BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, February 8, 2011

ADA APA DENGAN 8 FEBRUARI..??


ALHAMDULILLAH..baru hari ini saya dapat meneliti kandungan buku BENARKAH MPMUM PENERAJU PERUBAHAN? Buku ini ditulis oleh adik saya juga, saudara Farid Jalpah.
Ok.. mari kita lihat ada apa dengan tarikh ini. Tanggal 8 Februari 2011. Saya mahu mengajak pembaca sekalian menjenguk kembali ke 2 tahun lepas. Tanggal 8 Februari 2009. Tarikh ini tarikh keramat apabila barisan kepimpinan baru MPMUM 2008/2009 telah dillantik secara rasminya. Gagasan baru yang ditubuhkan “Bersama Menjulang Tradisi Kecemerlangan” MPMUM 2008 / 2009. Apa yang diasaskan adalah HARAPAN dan PERUBAHAN pada mahasiswa Universiti Malaya di mana saat ini, kemenangan Pilihan Raya Kampus pada waktu itu menjadi milik Pro Mahasiswa.
Mengenang kembali kemenangan PRK pada tahun 2009 yang lepas menjadi milik Pro Mahasiswa, membuatkan saya tersenyum sendiri. Allahhu Akbar.. syahdu sangat saat-saat dinobatkan sebagai ‘kerajaan’ di bumi Uni Malaya saat itu.
Waktu itu, saya berada di tahun 2. Saya ingin berkongsi pengalaman sepanjang bergelar ‘runner’ dalam gerak kerja di kampus ini. Saya tidak memandang PRO M atau pro mahasiswa sebagai satu badan yang memusatkan mahasiswa untuk politik semata-mata. Tetapi, saya melihat usaha badan ini untuk kesatuan ukhwah seluruh warga Uni Malaya, baik muslim atau non muslim.
Saya teringat beberapa kisah saya sepanjang berada dalam usaha menggapai kemenangan yang lepas.
Kisah 1 (Kempen kolej ke kolej)
Biarpun kunjungan kami mendapat tentangan dari beberapa kolej kediaman, namun saya lihat semua sahabat-sahabat cool sahaja. Ya. Kami datang bukan hendak buat kacau, tetapi kami datang untuk menyampaikan risalah, info pencerahan tentang gagasan yang dibawa. Saat itu, harapan dan perubahan memang perlu dibumikan. Debu-debu di Uni Malaya perlu dibersihkan dengan hujan. Mahasiswa perlu disuntik dengan rasa sayang pada Uni Malaya, dan perlu disuntik dengan kesatuan fikiran dan ukhwah.
Saat itu, seingat saya, saya dan team oren bergempur masuk ke kolej-kolej kediaman, memberikan risalah Pro Mahasiswa. Kami datang secara berkumpulan. Masuk ke kolej-kolej juga secara berkumpulan. Tiada yang tertinggal. Bahkan keselamatan setiap ahli dijaga dengan rapi. Pihak kolej atau kakitangan kolej tidak boleh berbuat apa-apa. Sebab kunjungan kami adalah ziarah dan mahu menyampaikan info tentang gagasan yang akan dimurnikan di bumi Uni Malaya ini sekiranya tahun itu Pro M menjadi kerajaan di bumi Uni Malaya.
Bergerak dari kolej 1 sehinggalah berakhir di kolej 12. Rata-rata kolej menerima kunjungan kami. Cuma ada beberapa kolej sahaja yang tidak langsung membenarkan kami masuk. Padahal, bukannya kami tidak minta izin terlebih dahulu. Niat ziarah kami pula yang disalahtafsir sebagai menceroboh. Tak apalah, kita manusia biasa yang tidak lari dari berbuat kesalahan. Mohon saling bermaaf maafanlah.
Saya teringat, satu situasi yang agak ganas dari mereka yang tidak menyenangi kunjungan kami. Ketika seorang sahabat kami(perempuan) memberikan risalah info Pro M pada seorang pelajar di sebuah kolej kediaman, terus sahaja sahabat kami itu dipegang kedua tangannya dan pelajar itu cuba merampas segala risalah yang ada pada kami. Lalu, saat itu, saya lihat beberapa sahabat kami yang lain terus sahaja mara menyelamatkan sahabat kami yang dikasari tadi.
