BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, November 5, 2011

Kisah Nabi Ibrahim Sempena Aidil Adha






Nabi Ibrahim AS. adalah salah seorang Nabi yang termasuk dalam ulul ‘azmi  (golongan Nabi yang memiliki kesabaran lebih dibanding manusia biasa). Beliau juga dikenal sebagai abul adyan (bapa agama). Beliau adalah pengembara spiritual sebagaimana dikisahkan dalam surah al-An’am ayat 75-76.
Kesabaran beliau dapat kita ketahui melalui penulusuran kisah hidupnya. Salah satu kisah yang menggambarkan kesabaran beliau adalah kesabaran beliau dalam penantian yang lama menunggu kelahiran seorang anak setelah menikah dengan Siti Sarah (isteri pertamanya). Dan kesabaran beliau dalam melaksanakan perintah Allah Swt. setelah memiliki anak. Kala itu Nabi Ibrahim As. dengan sabar menunggu kurnia Allah Swt.. Sampai tibalah suatu waktu, dengan kerelaan isteri pertamanya (Siti Sarah) ia menikah dengan Siti Hajar (isteri kedua). Dari pernikahannya yang kedua inilah, ia dikurniai anak lelaki yang diberi nama Ismail.
Namun kebahagiaan sebagai seorang yang dirasakan Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar kembali diuji oleh Allah Swt.. Ia diperintahkan untuk mengasingkan Siti Hajar serta Ismail yang masih bayi ke bukit Safa yang gersang dan tandus. Tempat yang jauh dari pemukiman penduduk. Tidak mustahil banyak terdapat binatang buas di tempat tersebut. Tetapi dengan penuh ketaatan dan kesabaran berangkatlah Ibrahim menghantarkan isteri dan puteranya ke tempat tersebut. Kemudian meninggalkan mereka di bukit gersang dan tandus tersebut.
Selang beberapa waktu Siti Hajar dan Ismail ditinggalkan Nabi Ibrahim, ujian menyapa mereka. Ismail merasakan kehausan. Sedangkan persediaan minuman serta makanan telah habis. Ditambah lagi air susu sang ibu tidak dapat disusukan kerana telah banyak keluar tenaga dan susu kering. Namun, Ismail yang belum cukup faham dengan keadaan ibunya tetap menangis minta disusukan.
Siti Hajar dibaluti kebingungan. Secara logiknya di bukit gersang dan tandus itu, sangat sulit mahu mendapatkan air. Tapi agungnya pengorbanan seorang ibu tidak terhalang oleh hal demikian. Dengan gigih Siti Hajar berlari-lari kecil (melakukan sa’ie) menuju bukit Marwah. Dalam pandangannya, ia melihat genangan air di bukit tersebut. Namun, setelah didatangi ternyata yang ia dapati hanya fatamorgana. Lantas ia pun kembali lagi ke bukit Safa kerana setelah tiba di bukit Marwah ia melihat genangan air berada di bukit Safa. Tapi yang ia dapati fatamorgana lagi. Akhirnya dia berulangkali berlari-lari anak antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Berlari-lari anak ini menjadi syari’at umat Nabi Muhammad saw., sebagai salahsatu rukun ibadah haji iaitu sa’ie.
Setelah berlari-lari anak sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah, tiba-tiba dia melihat pancaran air dari tanah bawah. Tepat pada bekas jejak kaki Ismail yang selonjor. Air tersebut terus memancar keluar dari permukaan tanah. Sehingga menjadi genangan. Melihat genangan air yang semakin membanyak itu, Siti Hajar mengucap syukur atas anugerah Allah tersebut dan berkata pada air itu, “zam zam ya al maa’u” (kumpul, kumpul wahai air). Air tersebut membentuk genangan yang semakin lama semakin membanyak membentuk sebuah sumur. Subhanallah.. WAlhamdulillah, akhirnya kehausan Ismail pun dapat dhilangkan dengan air yang penuh berkah itu. Bahkan sampai saat ini, air tersebut masih tetap memacarkan berkah bagi semua peminumnya dan tiada pernah kering walau sudah jutaan orang meminumnya selama berabad-abad.
Beberapa tahun kemudian Nabi Ibrahim mendapat ilham dari Allah melalui mimpi untuk menyembelih puteranya Ismail. Tepat ketika Ismail telah membesar menjadi anak remaja yang selalu membantu sang ayah bekerja. Namun dengan kesabarannya, Ibrahim menyampaikan perintah Allah tersebut (ilham) yang didapat melalui mimpinya kepada Ismail dengan diliputi perasaan gundah. Perlahan-lahan dia memberitahu anaknya, Ismail.
“Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka apa pendapatmu anakku?”.
Ismail dengan tenang menjawab,
“Wahai ayah, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.”                       -As-Shaaffaat : ayat 102-
Tatkala keduanya telah bersepakat melaksanakan titah Yang Mahakuasa, mereka pun pergi mencari tempat untuk melaksanakan penyembelihan. Tetapi kemudian godaan datang dari syaitan, mereka (Ibrahim dan Ismail) dipengaruhi supaya tidak jadi melaksanakannya. Tetapi dengan komitmen yang kuat mereka berdua tetap mahu melaksanakan perintah Allah tersebut. Sampai Ibrahim melempar batu mengusir syaitan yang mengganggu mereka di beberapa tempat. Inilah asal mula disyari’atkannya melempar jumrah pada saat ibadah haji.
Setelah tiada lagi yang mengganggu, Ibrahim membaringkan anaknya. Dengan penuh kesabaran dan ketaatan, Ibrahim pun menempelkan sebilah senjata tajam (sejenis golok) ke leher Ismail. Subhanallah.. Itulah puncak penyerahan dirinya yang optimal kepada Allah. Namun yang terjadi di luar dugaan mereka. Ketika senjata tajam itu digeselkan ke leher Ismail, Allah menggantinya dengan seekor kibas yang besar. Demikian ini menjadi sunnah ibadah qurban yang kita laksanakan pada hari Aidul Adha dan tiga hari berikutnya.
