BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 29, 2011

Tinta Annur : Kemilau Tarbiyah Di Langit Cinta episod 1




Episod 1

YUSRIL menahan nafas. Sujudnya dilamakan. Bahunya terhenjut-henjut menahan esakan tangis yang kerap kali meledak tatkala hatinya bertaut bicara dengan Pemilik Hatinya. Air matanya kerapkali gagal dibendung tatkala dia menghadap Pemilik Cintanya itu di sepertiga malam sunyi begitu. Hatinya dirimba sayu, mendudu rindu pada Kekasihnya Yang Agung. Sayu mengenangkan dirinya yang penuh noda dan dosa, namun Dia yang Maha Agung tetap juga memandangnya sebagai hamba yang diberikan rezeki dan masih diberikan kesempatan bernafas dengan nikmat Islam dan Iman.

Rindu kerana hatinya sentiasa merindu untuk bertemu Dia Yang Agung. Lalu dia mengikat janji di dalam hati. Sejak awal-awal lagi sudut hatinya telah dihiaskan dengan pepohon jambangan cinta yang bunganya semakin hari semakin mekar dan titik-titik jernih embun yang menitis di kala dinihari mengucap selamat pagi kepada fajar siddiq akhirnya bertukar menjadi kemilau bercahaya pada malamnya. Menemani sang bintang dan malam. Yusril segera mengucap tasbih di dalam hati. Pertemuan dengan Kekasihnya pada awal pagi itu dia akhiri dengan sujud syukur yang turut membeningkan air mata di wajahnya yang sentiasa mulus dengan air wuduk.

..Subhanallahh…Subhanallahh.. Subhanallahh.. Allahhu Akbarr..

Yusril bangun dari sujud. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Rata-rata jemaah masjid kelihatan sudah memenuhi ruangan saff di hadapan. Yusril mengucap tasbih dan lafaz istighfar beberapa kali.

..Astaghfirullahh..Astaghfirullahh.. Astaghfirullahh..

Serentak itu terluncur juga lafaz tahmid dari bibirnya.

..Alhamdulillah ya Allah..

Yusril menghirup nafas seketika. Anak matanya menyeluruhi sekitar medan Masjid Negara itu. Dia tersenyum melihat saff hari ini penuh sehingga ke belakang masjid.

..Subhanallah..

Terlafaz lagi ucapan tasbih itu tatkala anak matanya menangkap kelibat seorang tua yang kudung tangannya namun masih gagahi mahu mendirikan solat subuh secara berjemaah di masjid yang tersergam indah itu.

..Semoga Allah terus kurniakan kekuatan padamu pak cik. Sungguh di hadapan Allah, hanya taqwa jadi nilaian. Allahhu Akbarr.. Subhanallah ya Allah, pak cik itu sudah lama menjalani kehidupan di dunia ini. Namun dia masih tetap istiqamah dalam beribadah.

..Aku ini ya Allah, baru saja mahu memulakan langkah pertama dalam perjuangan. Tidak  pasti lagi bagaimana jalanku selepas ini. Namun kuyakin jalanku semakin berlecah dan berbecak. Malah penuh dengan lubang-lubang onak di kiri dan kanan jalan..

..Allahhu Akbarr.. Subhnallahh.. Ya Allah, jaga dan lindungilah diriku dan ahli keluargaku dari marak menyala dan libasan api neraka.. Semoga Kau terus pegang hatiku dan semoga Kau terus berikan perlindunganMu pada dunia dan akhirat kami ya Allah..

..Matikan kami dalam keadaan husnulkhatimah ya Allah.. Aminn..

Jam dinding masjid sudahpun memberikan isyarat bahawa waktu subuh telahpun masuk. Sebentar kemudian, terdengar suara azan berkumandang di serata kawasan bandar Kuala Lumpur itu. Saat itu kelihatan seorang anak muda tampil ke depan masjid melaungkan azan. Yusril menundukkan wajah. Detikan hatinya beriring zikrullah di samping mengamati laungan azan tersebut sehingga ombak jiwanya kembali berkocak-kocak. Saat itu bibirnya turut mengalunkan lafaz kalimah syahadah dan hatinya lambat-lambat mendetikkan tafsiran kalimah suci itu.

..Sahaja aku bersaksi tiada Tuhan Yang Disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah..

