BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, March 4, 2011

Cerpen : Cinta Sehijau Warna Daun (Bhgian 2)


Sambungan dari bahagian 1...
Bhgian 2
Annur membuang pandang ke deretan pokok ati-ati yang subur-subur. Cantik daunnya. Bermacam-macam warna. Pokok ati-ati itu semuanya ditanam oleh Iman. Seringkali tiap-tiap hujung minggu, setiap pagi dia akan lihat Iman menyiram dan membaja pokok-pokok itu. Iman sangat sukakan pokok-pokok hijau.
“Alhamdulillahh,” Bibirnya mengalun syukur. Terasa hatinya tenang. Dia mencapai handset. Membaca mesej-mesej dari Ulya. Dia teringat mereka bermesej malam tadi.
“Salam. Kak Mia, Ulya ada masalah besar. Ada seorang muslimin nak melamar Ulya. Namanya Asrul. Kak pun faham kan? Ulya masih harap Ulya berjodoh dengan ustaz Nabil,”
“Ulya,cuba Ulya timbangkan keputusan dengan istikharah? Kemudian Ulya buat keputusan dan tetapkan hati dengan keputusan itu,”
“Ulya dah buat. Tapi, kenapa Allah masih tak tunjukkan ustaz Nabil kak? Ulya buntu..,”
“Allahh.. Sekarang ni, siapa di hati Ulya?,”
“Ustaz Nabil..,”
“Ulya tetapkan hati dengan Nabil. Lintasan hati juga adalah petunjuk, Ulya.Lintasan hati yang terbit dari ketenangan hati,”
“Kak Mia, cuma sekarang ni masalah makin besar..huhuhu,”
“Kenapa?,”
“Asrul mengungut nak datang jumpa umi abah Ulya. Kak, tolong Ulya…,”
“Allahhu Akbarr.. Hmm..Apa kata Ulya berunding dengan umi dan abah Ulya,”
“Umi dan abah tak tahu lagi. Ulya tak cakapkan lagi hal ni pada mereka,”
“Banyak-banyakkan bersabar. Insya’allah, kita sama-sama doakan, semoga Allah permudahkan urusan ya sayang,”
“Syukran kak,”
Keserabutan Ulya turut mengganggu tenang hatinya. Ulya sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Tambahan pula, Ulya anak tunggal di dalam keluarganya. Annur membuang pandang jauh-jauh. Dia mendoakan semoga Allah permudahkan urusan Ulya. Hanya Allah yang dapat membantu Ulya. Ulya baginya memang seorang adik yang tabah. Berulang-ulang diuji dengan hal yang sebegini. Dua tahun lepas, sewaktu Ulya masih berada di bumi tarbiyah Nilam Puri, masalah begini juga yang dihadapinya. Memang dia tidak nafikan, Ulya memang cantik orangnya. Tarikan Ulya adalah pada wajahnya. Pada anak matanya yang sangat cantik persis mata kucing. Perlahan-lahan Annur mengalun tasbih di dalam hati.
Kali ini anak matanya ralit melihat sekawan rama-rama berterbangan di taman rumah itu. Hatinya sedikit terhibur. Berulang-ulang mengalun zikir padaNya. Patutlah Iman sukakan suasana alam kehijauan. Sebab semua itu akan tambah membuatkan hatinya mengingat dan mengenang Allah sebagai Pencipta yang Paling Agung. Seterusnya menambahkan rasa cinta Iman pada Pemilik Cintanya itu. Apabila melihat ciptaan Allah, hati manusia mana yang tidak tersentuh dan rasa dekat dengan Allah? Bukankah alam sekeliling itu juga terapi hati yang sihat. Subhanallah..
“Annur..Jauhnya termenung. Ingatkan apa tu?,”
Iman datang dengan segelas besar susu, setalam cucur udang, sepiring kismis dan beberapa biji kurma. Pagi tadi, setelah Annur menyediakan bancuhan tepung cucur udang, Iman segera menawarkan diri untuk menggoreng. Puas dia menghalang, namun Iman bertegas juga mahu menggoreng cucur udang itu. Dia disuruh pergi berehat di halaman rumah dan melihat pokok-pokok di halaman. Hendak disiram, Iman sudah pun siramkan pokok-pokok itu pagi tadi.
