Tuhan, Beri Aku Cinta... - Ayusitha
Bhgian 1
Firman Allah swt :
“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dan (diri)nya, dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu..,” Surah Annisa’ : 1
Iman merenung terjemahan surat Annisa’ pada tafsir Quran. Sesekali mengurut-ngurut sekitar leher dan kepalanya. Hatinya tidak henti mengulang tasbih dan tahmid. Pagi itu Iman rasa kepalanya sedikit ringan. Tidak seberat malam tadi. Akhir-akhir ini memang kerapkali dia diserang sakit kepala. Mujur sakit kepala malam tadi tidak melarat ke pagi ini. Walau tubuhnya sudah tidak sekuat biasa, Iman gagahi juga bangun qiamullail pagi tadi bersama Annur.
Tibat-tiba pandangannya jadi malap. Beberapa kali dia besarkan anak matanya. Pantas dia membuka laci almari. Mengambil cermin mata. Cermin mata itu baru sahaja siap petang semalam. Sejak malam tadi lagi dia menyimpan cermin mata itu di dalam laci di dalam bilik solat itu. Cermin mata itu dia akan pakai mulai hari ini. Iman memakai cermin mata itu. Imej yang dipandang kelihatan jelas. Sesuai sekali cermin mata itu dengan anak matanya yang kecil. Iman mengucap syukur. Penglihatannya kembali tampak normal.
Dia kembali merenung terjemahan tafsir ayat pertama surah Annisa’ itu. Asyik sekali Iman memikirkan tafsir ayat pertama surah Annisa’ itu. Memang sudah menjadi rutin harian, setiapkali selepas subuh, selepas pulang solat subuh dari masjid, Iman akan mentadabbur Al-Quran. Lebih-lebih lagi ketika hari minggu. Memang waktu pagi-pagi begitu dia lebih suka bersunyi-sunyi di bilik solat. Kekadang mengulang hafaz Al-Quran. Kekadang hanya mentadabbur Al-Quran. Cuma pagi itu, dia renung lama-lama pada ayat pertama surah Annisa’ itu. Hatinya jatuh pada maksud..
“Wahai manusia!..Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dan (diri)nya, dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak..”
Dia mengulang renung juga pada maksud..
“Bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan.. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu..,”
Iman tertanya-tanya sendiri. Adakah sedikit waktu yang diberi Allah ini dia mampu melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami pada Annur, dalam jangka hayatnya yang sudah semakin singkat itu? Sempatkah dia menimang cahaya mata? Ajalnya saat itu sudah tidak dapat dijangka hayatnya. Sempatkah dia menatap wajah zuriatnya? Setitis air matanya menitis. Dia cermat menutup tafsir al-Quran itu. Lalu langkahnya diatur ke bilik.
Annur masih bertelekung solat. Annur terus masuk ke bilik tatkala pulang dari masjid selepas subuh tadi. Di tangannya masih ada al-mathurat. Annur baru sahaja selesai membaca surah al-waqi’ah dan al-mathurat.
“Assalamualaikum..,”Iman memberi salam.
“Waalaikumussalam..,” jawab Annur.
Iman dan Annur saling berpandangan. Berbalas senyuman.
“Eh abang..bila buat cermin mata?,”
“Petang semalam baru pergi ambil,”
“Kenapa abang pakai cermin mata?,”
“Kenapa Annur tanya? Tak handsome ke?,” ada senyuman di hujung bibir Iman.
Annur tergelak. ..Cute sebenarnya..hehe.. Desis hati Annur.
“Like..Like..hehe..,” kembang hatinya memuji Iman. Mengacuk isyarat ‘like’di jari.
Dia akui di hati, Iman nampak lebih matang dengan cermin mata itu. Iman senyum sambil mengangkat bahu. Dia segera ke meja belajarnya. Dicapai kalendar dan jadual harian. Memang rutin harian Iman, setiapkali selesai mentadabbur tafsir Al-Quran, dia akan memeriksa jadual hariannya pula.
Annur hanya memerhatikan tingkah Iman. Sejak tadi Iman asyik sekali membelek-belek kalendar bersilih ganti dengan jadual hariannya. Bagaikan mengira jumlah hari pula lagaknya. Annur banyak belajar memahami Iman menerusi pemerhatiannya pada tingkahlaku Iman. Iman orangnya sangat berdisiplin. Setiap waktu pasti ada sahaja agenda tarbiyah yang disusun. Iman gemar mengisi masa kosong mereka dengan segala aktiviti. Kekadang sehingga Iman keletihan dan tertidur di sofa dan meja belajarnya.