Demikian kisah yang dialami keluarga teladan dalam memberikan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah. Pengalaman sang ibu yang diasingkan, ayah yang mendapat perintah untuk menyembelih buah hatinya yang sangat dicintainya serta sang anak yang merelakan diri untuk disembelih. Semua kisah ini adalah kisah cinta yang sangat terulung. Cinta pada Allah.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Mudah-mudahan kita dapat meneladani kesabaran, ketaatan serta pengorbanan di jalan kebaikan yang telah dicontohkan oleh Nabi Ibrahim As. dan keluarganya.
Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Sama-sama kita renungi hikmah kisah yang bagi saya merupakan tarbiyah yang begitu mendidik hati-hati kita ke arah penyerahan cinta yang mutlak hanya pada Allah S.W.T.
Ujian itu adalah tarbiyah dari Allah. Tatkala kita diuji, ingatlah pada kisah-kisah Nabi-Nabi terdahulu, para sahabat dan para pejuang yang berlarian dalam jihad demi redha Allah. Kita ini belum pun memegang senjata. Belum pun terluka dan menitiskan darah. Belum pun menjejak langkah di medan perang. Lalu apa kesusahan pada kita untuk mengerjakan apa yang menjadi kecintaan Allah? Sedangkan itulah kewajipan pada kita hamba2Nya yang memang diutuskan ke dunia adalah untuk bertaubat pada Allah. alhamdulillah, Allah pinjamkan nikmat Iman dan Islam, sehingga kita masih mampu bernafas. Bernafaslah kerana Allah dan lakukan apa yang termampu untuk Islam. persoalkan pada diri, apa lagi yang belum kusumbangkan untuk Islam? Apa lagi yang belum kukorbankan untuk Allah? Sama-sama kita koreksi dan muhasabah bersama. Firman Allah s.w.t :-
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “kami telah beriman” dan mereka tidak diuji?”       - Surah Al-Ankabut: ayat 2-
Pengorbanan Siti Sarah mengizinkan suami tercinta mengahwini Siti Hajar lantaran Siti Sarah memahami suaminya itu teramat merindu kehadiran cahaya mata yang tidak mampu diberikannya. Lalu Siti Sarah mengizinkan Nabi Ibrahim menikahi Siti Hajar. Asbab itu, lahirlah Ismail menjadi pengubat rindu dan penyejuk hati mereka sekeluarga. Jika ada di kalangan pembaca yang dirinya seorang isteri, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dikorbankan untuk suami? Sabda Rasulullah s.a.w :-
“Jika seorang wanita itu bersolat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka ia akan masuk syurga darimana-mana pintu yang disukainya..,”    (Hadis Riwayat Hibban dalam sahihnya)
Ketaatan seorang hamba pada Allah, di mana Nabi Ibrahim telah mendapat perintah Allah menyuruhnya mengasingkan Siti Hajar dan Ismail di Bukit Safa. Subhanallah.. Kerana ketaatan Siti Hajar pada suami dan Tuhannya, maka dia rela ditinggalkan suami bersama anaknya. Demi kasih sayangnya pada Ismail, dia bersusah payah mencari air untuk memberi minum pada anaknya yang menangis kerana haus. Itu juga pengorbanan seorang ibu pada anaknya. Jika pembaca yang membaca entry ini seorang anak, maka fikirkanlah apa lagi perkara yang belum dilakukan, belum disumbagkan dan belum dikorbankan untuk ibu yang melahirkannya? Jumhur Ulama telah menetapkan bahawa hak ibu lebih perlu diutamakan melebihi hak bapa,utamakan berbakti pada ibu dan bergaullah dengan lemah lembut.Ini adalah kerana di dalam sebuah hadis Rasulullah telah menyebut ibu sebanyak 3 kali dan ayah hanya sekali, iaitu :-
 “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah S.A.W dan bertanya: “Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layan dengan sebaik-baiknya?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” Baginda menjawab: “Ibu kamu.” Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”Baginda menjawab: “Ayah kamu”. 
(Hadis sahih Riwayat Imam Bukhari & Imam Muslim)
Cinta tertinggi Nabi Ibrahim kepada Allah, tatkala Baginda mendapat mimpi perlu menyembelih anak yang disayanginya. Sejenak kita sama-sama muhasabah diri, adakah sehingga hari ini kita benar-benar menjadi hambaNya yang taat dan cinta padaNYA? Sedangkan nikmat Allah pada kita terlalu banyak, subhanallah.. Firman Allah S.W.T :-
“Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
-Surah Ali Imran : ayat 31-
Ketaatan Ismail. Berbekalkan ketaatan Ismail pada Allah dan bapanya, maka dia menerima dengan redha untuk disembelih bapanya jika itulah yang akan meletakkan mereka dalam redha dan cinta Allah. Jika pembaca seorang anak, maka fikirkan apa lagi perkara yang belum disumbangkan dan belum dikorbankan untuk ibu dan bapa yang telah melahirkan kita ke dunia ini. Subhanallah Walhamdulillah..
Firman Allah taala dalam surah Luqman ayat 14 yang bermaksud:-
 “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”.
Sabda Nabi S.A..W, Maksudnya:-
“Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”        
(Hadis Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya)
Maka tatkala Nabi Ibrahim mahu menyembelih anaknya, maka dia diganggu oleh syaitan yang mahu memesongkan hatinya dari menyempurnakan perintah Allah. Berkat keazaman cinta dan ketaatannya, maka dia akhirnya sudah hampir mahu menyembelih anaknya. Namun tatkala itu Allah menggantikan anaknya dengan seekor kibas dan membalas cintanya dengan redhaNya. Subhanallah..
Petikan sumber :-
http://lenterapena.wordpress.com/2007/12/30/pengorbanan-dan-kesabaran-nabi-ibrahim/
http://www.sharemotivasi.com/2010/11/kisah-nabi-ibrahim-sempena-aidiladha.html
http://ordinaryguy92.wordpress.com/2011/04/23/berbakti-kepada-ibu-bapa/