Saya pun tidak faham, apa sebenarnya yang membuatkan golongan ini tidak menyenangi gagasan yang kami bawa? Sedangkan gagasan yang dibawa itu merupakan pengharmonian ke arah membawa HARAPAN dan PERUBAHAN kepada seluruh mahasiswa Uni Malaya. Saat itu saya terasa seperti penjenayah la pula. Sanggupnya mereka mengasari kami.
Alangkah ruginya jika kita sebagai mahasiswa Islam yang berada di kampus ini tetapi menjadi mahasiswa yang hanya berpencak di dalam bilik kuliah sahaja. Tanpa mengambil kira urusan kampus. Setidak-tidaknya, berfikirlah untuk membawa wadah Islam di dalam kampus. Curahkan keringat setakat yang mampu. Usaha hari ini adalah untuk kemenangan hari esok.
Kisah 2 (Runner berkawal di kolej)
Saya ketawa sendirian bila memikirkan, ada satu malam itu, di kolej kediaman saya, ketika mundar-mandir menjalankan hirosah, tiba-tiba ada beberapa orang sahabat-sahabat di kolej yang bekerja menjadi pengedar risalah di sebelah pihak Pro Penggerak, atau ringkas gelarannya, ‘jentera penggerak’. Melihat saya dan kawan saya di luar pintu floor, mereka akhirnya berpatah balik. Tidak jadi mengedar. Saya ketawa sendiri. Sedangkan waktu itu sudahpun menginjak ke jam 3 pagi. Pasti mereka itu dimarahi ‘ketua’ jentera mereka kerana kerja pada malam itu tidak beres.
Saya lihat ada satu situasi lagi, pada malam yang sama, kedua-dua Pro M dan Pro Penggerak sama—sama mengedarkan risalah masing-masing. Yang si Pro Penggerak sambil-sambil mengedar, dia kutip semula risalah pro M yang telah diedarkan sahabat Pro M tadi. Lalu risalah-risalah pro M yang dikutip itu, dibuang pula ke tong sampah. Saya pelik sendiri. Kenapa pula dikutip semula risalah yang diedar oleh Pro M tadi? Bukankah pada malam itu, masing-masing ada agenda untuk mengedar risalah? Dari buang kat dalam tong sampah tu, lebih baik biarkan sahaja risalah itu terus berada di bawah pintu. Esok-esok, penghuni bilik bangun, boleh jugalah baca. Dapat juga info.
Saya selalu terfikir. Kenapalah kita yang saling membawa perjuangan ini, perlu bermusuh? Kan elok jika sama-sama buat kerja secara adil dan saksama? Fikirkanlah juga, kertas-kertas risalah itu, semuanya menggunakan duit. Saya tidak tahulah dari pada mana Pro Penggerak mendapat dana untuk membuat segala risalah-risalah itu. Namun, saya sangat maklum, risalah-risalah yang dikeluarkan untuk risalah Pro M, adalah dari sumbangan dana sahabat-sahabat Pro M juga. Nak berjuang, jadi perlulah berkorban sikit dari sudut dana, komitmen, masa, keringat dan air mata juga. Barulah perjuangan terasa bermakna.
Mungkin rata-rata mahasiswa merasa, hal-hal yang bernama perjuangan ini semuanya ‘membuang masa’ sahaja. Namun, semunya inilah yang merencahkan warna warni dalam perjuangan mahasiswa. Rugi pada mereka yang tidak mengambil peduli hal kampus. Tahniah kepada mereka yang belajar tentang perjuangan di kampus. Semuanya akan jadi satu pengalaman yang sangat berharga. Lebih baik keluar dari kampus dengan 1001 pengalaman berharga, Berbanding keluar dari kampus hanya dengan segulung ijazah sahaja. Orang ada cakap, pengalaman itulah yang akan mendewasakan kita. Ya, saya setuju sangat. Pengalaman buat kita rasa kuat. Pengalaman buat kita berani untuk mendepani masa depan yang tidak pasti bagaimana galanya.
Kisah 3 ( Cat Banner dan Tampal Poster)