Iman kerap bertegas, kerja-kerja dapur adalah kerja-kerja suami. Isteri hanya bertugas membantu suami apabila diminta tolong suami. Katanya kalau bagi isteri buat semua kerja-kerja dapur, penatlah isteri nanti. Betapa dia merasakan Iman terlalu baik padanya. Sudah lebih dua bulan mereka berkahwin, Iman sangat suka belajar bab kerja-kerja rumah. Memasak, menjahit, mengemas dan lain-lain. Kata Iman, dia mahu berguru dengan Annur.
“Adik Annur ada masalah bang,”
“Ulya?,”
Annur mengangguk. Iman sudah sedia maklum, Ulya sangat rapat dengan Annur. Ulya tahu segala-galanya tentang Annur. Begitu juga Annur, faham segala-galanya tentang diri Ulya. Kerana Ulya juga dia tahu rahsia hati Annur yang menyimpan hati untuknya. Cuma hanya satu perkara itu sahaja yang Ulya rahsiakan dari Annur. Iman teringat ketika pertemuannya dengan Ulya dulu. Lebih kurang 6 bulan yang lalu, sebelum dia mentaqdim Annur melalui Kak Safinah. Ulya saat itu ditemani Asma’, sahabat rapatnya.
“Ada apa enti nak jumpa ana?,”
“Ustaz ada jawapannya,”
Iman terdiam. Dia menundukkan wajah. Tidak mahu menentang anak mata milik Ulya.
“Boleh tak kalau enti terus terang sahaja dengan ana? Ada apa sebenarnya enti nak jumpa ana?,”
“Ustaz, ana minta ustaz batalkan niat ustaz untuk taqdim ana,”
Iman serba salah. Dia mengetap bibir. Dia memang dah menjangka. Memang hal itu yang jadi topik perjumpaan mereka petang itu. Macam mana Ulya boleh dapat tahu, dia sendiri tak pasti. Amar yang mahu membaitul muslimkan dia dengan Ulya. Pada mulanya dia mahu menolak. Hatinya sudah ada seseorang. Seseorang yang dia pendam sendiri selama ini. Namun Amar beriya-iya benar mahu dia mencuba terlebih dahulu. Memandangkan jangka hayatnya sudah tidak lama. Bila-bila masa sahaja mungkin dia akan pergi bertemu Kekasihnya.
Laporan doktor sudahpun mengesahkan. Dia mengidap barah tumor otak. Doktor ada menasihatkan padanya agar dia membuat kemoterapi untuk merencatkan pembiakan sel-sel barah itu. Namun, dia tidak mahu. Tidak mahu kemoterapi itu beri kesan pada rambut dan fizikalnya. Sudah tentu rambutnya akan gugur. Dia tidak mahu sesiapa pun tahu tentang hal sakitnya itu. Amar sahabat yang rapat dengannya. Amar yang menjaga dirinya selama dia sakit. Hanya Amar dan keluarganya sahaja yang tahu tentang hal itu. Segan pula dia mahu meningkah nasihat Amar. Amar dah banyak membantunya selama ini.
“Enta tak boleh tunggu ajal sahaja Man. Enta kahwinlah. Enta tak mahu ada zuriat soleh yang akan mendoakan enta? Sedangkan kita disuruh menanam biji benih ke tanah walaupun esok dah nak kiamat. Ana sayang enta sebagai sahabat ana. Ana nak tengok enta terus hidup. Ana nak tengok enta bahagia,” Serentak itu ada titis air mata yang merembes di kelopak mata Amar.
Kata-kata itu yang bergema di mindanya saat itu. Seraut wajah tenang gadis itu pula membesar di mindanya. Dia melepaskan keluhan. Tak mungkin wajah itu akan berjodoh dengannya. Sedangkan sepanjang dia berada di rumah sewa bersama sahabat-sahabatnya dulu, rata-rata memperkatakan hati kepada wajah itu sudahpun berpunya. Malah lamaran Nazrin baru-baru turut ditolak pemilik sekeping hati itu. Apatah lagi dia yang sudah hampir putus nyawa ini. Bila-bila masa sahaja akan dipanggil. Betapa dia rasa tidak layak.