Subhanallah.. Walhamdulillah.. Wa laa ilaa ha illallahh.. Wallahhu Akbarr..
Pesanan dan tulisan ini adalah untuk memuhasabahkan diri saya sendiri juga buat santapan pembaca sempena Aidil Adha. Beberapa ketika lagi saya akan mengubah status diri, lalu membuatkan saya terfikir, begitu banyak lagi perkara yang belum saya korbankan, sebagai seorang hamba, sebagai seorang anak, sebagai seorang adik, sebagai seorang kakak, sebagai seorang sahabat dan banyak lagi taklifan diri ini yang masih terbengkalai. Astaghfirullahhal’azim.. Lalu saya terfikir, apa yang perlu saya korbankan tatkala mengubah status diri menjadi seorang isteri? Adakah saya setabah Siti Sarah? Adakah saya setegar Siti Hajar? Adakah iman saya kuat sekuat iman Nabi Ibrahim dalam mendepani ujian Allah? Adakah cinta saya akan capai tahap tertinggi setinggi cinta Nabi Ibrahim pada Allah S.W.T? Sungguh, saya tidak mampu menjawab segala persoalan ini melainkan di hati saya hanya mengungkap lafaz istighfar kerana Allah.. Astaghfirullah.. Astaghfirullah..
Lalu hati saya membingkiskan doa mahabbah yang terdetik di hati saat ini :-
..Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyejuk hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa..
..Ya Allah, cintakanlah kami kepada keimanan, dan hiasilah ia di dalam hati kami, dan bencikanlah kami kepada kekufuran, kefasikan, dan kemaksiatan… Ya Allah, sesungguhnya kami mendambakan cinta-Mu, dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan cinta terhadap amalan yang dapat mendekatkan kami kepada cinta-Mu.
Amin ya Allah... Amin Amin.. Allahhumma Aminn…




