang meminta makanan. Tidak henti mengiau-ngiau di tepi tingkap dapur. Lebih-lebih lagi saat saya siangkan ikan. Hidung kucing kan, memang peka dengan bau ikan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dengan adanya mereka di sini, dapat juga saya dan sahabat-sahabat saya memberi mereka makan. Bukanlah setiap kebaikan itu adalah sedekah?

Sebut tentang masakan. Saya tidak boleh lupa saat saya masak Ikan Talapia Masak Sambal pada hari kelmarin, 18 Mei 2011. Saya tidak punya kelas pagi sebab kelas saya petang. Tapi saya pergi juga ke sekolah pada kelas pagi. Hikmahnya saya bertemu dengan ustaz Firdaus, guru ganti guru asal yang mengajar Bahasa Arab. Ambil mandat Bahasa Arab dulu dengan ustaz Firdaus. Ustaz Firdaus pun mengajar hingga 27 Mei ini sahaja, menggantikan ustazah Amirah yang cuti bersalin. Selepas ini saya akan merujuk ustazah Amirah pula. Jadi, saya dan Aninah pulang sekejap ke rumah, untuk masak tengahari. Kerana kami akan ada kelas pada petang itu. Jadi menu saya hari ini adalah Ikan Talapia Masak Sambal. Sambil memasak saya beristigfar. Bimbang tak sempat. Yela.. Ikan air tawar kan. Kena siang dan hilangkan hanyir dulu. Kemudian, barulah boleh masakkan ia. Agak memakan proses yang lama juga. Namun, kerana bimbang saya tidak sempat makan, jadi ketika saya sedang masak, Aninah la yang menyuapkan bubur ke mulut saya. Bubur itu saya masak malam semalam untuk sarapan pagi tadi. Aninah suapkan saya agar kalau tidak sempat makan tengahari, bubur itu boleh menjadi alas perut sementara sebelum saya pulang ke rumah selepas kelas petang nanti. Habis kelas 6.20 petang. Saya hanya mampu mengucap tahmid di hati tatkala mendapat sahabat seperti Aninah. Allahhu Akbar.. Betapa saya dambakan ukhwah sebegini. Makan sesuap, tinggal serumah, tidur sekatil, makan sepinggan, minum secawan dan sebagainya. Saya sangat bersyukur dikurniakan Allah sahabat-sahabat yang sangat memahami diri saya. Merekalah yang banyak membantu saya selama ini. Lebih-lebih lagi dalam hal akademik saya. Yang paling memahami saya adalah Aninah.  Sejak di tahun 1 lagi Aninah begitu tulus dalam persahabatan kami. Beliau antara sahabat saya yang paling memahami saya, baik dalam gerak kerja, dalam akademik mahupun dalam hal peribadi saya, sungguhpun beliau bukan ahli gerakan. Subhanallah, beliau memahami saya lebih dari ahli gerakan sendiri. Saya amat menghargai dirinya dengan saya memberi sepenuh kepercayaan saya padanya. Ada sahabat yang merungut kerana tidak tahan dengan ‘komitmen’ saya suatu ketika dahulu. Namun Aninah ini tidak langsung merungut saya. Malah beliau ringan tulang dan ikhlas membantu saya. Alhamdulillah, Allah memberikan saya rezki seorang teman yang solehah. Sesolehah Aninah.
..Ani, moga Allah permudahkan segala urusan hidupmu di dunia dan akhirat.. Aminn..
