BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, March 6, 2011

Cerpen : Cinta Sehijau Warna Daun (Bhgian 3)


..Bersambung dari bahagian 2..
Bhgian 3
 “Abang, bagilah kerja pada Annur. Abang ni terlalu manjakan Annur sangatlah,”
Annur memicit-micit kepalanya yang masih terasa pening. Entah silap makan apa, dia sendiri tidak pasti. Disebabkan kepalamya yang pening-pening itulah Iman tidak izinkan dia membantu di dapur. Mungkin juga sebab penyakitnya. Annur memang ada penyakit. Annur mengidap penyakit darah rendah. Dia mudah penat jika banyak buat kerja. Kadang-kadang selalu pening dan pitam tiba-tiba. Mungkin disebabkan itu juga Iman kerap membantu Annur di rumah. Namun tidak sempat rehat pun, Annur dah mula bosan. Asyik menghayun kaki sahaja. Semua perkara Iman mahu buat. Habis, apa pula yang dia nak buat?
Iman senyum sahaja. Seakan mendengar kata-kata hati Annur yang mengomel-ngomel saat itu. Tengahari itu, Iman mahu memasak makanan tengahari. Iman awal-awal lagi sudahpun menyiapkan bahan-bahan untuk menu tengahari itu. Sambal ikan bilis dan telur dadar. Iman orangnya sukakan segala yang sederhana. Dia memang menjaga pemakanannya. Cuma, dia tidak cerewet dalam memilih makanan. Kalau dah tak ada makanan sangat, dah cukup telur mata kerbau dan nasi putih sahaja.
“Annur rehatlah. Penat otak tu fikirkan nak buat kajian tesis tu. Lagipun hujung minggu sahaja hari yang Annur boleh berehat. Hari lain nak berkejar ke bilik kuliah lagi. Nak pergi mengajar lagi. Nak menulis novel lagi. Kan penat tu. Hujung-hujung minggu kadang-kadang ada program, Annur penat lagi. Apa salahnya abang ringankan penat Annur tu,”
“Annur tidak sesibuk abang. Abang yang lagi penat dari Annur. Tiap-tiap pagi ada usrah dengan adik-adik UM. Petang pula pergi mengajar. Malam-malam ada jemputan kuliah dan daurah. Abang pun free hujung-hujung minggu sahaja. Kiranya, kita ni sama-sama seri bang. Sepatutnya Annur yang tolong abang. Baru adil. Abang bagi Annur telur tu.. Abang masak sambal ikan bilis. Annur gorengkan telur ini. Boleh ya,” tingkah Annur.
Iman hanya tersenyum. Dia membiarkan sahaja Annur campur tangan. Sebenarnya dia memang lebih suka Annur rehat sahaja. Dia tahu Annur tidak kuat hendak lakukan kerja berat-berat. Pernah sekali, Annur pengsan hanya kerana kurang minum air sahaja. Sebab itu juga dia sering memastikan Annur minum lebih dari lapan gelas air masak setiap hari.
Annur pecahkan telur dan menimbuk telur sekejap. Namun tiba-tiba dia rasa pening semula. Pantas dia menolak mangkuk telur itu ke tengah meja. Entah kenapa bau telur itu buat tekaknya terasa loya. Tangan kanannya segera memegang dahi. Tangan kirinya mengusap tekak. Terasa lantai seperti bergoyang-goyang sahaja.
“Abang..,”
Iman meninggalkan periuk sambalnya. Sekejap dia ke meja mendapatkan Annur yang sudah terduduk di kerusi.
“Kenapa Annur? Annur sakit? Hmm..kan abang dah cakap, jangan masuk dapur. Annur nak juga masuk dapur. Kan dah pening-pening semula. Otak tu banyak fikir sangat tu,”
Iman menyentuh dahi Annur.