~Salam Aidil Adha 1432H~
~AnNurIman~
7.00 pm, 5 November 2011, 9 Dzulhijjah 1432H,
Teratak Baiti Jannati, KKM..



Friday, November 4, 2011

Kisah : Kemilau Tarbiyah Di Langit Cinta (akan datang..)






Note : Nantikan... :-)

~AnNurIman~
4 November 2011, 8 Zulhijjah 1432H,
9.00 am, Teratak Baiti Jannati, KKM

Wednesday, November 2, 2011

Edisi Bedah Buku: La Tahzan (Dr.Aidh AlQarni) : Tajuk 7 : Berbuat Baik Kepada Orang Lain Akan Melapangkan Dada


Edisi Bedah Buku
La Tahzan :- Dr. ‘Aidh Bin ‘Abdullah Al-Qarni
Tajuk 7 : Berbuat Baik Kepada Orang Lain Akan Melapangkan Dada

“..Perbuatan baik itu laksana wewangian yang tidak hanya mendatangkan manfaat bagi pemakainya, tetapi juga kepada mereka yang berada di sekitarnya..” -Dr.Aidh
Situasi
..TOK! TOK! TOK!..
Ketukan pintu mematikan lamunan panjang Faridah. Faridah mencapai cermin matanya, lantas bergegas membuka pintu.
“Assalamualaikum,” pemilik suara itu tersenyum memandang Faridah.
“Waalaikumussalam wbt.. akak, bila akak datang sini? Ni datang tak bagitau, nak buat suprise ya? Rindunya Idah kat akak,” Faridah, pantas menarik Asiah ke dalam pelukannya.
“Alhamdulillah, saja akak singgah sini, nak ambik buku kat Idah. Dah lama sangat kan buku-buku tu dah terperuk dengan Idah. Hehe..nak suprisekan Idah juga sebenarnya. Nah..ni ada buah tangan sikit dari Melaka ni. Buah limau madu. Sedap ni. Manis sangat,” ujar Asiah lagi.
“Ohh, buah limau. Subhanallah..Baru aje malam tadi saya baru teringin nak makan limau, terus akak bawakan hari ni. Alhamdulillah, saya pun memang suka buah limau kak. Tapi romate saya ni lagi sangat suka limau. Nanti petang dia balik, bolehlah saya bagi dia rasa limau akak bagi ni. Akak duduk dulu, saya buatkan air untuk akak,” ujar Faridah.
“E’ehh..Idah, tak payah susah-susah. Akak baru minum kat rumah sewa kak Ain tadi. Akak datang kolej 5 ni kejap aje. Nak singgah ambik buku-buku akak aje. Lepas tu akak nak terus balik Melaka dah ni,” ujar Asiah lagi.
“Alaa..Akak nii..Datang kejap aje. Akak duduk la kat katil Idah ni. Nah, akak minum jugak ya. Tapi air kosong aje la..,”Faridah menghulurkan gelas berisi air masak.
Asiah menyambut gelas itu. “Terima kasih. Yela, akak minum,” ujar Asiah lagi.
Sementara itu Faridah mengeluarkan buku-buku milik Asiah. Buku-buku itu lebih kurang 3 bulan dulu, Asiah kirimkan pada Faridah belikan buku-buku tu di Pesta Buku Antarabangsa. Asiah mengajar di Melaka. Tak ada kesempatan mahu ke pesta buku itu. Jadi, Asiah kirimkan pada Faridah, untuk belikan buku-buku itu di pesta buku. Lagipun pesta buku itu tidaklah jauh sangat dari kampus UM.
“Akak, hari tu akak pesankan 30 buah buku-buku epik Sejarah tokoh-tokoh Islam kan?,”soal Faridah meminta kepastian.
Asiah menghabiskan baki minumannya terlebih dahulu.
“Ya. Akak nak membaca semua buku-buku tu. Baik untuk pengajaran anak-anak murid akak nanti,”ujar Asiah lagi.
Faridah mengira semula jumlah buku-buku itu.
“Sepanjang 3 bulan ni, ada sesiapa tak yang pinjam dan baca buku-buku tu dengan Idah?,” soal Asiah lagi.
“Oh, ada kak. Memang buku-buku ni bermanfaat. Bilik saya ni dah jadi macam mini libry dah. Tapi saya ingatkan mereka, dah pandai baca tu pandai-pandailah jaga elok-elok buku tu. Dan saya siap statekan date untuk mereka pulangkan semua buku-buku ni sebelum due date akak nak datang sini. Alhamdulillah, mereka semua pulangkan buku-buku tu sharp on time,” ujar Faridah lagi.