Annur mencapai album gambar yang tidak pernah ditunjukkan pada Iman. Baru dua minggu lepas dia berkesempatan pulang ke rumahnya di kampung. Jadi, album gambarnya itu baru sahaja dibawa ke teratak syurga mereka di nombor 1, Seksyen 12/16, Petaling Jaya itu. Hari ini barulah dia ada kesempatan mahu tunjukkan album itu kepada Iman.
“Abang..cuba tengok ni,”
Iman mengalih pandang ke arah Annur. Anak matanya jatuh pada album di tangan Annur. Dia bangun lalu mendaratkan duduk di birai katil. Di sebelah kanan Annur. Annur meletakkan album gambar itu di atas riba Iman. Dalam renungannya pada pemilik wajah mulus di sebelahnya itu. Iman menyambut album gambar itu. Sejenak memandang Annur dengan wajah persoalan.
“Apa yang istimewanya album ini, Annur?,”
“Cubalah abang buka,”
Humaira’ panggilan sayang Nabi s.a.w kepada isteri baginda yang tercinta Saidatina Aisyah r.a. Manakala rata-rata suami isteri sekarang ini saling memanggil panggilan ‘sayang’, ‘honey’, ‘hubby’, ‘darling’, ‘ayang’, ‘anje’ dan macam-macam lagi panggilan yang agak lucu dan menggelikan hati. Iman berbeza. Dia lebih suka memanggil nama Annur. Katanya, Annur itu dah bermaksud cahaya. Memanggil panggilan nama Annur, sama seperti mendoakan agar yang dipanggil sentiasa disuluhi cahaya hidayah Allah. Annur pula tidak berkecil hati. Senang dengan keluhuran hati Iman padanya. Itu pun dah cukup bagi dirinya.
Iman membuka satu persatu album gambar itu. Dia tersenyum-senyum.
“Apa abang senyum-senyum ni?,”
“Hmm..Isteri abang ni sangat comel ya,” Pantas jejari Iman singgah mencubit pipi gebu Annur.
Annur tersipu-sipu malu. Dia membiarkan Iman membelek-belek gambar-gambar itu. Tiba-tiba Iman merenung satu wajah pada gambar itu bersilih dengan wajah Annur.
“Annur, muslimin ni mesti pernah minat kat Annur kan?,”
Sengaja Iman mahu mengusik. Mahu melihat reaksi Annur. Wajah Annur serta merta jadi cuak. Pantas dia memandang gambar yang dimaksudkan. Dadanya membilang getaran debar.
“Macam mana abang tahu?,”
Iman tersengeh-sengeh. Lalu mengangkat bahu.
“Abang kan suami Annur..hehe..,”
Annur terdiam. Merenung lama wajah Iman. Iman masih tersenyum. Membalas renungan Annur. Suka dia direnung begitu oleh Annur.
..Subhanallah ya Allah..isteriku ini sangat cantik dan mempunyai hati yang sangat luhur. Semoga aku akan sentiasa dapat melihat wajah dan hatinya ya Allah..
Hati Iman tiba-tiba merintih pula. Cepat-cepat dia beristigfar. Annur masih merenungnya dalam. Iman ketawa tiba-tiba. Lalu tanpa disuruh Iman terus mengangkat bahu.
“Entah.. Naluri hati suami kot,” Satu lagi jawapan yang Iman berikan.
“Abang nii..takkan itu pun nak cemburu?,”
“Salahkah kalau abang cemburu?,” Kali ini soalan Iman bergula dengan senyuman manis.
Annur tersenyum-senyum lagi. ..Cemburu tu sayanglah kan?.. Soal Annur ke hatinya sendiri.
“Hmm..itu school mate Annur dulu. Waktu tu di SMATAN. Namanya Rahimi. Dia dulu pernah bekerja dengan Annur dalam Badan Pengawas. Kami rakan setugas dan seunit. Bahagian disiplin dan kaunseling pelajar. Dulu selepas SPM, Rahimi ada melamar Annur. Tapi, Annur tak terima,”
“Handsome orangnya. Rugi Annur tolak. Kenapa Annur tak terima?,”
Soalan itu buat Annur terdiam sejenak. Iman menunggu jawapannya.
“Hmm.. Annur saat itu sedang menjaga hati Annur, hanya untuk Allah.Sebab..,”
“Sebab apa?..,”soal Iman tak sabar-sabar.
“Sebab.. Allah sedang jaga hati Annur untuk abang,” ucap Annur malu-malu, tertunduk-tunduk.
Iman tergelak. Pantas sahaja jemarinya nakal menarik hidung Annur.
“Aduhh..sakitlah bang,” Mereka ketawa.
Iman menyelak lagi album itu. Tiba di satu halaman, Iman terpaku. Sekali lagi dia bersilih pandang lukisan itu dengan wajah Annur. Annur dah senyum-senyum. Dia dah agak. Pasti Iman terkejut. Terharu juga kot.
