Bersambung dari bahagian 5..
Bhgian 6
“Kak, dah lama sangat Aisya menunggu Allah tunjukkan jawapan istikharah Aisya. Alhamdulillah, malam tadi pertama kali Aisya mimpikan Ustaz Farhan,”
“Apa yang Aisya rasa selepas mimpi itu?,”
Annur pantas berjalan ke halaman rumah sambil menjinjit handset itu di telinga. Masih fokus dengan apa yang sedang diceritakan oleh Aisya. Sesekali Annur menjenguk ke luar jalan. Mengintai-ngintai kelibat Iman yang belum pulang. Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya itu dekat sahaja. Lebih kurang 50km dari rumah mereka. Iman menjadi guru Pendidikan Islam di situ. Iman ada kelas di sebelah petang pada hari itu. Annur pelik sendiri. Tidak pernah Iman pulang lambat. Kelas biasanya habis jam 4.30 petang. Biasanya, jam 5.30 patang, Iman sudah tiba di rumah. Sekarang dah menghampiri jam 6.30 petang. Dadanya jadi tidak keruan. Dia tidak tahu kenapa hatinya resah. Annur seperti mahu menapak ke sekolah itu sahaja.
“Subhanallah..Aisya rasa sangat tenang kak. Aisya rasa hati Aisya dah ada keyakinan mahu membuat keputusan,”
“Alhamdulillah.. Apa yang Aisya mimpi? Cuba ceritakan pada akak?,”
“Aisya nampak, waktu itu, keluarga Aisya berkumpul. Kemudian muncul seorang lelaki berjubah putih dan berserban. Tapi wajahnya tidak jelas. Lelaki itu menulis sesuatu di kertas,”
“Apa yang ditulis?,”
“Dia menulis.. Nur Raisatul Aisya Binti Zulkifly dan Muhammad Farhan Hafiz Bin Rosli. Kemudian dia berikan kertas itu pada Aisya. Dan Aisya baca kertas itu dengan linangan air mata yang merembes keluar kak. Terjaga dari lena, terus dada jadi sebak, dan Aisya menangis. Dah lama sangat Aisya tunggu jawapan istikharah ini dari Allah kak. Rupanya Allah ingin berikan petunjuk pada Aisya pada malam bulan Ramadhan ini,”
“Alhamdulillah..Jadi, sekarang ni apa ketetapan hati Aisya?Aisya dah buat keputusan?,”
“Alhamdulillah, Aisya dah buat keputusan kak. Insya’allah, Aisya menerima lamaran Ustaz Farhan Hafiz kerana Allah dan perjuangan Islam,”
Terus sahaja air mata Annur mengalir. Hatinya lantas beralun dengan kalimah tasbih.
“Cuma, Aisya belum maklumkan pada ibu lagi. Insya’allah, hujung minggu ni Annur balik rumah, nanti Annur akan maklumkan pada ibu,”
“Alhamdulillah..baguslah kalau macam tu. Aisya maklumkan pada ibu baik-baik ya. Apa-apa masalah, maklumkan kat akak ya,”
“Insya’allah kak. Terima kasih sebab banyak tolong Aisya,”
“La syukran ‘alalwajib. Moga Allah berikan ketenangan pada Aisya ya,”
“Amin,”
Panggilan berakhir. Annur masih membungakan tasbih di hatinya. Pantas dia mendail nombor telefon Farhan pula. Dia mahu memastikan urusan Farhan dan Aisya ini selesai dalam Ramadhan ini juga sebelum dia dan Iman bertolak ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Jadual penerbangan ke Mekah dijangkakan kira-kira dua minggu akhir bulan Ramadhan. Hal urusan umrah telahpun diselesaikan. Menunggu hari berangkat sahaja.
Salamnya berjawab. Farhan di talian.
“Dik An, macam mana kondisi istikharah Dik An sekarang,”
“Alhamdulillah, Dik An semakin yakin dengan Aisya kak. Malam tadi Dik An ada bermimpi,”
Serta merta Annur mengucap tasbih. Mengagumi kebesaran Allah di bulan Ramadhan ini. Kebetulan pula Farhan juga turut mendapat mimpi.
“Apa mimpi tu? Ceritakanlah,”
“Dik An bermimpi, Dik An dan keluarga bertandang ke rumah Aisya pada hari raya ini. Keluarga Dik An dan keluarga Aisya bertemu dan saling berkenalan. Lalu ibu dan bapa Aisya menyerahkan urusan mengikat pertunangan dengan Aisya ini pada Dik An. Mak dan ayah juga begitu kak. Dan kami akhirnya menetapkan untuk bertunang pada hari raya ini,”
“Subhanallah.. Lalu apa keputusan Dik An sekarang?,”
“Dik An dah pun maklumkan pada mak dan ayah. Insya’allah, Dik An berhasrat mahu pergi ke rumah Aisya, menghantar pinangan terus kak. Dah tak merisik kak. Ekpress, terus bertunang..hehe..,”
Annur turut ketawa. Tumpang gembira.