“Ustaz, ana tak boleh terima ustaz. Betul-betul ana tak boleh terima ustaz. Ana berjanji menunggu seseorang. Sebenarnya ada seseorang yang sudah lama menyimpan hati pada ustaz. Dah lama dia memendam rasa hatinya pada ustaz. Sejak di bumi tarbiyah Nilam Puri lagi,”
Iman tersentak. Dadanya tiba-tiba menyesak debar.
“Siapa?,”
“Kakak ana.. Kak Annur Miazara..,”
“Ustazah Annur? ..Ustazah Annur Miazara?” Subhanallah..Allahhu Akbarr.. Detikan hatinya makin kencang dengan tahmid dan tasbih saat itu.
Rupanya selama ini Iman tidak bertepuk sebelah tangan. Rupanya selama ini Annur turut menyimpan hati padanya. Pertemuan petang itu berakhir dengan perjanjian antara mereka.
“Ana mohon maaf. Ana harap hal ini jadi rahsia. Jadi rahsia kita dengan Allah dan saksi yang ada di sini sahaja. Ustazah Annur juga tidak perlu tahu tentang hal ini. Syukran pada ustazah kerana memaklumkan pada ana,”
“Ustaz, ana mahu tanya satu soalan,”
“Soalan apa?,”
“Adakah ustaz akan membuka hati untuk kak Mia? Dia dah lama tunggu ustaz,”
Iman terkesima. Hatinya semakin membesarkan nama Kekasihnya yang Agung.
“Kenapa dia tunggu ana?,”
“Sebab.. dia pegang pada janji istikharahnya dengan Allah. Allah sentiasa tunjukkan ustaz sebagai jawapan istikharahnya sejak di Nilam Puri lagi,”
“Sekarang juga?,”
“Ya, sekarang pun, jawapan istikharahnya masih ustaz,”
..Allahhu Akbarr.. Subhanallah ya Allah, aku juga begitu.. Annur kerap muncul dalam istikharahku. Kerap juga muncul dalam mimpi-mimpiku suatu masa dulu. Patutlah Annur tolak semua lamaran. Lamaran Nazrin. Lamaran Taufiq. Sebab dia yakin dengan janji Allah di dalam istikharahnya? Sebab dia setia dan yakin, bahawa aku adalah pemilik rusuknya? Subhanallahh.. Allahhu Akbar..
Kata-kata dan ungkapan itu hanya bergema di hatinya.
“Apa maksud janji istikharah itu?,”
“Dia berjanji di istikharahnya yang akhir, sekiranya Allah tetap tunjukkan ustaz sebagai jawapan istikharahnya, dia tidak akan menerima mana-mana lamaran, sehinggalah ustaz memberikan jawapan istikharah ustaz yang menolak dirinya, melalui risikan ustaz Farhan. Kak Mia mahu menunggu ustaz menolak lamarannya, barulah dia akan membuka hatinya untuk lamaran yang lain,”
“Allahhu Akbar..” ..“Farhan?,” Baru dia teringat. Dua malam lepas Farhan ada menghubunginya. Memberitahunya tentang lamaran seorang muslimat.
“Oh..jadi lamaran yang dibawa Farhan itu dari Ustazah Annur?,”
Ulya mengangguk.
“Ana ulang soalan ana. Adakah ustaz akan membuka hati ustaz untuk kak Mia?,”
..Hati ini memang ada menyimpan rasa untukmu Annur. Lama dan dalam.. Biar Allah sahaja yang tahu tentang rasa hatiku itu..  Begitu hati Iman membuat keputusan.