“Annur yang lukiskan ke,”
Annur mengangguk.
“Subhanallah..cantik. Kenapa tak hadiahkan pada abang?,”
“Bukankah Annur adalah hadiah Allah untuk abang? Jadi apa yang menjadi hak milik Annur juga adalah hak milik abang. Lukisan itu kini milik abang. Cuma selama ni Annur yang menyimpannya,”
Iman tersenyum. Anak matanya melirik ke tarikh yang tercatat pada lukisan itu. Ahad, 8 Julai 2002. Agak lama dia memikirkan tarikh itu.
“Eh, ini bukankah tarikh ini tarikh kuliah pertama kita di Nilam Puri? Annur lukis lukisan ni pada tarikh itukah?,”
Annur tersenyum. Menggelengkan kepala.
“Annur lukis lukisan tu tahun 2005. Tapi tarikh 8 Julai 2002 tu tarikh pertama kali Annur lihat dan kenal abang,”
“Ohh..,”
Iman sedikit terharu. Baru teringat yang mereka satu kelas.
“Jadi, sejak itu Annur memendam rasa pada abang?,”
Annur mengangguk. Tersenyum malu.
“Abang, waktu abang kenal Annur dulu, abang dapat rasa tak kita berjodoh?,”
Iman memeluk tubuh berfikir sejenak sambil senyum-senyum. Teringat mimpi-mimpi yang sering bertandang dulu sering membuatkan dia mengucap tasbih pada kebesaran Allah yang merancang segala-gala perihal makhluk.
Iman mengangkat bahu. “Entah..tak nak jawab, hehe..,”
“Abang nii..cakaplah betul-betul. Kan abang yang cakap, tak nak ada rahsia antara kita?,”
“Iye Annur..Tapi, itu kan rahsia abang dan Dia, Kekasih abang?,”
Annur terdiam. Akur. Iman awal-awal lagi sudah memaklumkannya, ada rahsia-rahsia tertentu yang Iman tidak boleh maklumkan pada Annur. Terutamanya rahsia Iman dengan Kekasihnya yang Agung. Kekasih yang sama-sama mereka cintai.
“Hmm..Baiklah.Tak nak cakap dah la pasal tu,”
“Annur merajuk ke?,”
Annur senyum-senyum lagi. Menggeleng lembut. Buat apa nak cemburu dengan Allah. Allah Pemilik Hatinya juga. Cepat-cepat dia mengalih topik.
“Abang, cuba abang tengok, apa yang ada di belakang gambar lukisan tu,”
Senyum Annur semakin bergula. Iman pantas menyeluk jari di belakang lukisan itu. Dia menarik keluar kertas berwarna biru.
“Eh, wang kertas RM50?,”
Annur tiba-tiba ketawa. Lucu melihat wajah hairan Iman. Kening Iman seakan bersambung. Kening Iman yang tebal tirus dan hampir bersambung saat itu buat wajah Iman saling tak ubah macam hero drama Jepun. Annur masih menahan ketawa. Iman senyum-senyum tersipu malu.
“Cuba abang fikir, macam mana Annur dapat duit ni dari abang?,”
“Eh, abang yang bagi duit ini pada Annur ke? Bila pula tu?,”
“Cuba abang tengok, nombor sirinya masih sama kan?,”
Iman berfikir lagi. Tiba-tiba anak matanya membesar.
“Ohh…duit derma yang abang bagi untuk program Annur hari tu? Annur nii..,”
Pantas sahaja Iman menarik hidung Annur lagi. Annur ketawa lagi. Iman menyentuh lengan Annur.
“Baik Annur cakap cepat. Macam mana duit ni boleh ada lagi?,”
“Hehe..Annur tukar duit yang abang bagi tu dengan duit Annur. Annur simpan duit abang,”
“Kenapa nak simpan,”
“Sebab Annur sayang..,”
Kata-kata itu buat Iman terpaku. Dia jadi terharu. Lama dia merenung wajah Annur. Melihat wajah itu tersenyum, dia jadi bahagia. Mendengar kekekan ketawa Annur, dia jadi terhibur. Melayan kerenah nakal Annur, rindunya jadi hilang.
..Ya Allah..Alhamdulillah, Kau beri padaku seorang isteri yang sangat setia. Malah setianya dia sejak sebelum kami ada ikatan yang sah ini lagi. Terima kasih kerana selama ini Kau menjaganya untukku. Allahhu Akbar.. Bisik Iman di hati.
Hatinya tidak henti-henti membesarkan Allah. Iman menggenggam jemari Annur.
“Annur, terima kasih..,”
...Bersambung ke bahagian ke 2...
Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah ( 12th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
30 Januari 2011, 26 Safar 1432H, 9.20 a.m
0 comments:
Post a Comment