“Alhamdulillah..nanti akak akan maklumkan pada Aisya ya. Dik An banyak-banyakkan berdoa ya. Moga Allah permudahkan segala urusan ini,”
“Amin kak. Terima kasih kak,”
“Sama-sama. La syukran ‘alalwajib,”
“Kak, abang Iman ada kat rumah? Kirimkan salam Dik An pada abang Iman ya,”
“Abang Iman belum balik lagi. Insya’allah, akak sampaikan salam Dik An padanya nanti,”
Talian mati di situ. Annur tersenyum. Urusan ini sudah hampir selesai. Menggunung doanya untuk Farhan dan Aisya.
Bunyi hon kereta di luar pagar rumah sedikit menyentakkan lamunan bahagia Annur. Annur yang sudah pun siap bertudung melangkah ke luar rumah. Membuka pagar membenarkan Gen 2 berwarna silver metallic itu masuk ke perkarangan rumah sewa bernombor 1 itu. Namun dia pelik sendiri. Bukan Iman yang menjadi pemandunya. Tetapi Amar yang memandu. Dia menangkap kelibat Iman menyandar keletihan di kusyen kereta di bahagian depan. Dadanya segera berombak cemas.
Amar melangkah keluar dari kereta setelah mematikan enjin kereta. Dia membuka pintu kereta, memangku Iman keluar dari kereta. Wajah Iman pucat lesi. Tubuhnya kelihatan lemah. Ada kesan tangannya di cucuk jarum. Kesan seperti baru lepas diambil darah oleh doktor.
“Allahhu Akbarr.. Ustaz Amar, kenapa dengan abang Iman?,”
“Iman hampir pengsan kat sekolah tadi,”
Iman hanya memandang Annur dengan pandangan yang kosong. Amar memimpin tubuh Iman ke dalam rumah. Iman didudukkan di sofa. Butang baju kemejanya Amar buka. Iman menyandarkan tubuh ke sofa. Masih lemah. Mungkin juga kerana berpuasa. Iman hanya diamkan diri sahaja. Annur segera mendaratkan duduk di sebelah Iman. Tangan Iman dicapai dan dikucup hangat. Sebak dadanya melihat Iman lemah begitu. Tidak pernah dia melihat Iman selemah itu. Annur menggenggam jemari Iman.
“Abang dah berbuka?,”
Annur memberanikan diri menyoal Iman.
“Iman tak nak berbuka. Katanya tadi, dah dekat sangat dengan waktu berbuka. Jadi, dia tak nak berbuka. Hmm..Ustazah, ana minta diri dulu ya. Hmm.. Iman, ana pinjam motorsikal enta,”
Amar tidak mahu berlama-lama di situ. Tak nak mengganggu pasangan suami isteri itu. Iman mengangguk. Annur cepat-cepat mengambil kunci motorsikal Iman. Kunci itu diberikan pada Amar. Amar mengucapkan terima kasih dan meminta diri untuk pulang. Annur menutup pintu. Lalu dia kembali ke sisi Iman. Merenung wajah Iman dalam-dalam.
“Annur, kenapa pandang abang macam tu?,”
Annur tidak menjawab. Segera air matanya gugur tanpa dipinta.
“Kenapa Annur menangis ni? Abang tak ada apa-apa. Cuma letih sikit,”
Iman mengangkat tangan, menyentuh pipi Annur. Dia kesatkan air mata Annur yang sudahpun menderu di pipi itu.
“Abang pengsan, kenapa tak mesej maklumkan pada Annur?,”
“Abang tak nak Annur risau. Abang ok. Tak ada apa-apalah,”
“Doktor cakap apa?,”
“Doktor cakap, abang kurang vitamin dan kurang air dalam badan,”
“Takkan itu sahaja yang doktor cakap? Betul tak ada apa-apa?,”
“Betul. Lagipun agaknya abang ni nak pengsan sebab masih dalam alahan sebab Annur mengandung anak sulung kot,”
Kali ni Iman ketawa. Pantas dia menarik hidung Annur. Serentak itu Annur juga turut ketawa. Merah wajahnya menangis bertambah merah dengan gelak ketawanya. Iman memang pandai memujuk.
“Abang dah solat?,”
“Alhamdulillah, dah solat tadi. Kat masjid,”
“Ok. Abang rehat dulu ya. Annur nak siapkan juadah berbuka petang ni. Annur buatkan kuih istimewa untuk abang tau,”
“Alaa.. Kenapa Annur tak tunggu abang balik? Abang pun nak belajar buat kuih dengan Annur,”
“Hmm..tengok tu. Dah sakit pun , nak buat kerja lagi,” kali ni Annur pula yang piat telinga Iman.