Persaksian itu menjentikkan sendu di jiwanya. Serentak itu tergamit kembali lambaian rindu di hatinya pada Kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. Terasa betapa rapuh jiwanya saat itu. Dia gagal membendung rasa rindu itu. Lalu mengalirlah air mata di pipi sebagai perlambangan hatinya saat itu begitu dambakan pertemuan yang abadi dengan Kekasih Allah itu di akhirat nanti. Mendetikkan persaksian ‘Muhammad Pesuruh Allah’ itu sahaja sudah cukup membeningkan air mata. Apatah lagi saat mindanya mengulang tayang satu persatu mega perjuangan Baginda s.a.w. Dingin membayu ke hati saat mengimbau kembali detik-detik Kekasih Allah itu direnggut ajalnya dengan kesakitan yang teramat sangat.

..Subhanallahh.. Allahhu Akbar..

Yusril mendetikkan tasbih. Sedangkan Kekasih Allah merasa sakit teramat sangat saat direnggut ajal sehingga basah seluruh tubuh Baginda dengan keringat. Apatah lagi manusia seperti dirinya yang sentiasa bersilih dengan noda. Namun paling mendetikkan rasa kagum di jiwanya, Penghulu Ummat Islam itu masih mengingati ummat Baginda di kala Baginda s.a.w sudahpun memejamkan mata saat dijemput Izrail, para malaikat dan para penghuni langit kembali ke syurga Allah. Tetap juga didetikkan di hujung bibir Baginda yang saat itu sudahpun kebiruan.

..Ummatti.. Ummatii.. Ummatii..

Titik jernih air putih itu gugur lagi tanpa henti, membasahi wajah mulus Yusril.

..Allahhumma solli ‘ala saidina Muhammad wa ‘ala ‘ali Muhammad..

Beberapa kali dia mengulang berselawat. Merencahkan luhur cintanya pada Pesuruh Allah itu. Walau Baginda s.a.w sudah tiada di muka dunia ini, perjuangan Baginda sentiasa hidup bersama nafas-nafas ummat Baginda s.a.w. Dan Yusril berazam mahu menjadi salah seorang mata-mata rantai yang akan menyambung perjuangan Kekasih Allah itu. Semakin mendalam rasa syukur di hatinya dengan nikmat Islam yang ditegakkan dengan darah perjuangan Baginda s.a.w. Maka, Yusril berazam, mahu menjadi penerus perjuangan Baginda s.a.w sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.

..Subhanallah.. Ya Allah, temukan aku dengan KekasihMu ya Allah.. Aminn..

Akhirnya solat pada pagi itu didirikan dengan iringan linangan air mata kesyukuran. Tidak lupa dia menyembah sujud syukur sebaik sahaja selesai merintihkan doa hati pada Kekasihnya Yang Agung.

Yusril menapak keluar dari masjid itu. Telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej masuk dari penghantar mesej yang tidak bernama. Yusril meneliti kandungan mesej itu.

Salam. Kem Amal Islami’06. Reminderr..Slot ustaz jam 10 pagi hari ini di Puncak Sungai Lui. Ana mahu ingatkan ustaz bergerak lebih awal, bimbang jalan sesak dan tiba lewat ke tempat program. Jika perlu apa-apa bahan sampingan slot, maklumkan pada ana ya. Syukran jazilan ustaz, jazakallah..”         
–Nur Qaleesya Humaira’.

Wslm. Syukran jazilan ustazah. Insya’allah jika tiada apa-apa aral, ana cuba untuk bergerak lebih awal ke sana..

Yusril lambat-lambatkan langkahan kaki. Dia meneliti seketika rona fajar di sekitar Masjid Negara itu. Hatinya mendetikkan lafaz tasbih.

..Subhanallah.. Cantiknya langit subuh hari ini ya Allah.. Subhanallah ya Allah..

Serta merta mesej peringatan slot itu kembali terngiang di minda. Itu kali kedua dia menerima mesej dari seorang muslimat bernama Nur Qaleesya Humaira’ itu.

..Nur Qaleesya Humaira’?..

Beberapa ketika Yusril cuba mencari-cari wajah pemilik sekeping nama itu dalam senarai nama-nama siswi PMIUM yang tersimpan di mindanya. Namun dia kesal sendiri. Gagal mengesan. Agaknya dia memang tidak pernah mengenali siapa gerangan siswi yang bernama Nur Qaleesya Humaira’ itu. Yusril menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam saku baju melayunya yang berwarna biru itu. Dia bergegas menapak ke keretanya. Pagi itu dia harus tepati janjinya. Harus tiba awal ke tempat program itu. Namun entah kenapa sekeping nama itu kembali terngiang-ngiang di mindanya lagi.

..Mungkinkah akan ada pertemuan?..

Dan dengan detikan hati itu, bibirnya mengorak senyuman tersirat yang dia sendiri pun tidak tahu kenapa dan untuk apa.