Selalunya fenomena time PRK, memang akan ada kerja-kerja cat banner dan tampal poster. Tak mainlah buat banner di kedai. Banner yang dihasilkan adalah dengan kerjasama semua ahli Pro M yang begitu rindukan kemenangan Pro M di kampus. Demi membawa HARAPAN dan PERUBAHAN. Perjuangan bukan seorang-seorang. Tetapi perjuangan itu bersama dengan kesatuan hati mahasiswa yang inginkan perubahan. Berpuluh-puluh banner dicat, dan beratus-ratus poster disiapkan dengan kerjasama seluruh ahli Pro M, yang bekerja siang dan malam. Tanpa mengira penat dan lelah. Rasa rindu pada kemenangan itu, lebih banyak dari rasa sengal-sengal badan akibat berjaga seharian menyudahkan kerja-kerja mengecat, menggantung banner dan menampal poster.
Sehingga, apabila tiba banner didirikan, perlu pula ada yang menjaga dan memantau banner-banner itu. Risiko ditinggalkan, banner hilang. Ke mana banner menghilang? Haha.fikir-fikirkan sendiri. Jangan disalahkan angin yang memang kerjanya meniup. Tidak kurang juga dengan poster-poster yang ditampal. Perlu dipantau juga. Bimbang hilang sebelum dilihat orang.
Saat itu, ketika berada di kolej. Kekadang air mata saya menitis bila melihat poster-poster yang ditampal, disentap dan dikoyak. Malah direnyuk-renyukkan dan dibuang di dalam tong sampah atau di tepi longkang. Saya tidak melihat banner yang digantung itu hanya sekadar banner biasa. Saya juga tidak melihat poster-poster dan bahan edaran yang diedar itu hanyalah sekeping kertas biasa. Tetapi saya melihat, banner, poster dan kertas-kertas risalah itu, semuanya adalah keringat sahabat-sahabat Pro M yang bertungkus lumus siang dan malam untuk menyiapkannya. Malah menyiapkannya dengan penuh kasih sayang. Dengan sebab kasih sayang itulah, hati saya amat tersentuh dan air mata saya mengalir tatkala melihat banner yang digantung dicabut. Poster yang dilekatkan dicabut, direnyuk dan dibuang ke dalam tong sampah. Rasa seperti orang yang mencabut, merenyuk, mengoyak dan mencampakkannya ke longkang dan tong sampah itu, bagaikan macam ada hutang dan dendam yang tidak lepas sahaja. Macam musuh ketat pula. Ada satu poster Pro M, yang saya lihat cantik sangat. Poster itu beserta dengan mesej Keselamatan Mahasiswi dan Jimatkan Air. Bukannya mesej propaganda atau mesej yang tidak elok. Tetapi tetap juga masuk ke tong sampah. Alahaii..
Kisah 4 (Cat Oren)
Satu kisah, pada satu malam ketika persiapan gerak kerja dibuat. Saat itu tiada orang di rumah muslimin Pro M. Gempar pula bila halaman dan ruang tamu rumah muslimin itu disimbah dengan cat oren. Malah ada beberapa kereta siswi ahli Pro M turut disimbah dengan cat oren.
Saya pun pelik. Kenapalah sampai nak bazirkan cat-cat tu pergi simbah rumah orang dan simbah kereta orang pulak? Satu membazir cat. Dua membazir duit beli cat. Tiga, membazir keringat untuk selain 4 kerja-kerja amal. Kalau orang yang simbah cat tu pergi catkan cat tu kat balai raya pun boleh dapat pahala jugak. Hmmm...
Yang dapat selepas simbah-simbah cat tu, hanya penat aje la di samping kerugian duit dan cat. Dia dapat ‘puas’ aje kot. Yang lain-lain semuanya membazir.
Kisah 5 ( Fan Club)