Iman ketawa. Pertama kali kena piat telinga dengan Annur. Ada renungan nakal di hujung anak matanya. Macam berdendam sahaja. Annur kembali tersenyum.
Melihat renungan Iman, sebaknya hilang. Mendengar gelak tawa Iman, jiwanya rasa damai. Merenung wajah damai Iman, hatinya rasa tenang dan tenteram. Dari awal pertemuan di bumi Nilam Puri lagi, memang hatinya telahpun mengiktiraf, Iman seperti laut yang tenang di tengahmalam. Tenang dan damai.
Annur bangun. Terus menapak ke dapur. Semua juadah sudah disiapkannya sesudah asar tadi. Hanya tunggu mahu dihidangkan sahaja.
Dari ruang tamu itu, Iman merenung Annur. Annur sedang menyiapkan juadah berbuka. Hari ni dah hampir dua minggu mereka menjalani ibadah puasa sebagai suami isteri. Iman gagahkan tubuh berdiri. Menghayun langkah ke bilik. Merasa masih pening, dia duduk seketika di bibir katil. Segera peristiwa di kelas Tingkatan 1 Teratai tadi kembali terbayang. Saat itu dia sedang mengajar Pendidikan Islam Tingkatan 1. Hari itu sesudah selesai bacaan potongan ayat Al-Quran menerusi tajuk Mencontohi Kepatuhan Malaikat, dia mengajar ilmu tajwid, tentang hukum izhar halki dan hukum ihfa’ hakiki. Dia sedang menulis tentang hukum tajwid itu di papan tulis.
“Ustaz tulis tulisan kecil, Nana tak nampak. Fezri, kau nampak tak apa ustaz tulis tu?,”
Fezri menjuihkan bibir serentak menggelengkan kepala.
“Ha’a la ustaz.. Najmi pun tak nampak. Ustaz, tulisan ustaz kabur. Kami tak nampak,”
Saat itu Iman dah memegang dahinya. Sejak selepas zohor tadi, kepalanya semakin berdenyut-denyut. Badannya sudah terasa lemah. Tapi, Iman gagahi juga mendengar bacaan anak-anak murid Tingkatan 1 Teratai itu. Namun, kepalanya terasa semakin berat pula.
“Ustaz, ustaz sakit ke?,”
Kapur yang dipegang Iman terjatuh ke lantai. Iman menunduk. Mahu memungut kapur itu. Tiba-tiba terasa kepalanya seperti ditusuk jarum halus. Saraf serebrumnya terasa bergegar.
“Arghhhhh... Allahh.. Allahhhh..,” Iman mengerang. Dia memegang kepalanya bagaikan kepala itu mahu jatuh.
“Ustaz jatuh.. cepat ketua kelas, pergi panggil ustaz Halim cepat.. Ustaz Iman sakit.. cepatlah Zaqwann..,” pantas sahaja Najmi menitah. Seperti dia pula yang jadi ketua kelas.
Zaqwan yang masih tergaru-garu kepala itu segera sahaja berlari keluar dari kelas. Dari jauh Iman hanya mendengar pekik lolong Zaqwan memanggil nama ustaz Halim, guru kelas Tingkatan 1 Teratai. Najmi dan Fezri segera memangku tubuh Iman. Anak-anak muridnya yang lain, semuanya sudah kelihatan mengelilinginya.
“Ustaz sakit kepala ke ustaz? Eh, Nana, kuatkanlah kipas tu. Tak nampak ke muka ustaz dah berpeluh-peluh ni. Mata ustaz dah merah. Ustaz panas ni.,” pekik Najmi.
“Dah tahu ustaz panas, kenapa korang semua duduk keliling ustaz? Lagilah ustaz panas. Bukalah sikit ruang, bagi ustaz kena angin,” ujar Nana lagi, tak kalah nak menitah juga.
Beberapa minit kemudian, kelihatan terkocoh kacah ustaz Halim datang bersama ustaz Nazri dan Ustazah Munirah. Mereka bergegas mengangkat tubuh Iman ke bilik guru. Melihat keadaan Iman yang masih mengerang kesakitan, Iman terus dibawa ke PPUM. Iman dimasukkan ke unit rawatan kecemasan di bawah seliaan doktor Azhar. Memang Iman yang meminta dirinya dibawa ke situ. Doktor Azhar yang biasa merawatnya berkenaan kes penyakit tumor otaknya itu. Dia diberi suntikan penahan sakit.