“Itu biarlah hanya Allah sahaja yang tentukan. Terima kasih kerana maklumkan pada ana. Cukuplah sekadar itu pertemuan ini. Ana mohon maaf atas segala kekhilafan. Assalamualaikum wbt..,”
Dan pertemuan itu berakhir di situ. Selepas itu, Iman terus bertemu kak Safinah. Menyatakan hajatnya. Menukar taqdim. Bukan Ulya. Tetapi Annur. Dia meminta kak Safinah menggunakan nama Mujahid. Nama Mujahid itu nama timbangannya sahaja di kalangan sahabat-sahabat muslimin batch. Dia tidak mahu Annur menerimanya hanya kerana dirinya. Tetapi biar Annur menerimanya kerana keyakinan dan kelapangan hatinya pada pilihan Allah. Jika ada jodoh, insya’allah tak ke mana-mana juga. Dan dia yakin dengan petunjuk istikharah yang Allah berikan selama ini.
“Iman.. akak minta maaf ya. Akak sebenarnya sudah tercakapkan pada Annur, yang Iman sudahpun mentaqdim muslimat lain. Akak ingatkan Iman jadi taqdim Ulya. Tentu Annur sedih dan patah hati. Akak cakap Iman dah taqdim muslimat lain dan sudah hampir nak kahwin, agar Annur sudah tidak mengharap lagi pada Iman,”
Safinah rasa kesal sendiri. Kata-katanya memang keras pada Annur hari itu.
“Sebenarnya hari tu, lamaran pertama pada Annur, akak bawakan lamaran siapa?,”
“Hmm..Lebih baik Iman tak perlu tahu. Akak pun menjaga kerahsiaan baitul muslim ini. Tetapi, risikan lamaran itu juga ditolak Annur. Sehingga akak membawa lamaran kedua ini dan akak maklumkan nama Mujahid pada Annur. Memang Annur tak kenal siapa Mujahid. Dia terus juga menolak kerana disangkanya, itu lamaran pertama. Padahal itu adalah lamaran kedua. Dan lamaran kedua itu adalah dari kamu, Iman,”
“Tak apa kak, kak cuba lagi ya,”
“Insya’allah, moga Allah permudahkan. Iman banyakkan berdoa ya,”
Iman teringatkan Farhan. Pada mulanya, Iman sudahpun menyatakan hasratnya ingin mengenali Annur melalui Farhan sehari yang selepas Farham memaklumkan padanya hajat Annur. Namun, setelah berfikir panjang, dia membatalkan hasratnya itu. Sungguhpun dia tahu Annur menunggu jawapannya melalui Farhan, biarlah dia kecewakan Annur. Dia lebih nak mereka disatukan dengan jalan yang betul. Mengikut landasan yang betul. Dengan cara yang betul. Dan dia akan meminta kak Safinah yang mentaqdim Annur juga. Tanpa bertangguh, dia terus menghubungi Farhan.
“Farhan, ana mohon maaf. Ana dah buat keputusan, untuk memilih muslimat yang seorang lagi. Ana mohon maaf. Kirimkan salam maaf ana pada dia ya,”
“Iman, enta tak nak tahu siapa muslimat yang mahu melamar enta ini,”
“Mungkin tak perlu,”
“Kak Annur.. Iman, kak Annur dah lama menunggu enta,”
“Moga Allah gantikan dengan yang lebih baik,”
Kata-kata itu mengakhiri perbualan mereka pada malam itu. Iman yakin dengan unit baitul muslim. Dia mahu hubungan mereka diikat dengan landasan syariat. Alhamdulillah, hari ini Annur sudah berada di sampingnya sebagai isterinya yang sah. Dengan cara yang betul. Berlandaskan syariat Allah. Malah Allah yang satukan mereka. Dia sering berdoa, semoga Allah jaga hubungan ini sehingga ke akhirat..
Setiap pagi mereka akan minum susu bersama. Iman memang mensyaratkan agar setiap waktu sarapan dan malam, mereka akan minum susu yang dibancuh sendiri olehnya. Susu tepung tanpa gula. Tanpa lemak juga. Kemudian, Iman mencampurkan secamca madu ke dalam bancuhan susu itu. Madu elok diminum bersama susu setiap pagi.