“Hmm..panas juga ni. Kenapa Annur tak cakap Annur dah demam?,”
“Alaa.. demam panas sikit. Demam hari minggu sahaja bang,”
“Hmm.. Annur rehat di bilik dulu. Lepas makan tengahari nanti abang bawa Annur jumpa doktor ya,”
Penyakit darah rendah Annur ini tidak berwajah. Kalau dah tunjukkan tanda-tanda, memang perlu dibawa berjumpa doktor segera.
“Alaa.. Tak naklah susahkan abang. Demam sikit ni. Tak payahlah jumpa doktor,”
Iman menjegilkan anak mata. Dan Annur cepat-cepat mengangguk bersetuju. Serentak itu bibir Iman membungakan senyuman lagi. Dan Annur mengetap senyuman geram di bibirnya. Serentak itu Iman menarik hidung Annur. Annur ketawa. Iman memang suka menarik hidungnya. Kata Iman, dia tak suka tengok Annur tarik muka. Sebab itulah Annur tidak sempat pun nak tarik muka, hidung dah kena tarik. Akhirnya monyok bertukar ketawa.
“Abang..Hari ni ada pasar malam tak? Ada jual murtabak?,”
Iman buat muka pelik. Ada sesuatu sedang bermain di mindanya. Mungkinkah?
“Annur nak makan murtabak ke?,”
Favourite Annur tu bang. Dah lama tak makan,”
“Hmm..ok. Abang pun dah lama tak pergi pasar malam. Insya’allah, balik klinik nanti, kita singgah ya,”
Annur tersenyum bergula.
“Terima kasih bang,”
Petang itu mereka ke klinik Dr. Aminah. Dr. Aminah sudah siap memeriksa Annur.
“Macam mana doktor? Demam isteri saya ini terukkah?,”
Dr. Aminah tersenyum. Dia menulis sesuatu di buku laporan. Serentak itu, dia menghulurkan tangan pada Annur. Annur dan Iman saling berpandangan.
“Tahniah dik. Dah dua bulan!.”
Annur dan Iman sekali lagi saling memandang. Segera wajah Iman jadi bercahaya. Tepat rupanya sangkaannya tadi.
“Hmm..patutlah nak makan murtabak. Mengidam rupanya,” pantas sekali lagi Iman menarik hidung Annur.
Annur ketawa. Wajahnya memerah. Malu pada Dr. Aminah. Dr. Aminah juga ikut ketawa.
“Abang pun.. sampai loya, muntah dan nak pengsan. Annur yang mengandung, abang pula yang lebih-lebih,” ujar Annur lagi.
Iman hanya menyambut sindiran mesra itu dengan seulas senyuman. Penuh makna. Dalam dadanya, berulang-ulang lafaz tahmid dan takbir didetikkan.
“Doktor, saya ada tekanan darah rendah. Ada apa-apa komplikasi tak pada pertumbuhan kandungan saya nanti,” soal Annur mahu mendapat kepastian.
“Ya.. Tekanan darah rendah atau hipotensi adalah keadaan tekanan darah yang lebih rendah dari tekanan yang diperlukan oleh tubuh, sehingga setiap organ dari badan tidak mendapat aliran darah yang cukup dan menyebabkan timbulnya gejala hipotensi. Tekanan darah seseorang adalah berbeza. Ini kerana ia membabitkan kawalan utama otak, jantung, buah pinggang dan ransangan di dalam salur darah. Saya akan berikan beberapa vitamin penambah darah. Cuma nasihat saya, puan perlu banyak minum air masak. Jangan buat kerja berat-berat. Jangan ikut aktiviti yang lasak-lasak. Perlu jaga pemakanan. Elakkan manakan yang boleh menyebabkan muntah dan cirit- birit yang akan menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi juga akan menyebabkan hipontensi. Dan ini akan membahayakan kandungan dan diri puan juga,”
Annur dan Iman saling mengangguk.
“Doktor, memang suami akan ikut merasa alahan jika isteri mengandung?,”
Tiba-tiba pula Annur menyoal begitu. Iman ketawa tiba-tiba. Dr. Aminah tersenyum.