Perodua Viva silver metallic itu membelah kabus, meluncur tenang memasuki kawasan perumahan Galeria Sri Perdana. Suasana segar pepohon kehijauan di kiri kanan di sekitar kawasan perumahan itu seringkali memberi ketenangan bagaikan terapi pada jiwanya. Sisa air mata yang masih berlereng di kelopak matanya segera dikesatkan. Yusril tersenyum sendiri. Sudah lebih dua puluh tahun dia menetap di kawasan perumahan itu bersama keluarganya. Bahkan kawasan perumahan itu menjadi medan dia dan adikberadiknya bermain.

Jarak dari Masjid Negara ke kediamannya hanya memakan masa lebih kurang lima minit. Jadi sekejap sahaja banglo putih dua tingkat itu sudah kelihatan di lereng bukit tidak jauh dari gerbang Galeria Sri Perdana itu. Perodua Viva bernombor BHW 8822 itu membelok masuk ke perkarangan banglo beralamat JKR 4944-01, di situlah kediaman syurganya bersama keluarga sakinah yang diberikan nama Villa Munir Al-Hafiz. Nama villa itu sempena nama datuk mereka, Syed Munir Al-Hafiz.

Menurut bapa Yusril, datuknya dikatakan masih hidup hingga sekarang, namun tidak dapat dikesan. Bapanya Syed Muda Al-Hafiz seringkali meminta mereka adikberadik agar terus mengesan datuk mereka itu. Pesanan yang sering terngiang-ngiang di anak telinga Yusril dan adikberadik,
 ...“Anak-anakku sekalian, kita ini bukan sembarangan keturunan. Kemungkinan keturunan kita keturunan yang mahu menegakkan kalimatulhak di muka bumi Allah ini. Kita perlu mengesan datuk kamu, Syed Munir Al-Hafiz. Bapa sering bermimpi melihat seorang tua berjubah putih dan berserban yang sedang berdoa agar kita dapat mengesan mereka di Surabaya, Indonesia. Isyarat mimpi itu datang agar kita perlu menjejakinya segera sebelum dia menghembuskan nafasnya meninggalkan dunia ini. Kita harus mencari dan mengesan jejaknya. Ada suatu wasiat dan makluman tentang salasilah keturunan kita yang mahu disampaikannya pada kita,”...
 Pesanan itu berbekas di hatinya memandangkan dia anak sulung dari 6 orang adikberadik dan semua keturunannya Syed dan di akhir nama mereka diletakkan Al-Hafiz atau Al-Hafizah tatkala sudah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran.
Kesemua keturunan mereka perlu mengikuti marhalah tarbiyah yang disusun berdasarkan tarbiyah seorang aktivis gerakan dakwah. Marhalah tarbiyah itu harus diteruskan dari generasi ke generasi keturunan mereka zaman berzaman, sebagai wadah untuk memastikan keturunan keluarga mereka berterusan menjadi generasi yang ditarbiyah dan hidup dalam suasana tarbiyah yang istiqamah.
Pertama sekali mereka harus mengikuti marhalah al-huffaz dengan mendapat didikan awal di maahad tahfiz. Wajib ditanamkan kalam ‘al-Quran’ di dada-dada mereka. Kemudian mereka perlu mengikuti marhalah tsaqofi da’ie iaitu mereka perlu mengikuti siri pengisian ilmu dan dakwah. Di mana pada peringkat ini, mereka perlu mencari ilmu dan semestinya ilmu yang dicari itu perlu disampai dan disebarkan.
Setiap mereka perlu menguasai skill dalam berdakwah. Agar ilmu dan tsaqofah yang ditimba boleh segera disampaikan pada mad’u. Al-ilmu bila ‘amalin kassyajari bila samarin (ilmu tanpa amal ibarat pohon yang tidak berbuah). Kemudian marhalah tarbawi, di mana menerusi marhalah ini, mereka yang sudah bergelar Al-Hafiz, memiliki ilmu dan tsaqofah, menjadi da’ie dan seterusnya melalui marhalah tarbawi yang merelakan diri mereka ditarbiyah sebelum mentarbiyah.
Kemudian, mereka akan mengikuti fasa tarbiyah‘amilin untuk persediaan terbang ke medan gerak kerja dakwah khususnya dalam bidang pekerjaaan masing-masing. Fasa tarbiyah‘amilin ini berkala mengikut tahap umur. Dalam fasa ini ditekankan tarbiyah ruhiyah, jasadiyah dan tsaqofiyah. Kesemua fasa ini diamalkan secara konsisten untuk merencahkan kekuatan dalaman, khususnya dalam tarbiyah ruhiyah dan jasadiyah. Tarbiyah ini juga agar akal dan jasad sihat dari perkara-perkara maksiat dan sebarang bentuk gangguan samada gangguan hati atau pun gangguan makhluk halus. Al-aqli salim fil jismi salim (Akal yang sihat itu berada dalam tubuh yang sihat).
Setelah itu, mereka perlu melalui fasa marhalah daulah islamiyah, di mana menerusi marhalah ini, mereka perlu memperkasakan penguasaan terhadap peringkat individu muslim, baitulmuslim, masyarakat muslim dan daulah Islamiyah yang seterusnya menghala ke arah khilafah Islamiyah yang akan mencorakkan sebuah daulah Islamiyah itu dalam segenap sudut. Lebih-lebih lagi dalam corak pemerintahan, ekonomi, sosial dan kebajikan serta fikrah dalam membentuk ummatan Islamiyah dalam sekecil-kecil perkara. Sekecil-kecil perkara semuanya berhadafkan redha Allah dan untuk kebaikan Islam itu sendiri.
Yusril sendiri telah memasuki Maahad Tahfiz Kuala Selangor. Kemudian, dia menyambung pengajian ke Darul Quran. Namun setelah menyambung pengajian di Darul Quran, dia menerima tawaran ke Universiti Malaya dalam pengajian Usuluddin. Sekarang dia baru sahaja menamatkan sesi pengajian di peringkat sarjana muda Usuluddin. Yusril juga sudah melalui kesemua marhalah-marhalah tersebut. Cuma dia masih belum memikirkan soal pembinaan baitulmuslim.
Baginya dia harus menjadi seorang ‘amilin dahulu yang saat itu dia sedang dalam fasa memperkasakan individu Muslim ke dalam diri dan jiwanya. Perlu penghayatan nurani kerana Allah dan perjuangan Islam. Dia yakin soal jodoh pertemuan apabila sudah sampai masa, pintu hatinya pasti akan terbuka. Dia juga sering berdoa semoga Allah pilihkan seorang isteri yang solehah, mujahidahfillah sebagai hadiah menantu untuk umi dan abinya, juga ibu kepada anak-anaknya.
Agar hal itu sebagai persediaan untuk meluaskan jaringan zuriat yang mendokong prinsip Islam sebagai dasar dalam kehidupan.
...“Ya Allah, andai Kau berkehendak mempertautkan hatiku buat serikandi mujahidah tertentu, Kau tautkanlah hati ini dengan seorang ‘amilah yang istiqamah, juga memiliki ketinggian tadhiyah dan elok tarbawi dirinya. Sungguhpun begitu ya Allah, ketentuanMu meliputi segalanya..
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
...“Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa,”...
Lantas dia juga tidak putus-putus berdoa dengan doa mahabbah yang sering menjadi titipan hatinya tatkala bertaut bicara dengan Sang Pemilik Cintanya..
اللهم حبب إلينا الإيمان وزينه في قلوبنا وكره إلينا الكفر والفسوق والعصيان... اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك وحب عمل يقربنا إلى حبك....
...“Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu,”...