Sejak dia disahkan mengidap barah tumor otak, sekecil-kecil perkara dijaga rapi. Lebih-lebih lagi soal pemakanan dan persekitaran. Dia perlu elakkan diri dari terdedah kepada cahaya matahari secara terus menerus. Tak boleh hidu asap rokok. Perlu kurangkan makanan yang mengandungi lemak yang tinggi dan lebihkan makanan yang mengandungi serabut yang tinggi. Dia juga perlu kurangkan makan bahan-bahan manis. Malah kawasan persekitaran rumahnya turut ditanami pokok-pokok bunga. Agar udara di situ tidak tercemar. Tambahan pula di hadapan rumah mereka terdapat taman permainan kanak-kanak. Kadang-kadang Iman dan Annur ringan-ringankan tubuh bersenam juga di taman permainan itu. Melihat-lihat kanak-kanak bermain, dia rasa bahagia.
Namun kebelakangan ini, sudah kelihatan tanda-tanda gejala barah tumor otak tersebut sedang membiak di dalam tubuhnya. Dia sering sahaja sakit kepala teruk terutamanya di sebelah pagi dan ketika waktu malam. Kekadang dia terasa loya dan mahu muntah. Bunga-bunga batuk sudah mula kedengaran. Sakit kepala yang kerap menyerang saraf serebrumnya kebelakangan ini dibiarkan sahaja. Dia sudah jadi biasa dengan sakit-sakit itu. Walaupun sakitnya teramat sangat namun, Iman tidak pernah menunjukkan kesakitannya itu di hadapan Annur.
Annur merenung kismis dan kurma yang cukup jumlahnya. Kismis seorang tujuh biji. Kurma pula seorang 3 biji. Dia tersenyum. Iman memang mengamalkan makan kismis dan kurma di waktu pagi. Kata Iman, kismis dan kurma itu memang sudah menjadi amalannya sejak di bangku sekolah lagi. Kismis dan kurma itu baik untuk menjaga ingatan. Hamlulquran seperti Iman sangat sayangkan khazanah mukjizat yang hidup di dadanya. Annur teringat mesej-mesej Iman pada Annur sewaktu mereka masih menuntut di bumi tarbiyah Nilam Puri. Annur suka bertanyakan pada Iman hal-hal kemusykilan agama yang dia tidak faham. Lebih-lebih lagi cara-cara nak cepat ingat menghafaz Quran. Banyak juga yang Iman kongsi tunjuk ajar padanya.
“Sebenarnya, hati perlu bersih dan ikhlas. Dan paling penting, kita kena tahu dan fahami makna surah itu di samping menghafaznya. Kemudian disusuli dengan amalan, barulah ia lekat di minda,”
“Ustaz, apa hukumnya jika kita hafaz tapi kita lupa pula?”
“Hmm..sebab itulah kita perlu selalu ulang-ulangkan bacaan. Lazimkan bacaan dalam solat. Cuma ana nak bagitahu, Al-Quran takkan kekal di ingatan selamanya. Ia akan hilang juga dan dengan sebab itulah kita kena selalu baca dan ulang-ulangkannya. Barulah selalu ingat dan lambat sikit nak lupa,”
“Insya’allah..ana faham, syukran ustaz..”
“Jika ada apa-apa masalah,bagitahulah ana. Insya’allah ana akan cuba tolong. Jangan pendam seorang diri. Ustazah ada sahabat-sahabat untuk membantu ustazah,”
“Insya’allah. Jika ada apa-apa masalah, ana akan bagitahu jika ana perlukan bantuan ustaz dan sahabat-sahabat majmu’ah 7. Syukran ustaz,”
Mesej itu tetap lekat di ingatan Annur hingga kini. Malah aplikasi nasihat itu berbekas di dadanya hingga kini.
Aspek penting untuk menjadi hamlulquran, adalah ingatan dan hafazan. Maka, untuk menjaga ingatan dan tajam hati untuk menghafaz Al-Quran adalah dengan menjaga pandangan dan menjaga pemakanan,” ujar Iman memulakan muqaddimah usrah sarapan pagi itu.
