Edisi Bedah Buku
La Tahzan :- Dr. ‘Aidh Bin ‘Abdullah Al-Qarni
Tajuk 4 : Masa Depan Akan Datang Dengan Sendirinya
Satu situasi..
“Angah, tak payahlah angah terlibat lagi dengan kerja-kerja persatuan tu. Angah banyak buang masa dengan aktiviti persatuan tu hingga angah dah terabaikan pelajaran angah. Pelajaran angah teruk dan merudum. Macam tu ke angah nak buat bekalan sambung master?,”
“Along, angah tak pinta pun akademik angah rendah. Angah dah berusaha. Itu sahaja yang angah mampu dapat. Angah tahu, angah tak secemerlang along yang grad dengan keputusan cemerlang. Tapi sekurang-kurangnya angah nak along tahu yang angah dapatkan keputusan akademik angah dengan usaha. Bukan meniru atau curi tulang. Angah tak pernah ponteng kelas sehingga tak boleh masuk peperiksaan. Angah tak pernah tak jaga adab dengan pensyarah. Angah tak pernah tak siapkan esimen. Jadi, dengan sebab apa along nak menghukum along? Angah niat baik untuk sambung master. Kenapa along halang angah?,”
Along ketawa berdekah-dekah. Angah sudah pun mengalirkan air mata. Sudah berapa kali dia cuba meyakinkan along, dia ingin sambung belajar. Tapi alongnya langsung tidak menyokongnya. Malah memperlekehkan keputusan akademiknya yang tidak secemerlang alongnya.
“Angah..angah.. keputusan teruk macam ni ada hati nak sambung master? Along tak yakin angah mampu sambung. Nanti belajar separuh jalan terus jamp dan berhenti. Siapa yang susah? Bukan angah yang susah tau. Mak ayah yang susah kena tanggung kos pengajian angah. Angah tak kesian ke kat mak dan ayah? Mak dan ayah dah tua angah. Mak dan ayah kalau boleh nak merasa jugak duit kerja angah. Mak dan ayah pun dalam perancangan nak buat haji. Angah tak kesian ke kat mak dan ayah? Jangan nanti wang pinjaman PTPTN angah pun mak dan ayah yang kena bayar dah la,”
Kata-kata itu buat semangat angah runtuh. Bukan dia tidak memikirkan ibu dan ayahnya. Tapi kerana memikirkan ibu dan ayahnyalah buat dia ingin sambung belajar di samping mengajar. Prosuder master hanya 6 bulan. Selepas itu dia akan terus diposting. Insya’allah angah yakin, soal kerja tidak ada masalah. Dia yakin dengan janji Allah.
Angah ingin menyambung master kerana dia tidak ingin jauh dari ilmu. Dia tidak mahu berhenti dari menuntut ilmu. Dia tidak ingin dadanya kosong dari ilmu. Biarlah dia terpaksa merangkak sekalipun untuk menuntut ilmu, dia akan cuba. Dalam hatinya, dia sendiri berasa masih tidak cukup kuat untuk turun ke lapangan masyarakat. Aspek lain pula adalah soal gerak kerja Islam. Dengan sambung master, ruang untuk masih terikat dengan gerak kerja Islam di kampus masih akan terbuka untuknya. Dia sentiasa berdoa semoga Allah terus istiqamahkan dirinya dalam gerak kerja Islam.
“Along, angah dah minta izin dengan mak dan ayah. Mak dan ayah izinkan. Kenapa along beriya-iya sangat nak menghalang angah?,”
“Angah, along bercakap berdasarkan pengalaman kawan-kawan along. Kawan-kawan along yang ambik master, ada yang tak mampu nak habiskan. Ada yang hanya separuh jalan. Itu yang pandai-pandai dan grad dengan keputusan cemerlang. Angah ni, along tak yakin mampu ke tak nak hadapi semua tu. Along tak yakin,”
“Along, siapa kita nak tentukan mampu ke tak mampu kita nak hadapi situasi masa depan? Along dapat ramal ke apa yang akan jadi masa akan datang? Along dapat ramal ke apa yang akan jadi sekejap lagi? Along dapat ramal ke apa yang akan jadi esok hari? Kalau mak dan ayah nak tunaikan haji, angah rasa teruskanlah. Angah tak nampak masalah pun. Apa yang along rasa bermasalah sangat?,”
“Ishh..angah nii.. kenapa degil sangat? Nasihat along langsung angah tak nak dengar! Along bagi amaran, kalau angah ambik master, tak payah minta duit dengan along atau duit mak dan ayah. Angah usaha sendiri cari duit tu. Selama ni angah banyak buang duit. Banyak membazir. Dua kali angah buat ujian memandu, dua-duanya angah gagal habiskan. Faktornya apa? Angah terlalu rasa senang sebab bukan angah yang cari duit,”
Angah beristigfar panjang. Rupanya sebab itu. Sebab pembiayaan. Ya, memang along ada keluarkan duit mahu membiayai kelas memandunya. Tetapi disebabkan komitmennya dengan gerak kerja, dia gagal menghabiskan ujian memandunya. Sudah dua kali dia tidak sempat menghabiskan ujian memandunya. Dan hal itu pasti menjadi jarum di dalam hati alongnya. Sebab duit itu adalah duit alongnya.