Tepat telahan saya, saya tidak sempat makan tengahari itu kerana berkejar-kejar nak ke kelas. Kelas tengahari itu adalah pada jam 1.20 dan kami perlu berada di sana lebih kurang jam 1.15. Namun seusai Ikan Talapia Masak Sambal saya siap, terus sahaja saya minta Aninah makan dulu. Sementara saya pergi bersiap. Alhamdulillah, Aninah sempat makan. Yela.. Aninah ada gastrik. Saya dah biasa tak makan sepanjang hari. Lagipun Aninah ada suapkan bubur pada saya tadi. Insya'allah, tubuh saya tidak akan lemah jika bukan dengan izin Allah. Dah cukup gembira saya tatkala sahabat-sahabat suka makan apa yang saya masak. Masak dengan hati juga tau, kerana Allah dan untuk ibadah kepada Allah. Alhamdulillah, Aninah sempat makan. Lagi dua orang sahabat saya, Raisah dan Kak Liza kelas pagi. Allah.. berlari-larilah kami berdua. Namun, on time juga kami tiba di sekolah.
..Im, lepas ni saya dah tak mau tergesa-gesa ke sekolah macam ni.. Boleh patah tumit kasut dan boleh melecet kaki kita ni im..Huhu..
Dan saya hanya menerima kata-kata Aninah itu dengan seulas senyuman.
Terbaru saya baru berkenalan dengan seseorang yang saya iktirafkan di hari saya sebagai seorang murabbiyah. Alhamdulillah, Allah berikan saya seorang murabbiyah yang saya panggil beliau ‘umi’. Saya sangat bersyukur tatkala beliau menyukai panggilan itu dan mengizinkan saya mengiktiraf beliau sebagai 'umi' dan murabbiyah saya.  Saya baru sahaja berkenalan dengan umi minggu lepas. Kira-kira baru 6 hari usia perkenalan kami. Waktu pertama kali bertemu umi, saya berdebar-debar juga. Bertemu pun secara on the spot sahaja. Pertemuan yang tidak terjangka. Namun tatkala melihat wajahnya, hati saya berasa tenang dan tenteram. Subhanallah, pertemuan dan perpisahan yang berlaku dalam masa yang sangat singkat tetapi cukup berbekas di hati saya. Pertemuan yang saya tidak akan lupakan selamanya. Jiwa saya lebih rasa tenang tatkala menerima mesej ucapan Hari Guru dari umi. Memang pada mulanya, saya ingin bermesej dengan umi. Tapi saya segan. Yela..baru sahaja kenal kan. Alhamdulillah, Allah gerakkan hati umi untuk menghulur salam ukhwah pada saya. Menyambung siri ukhwah selepas pertemuan singkat itu. Bahkan saya memang menanti kunjungan ukhwah umi. Banyak perkara yang saya mahu belajar dari umi. Moga ukhwah ini berpanjangan hingga ke akhirat. Aminn..
..Terima kasih ya Allah, kerana memberikan peluang kepadaku untuk berada dekat di hati umi..
Sepanjang saya berada di rantau orang ini, saya menganggap umi sebagai murabbiyah saya, dan saya adalah anak usrah beliau. Sedikit sebanyak doa-doa beliau menyuntik semangat saya untuk tidak culas dalam membuat persediaan untuk menjadi seorang guru yang meletakkan Islam di hadapan dalam apa jua keadaan dan kondisi. Insya’allah, jika ada jodoh pertemuan lagi, dapatlah saya bertemu umi lagi.. Moga Allah juga mempermudahkan segala urusan umi dunia dan akhirat..
Sekadar itu sahaja untuk catatan kali ini..
Note : Jika ada sesiapa di luar sana yang merindui diri ini, maka berikanlah doa pada saya. Saya amat perlukan doa kalian semua, wahai teman-teman seperjuanganku. Di kala berada di kejauhan ini, moga rindu inilah yang menjadi penghubung ukhwah antara kita semua.. Rindu di saat pertemuan yang merencah ukhwah, dan perpisahan saat itu bukan yang terakhir, bahkan jika tiada lagi pertemuan di dunia, insya’allah semoga ada pertemuan kita di syurga Allah kelak..
Subhanallahh.. WAlhamdulillah ya Allah.. WAllahhu Akbarr..
Sekian untuk catatan kali ini..
Note : Lagu ini semua yang mengenali saya.. Salam rindu, teramat sayang..