Sesampai kakinya menjejak ke laman kediaman Villa Munir Al-Hafiz itu, kakinya terus sahaja menapak masuk ke kamar lenanya. Yusril memeriksa planner hariannya pada hari itu. Dia memang ada jemputan sebagai pentaaruf dalam satu slot kenal diri dalam sebuah program tarbiyah PMIUM pada pagi itu seperti yang diperingatkan oleh Nur Qaleesya Humaira’, urusetia pengisian program yang menghubunginya.
Yusril termenung seketika. Inilah kali pertama dia dijemput sebagai pentaaruf. Hatinya sedikit gusar. Bukan tidak yakin dengan keupayaan diri. Bahkan ayat 286 surah Al-Baqarah itu sering menjadi pengecas keyakinan dirinya untuk terus mencipta langkah-langkah ke arah menjadi seorang murabbi yang sebahagian besar masa dan hidupnya adalah untuk Allah dan perjuangan Islam.
..La Yukallifullahhu nafsan illa wus’aha.. yang bermaksud, Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kemampuan dirinya..
Yusril cepat-cepat mendetikkan lafaz istighfar beriringan detikan tasbih.
..Astaghfirullahh..Astaghfirullah..Astaghfirullah...Subhanallahh..Walhamdulillah..Wala’ilahaillallah.. Wallahhu Akbarr..
Ketukan di pintu kamar serta merta menyentap ruang fikir Yusril. Serentak itu terdengar suara pengetuk pintu itu memberi salam.
“Assalamualaikum..,”
Suara lunak itu milik Yusliza. Sharifah Yusliza merupakan anak kedua dalam keluarga Tuan Syed Muda Al-Hafiz. Dia seorang siswi ilmi yang sangat mementingkan ilmu. Pantang dia mendengar ada kuliah ilmu di sekitar kawasan berhampiran, pantas sahaja kakinya mahu melangkah ke sana. Jiwanya sufi sesufi dandanan pesonanya yang persis bidadari di bawah sinaran mentari pagi. Wajahnya yang sentiasa tersenyum itu sentiasa menatahkan titisan salju tenang ke anak mata yang memandangnya dengan basirah hati.
Wajah mulus itu senang dihijabi dengan niqab apabila keluar menjengah ke medan umum. Pesonanya dilindungi seumpama dia menutupi seluruh tubuhnya dengan pakaian Islam seorang mujahidah sufi. Serta merta gadis periang beralis lentik itu menjengahkan wajah sebaik sahaja pintu kamar abang sulungnya itu dibuka.
Dia memandang Yusril dari atas ke bawah dengan pandangan hairan bin pelik.
“Abang Long tak bersiap lagi?,”soal Yusliza.
Yusril menjawab salam di dalam hati. Yusliza menapak masuk ke dalam kamar itu. Seketika dia mencerlungkan anak matanya ke seluruh kamar itu. Kamar tidur abang longnya itu masih tidak berubah. Cadar katil itu bertukar dua minggu sekali. Tapi warnanya tetap juga tidak berubah. Biru langit. Warna kesukaan Yusril. Setinggi langit yang membiru. Itulah motivasi jihad Yusril dalam meletakkan sesuatu cita-cita dan matlamatnya.
Yusliza mendaratkan duduknya di katil sambil kedua kakinya yang hampir mencecah lantai itu digoyang-goyangkan. Yusril meletakkan planner hariannya di atas meja belajar. Planner hariannya itu sering sahaja diletakkan berduet dengan diari hariannya di kiri meja belajarnya. Serentak itu Yusril melepaskan keluhan kecil. Serentak dia beristighfar.
..Astaghfirullah ya Allahh..
Dia baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam bidang Usuluddin. Selepas ini dia berhasrat mahu menyambung pengajian master di dalam bidang Al-Quran dan Al-Hadis di Jabatan Al-Quran dan Hadis. Itu cita-citanya. Kerana dia sangat mencintai Al-Quran, Al-Hadis juga Bahasa Al-Quran iaitu Bahasa Arab. Biar lama sedikit dia berada di gedung ilmu kampus universiti tertua itu. Dia mahu memenuhkan ruang ilmu di dada di samping dia berazam membina kesediaan diri untuk terjun ke medan tarbawi bersama mad’u. 
Bersambung. ke episod 2..