“Alhamdulillah, lebih baik ada orang baca sementara tunggu akak datang ambik buku tu. Taklah buku tu terperuk aje kat dalam almari Idah ni. Ada juga manfaat dan pengajaran pada orang yang membacanya,”ujar Asiah lagi sambil tersenyum.
“Alhamdulillah kak, saya dah rasa sangat lega bila dah dapat tolong akak belikan kesemua 30 buah buku-buku ni. Sampai jugak hajat akak nak memiliki kesemua siri tokoh-tokoh Islam ni kan kak?,” ujar Faridah lagi.
“Alhamdulillah..Insya-ALLAH manfaatnya pada ilmu dan pengajaran yang kita dapat dari pembacaan buku-buku ni. Dan buku ni bukan untuk akak aje. Memang ianya milik akak, tapi manfaatnya untuk semua. Alhamdulillah..,” ujar Asiah lagi.
“Alhamdulillah kak. Nah kak. Semuanya cukup 30 buah buku,” ujar Faridah lagi.
“Ok, terima kasih Idah,” ujar Asiah seraya mengangkat plastik berisi buku-buku itu.
“Meh la saya tolong akak angkatkan ke kereta akak ya,” ujar Faridah lagi.
“Ok, terima kasih Idah,” ujar Asiah senang hati.
“Sama-sama kak,” ujar Faridah lagi.
Petang itu Khamisyatul pulang dari kelas. Dia melihat ada 3 biji limau di atas mejanya.
“Akak, limau ni akak bagi Misya ke?,”soal Khamisyatul.
“Ya. Ingat lagi tak akak ada tolong kawan akak belikan buku-buku dia yang 30 buah tu?,” ujar Faridah lagi.
Khamisyatul mengangguk.
‘Haa..Kakak tu la yang kasi buah limau tu. Buah tangan dari Melaka. Dia dah datang sini tadi. Dah ambik dah buku-buku tu. Alhamdulillah, lega sangat akak bila dah serahkan 30 buah buku tu pada dia. Itukan amanah pada akak. Bila dah serahkan tadi, akak rasa lega sangat. Tenang hati dan jiwa,” ujar Faridah lagi.
“Alhamdulillah kak. Akak permudahkan urusan orang, insya-ALLAH Allah akan permudahkan urusan akak kelak. Hmm..sedapnya buah limau ni. Misya suka sangat buah limau kak,” ujar Khamisyatul lagi.
“Hmm..Akak tau dah Misya suka. Makanlah. Manis kan? Hmm..kat bawah meja akak ni ada lagi buah limau. Banyak kawan akak bagi. Akak dah bagi juga pada jiran bilik kita tadi. Kalau Misya nak lagi, Misya ambik la ya,” ujar Faridah lagi.
“Insya-ALLAH, baik kak,” ujar Khamisyatul lagi.
Hmm...begitulah kisahnya. Hmm..bila kita buat baik kat orang, insya-ALLAH Allah kurniakan kita hati yang lapang dan tenang kerana telah berbuat satu kebaikan. Dan kebaikan itu umpama pokok yang berbuah lebat. Manfaatnya bukan hanya untuk pemilik pokok itu saja tapi untuk semua makhluk juga. Untuk manfaat bersama. Ada manusia yang menumpang teduh atau hujan di bawah pokok itu kerana pokok itu teduh. Ada binatang yang memakan buah itu buat santapan harian. Ada beburung yang bertenggek di dahannya. Semut-semut bersarang di pokok dan memakan buah-buah itu. Dan sebagainya lagi.
Firman Allah Ta’ala :-
“Sedang dia tidak menanggung budi sesiapapun, yang patut dibalas, hanyalah mengharapkan keredhaan Tuhannya Yang Maha Tinggi, dan demi sesungguhnya, dia tetap akan berpuas hati (pada hari akhirat, dengan mendapat segala yang diharapkan,”       Surah Al-Lail ; 19 -21
Sabda Rasulullah s.a.w :-
“Setiap perkara kebaikan itu sedekah dan sesungguhnya di antara kebaikan itu kamu menemui saudaramu dengan manis muka dan menuangkan air daripada bejanamu ke dalam bejana saudaramu.”  Hadis Riwayat Tirmizi dan Ahmad.
Wallahhu’alam..
note : Terima kasih kepada adik saya, Ili Nur Izzati kerana beliau sangat banyak membantu saya umpama lilin yg membakar diri. Subhanallah. Moga Allah permudahkan segala urusanmu dik.. Jazakillah..