Itu pula rutin penjagaan pemakanan yang selalu diterangkan Iman pada Annur. Annur akhirnya semakin hari semakin terbiasa juga dengan rutin Iman itu. Bagi Annur, Iman juga bukan jenis yang banyak makan. Iman begitu menjaga pemakanannya. Ada makanan-makanan tertentu yang Iman tidak makan, seperti kicap, buah mempelam atau buah-buah yang masam, jeruk, makanan-makanan Barat macam KFC, Mc Donald, sosej dan sewaktu dengannya. Iman juga tidak makan makanan berlemak. Iman tidak gemar makan atau beli makanan di luar. Iman lebih suka memasak sendiri makanan di rumah. Cuma yang Annur hairan sendiri, wajah Iman selalu pucat. Kadang-kadang seperti tidak berdarah sahaja. Nak kata sakit, tidak pernah pula Iman mengadu sakit padanya. Walaupun tampak pucat, tapi wajah Iman tetap jernih sahaja kerana wajah itu sentiasa dibasahi wudhuk yang tidak putus-putus.
Annur hanya tersenyum memandang Iman. Dia mengucap tahmid di dalam hati. Rasa bersyukur menjadi isteri pada Iman. Cermat Iman menghulur gelas susu padanya. Annur lekas-lekas mencapai gelas susu yang dihulurkan. Iman membacakan doa.
“Minuman pertama, untuk abang,”
Annur menyuakan gelas susunya ke bibir Iman. Iman meneguk seteguk. Ada senyuman juga yang berhias di wajah itu.  
“Giliran Annur pula,” gelas susu berpindah ke tangan Iman. Kali ini Iman pula menyuakan gelas itu ke bibir Annur. Annur meneguk cermat susu itu.
“Terima kasih abang,”
Annur menyuapkan sebiji kurma ke mulut Iman. Iman juga menyuap kembali sebiji kurma ke mulut Annur. Begitulah rutin harian mereka saat bersarapan. Kalau tidak sempat bersarapan pun, paling kurang, mereka hanya akan minum susu dan makan buah kurma sahaja.
Seusai sarapan, mereka bersantai sekejap di ruang halaman rumah.
“Abang, Annur minta maaf. Ulya minta Annur rahsiakan hal masalah masalah dia tu. Annur tak dapat ceritakannya pada abang,”
Iman tersenyum.
“Tak apa. Itu kan amanah untuk Annur. Cuma, kalau dapat bantu Ulya, bantulah semampu yang boleh. Kalau perlu bantuan abang, cakaplah pada abang. Insya’allah, abang cuba bantu,”
Annur mengangguk. “Insya’allah abang,”
Iman bangun tiba-tiba. Dia mundar mandir di sekitar pokok ati-atinya. Pantas dia memetik sehelai daun ati-ati berwarna hijau. Dia kembali ke sisi Annur.
“Annur, terimalah..,”
Annur buat muka hairan. Lambat-lambat dia menerima dedaun itu.
“Kenapa abang bagi Annur daun ni?,”
Iman tersenyum.
“Hati yang mencintai selain dari Allah, umpama seperti daun ini. Saat berada di pokok, ia hijau kerana pergantungan hayatnya dengan Allah sehingga hayatnya dimatikan Allah. Itulah perlambangan cinta kita pada Allah. Kekal hijau dan sentiasa hidup di saat meletakkan cinta hanya pada Allah. Tapi, ketika masih hidup setelah dipetik tangan-tangan asing, ia terus akan layu dan mati. Sudah tiada seri hijaunya lagi. Sudah tidak ada cinta kerana saat ia dipetik tangan-tangan asing itu, saat itu juga terputus hubungan, hayat dan pergantungannya dengan Allah,”
“Abang, apa maksud tangan-tangan asing itu?,”
“Tangan-tangan asing itu ibarat cinta manusia. Apabila kita menyerahkan hati pada cinta manusia, cinta itu tidak akan hidup lama. Akan mati, layu dan kering seperti daun yang dipetik. Terus terputus cinta dengan Allah,”
Annur mengangguk. Dia tahu, Iman mahu cuba membantunya berfikir. Seharusnya memang dia perlu ajar Ulya agar lebih kenal erti cinta itu sebenarnya bagaimana. Ada senyuman yang beransur-ansur melebar di bibirnya saat itu. Iman memang memahami.
“Annur dah faham. Terima kasih abang,” pantas sahaja Annur memaut tangan Iman ke pipinya.