Saya teringat, saat itu kami beramai-ramai mengunjung ke kawasan perumahan mahasiswa di luar kampus. Agenda kami ziarah dan berkempen. Saat dah penat-penat semuanya mengempen, tibalah kami kat satu gerai ni. Gerai tu ada jual cendol. Apa lagi? Calon-calon Umany yang kami ikut time tu siap buat kenduri cendol kat situ lagi. Habis semua berulang-ulang minum cendol kat sepanjang jalan berhampiran gerai itu. Semangkuk cendol kongsi 3-4 orang. Semuanya saling-saling menyuapkan. Subhanallah.. saat-saat indahnya ukhwah. Dan kenangan itu menjadi kenangan yang manis hingga sekarang di ingatan saya.
Kisah 6 ( Saat Bertugas)
Ketika hari pengundian, saya bertugas sebagai orang yang membuat pengiraan susulan bagi wakil Pro M. Tempat saya duduk adalah di lobi DTC. Malah ketika belum diumumkan lagi, saya dan team pengira sudahpun mendapat keputusannya. Namun, pengiraan kami , calon umum calon-calon Pro M saat itu menang kesemuanya. Tapi, bila pengumuman kemenangn calon umum, hanya 8 orang sahaja calon Pro M yang menang dengan jumlah undi tertinggi. Dan yang paling tertinggi saat itu sahabat saya, Akh Hafiz Ilyas.
Ketika pengiraan undi dibuat, rata-rata ahli Pro M yang bertugas di dalam DTC, sesekali datang menjenguk kami juga. Melihat keputusan yang kami kira semula. Itulah pentingnya undian secara manual berbanding E-Voting. Pengiraan undian manual, bukan setakat mereka yang bertugas mengira kertas undi itu mengiranya di dalam DTC sahaja. Malah, kami turut membuat pengiraan di luar DTC, di kawasan Lobi bagi mengelakkan berlakunya kesilapan pengiraan. Malah yang saya maklum, sewaktu pengiraan di dalam DTC dijalankan juga, ada wakil-wakil pemerhati kiraan dari peringkat Pro M dan Pro Penggerak sendiri. Bukankah itu lebih adil dan saksama berbanding undian secara E-Voting yang hanya berpaksi pada kemudahan komputer yang memang sifatnya tidak telus? Juga tidak rahsia. Kod-kod pelajar yang mengundi masih lagi dapat dikesan dan diketahui undiannya. Jadi, di mana demokrasi kampus? Hmm..
Kisah 7 ( Saat-Saat Kemenangan)
Ketika diumumkan kemenangan, ahli-ahli Pro M semuanya masih ramai di luar DTC. Semuanya menunggu-nunggu kemenangan diumumkan. Waktu itu seawal jam 4 pagi. Ada ahli yang ditugaskan untuk menyediakan makanan pada semua sahabat-sahabat yang masih menunggu keputusan diumumkan. Saya perhatikan, setiap ahli pro M saat itu saling suap menyuap sesama sendiri. Satu polisterin berisi nasi goreng yang dimasak di RM, dikongsi 2 orang. Air pula, satu cawan dikongsi 3 orang. Subhanallah..nampak nikmat ukhwah. Pasti saya abadikan saat-saat itu di dalam minda saya.
Ketika kemenangan diumumkan, saya lihat suasana DTC yang sangat syahdu. Hampir kesemua mahasiswa yang ada di situ mengalirkan air mata kesyukuran. Saya lihat juga sahabat-sahbat muslimin saling berpelukan dan menangis kesyukuran sesama mereka. Tidak kurang juga sahabat-sahabat muslimat yang juga saling berpelukan, menangis dan saling mengucap tahniah. Makin terasa zupp tarbiyah saat doa wehdah dilaungkan bersama sahutan takbir, menggegar Dewan Tunku Canselor itu. kali pertama laungan wehdah dan takbir itu bergema di dalam DTC itu. Dan kami semuanya bersujud syukur beramai-ramai di hadapan DTC. Allahhu Rabbiii.. Subhanallahh.. Allahhu Akbar.. Hanya itu sahaja kalimah yang meniti di bibir saya saat itu. Barulah saya tahu, betapa hati ini sangat merindui kemenangan itu. Dan saya rindui ia lagi.. Sentiasa rindui ia..
Berikut adalah potret-potret kenangan abadi semasa bersama sahabat-sahabat seperjuangan..