“Kadang-kalanya begitu,” ujar Dr. Aminah.
“Kenapa Annur tanya doktor?,” Iman memandang tepat ke wajah Annur.
“Iyela.. Sebab Annur risaukan abang juga. Manalah tahu, ada penyakit lain yang datang menghinggap,” Annur mencebik.
Iman tersenyum. Kebetulan pula gejala tumor otak itu menyerangnya di saat Annur disahkan mengandung. Jadi, gejala yang dihadapi dianggap Annur sebagai alahan mengandungnya juga. Dia teringat, ibunya pernah bercerita, ayahnya yang lebih-lebih menghadapi alahan ketika mengandungkannya dulu. Ibunya biasa sahaja. Tidaklah menghadapi alahan yang teruk. Iman mengucap syukur. Iman membiarkan sahaja Annur menyangka gejala yang dihadapinya itu sebagai alahan kandungan pertama mereka. Iman menyentuh lengan Annur.
“Annur, terima kasih,”
Dua hari selepas itu Iman dan Annur mengadakan majlis kesyukuran di rumah mereka. Tidaklah besar-besaran. Hanya sahabat-sahabat rapat yang dijemput.
“Annur, Ulya tak datang?,”
“Ulya datang. Dia kirim salam pada abang. Dia datang sekejap sahaja. Ada meeting balai Islam katanya. Ada apa bang? Ada hal nak jumpa Ulyakah?,”
Iman menjawab salam di dalam hati. Tidak terus menjawab soalan Annur itu.
“Annur, Farhan ada hal nak bincang dengan Annur,”
“Dik An? Ada hal apa bang?,”
“Marilah Annur jumpa dia. Tinggalkan dulu mangkuk pinggan tu. Kejap lagi abang tolong Annur basuhkan,”
Iman menarik lengan Annur. Mereka beriringan ke ruang tamu. Farhan sudah sedia menunggu. Amar ada sekali. Sesekali anak matanya jatuh juga pada raut wajah Annur bersilih dengan wajah Iman. Annur duduk di sebelah Iman. Dia membalas senyuman Farhan.
“Kak, Dik An ada hajat. Bolehkah kak Annur tolong Dik An?,”
 “Ada hajat apa tu Dik An?,”
Farhan tiba-tiba jadi tersipu. Seperti anak dara hendak dipinang sahaja gayanya.
“Err..Dik An nak minta tolong akak carikan calon jodoh untuk Dik An?,”
Annur membulatkan anak mata. Saling bertukar pandangan dengan Iman. Kini Iman pula yang dah senyum-senyum.
“Ohh..itu hajatnya. Dik An ada berhajat kepada sesiapa tak?,”
“Hmm..Ulya?,”
Kali ini Iman pula yang tersentak. Annur juga. Mereka saling berpandangan.
“Dik An.. insya’allah akak boleh tolong carikan calonnya tapi mungkin bukan Ulya? Dik An ada cadangan nama lain?,”
“Kenapa bukan Ulya?,”
Annur terdiam. Teringat kata-kata Ulya..
“Kak, tolong sangat-sangat. Tolong jangan bagi harapan pada sesiapa pun yang merisik Ulya. Ulya dah tak nak ada hubungan dengan sesiapa lagi. Kalau ustaz Farhan tanyakan Ulya, kak jangan bagi harapan pada dia ya. baru-baru ini ustaz Farhan ada nyatakan isi hatinya pada Ulya. Tapi Ulya senyap sahaja. Tidak mahu respon apa-apa. Kak tolong Ulya. Ulya dah tersepit dengan Asrul. Ulya tidak mahu lagi ada masalah dengan ustaz Farhan kak. Ustaz Farhan, Ulya dah anggap seperti sahabat seperjuangan. Ulya tidak dapat menerima ustaz Farhan. Kak tolong Ulya. Ulya tengah dalam proses nak selesaikan masalah dengan Asrul sekarang ni. Ulya tak nak bertimpa dengan masalah lain pula kak,”
“Ulya dah ada yang mahu melamarnya,”
Farhan terdiam. Wajahnya serta merta naik cuak.