“Encik Iman, encik dah tak boleh tangguhkan rawatan kemoterapi itu. Barah semakin merebak. Encik Iman perlu diberi rawatan segera. Jika tidak, keadaan tumor itu akan semakin cepat membiak dan merebak. Kami bimbang, tumor itu akan menyerang ke organ-organ lain,”
“Baiklah doktor. Saya bersetuju menerima rawatan kemoterapi bermula minggu ini hingga minggu depan. Dua minggu akhir bulan Ramadhan, saya dan isteri akan bertolak ke Mekah untuk pergi berumrah,”
“Baiklah. Rawatan kemoterapi akan dibuat setiap hari mulai esok. Encik Iman perlu datang tiap-tiap hari ke hospital untuk menerima rawatan,”
Iman mengangguk. Doktor Azhar turut mengambil darahnya untuk diagnosis susulan. Selesai pemeriksaan itu, Iman mengucapkan terima kasih kepada ustaz Halim dan ustaz Nazri yang menghantarnya ke hospital. Mereka pun pulang sesudah memastikan keadaan Iman sudah kembali pulih. Iman hanya meminta doktor Azhar memaklumkan pada mereka yang dia hampir pitam kerana penat berpuasa dan kurang air di dalam badan. Ini kali ketiga dia hampir pengsan di sekolah.
Sejurus itu, dia menghubungi Amar, untuk meminta Amar pergi mengambil keretanya di sekolah. Dan Amar yang menghantarnya balik ke rumah petang tadi. Mujur juga esok dah masuk hari minggu, tidak mengajar. Boleh juga dia berehat menemani Annur di rumah. Cuma, setiap hari Jumaat, Annur ada kuliah Serikandi di Balai Islam kolej kediaman ke lapan. Oleh kerana Annur bekas pelajar kolej 8 yang sangat aktif dalam organisasi Balai Islam dahulu, dia diberi penghormatan untuk memberi kuliah serikandi setiap pagi Jumaat.
Merasa sedikit tenang, Iman mencapai tuala dan melangkah masuk ke bilik air. Mahu menyegarkan tubuh seketika. Waktu terakhir mandi adalah pada jam 6.30 hingga jam 7 malam sahaja. Waktu malam, tidak baik mandi untuk kesihatan. Ini petua dari Annur. Iman tersenyum.
“Abang..jangan mandi lama-lama. Abang tu tak sihat. Nanti sejuk, abang demam,”
Iman tersenyum mendengar suara itu. Annur orangnya memang murah dengan pesanan dan peringatan. Pantang dia kelupaan sedikit. Pasti ada-ada sahaja yang Annur akan ingatkan.
Annur menyambut Iman dengan senyuman di depan muka pintu dapur rumah itu. Iman dilayani seperti penyediaan sajian santapan untuk seorang putera sahaja lagaknya.
“Wahh..istimewanya cara sajian Annur ni. Ada apa-apa yang istimewa yang abang dah terlupa ke hari ni?,”
Annur menarik kerusi, mempersilakan Iman duduk. Dia mahu melayani Iman secara eksklusif pada petang itu. Macam seorang pelayan hotel sahaja lagak Annur.
“Abang nii.. bukankah kita mahu berbuka puasa. Kan lebih bermakna kita buka dengan juadah yang sederhana, tapi penuh gilang gemilang macam ini,”
Iman hanya tersenyum. anak matanya melirik satu persatu juadah. Semua hidangan memang sederhana. Cuma cara susunan hidangan memang eksklusif. Siap ada pencuci mulut buah tembikai dan puding jagung lagi. Juadah petang itu, segelas air susu yang mereka akan kongsi bersama. 6 biji buah kurma bahagi 3 biji seorang dan kuih lepat labu kegemarannya. Iman senyum-senyum. Dia memang sangat gemarkan kuih lepat labu itu. Rasanya kurang manis tapi sangat sedap. Iman memang tidak suka makan makanan manis. Annur juga.
Iman melirik ke juadah nasi pula. Ada nasi putih, masak pindang ikan haruan dan telur dadar. Annur tahu Iman sangat suka makan pindang ikan haruannya. Mereka suka bersederhana sahaja. Tidak mahu membazir.
Azan berkumandang. Iman membacakan doa berbuka puasa diiringi doa makan. Suapan pertama Annur untuk Iman. Suapan pertama Iman juga untuk Annur. Mereka jarang bercakap sewaktu makan. Itu adab di meja makan.
“Macam mana menu hari ni, tuan putera?,”
Iman senyum-senyum sambil mengangguk. Dia menyuap suapan terakhir ke mulut. Pantas sahaja ibu jarinya dinaikkan. Dan Annur hanya tersenyum senang hati.
..Bersambung ke bahagian 7..
Kolej kediaman Kinabalu (8th),
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
7 Februari 2011, 4 RabiulAwal 1432H, 1.55 a.m
0 comments:
Post a Comment