“Annur..,”
Tangan Iman masih di pipi Annur.
“Abang minta maaf ya jika abang serba kekurangan,”
Kali ini Annur mengangkat wajah. Telus anak mata bening itu dia tatap. Ada ombak yang bertakung di kolam anak mata itu. Hatinya tiba-tiba rasa resah. Melalui anak mata berkaca itu, seperti ada sesuatu yang tidak terluah. Sesuatu yang bernama rahsia. Rahsia Iman dan Kekasih yang merupakan Pemilik Cintanya.
“Kenapa abang cakap macam tu?,”
Iman tersenyum. Menggeleng-gelengkan kepala, mengisyaratkan ‘tidak ada apa-apa’. Annur menggenggam jemari Iman.
“Abang, sepatutnya Annur yang kena minta maaf banyak-banyak pada abang. Annur banyak berdosa pada abang. Abang baik sangat pada Annur. Kenapa abang baik sangat pada Annur?,”
Iman ketawa tiba-tiba. Soalan Annur itu menggelikan hatinya.
“Annur ni tanya macam kita tengah berlakon dalam novel pula..hehe..,”
Annur diam. Rasa dirinya tersenda.
“Annur ..Kenapa Annur tanya soalan macam tu?,”
“Abang tak jawab soalan Annur pun?,”
Sekali lagi Iman senyum.
“Sebab.. Rasulullah s.a.w ada bersabda, “Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik terhadap isterinya. Dan akulah yang paling baik kepada isteriku..”
Iman menarik nafas. “Dan..abang nak jadi suami yang paling baik kepada Annur,”
Jawapan itu sekali lagi membuat Annur tersenyum. Dalam hati dia membilang tahmid.
Daun yang diberikan Iman kepada Annur tadi terjatuh ke lantai. Iman mengisyaratkan pada Annur, biar dia sahaja yang mengambil daun tersebut. Saat badanya menunduk dan mencapai daun tersebut, tiba-tiba terasa seperti sesuatu yang tajam sedang menyucuk di bahagian belakang kepalanya.
..Ya Allah, sakit itu datang lagi..
Iman mengangkat badan perlahan-lahan. Tiba-tiba kepalanya pening-pening. Tekaknya mula terasa mual. Dia meletakkan daun itu di atas meja. Annur memandangnya tidak berkedip. Anak mata Iman sudah memerah. Tanda menahan sakit yang teramat sangat. Sakit itu sedang menyerangnya.
“Abang..kenapa ni?,”
Iman menggeleng-geleng. Menahan kesakitan. Dia cepat-cepat berlari ke bilik air. Annur membuntutinya. Tiba di sinki, Iman muntah. Habis keluar sarapan yang dimakan Iman tadi. Annur mengurut-ngurut belakang leher Iman. Iman cepat-cepat menyandarkan tubuh ke dinding. Annur panik seketika. Ini kali pertama hal begini terjadi. Iman juga tidak tahu mahu lakukan apa. Di hatinya meneka, apa yang berlaku padanya itu adalah sebahagian dari gejala serangan tumor otak yang kian merebak ke dalam tubuh nya saat itu.
“Abang, Annur bawa abang baring dulu ya,”
Iman mengangguk. Dia masih memegang kepalanya. Serangan itu masih ada. Cuma rasa loyanya dah berkurang sikit. Annur memimpin tubuhnya ke katil. Lalu Iman berbaring. Hatinya tidak lekang-lekang mengucap istigfar.
“Abang, kenapa dengan abang ni?,”
Annur merasa dahi Iman. Sedikit panas. Anak mata Iman masih merah lagi. Iman menggelengkan kepala.
“Annur, jangan risau. Abang tak ada apa-apa. Abang nak tidur kejap ya,”
Annur mengangguk. Serentak itu Iman memejamkan mata. Annur hanya merenung wajah mulus itu. Terpamer kepenatan pada wajah yang sedang lena itu.
“Ya Allah..jagalah suamiku.. jagalah kehidupan kami ya Allah,” Bisik Annur lagi.

..Bersambung ke bahagian 3..
Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah ( 12th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
2 Februari 2011, 29 Safar 1432H, 9.57 a.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...