“Farhan, mungkin enta ada cadangan lain?,”
Satu wajah itu tiba-tiba muncul di benak Annur. Adik itu juga sudah seperti adiknya juga. Namanya seindah wajah dan akhlak luhurnya. Nur Raisatul Aisya nama sekeping hati itu.
“Hmm.. Dik An tak ada cadangan sesiapa kak. Mungkin lebih elok Dik An serahkan pada pandangan kak Annur. Mohon kak Annur carikan. Elok pada pandangan akak, insya’allah elok pada Dik An juga,”
Annur saling berpandangan dengan Iman lagi.
“Dik An, akak ada cadangan seorang adik ni. Akak nampak dia sesuai sangat dengan Dik An. Nak try tak?,”
Farhan senyum, malu-malu. Lambat-lambat dia mengangguk.
“Boleh juga jika dia kosong lagi. Siapa dia kak?,”
“Aisya? Nur Raisatul Aisya?,”
Mendengar nama itu, hati Farhan berbunga-bunga.
“Kak, sebenarnya ana juga ada menyimpan hati pada ustazah Aisya. Ana pernah tak sengaja suarakan lamaran ana pada ustazah Aisya, tapi ustazah Aisya diam sahaja. Tak jawab-jawab pun hingga ke hari ini,”
Annur dan Iman sama-sama tersenyum.
“Enta tanya dia sekali sahajakah?,” Iman pula bersuara.
Farhan mengangguk. Teringat detik-detik dia meluahkan rasa hatinya pada Aisya. Ketika itu, dia masih terlantar di wad. Lucu pula dia rasa. Melamar Aisya di wad. Tak pernah dibuat orang.
“Hmm.. enta kena tanya dia dua tiga kali. Dah enta tanya dia sekali sahaja. Entah-entah dia anggap enta bergurau kot. Lebih baik, enta guna orang tengah. Kalau dah suka, boleh kot kak Annur yang bawakan hajat enta pada Aisya?,” soal Iman lagi.
Farhan tidak tunggu lama untuk memberikan jawapan pasti. Dia pantas mengangguk sahaja. Wajah Nur Raisatul Aisya kini semakin membesar dalam jiwanya. Dia mula membina sebumbun harapan untuk mentaqdim gadis itu.
Teringat satu ketika, saat dia terlantar di hospital, Aisya yang banyak membantunya di hospital. Saat itu, dia mengalami kemalangan di sendi kaki dan lutut, ketika perlawanan bola sepak antara kolej-kolej kediaman seluruh kampus Uni Malaya itu. Akibatnya, hampir dua bulan juga dia terlantar di hospital. Seharian menerima rawatan hospital di wad 8U, Ortopedik, PPUM dia sangat kesunyian. Sekali sekala hanya ditemani jururawat dan doktor sahaja. Jiwanya jadi murung. Tubuh juga semakin kurus. Dia hilang selera makan. Malah, badannya jadi makin susut. Namun kebiasaan, ramai sahaja rakan-rakan seperjuangan yang hadir melawat dan menemaninya di wad itu. Cuma, pada hari itu, hanya Saiful seorang sahaja yang menemaninya. Sahabat-sahabat yang lain, semuanya ada musyaqoh masing-masing yang tidak dapat dielakkan. Namun, Aisya tidak pernah jemu-jemu datang melawatnya. Cuba bertanya mungkin ada apa-apa yang boleh dibantunya di situ.
“Enta, kenapa dengan enta hari ni? Enta tak ceria macam biasa. Dah kurang senyum. Makan pun dah tak ada selera. Enta bagitahu ana, enta nak makan apa? Ana akan belikan,”
Farhan menggelengkan kepala. Tidak ada hati mahu bercakap.