~Aleesy AnNurIman~
Rumah Sewa,
19 Mei 2011, 8.56 pm..
Taman Sri, Banting, Selangor..

16 Mei 2011, Pertama Kali Menyambut Hari Guru sebagai Guru..




Kami guru Malaysia..

Berikrar dan berjanji..
Mendidik dan memimpin..
Putra putri Negara kita..          

Pada Seri Paduka..
Kami tumpahkan setia..
Rukun Negara kita..
Panduan hidup kita semua..

Di bidang pembangunan..
Kami tetap bersama..
Membantu, membina..
Negara yang tercinta..

Amanah yang diberi
Kami tak persiakan..
Apa yang kami janji..
Tunai tetap kami tunaikan..

Subhanallahh..hari ini hari pertama saya menjejakkan langkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Dato’ sebagai guru praktikal. Macam-macam rasa ada. Fuhh.. Rasa macam budak sekolah baru nak masuk darjah 1 sahaja. Seawal jam 5 pagi sudah bangun bersiap. Solat subuh dan siapkan sarapan. Sarapan pagi hari ini Nasi Goreng dan milo panas. Bekalan untuk sepanjang hari kami berada di sekolah nanti.
Jam 7.10 minit pagi, kami bergegas keluar dari rumah, berjalan kaki ke sekolah. Tarbiyah bagi kami untuk berjalan kaki. Masuk sahaja ke perkarangan sekolah, mata dan senyuman anak-anak murid menyapa kami. Barangkali mereka sedikit hairan melihat kami. Maklumlah, guru baru di hari guru. Cuma yang agak rugi, kami tidak dimaklumkan bahawa sambutan hari guru ini bertemakan warna hijau. Jadi, dalam ramai-ramai guru di sekolah ini, hanya saya dan kak Liza sahaja yang tidak memakai baju berwarna hijau. Alahaii.. jadi, ke mana sahaja kami pergi, sudah tentu menjadi perhatian. Malah ada juga guru-guru yang bertanyakan kepada kami ‘kenapa tidak memakai baju tema hari guru?’. Hmm..
Masuk sahaja ke pejabat, kami terus bertemu Puan Mulia, Ketua Bidang SMK Telok Dato’ ini. Puan Mulia menunjukkan jadual kami. Namun kerana masih ada masa yang perlu dipinda, jadi Puan Mulia tidak memberikan lagi jadual tersebut. Di akhir kelas nanti barulah beliau akan berikan jadual tersebut kepada kami. Seterusnya, kami disapa dan diramah mesra dengan beberapa orang guru yang sedia maklum kedatangan kami pada hari ini. Malah, kami turut dijemput untuk join sambutan hari guru.
Seawal pagi jam 7.30, murid-murid sudahpun berkumpul di tapak perhimpunan untuk taklimat ringkas dan diambil kedatangan. Pada jam 7.45pagi kami mengikuti perarakan bersama para guru ke hadapan perhimpunan. Setelah mengambil tempat masing-masing, majlis perhimpunan pun bermula. Acara pagi di perhimpunan diuruskan oleh Badan Pengawas SMK Telok Dato’. 
Acara di tapak perhimpunan bermula dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, bacaan doa oleh wakil pelajar, ucapan wakil ketua pelajar, ucapan Tuan Pengetua, ikrar guru, perutusan Hari Guru, nyanyian hari guru dan penyampaian cenderahati kepada guru. Tapi kami tiadalah terima apa-apa hadiah. Namun kami sangat bersyukur diberikan peluang untuk sama-sama menyambut hari guru pada hari ini. Inilah pertama kali saya turut bersama-sama dengan para guru menyanyikan lagu Guru Malaysia. Kalau dulu saya hanya mendengar guru-guru saya yang menyanyikan lagu ini. Kali ini saya pula yang menyanyikan lagu ini sebagai seorang guru. Subhanallah..teringat saya pada para guru-guru saya yang mendidik saya sehingga lahirnya saya sebagai seorang guru yang hari ini. Allahhu Akbar.. Wahai guru-guruku, semoga kalian semua sentiasa berada dalam lembayung rahmat Allah dan dilimpahi rahmatNya yang tiada bertepi serta diberikan kemudahan atas segala urusan di dunia dan di akhirat.. Aminn..
Seterusnya, rehat seketika dan semua para guru bersarapan. Sementara para guru bersarapan, kami bertemu seketika dengan guru pembimbing kami untuk subjek Bahasa Arab, ustaz Ishak. Awal-awal kami sudah pun diuji bercakap Bahasa Arab. Bolehlah untuk berkomunikasi. Debar-debar juga. Dengarnya, ustaz Ishak ini guru Bahasa Arab yang sangat mantap di sini. Beliau pernah mengajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Allahhu Akbarr.. Beliau ada mengatakan mahu bertemu kami selepas itu kerana beliau terlibat dengan acara sukan hari guru di padang. Sesudah itu barulah bermulanya permainan sempena hari guru. Namun kami tidak pula join permainan tersebut. Hanya melihat di padang sahaja kerana kami ada agenda pertemuan dengan PK1 dan Tuan Pengetua. Meriah dan bersemangat guru-guru bertanding.
Kami kemudiannya lebih banyak bersama dengan guru pembimbing kami, Ustazah Saimah. Ustazah Saimah banyak menerangkan kepada kami bagaimana prosuder untuk kami guru praktikal dari sudut pengalaman beliau sendiri, permasalahan para pelajar di sini, hal urusan jadual, pendekatan terbaik kepada pelajar dan sebagainya. Beliau mengakui banyak idea untuk pengajaran. Namun tidak ada waktu untuk merencana idea-idea pengajaran tersebut. Besar harapan beliau agar dengan keberadaan kami di sini, dapatlah kami membantu beliau sedikit sebanyak. Malah beliau turut mahu membimbing kami dari sudut kaedah pengajaran yang paling sesuai untuk para pelajar di sini. Alhamdulillah.. Seterusnya sambutan hari guru diteruskan dengan acara persembahan pelajar. Selesai majlis, guru-guru dijemput ke kantin, untuk acara jamuan makan serta penyampaian hadiah bagi guru-guru yang memenangi acara mainan tadi. Meriah pula suasana di kantin. Hmmm..siapa yang tak gembira kan bila dapat hadiah.