“Ohh..lain kali along cakaplah yang along yang tak menyusahkan diri untuk biayai pengajian master angah. Kan senang?,”
Kata-kata angah buat along terdiam.
“Along, pernah tak along terfikir? Duit biayaan along pada sekolah memandu angah tu datang dari sumber mana? Ingat angah tak tahu along ada join saham dan bankrap? Along rasa angah tak dapat habiskan sekolah memandu tu sebab diri angah atau sebab duit yang angah bagi tu tak ada berkatnya? Tambah along suka mengungkit lagi. Kalau along tak ikhlas nak tolong angah, angah pun takkan minta tolong along. Bukan along yang tentukan hidup mati angah. Tapi along kena ingat. Allah yang menentukan hidup kita along. Takdir , nasib, rezeki, semuanya Allah yang tentukan. Bukan kita along. Kita langsung takkan dapat meramal apa yang akan jadi walau seminit lagi pun. Banyak dosa kita along. Marilah kita banyakkan istigfar,”
“Along, angah mahu tanya along. Niat angah untuk sambung master itu perkara jahatkah? Along yakin ke angah mampu bekerja dan jadi anak yang baik jika tidak sambung master? Sedangkan dengan jalan menuntut ilmu juga angah sebenarnya sedang menyediakan akhirat untuk mak dan ayah. Tak perlulah angah jaharkan apa yang angah buat. Angah tak mampu nak bagi harta, wang ringgit pada mak ayah macam yang along selalu bagi. Angah hanya mampu titipkan doa dan usaha untuk menyediakan akhirat untuk mak dan ayah. Maafkan angah, along,”
Kata-kata itu buat along diam. Dan angah meninggalkan persoalan itu di minda along. Angah pun berlalu pergi meninggalkan along yang masih tak puas hati.
Firman Allah s.w.t di dalam ayat 1, surah anNahlu yang bermaksud :
..sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah pasti akan datang, maka janganlah kalian minta untuk disegerakan..
Berdasarkan kisah di atas, dapatlah kita simpulkan topik la tahzan kali ini berkisar tentang masa depan yang kita tidak tahu ada apa di dalamnya. Ibarat satu perjalanan. Kita tidak tahu ada apa di hadapan kita. Tapi teruslah melangkah dengan keyakinan yang jitu pada janji Allah. Setiap perkara yang kita lalui, perlu ditempuhi secara bijaksana dan dengan keimanan. Itu paksinya.
Saya petik satu tulisan penulis,
“Yang jelas hari esok masih ada dalam alam ghaib dan belum turun ke bumi. Maka tidak sepatutnya kita menyeberangi sebuah jambatan sebelum sampai di atasnya. Sebab siapa yang tahu bahawa kita akan sampai atau tidak pada jambatan itu? Boleh jadi kita akan terhenti jalan sebelum sampai ke jambatan itu dan boleh jadi juga kita akan sampai pada jambatan itu dan kemudian menyeberanginya?,”
“Dalam syariat memberi kesempatan kepada fikiran untuk memikirkan masa depan dan membuka alam ghaib dan kemudian terhanyut dalam kecemasan-kecemasan yang baru diduga darinya adalah sesuatu yang tidak dibenarkan,”
Dengan tulisan penulis, dapatlah kita simpulkan. Kita merancang, tapi sebaik-baik Perancang dan Penentu adalah Allah s.w.t. Maka berdoalah agar Allah sentiasa menyuluhkan cahaya di hati dan di jalan-jalan kita. Agar dengan cahaya itu, kita lebih terarah menuju ke destinasi mardhatillah. Tentukan keputusan kerana Allah, insya’allah hidup kita akan lebih terarah dan terhadaf.
Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
27 Mac 2011, 22 Rabi’ulAkhir, 7.00 pm.
0 comments:
Post a Comment