Annur Iman,
29 Dis 2011, 5.44 pm..
Galeria Sri Perdana, KL..

Thursday, December 15, 2011

Doakan dunia dan akhirat kami...



Sejenak dalam entry ringkas ini, saya mencelahi waktu juga mahu meninggalkan secoret tinta tulus ini buat tatapan pembaca dan pelawat Wadie AnNurFillah.. Maafkan saya kerana sudah lebih dua bulan laman sesawang ini ditinggalkan sekejap kerana perlu menumpukan sepenuh perhatian pada hal-hal ke arah menyempurnakan sepertiga agama, seterusnya menamatkan zaman bujang dan anak dara.

Alhamdulillah..bermacam-macam perasaan yang berbaur tiba saat diri bertukar status dari anak dara menjadi seorang isteri. Subhanallah..baru tersedar diri sudahpun bergelar 'puan' dan bukan 'cik' lagi.
Walaupun tidak sempat mahu menceritakan segala kronologi saat-saat terakhir saya bergelar 'isteri', cukuplah saya kongsikan kenangan gambar saya bersama kalian pembaca dan pelawat Wadie AnNurFillah ini..








Alhamdulillah, segala urusan walimah berjalan lancar. Terima kasih pada sahabat-sahabat yang mengirim ucapan tahniah samada dengan mesej atau call. Saya mohon maaf, ada mesej yang tidak terbalas. Syukran jazilan tidak terhingga juga saya ucapkan pada sahabat-sahabat yang hadir ke walimah kami. Antaranya sahabat-sahabat Real, adik-adik Hawariyun, Genius dan Ansorullah yang banyak bantu saya. Budi baik kalian, moga Allah mengganjarinya dengan sesuatu yang lebih baik, insya-Allah..