Kami meneruskan sesi usrah dengan Ustazah Saimah. Kali ini makan bersama di meja makan. Banyak perkara yang beliau kongsikan bersama kami. Turut bersama kami adalah 2 orang guru praktikal dari UPSI, Cikgu Fairuz dan Cikgu Hushna. Mereka berdua masuk mengajar seminggu sebelum kami masuk pada 9 Mei lalu. Tempoh praktikal mereka sehingga bulan Ogos ini.
Usai sesi pagi berada di sekolah, Ustazah Saimah berbesar hati menumpangkan kami berempat pulang. Taman Sri memang terletak tidak jauh dari sekolah. Alhamdulillah, Allah permudahkan untuk urusan kami pada hari ini. Moga esok yang bakal datang akan memberi kami tarbiyah yang tak kunjung malap. Agar diri ini terdidik dengan tarbiyahNya sebelum mendidik.
Note : Seronok setiap kali murid Muslim beri salam pada saya… ‘Assalamualaikum ustazah..’ dan apabila murid non-Muslim tersenyum dan beri salam pada saya.. 'Salam cikgu..'..

~Aleesy AnNurIman~
Rumah Sewa,
18 Mei 2011, 10.09pm.
Taman Sri, Banting, Selangor

Tuesday, May 17, 2011

Hari-Hari Indah Terakhir Mengiringi Jejak ke Banting

Rumah sewa saya dan sahabat-sahabat di Banting

Alhamdulillah.. Dah lama rasanya saya tidak mengupdate sesawang Wadie AnNurfillah ini. Allahhu Akbarr.. Sebelum saya ceritakan mengenai rumah sewa saya di Banting, saya ingin kisahkan mengenai hari-hari sebelum saya ke Banting dahulu. Banyak perkara yang perlu saya selesaikan sebelum bertolak ke Banting. Sebelum tinggalkan bumi tarbiyah UM ini, saya perlu dulu meninggalkan ‘sesuatu’ untuk adik-adik saya. Saya tinggalkan ‘perjuangan’ saya dengan mereka. Jadi, saya harus pastikan mereka benar-benar telah bersedia untuk teruskan perjuangan dalam gerak kerja tarbiyah walaupun tanpa saya kelak.  
11 Mei 2011 (Rabu)                   
Terima kasih buat adik-adik saya yang meraikan hari perpisahan saya pada tarikh 11 Mei 2011 lalu. Sekurang-kurangnya mereka menghantar saya di majlis perpisahan sahaja. Alhamdulillah, itu dah cukup buat saya rasa sangat bersyukur. Insya’allah saya bawa mereka di dalam doa saya. Terima kasih atas kek perpisahan yang sangat sedap, sesedap ukhwah kita.
..Terima Kasih utk masjlis ini adik-adikku..