Team Pro M turun padang

Bersatu menyampaikan info kepada mahasiswa

Majoriti muslimat turun padang bergempur..
Muslimat bukan sayap kiri, tetapi tulang belakang
kemenangan Islam


Turun padang dengan riang ria,
menyampaikan risalah mahasiswa..
Pro M untuk mahasiswa..

Turun padang dengan harapan,
kembali dengan kemenangan


Memastikan mahasiswa mendapat info tentang
Pro Mahasiswa, dan membuat pilihan kepimpinan
yang terbaik

Usaha hari untuk kemenangan hari esok.. Perjuangan
umpama menanam biji benih hari ini..
hasilnya bukan untuk dituai hari ini..
kemenangannya adalah untuk generasi akan datang..
dan kemenangan hari ini adalah kerana
usaha-usaha sahabat-sahabat terdahulu..
marilah kita sentiasa berazam untuk
mengulang kemenangan..

Rupanya kemenangan Pro M di UM pada saat ini
adalah kerana kesatuan hati di peringkat ahli Pro M itu sendiri,
apa tunggu lagi? Jom sentiasa bersatu hati,
demi kemenangan yang kita rindui..

Akhir kalam..
Sepanjang saya menjadi seorang ‘amilin di kampus tarbiyah ini, saya amat bersyukur. Apa yang saya raih sepanjang saya berada di kampus inilah yang akan saya bawa keluar nanti. Ianya satu kenangan yang tidak terdapat di mana-mana. Hanya ada dalam arena perjuangan di kampus ini. Perjuangan yang hanya menjadi milik seseorang yang bergelar mahasiswa. Dan kita sentiasa akan menjadi perindu yang setia merindui kemenangan Islam. Saya ingin juga seru pada sahabat-sahabat dan adik-adik yang baru berjinak-jinak dengan dunia perjuangan. Berjalanlah.. Berlarilah.. Merangkaklah.. Asalkan sampai ke jalan juang perjuangan. Lambat atau cepat, asalkan kita sampai juga akhirnya di medan perjuangan itu. Selagi kaki masih berada di kampus ini, gunakan peluang yang ada sebaik-baiknya. Kita akan rasai kemanisan perjuangan itu di saat Allah berikan kemenangan. Namun, kita berjuang bukan untuk kemenangan. Tetapi kita berjuang kerana ia tanggungjawab dan kewajipan. Tak kisalah banyak mana pun usaha, selagi boleh berusaha, berusahalah. Jangan dilihat apa yang telah dilakukan.. Tetapi, fikirlah apa lagi yang belum disumbangkan.
Seharusnya kita bersyukur kerana Allah berikan kemenangan hanya dalam fasa yang singkat, agar kita tidak lupa diri, berleka-leka dan malas berjuang. Alhamdulillah, kerana Allah lambatkan kemenangan itulah yang menyuntik jihad kita agar sentiasa mahu berjuang. Agar sentiasa rasa mahu mengejar kemenangan. Tidaklah kita terleka dan hanya goyang kaki menunggu kemenangan tanpa usaha. Kejayaan dengan usaha adalah kemenangan. Sebaliknya kejayaan tanpa usaha adalah nasib dan kebetulan. Kegagalan tanpa usaha adalah kekalahan. Kegagalan dengan usaha adalah kejayaan yang tertunggak. Kegagalan tanpa usahaja juga jika kita yang gagal merancang, maka sebenarnya kita yang merancang untuk gagal.
Kemenangan Islam hanya Allah sahaja yang tahu bila waktunya. Namun, usaha untuk kemenangan Islam itu biarlah sentiasa bermula dari diri kita. Biar usahanya jadi seperti sungai yang mengalir tenang, hingga ke muara. Sentiasa mengalir dan mengalir. Tidak tahu bila akan berhenti mengalir sehingga tiba hari kiamat. Begitu juga dengan usaha kita dalam perjuangan Islam. Biar ada mulanya, tiada akhirnya. Ibarat menanam benih hari ini, dan hasilnya adalah untuk santapan anak-anak generasi akan datang. Usaha hari ini adalah untuk kemenangan hari esok. Kita gagal dengan usaha. Maka, kita sebenarnya bukan gagal, tetapi kemenangan yang tetunggak.
Ini laungan seruan saat perjuangan di zaman saya ketika itu..
HOPE AND CHANGE??.. YES..WE CAN!!..
HOPE AND CHANGE??.. YES..WE CAN!!..
STUDENT?? POWER!!..
STUDENT?? POWER!!..
TAKBIRR.. ALLAHHU AKBARR..
TAHMID..ALHAMDULILLAHH..
TASBIH..SUBHANALLAHH..
Renungi kata-kata ini..
“Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermulanya kita dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah, maka hidupnya amatlah panjang dan mendalam. Bermula dengan bermulanya kita dan berakhirnya dengan luputnya manusia di bumi ini.  Jika kita merasakan kitalah yang memulakan perjuangan ini, kita akan merasa sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat).. Ingatlah..bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para Nabi sehinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang..”
Imam As-Syahid Syed Qutb                                                                             
Saya akhiri catatan hari ini dengan rangkap lagu ini..