Saya kira belum terlambat untuk saya kongsikan berkenaan hadiah perkahwinan saya, hadiah dari Allah. Subhanallah..Walhamdulillah.. Iaitu novel sulung saya bertajuk Musafir Perindu, yang sudah sebulan berada di pasaran. Inilah hadiah saya untuk sekalian pembaca.. Harap dapat beri teguran dan komen yang memberangsangkan, agar saya dapat lebih memperbaiki penulisan untuk akan datang, insya-ALLAH..


Sekadar itu sahaja yang saya mahu tintakan dalam entry serba ringkas ini. Doakan saya. Terima kasih.






~AnNurIman~
15 Disember 2011,
Galeria Sri Perdana, KL

Saturday, November 5, 2011

Kisah Nabi Ibrahim Sempena Aidil Adha






Nabi Ibrahim AS. adalah salah seorang Nabi yang termasuk dalam ulul ‘azmi  (golongan Nabi yang memiliki kesabaran lebih dibanding manusia biasa). Beliau juga dikenal sebagai abul adyan (bapa agama). Beliau adalah pengembara spiritual sebagaimana dikisahkan dalam surah al-An’am ayat 75-76.
Kesabaran beliau dapat kita ketahui melalui penulusuran kisah hidupnya. Salah satu kisah yang menggambarkan kesabaran beliau adalah kesabaran beliau dalam penantian yang lama menunggu kelahiran seorang anak setelah menikah dengan Siti Sarah (isteri pertamanya). Dan kesabaran beliau dalam melaksanakan perintah Allah Swt. setelah memiliki anak. Kala itu Nabi Ibrahim As. dengan sabar menunggu kurnia Allah Swt.. Sampai tibalah suatu waktu, dengan kerelaan isteri pertamanya (Siti Sarah) ia menikah dengan Siti Hajar (isteri kedua). Dari pernikahannya yang kedua inilah, ia dikurniai anak lelaki yang diberi nama Ismail.
Namun kebahagiaan sebagai seorang yang dirasakan Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar kembali diuji oleh Allah Swt.. Ia diperintahkan untuk mengasingkan Siti Hajar serta Ismail yang masih bayi ke bukit Safa yang gersang dan tandus. Tempat yang jauh dari pemukiman penduduk. Tidak mustahil banyak terdapat binatang buas di tempat tersebut. Tetapi dengan penuh ketaatan dan kesabaran berangkatlah Ibrahim menghantarkan isteri dan puteranya ke tempat tersebut. Kemudian meninggalkan mereka di bukit gersang dan tandus tersebut.
Selang beberapa waktu Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan Nabi Ibrahim, ujian menyapa mereka. Ismail merasakan kehausan. Sedangkan persediaan minuman serta makanan telah habis. Ditambah lagi air susu sang ibu tidak dapat disusukan kerana telah banyak keluar tenaga dan susu kering. Namun, Ismail yang belum cukup faham dengan keadaan ibunya tetap menangis minta disusukan.
Siti Hajar dibaluti kebingungan. Secara logiknya di bukit gersang dan tandus itu, sangat sulit mahu mendapatkan air. Tapi agungnya pengorbanan seorang ibu tidak terhalang oleh hal demikian. Dengan gigih Siti Hajar berlari-lari kecil (melakukan sa’ie) menuju bukit Marwah. Dalam pandangannya, ia melihat genangan air di bukit tersebut. Namun, setelah didatangi ternyata yang ia dapati hanya fatamorgana. Lantas ia pun kembali lagi ke bukit Safa kerana setelah tiba di bukit Marwah ia melihat genangan air berada di bukit Safa. Tapi yang ia dapati fatamorgana lagi. Akhirnya dia berulangkali berlari-lari anak antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Berlari-lari anak ini menjadi syari’at umat Nabi Muhammad saw., sebagai salahsatu rukun ibadah haji iaitu sa’ie.
Setelah berlari-lari anak sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah, tiba-tiba dia melihat pancaran air dari tanah bawah. Tepat pada bekas jejak kaki Ismail yang selonjor. Air tersebut terus memancar keluar dari permukaan tanah. Sehingga menjadi genangan. Melihat genangan air yang semakin membanyak itu, Siti Hajar mengucap syukur atas anugerah Allah tersebut dan berkata pada air itu, “zam zam ya al maa’u” (kumpul, kumpul wahai air). Air tersebut membentuk genangan yang semakin lama semakin membanyak membentuk sebuah sumur. Subhanallah.. WAlhamdulillah, akhirnya kehausan Ismail pun dapat dhilangkan dengan air yang penuh berkah itu. Bahkan sampai saat ini, air tersebut masih tetap memacarkan berkah bagi semua peminumnya dan tiada pernah kering walau sudah jutaan orang meminumnya selama berabad-abad.
Beberapa tahun kemudian Nabi Ibrahim mendapat ilham dari Allah melalui mimpi untuk menyembelih puteranya Ismail. Tepat ketika Ismail telah membesar menjadi anak remaja yang selalu membantu sang ayah bekerja. Namun dengan kesabarannya, Ibrahim menyampaikan perintah Allah tersebut (ilham) yang didapat melalui mimpinya kepada Ismail dengan diliputi perasaan gundah. Perlahan-lahan dia memberitahu anaknya, Ismail.
“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka apa pendapatmu anakku?”.
Ismail dengan tenang menjawab,
“Wahai ayah, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”                       -As-Shaaffaat : ayat 102-
Tatkala keduanya telah bersepakat melaksanakan titah Yang Mahakuasa, mereka pun pergi mencari tempat untuk melaksanakan penyembelihan. Tetapi kemudian godaan datang dari syaitan, mereka (Ibrahim dan Ismail) dipengaruhi supaya tidak jadi melaksanakannya. Tetapi dengan komitmen yang kuat mereka berdua tetap mahu melaksanakan perintah Allah tersebut. Sampai Ibrahim melempar batu mengusir syaitan yang mengganggu mereka di beberapa tempat. Inilah asal mula disyari’atkannya melempar jumrah pada saat ibadah haji.