Tautan hati kita takkan terpisah walaupun jasad jauh dari pandangan. Sama-sama hidupkan ukhwah kita di dalam doa kita. Di hati ini tetap ada rinduku buat kalian, adik-adikku sayang. Terima kasih pada delegasi saff kepimpinan PMI yang sudi hadir ke majlis saya. Adik saya Muhammad Safwan Bin Anang, Hawari Bin Zakaria, Syis Bin Abdul Kadir, Ahmad Zahirudin Othman, Ahmad Kamilin Mohd Husni, Muhammad Arif Mustaqim Bin Zakaria, Ahmad Shahrir Basri Bin Suhaimi, Siti Fatimah Binti Rosli, Hasimah Binti Chik, Nur Basyira Binti Zainol, Awanis Binti Amran, Nur Hafiza, Maizatul Fariha Binti Azmi dan adik-adik yang tidak saya sertakan nama mereka. Ketahuilah adik-adikku sekalian, bahawa akak sangat sayang dengan kalian semua. Akak sangat menghargai kalian sebagai adik-adik akak. Kerana adanya kalian, maka adanya akak pada hati ini. Qadarallah yang menemukan kita. Adanya perpisahan sebagai pelengkap perpisahan. Jika tidak ada jodoh kita bertemu lagi di dunia ini, insya’allah semoga kita bertemu lagi di akhirat nanti. Cuma, hanya ada seorang adik saya yang tidak bertemu saya sebelum saya berangkat. Dah lama saya tidak bertemu dia. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa rindunya saya pada dia. Pesanan untuk si ‘dia’..
..Adikku, ada hikmahNya kenapa kita tidak diizinkan bertemu di saat-saat akhir akak berangkat. Dosaku menggunung tinggi padamu dik. Mungkin itu penghijabnya untuk kita. Betapa akak mengharapkan kehadiranmu dik.. Sangat-sangat mengharapkan kehadiranmu. Setidak-tidaknya kuharapkan ada mesej selamat jalan darimu.. Moga Allah terus jaga ukhwah ini adikku sayang.. Moga Allah terus jaga ukhwah kita adikku sayang..
12 Mei 2011 (Khamis)
Sempat lagi petang ini saya ajak adik-adik saya keluar membeli barang keperluan. Sebenarnya bukan keluar semata-mata kerana ingin beli barang, tetapi hati saya merasa sangat berat hati mahu melepaskan adik-adik saya ini.
..Basyira, nadhirah dan Ili.. Syukran kerana saat-saat akhir begini, kalian masih sudi keluar menemani akak..
Saya tidak punya adik. Jadi, adik-adik inilah adik-adik saya.. Hanya ada dalam UM. Ukhwah ini akan saya ingati. Ukhwah yang didasarkan atas landasan gerak kerja Islam.
Teringat saya sempat lagi kami berusrah di dalam kereta ketika perjalanan pulang ke UM dari membeli barang keperluan.
“Akak, apa pendapat akak pasal ikhtilat antara ahli gerakan dalam gerak kerja Islam?Boleh ke muslimat bagi tashje’ pada muslimin kalau muslimin minta?,” Ili yang sedang memandu sempat lagi bertanyakan saya.
Saya tersenyum.