Bangkitlah Pejuang.. Bangkitlah.. Rapatkan Barisan.. Rapatkan..
Meneruskan Langkah Perjuangan.. Suara Dan Harapan Mahasiswa..
Bangkitlah Pejuang.. Bangkitlah.. Rapatkan Barisan Rapatkan..
Meneruskan Langkah Perjuangan.. Suara Dan Harapan Mahasiswa..

Kobarkan Dirimu Kobarkan.. Kentalkan Jiwamu Kentalkan..
Takkan Pernah Usai Pertarungan.. Hingga Tertegak Kebenaran..

Nyahkan Rasa Takut Dan Gentar.. Robohkan Segala Kebatilan..
Perjuangan Harapan Bersama.. Untukmu Varsiti Tercinta..
Nyahkan Rasa Takut Dan Gentar.. Robohkan Segala Kebatilan..
Perjuangan Harapan Bersama.. Untukmu Varsiti Tercinta..

Bangkitlah Pejuang.. Bangkitlah.. Rapatkan Barisan.. Rapatkan..
Meneruskan Langkah Perjuangan.. Suara Dan Harapan Mahasiswa..
Kobarkan Dirimu Kobarkan.. Gentarkan Jiwamu Gentarkan..
Takkan Pernah Usai Pertarungan.. Hingga Tertegak Kebenaran..

Nyahkan Rasa Takut Dan Gentar.. Robohkan Segala Kebatilan..
Perjuangan Harapan Bersama.. Untukmu Varsiti Tercinta..
Nyahkan Rasa Takut Dan Gentar.. Robohkan Segala Kebatilan..
Perjuangan Harapan Bersama.. Untukmu Varsiti Tercinta..

Bangkitlah Pejuang.. Bangkitlah.. Rapatkan Barisan.. Rapatkan..
Meneruskan Langkah Perjuangan.. Suara Dan Harapan Mahasiswa..
Kobarkan Dirimu Kobarkan.. Kentalkan Jiwamu Kentalkan..
Takkan Pernah Usai Pertarungan.. Hingga Tertegak Kebenaran..

Nyahkan Rasa Takut Dan Gentar.. Robohkan Segala Kebatilan..
Perjuangan Harapan Bersama.. Untukmu Varsiti Tercinta..
Nyahkan Rasa Takut Dan Gentar.. Robohkan Segala Kebatilan..
Perjuangan Harapan Bersama.. Untukmu Varsiti Tercinta..

Untukmu Varsiti Tercinta..
Bangkitlah Pro Mahasiswa..
BY : Lagu Rasmi Pro Mahasiswa UM

Kolej Kediaman Kinabalu ( 8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
8 Februari 2011, 5 RabiulAwal 1432H, 8.00 a.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...