Setelah tiada lagi yang mengganggu, Ibrahim membaringkan anaknya. Dengan penuh kesabaran dan ketaatan, Ibrahim pun menempelkan sebilah senjata tajam (sejenis golok) ke leher Ismail. Subhanallah.. Itulah puncak penyerahan dirinya yang optimal kepada Allah. Namun yang terjadi di luar dugaan mereka. Ketika senjata tajam itu digeselkan ke leher Ismail, Allah menggantinya dengan seekor kibas yang besar. Demikian ini menjadi sunnah ibadah qurban yang kita laksanakan pada hari Aidul Adha dan tiga hari berikutnya.
Demikian kisah yang dialami keluarga teladan dalam memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah. Pengalaman sang ibu yang diasingkan, ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih buah hatinya yang sangat dicintainya serta sang anak yang merelakan diri untuk disembelih. Semua kisah ini adalah kisah cinta yang sangat terulung. Cinta pada Allah.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Mudah-mudahan kita dapat meneladani kesabaran, ketaatan serta pengorbanan di jalan kebaikan yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim As. dan keluarganya.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Sama-sama kita renungi hikmah kisah yang bagi saya merupakan tarbiyah yang begitu mendidik hati-hati kita ke arah penyerahan cinta yang mutlak hanya pada Allah S.W.T.
Ujian itu adalah tarbiyah dari Allah. Tatkala kita diuji, ingatlah pada kisah-kisah Nabi-Nabi terdahulu, para sahabat dan para pejuang yang berlarian dalam jihad demi redha Allah. Kita ini belum pun memegang senjata. Belum pun terluka dan menitiskan darah. Belum pun menjejak langkah di medan perang. Lalu apa kesusahan pada kita untuk mengerjakan apa yang menjadi kecintaan Allah? Sedangkan itulah kewajipan pada kita hamba2Nya yang memang diutuskan ke dunia adalah untuk bertaubat pada Allah. alhamdulillah, Allah pinjamkan nikmat Iman dan Islam, sehingga kita masih mampu bernafas. Bernafaslah kerana Allah dan lakukan apa yang termampu untuk Islam. persoalkan pada diri, apa lagi yang belum kusumbangkan untuk Islam? Apa lagi yang belum kukorbankan untuk Allah? Sama-sama kita koreksi dan muhasabah bersama. Firman Allah s.w.t :-
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?”       - Surah Al-Ankabut: ayat 2-
Pengorbanan Siti Sarah mengizinkan suami tercinta mengahwini Siti Hajar lantaran Siti Sarah memahami suaminya itu teramat merindu kehadiran cahaya mata yang tidak mampu diberikannya. Lalu Siti Sarah mengizinkan Nabi Ibrahim menikahi Siti Hajar. Asbab itu, lahirlah Ismail menjadi pengubat rindu dan penyejuk hati mereka sekeluarga. Jika ada di kalangan pembaca yang dirinya seorang isteri, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dikorbankan untuk suami? Sabda Rasulullah s.a.w :-
“Jika seorang wanita itu bersolat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk syurga darimana-mana pintu yang disukainya..,”    (Hadis Riwayat Hibban dalam sahihnya)
Ketaatan seorang hamba pada Allah, di mana Nabi Ibrahim telah mendapat perintah Allah menyuruhnya mengasingkan Siti Hajar dan Ismail di Bukit Safa. Subhanallah.. Kerana ketaatan Siti Hajar pada suami dan Tuhannya, maka dia rela ditinggalkan suami bersama anaknya. Demi kasih sayangnya pada Ismail, dia bersusah payah mencari air untuk memberi minum pada anaknya yang menangis kerana haus. Itu juga pengorbanan seorang ibu pada anaknya. Jika pembaca yang membaca entry ini seorang anak, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dilakukan, belum disumbagkan dan belum dikorbankan untuk ibu yang melahirkannya? Jumhur Ulama telah menetapkan bahawa hak ibu lebih perlu diutamakan melebihi hak bapa,utamakan berbakti pada ibu dan bergaullah dengan lemah lembut.Ini adalah kerana di dalam sebuah hadis Rasulullah telah menyebut ibu sebanyak 3 kali dan ayah hanya sekali, iaitu :-
 “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu”. 
(Hadis sahih Riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim)
Cinta tertinggi Nabi Ibrahim kepada Allah, tatkala Baginda mendapat mimpi perlu menyembelih anak yang disayanginya. Sejenak kita sama-sama muhasabah diri, adakah sehingga hari ini kita benar-benar menjadi hambaNya yang taat dan cinta padaNYA? Sedangkan nikmat Allah pada kita terlalu banyak, subhanallah.. Firman Allah S.W.T :-
“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
-Surah Ali Imran : ayat 31-
Ketaatan Ismail. Berbekalkan ketaatan Ismail pada Allah dan bapanya, maka dia menerima dengan redha untuk disembelih bapanya jika itulah yang akan meletakkan mereka dalam redha dan cinta Allah. Jika pembaca seorang anak, maka fikirkan apa lagi perkara yang belum disumbangkan dan belum dikorbankan untuk ibu dan bapa yang telah melahirkan kita ke dunia ini. Subhanallah Walhamdulillah..
Firman Allah taala dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:-
 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
Sabda Nabi S.A..W, Maksudnya:-
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”        
(Hadis Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya)
Maka tatkala Nabi Ibrahim mahu menyembelih anaknya, maka dia diganggu oleh syaitan yang mahu memesongkan hatinya dari menyempurnakan perintah Allah. Berkat keazaman cinta dan ketaatannya, maka dia akhirnya sudah hampir mahu menyembelih anaknya. Namun tatkala itu Allah menggantikan anaknya dengan seekor kibas dan membalas cintanya dengan redhaNya. Subhanallah..
Petikan sumber :-
http://lenterapena.wordpress.com/2007/12/30/pengorbanan-dan-kesabaran-nabi-ibrahim/
http://www.sharemotivasi.com/2010/11/kisah-nabi-ibrahim-sempena-aidiladha.html
http://ordinaryguy92.wordpress.com/2011/04/23/berbakti-kepada-ibu-bapa/

Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Pesanan dan tulisan ini adalah untuk memuhasabahkan diri saya sendiri juga buat santapan pembaca sempena Aidil Adha. Beberapa ketika lagi saya akan mengubah status diri, lalu membuatkan saya terfikir, begitu banyak lagi perkara yang belum saya korbankan, sebagai seorang hamba, sebagai seorang anak, sebagai seorang adik, sebagai seorang kakak, sebagai seorang sahabat dan banyak lagi taklifan diri ini yang masih terbengkalai. Astaghfirullahhal’azim.. Lalu saya terfikir, apa yang perlu saya korbankan tatkala mengubah status diri menjadi seorang isteri? Adakah saya setabah Siti Sarah? Adakah saya setegar Siti Hajar? Adakah iman saya kuat sekuat iman Nabi Ibrahim dalam mendepani ujian Allah? Adakah cinta saya akan capai tahap tertinggi setinggi cinta Nabi Ibrahim pada Allah S.W.T? Sungguh, saya tidak mampu menjawab segala persoalan ini melainkan di hati saya hanya mengungkap lafaz istighfar kerana Allah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullah..
Lalu hati saya membingkiskan doa mahabbah yang terdetik di hati saat ini :-
..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa..
..Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu.
Amin ya Allah... Amin Amin.. Allahhumma Aminn…




~Salam Aidil Adha 1432H~
~AnNurIman~
7.00 pm, 5 November 2011, 9 Dzulhijjah 1432H,
Teratak Baiti Jannati, KKM..



Friday, November 4, 2011

Kisah : Kemilau Tarbiyah Di Langit Cinta (akan datang..)






Note : Nantikan... :-)

~AnNurIman~
4 November 2011, 8 Zulhijjah 1432H,
9.00 am, Teratak Baiti Jannati, KKM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...