“Bagi akak, lebih baik tak campurkan hubungan peribadi dan gerak kerja. Kita sendiri perlu jelas, siapa diri kita dan dia. Kita serius jaga disiplin dalam gerak kerja. Dan kita juga perlu jaga disiplin dalam gerak kerja. Jangan campur adukkan. Kelak, akan beri kesan pada gerak kerja juga. Jika muslimin minta nasihat muslimat, kena tengok juga apa tujuan muslimin tu sebenarnya? Minta dia cari sumber ‘penasihat’ yang lebih berautoriti untuk menasihatinya. Kerana kita bimbang, ‘nasihat’ dari muslimat tu pula yang akan memarahkan penyakit hati di dalam hatinya (jika ada masalah hati). Muslimat pun kalau nak bagi nasihat pada muslimin, kena la fikir, samada nasihat yang dia bagi tu akan tambah dekatkan muslimin tu pada Allah atau makin buat dia tersesat, berkhayal dan jauh dari Allah?,”
“Kalau akak sendiri?,”
Saya senyum lagi.
“Dalam disiplin gerak kerja akak selama ini, akak awal-awal lagi akan cakap dengan orang yang bekerja dengan akak, agar jangan sendkan pada akak sebarang ayat-ayat tashje’ atau yang berkaitan dengannya. Pernah ada muslimin yang melamar mahu berkawan dengana akak. Muslimin tu selalu sendkan mesej tashje’ pada akak. Akak cut terus. Akak tidak boleh terima. Risau menganggu kekusyukan hati. Syaitan kan ada caranya nak lemahkan manusia. Better kita tak ruangkan peluang untuk bagi syaitan celah. Astagfirullahhh..
Usrah petang itu akhirnya mencapai kata sepakat, bahawa hubungan antara muslimin dan muslimat dalam gerak kerja, lebih baik serius dan fokus hanya pada gerak kerja. Itulah ukhwah sebenarnya. Sesuatu yang diusahakan demi untuk survival gerak kerja Islam. Bila kita dapat capai matlamat, kitalah yang sama-sama akan rasai gembira dan sedih. Subhanllahh..
Terima kasih ili, Syi dan Nad..
13 Mei 2011 (Jumaat)
Terima kasih kepada adik-adik saya yang mengajak saya keluar pada pagi itu. Destinasi kami di Masjid Jamek. Sekadar berjalan-jalan sama-sama di waktu-waktu akhir saya akan berangkat ke Banting esoknya. Awanis, Awin dan Amal.. terima kasih adik-adikku. Cuma ‘dia’ tetap juga tidak muncul-muncul.. Sedihnya saya.. Namun saya redha andai inilah yang terbaik di sisi Allah.
Alhamdulillah, saat-saat akhir petang itu, Allah masih mahu beri saya seorang lagi adik. Subhanallah.. Sungguh saya tidak sangka, akan diukhwahkan dengan seorang adik ini. Dia sangat comel. Saat bersamanya, teringat saya pada adik saya yang seorang itu. Suaranya, gaya manja bercakap juga menyamai ‘dia’. Inilah adik baru saya yang saya panggil Hanis.
“Akak, macam mimpi pula kita jumpa macam ni kan kak?,”
“Ye Hanis.. Jika tidak kerana ada gambar ni, mesti kita akan rasa macam betul-betul mimpi kan,”