“Enta, hari ni ana tak dengar lagi enta bercakap. Kenapa ni? Diam sahaja?,”
“Ana nak kak Annur lawat ana. Dah dekat sebulan ana terlantar kat wad ni. Kak Annur tak ada datang pun,”
“Kak Annur busy. Dah dekat peperiksaan akhir semester,”
Farhan memuncungkan wajah. Sejak dia terlantar ni, Annur belum datang menjenguknya. Tambahan pula, hanya Annur saudara terdekatnya yang ada di Kuala Lumpur saat itu. Ketika itu Annur belum berkahwin lagi.
“Ok. Nanti ana ajak kak Annur datang sini ya,”
Kali ni Farhan mengangguk. Rasa terpujuk.
“Hmm..Enta nak makan apa?,”
“Hmm.. kalau alang-alang ustazah nak tolong belikan, ana nak roti John dan murtabak,”
“Ok. Insya’allah.. Nanti ana tolong belikan ya,”
Dan malam itu, seperti yang dijanjikan, Aisya kembali ke wad itu bersama roti John dan murtabak kegemaran Farhan. Malam itu Aisya datang bersama Alina, teman rapatnya. Selalunya Aisya selalu datang bersama Ulya sahaja.
“Ustazah.. Ustazah Ulya tak datang hari ini?,”
Aisya menjeling Alina sekilas. Lalu menggeleng lembut. Dia sedang memotong roti John dan murtabak. Lalu disusunkan roti dan murtabak itu di dalam piring kertas.
“Kak Annur pun tak datang?,”
Wajah Farhan dah mencuka. Sekali lagi Aisya menggelengkan kepala.
“Ustaz ni.. kak Annur sibuk hari ni. Insya’allah, esok petang kak Annur datang melawat ustaz,”
Farhan mencebik. Sesekali dia melirik ke jemari Aisya yang tidak kekok menyusun roti dan murtabak itu ke dalam piring kertas. Kemas sekali jemari itu bekerja.
“Nahh.. makanlah. Ustaz Saiful jemput makan sekali,”
Saiful memang sentiasa menunggu Farhan di wad Ortopedik itu. Dia hanya mengangguk. Lantas menarik kerusi merapat di sebelah Farhan. Saiful kalau bab tolong makan, rezeki tak pernah ditolak. Farhan dan Saiful makan bersama. Telefon bimbit Saiful berbunyi pula. Ada panggilan telefon.
“Sekejap ya..,” Saiful berlari keluar dari wad itu.
Farhan masih mengunyah murtabak. Seronok Aisya melihat Farhan makan.
“Ustazah Aisya, ustazah Alina, jemputlah makan sekali,”
“Tak apa. Kami dah makan. Ustaz makanlah. Kami nak minta diri dulu ni,”
Aisya bergegas mahu melangkah keluar dari wad itu.
“Ustazah..,”
Aisya menoleh kembali. Membiarkan Alina terlebih dahulu meninggalkan wad itu.
“Ada apa ustaz?,”
“Ustazah sangat baik pada ana. Tak pernah ada muslimat yang melayan baik pada ana seperti ustazah. Kalau ana mahu melamar ustazah, apa pandangan ustazah?,”
Aisya jadi tidak keruan. Terus sahaja wajahnya menunduk ke lantai wad. Anak matanya tidak lagi berani menatap wajah Farhan. Kakinya rasa ringan sahaja mahu melarikan diri. Pipinya sudah panas merah kemerahan.
“Hmm..tak apalah. Terima kasih ya ustazah,”
Aisya mengangguk. Pantas cepat-cepat menapak keluar dari wad itu.
Farhan tersenyum-senyum mengingati saat itu. Tidak sangka pula dia berani melamar Aisya begitu. Pasti Aisya jadi malu dengannya. Dia berdoa-doa sendiri. Semoga ada jodohnya dengan Aisya.

..Bersambung ke bahagian 4..
Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah ( 12th),
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
4 Februari 2011, 1 Rabiul Awal 1432H, 12.44 a.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...