Kebetulan pula, saya bawa kamera saya walau ke mana saya pergi. Saya rasa, saat-saat indah dalam hidup saya perlu dirakamkan. Agar bila saya ceritakan ia secara berhikmah pada sahabat-sahabat dan adik-adik saya, maka itu akan jadi 1 usrah yang turut memberi hikmah kepada mereka juga. Ukhwah itu caring, sharing dan loving.
14 Mei 2011 (Sabtu)
Jangkaan pada mulanya kami akan bertolak ke Banting awal pagi. Tapi disebabkan banyak barang-barang yang kena angkat, jadi makan masa juga.
“Akak, akak dan kakak-kakak mengajar kat Banting tu 2 bulan kan? Jadi barang apa yang banyak sangat tu kak?,”
“Farid, memanglah kami mengajar 2 bulan sahaja. Tapi barang-barang ni barang-barang 4 tahun kami duduk di UM ni,”
Menggeleng-geleng Farid. Hehe.. Alhamdulillah, adik-adik saya yang akan turut serta hantarkan kami ialah Mohd Farid Zulkifly, Mohd Amirudin Suhaimi dan Mohd Rosdi Hassan. Teringat mesej Amir pada malam majlis perpisahan saya itu.
“Amir, kenapa Amir tak datang majlis?,”
“Minta maaf kak. Ana ada hal waktu tu. Hehe..tak apa kak. Ana sebenarnya dah plan dengan Farid, nak ikut dia antarkan akak,”
..Inilah rumah saya dan sahabat-sahabat..

Ini pula perkarangan sekolah saya dan sahabat-sahabat mengajar.
Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Dato', Banting, Selangor..

Alhamdulillah, mereka bertiga selamat menghantar kami dengan sebuah kereta dan MPV. Selesai memunggah barang masuk ke dalam rumah, sebelum berangkat, sempat lagi Farid menyoal saya,
“Akak, ada apa-apa wasiat tak nak pesan kami bawa balik kL?,”
Sedih pula saya. Saya berat hati nak tinggalkan adik-adik saya
“Jaga gerak kerja tarbiyah ya. Jenguk adik-adik,” senada sahaja saya menuturkannya.
Lambat-lambat Farid mengangguk.
Alhamdulillah, semuanya selesai.

..Raisah dan Aninah yang comel..

Penat mengemas pada petang itu..tiba-tiba..
“Im, perut saya berbunyi sudah. Saya lapar,”
Saya memang sedia maklum Ani tidak boleh lebih masa waktu makannya. Ani kena makan pada waktunya.
“Tak apa ani, saya masak,”
Bila dah duduk di rumah sewa ni, antara hobi baru saya adalah berada di dapur. Jadi Chef rumah sewa la pula saya ni. Saya sangat suka masak. Kalau balik rumah kat kampung, dapur tu 'ana' la yang punya. hehe.. Tapi saya bukanlah seorang yang pandai masak. Saya tak pandai masak tapi saya suka masak. Hmm..camne tu? Hehe.. Sesapa yang sudi, berilah tunjuk . -sumbangkan resepi. Insya’allah. Berikut adalah menu-menu yang saya masak sepanjang 3 hari kami sudah berada di sini. Menu-menu kampung biasa sahaja.. Alhamdulillah, dapatlah makan untuk terus kuat beribadah. Makan untuk hidup..Bukan hidup untuk makan..
..Menu hari pertama..

Menu hari pertama.. 
 
Menu hari kedua ini, Raisah yg masak..

 Menu hari kedua..


Menu hari ketiga..

Sekian dulu untuk catatan kali ini.
Note : Harap maaf kepada pembaca yang budiman. Kisah Tatkala Teratai Berbunga terpaksa ditangguhkan dahulu kisahnya. I’allah ada sambungannya untuk episod akan datang pada waktu yang lain..
Saya akhiri dengan lagu Getar Hati ini. Sekadar halwa telinga..

~Aleesy AnNurIman~
Rumah Sewa,
16 Mei 2011, 10.09pm.
Taman Sri, Banting, Selangor

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...