~Aleesy AnNurIman~
29 Oktober 2011, 2 Zulhijjah 1432H,
Teratak Baiti Jannati, KKM.

Ada Apa Dgn Nikah? Cukupkah hya dgn Janji & Cinta??


Bismillahhirrahma’nirrahim..
Assalamualaikum wbt..
Alhamdulillahhi rabbil’aalamin...
Subhanallahh.. Lama saya menyepi diri. Lama juga saya meninggalkan laman sesawang saya ini. Subhanallahh..Barulah saya tahu, betapa saya sangat merindu Wadie AnNurFillah saya ini. Alhamdulillah..setelah melalui berbagai kitaran hidup, pasang surut ombak, pahit manis, suka duka, bahagia dan kecewa. Semuanya adalah nikmat Allah agar tarbiyahNya sampai ke hati saya. Subhanallah..Alhamdulillah..
Saat saya menulis entry ini, waktu saat ini seawal jam 8 pagi. Terdengar-dengar kicauan burung di luar rumah. Paling tepat di luar tingkap bilik saya. Arnab-arnab saya pun sudah diberikan makanan dan sudah dipindahkan ke luar rumah. Cuma usia mereka yang menginjak ke usia lima bulan yang tidak mengizinkan saya untuk melepaskan mereka bermain bebas di halaman rumah seperti dua bulan sebelum ini. Kerana, saya tidak mampu mengawal dan mengejar mereka kalau mereka dah ‘bebas’ di halaman rumah. Patutlah ada kisah arnab berlawan larian dengan kura-kura. Rupa-rupanya, arnab lari memang laju. Subhanallah.. Saya dah penah mengejar arnab-arnab ini dengan sangat penat, sebab tulah saya tahu.. hehe..
Alang-alang saya dah bercerita tentang arnab-arnab saya. Kenalkan..inilah arnab-arnab saya. Arnab-arnab ini saya 'import' dari Banting, Selangor sewaktu habis praktikal saya di sana..
Ini, namanya Comey, abang sulung. Suka dibelai dan suka melompat..
Dia sangat kuat minum air tapi agak kurang makan. Dia suka mandi.
  
Ini, arnab yang kedua, kakak. Namanya Kebu. Dia sangat suke makan, badan pun berat.
Dia makan apa saja yang boleh dimakan. Dia memang tak tahan lapar. Dia kurang suka
berjalan sebab badannya berat. Dia paling suka makan kangkung.
Dan paling tak suka mandi.

 
Ini pula arnab yang paling adik. Namanya Celak. Paling laju berlari.
Kuat makan, kuat minum dan sangat cergas. Paling suka mandi juga.

Itu saja sesi suai kenal bersama arnab-arnab saya. Walau bagaimanapun saya tetap mendapat tarbiyah sepanjang saya memegang amanah menjaga mereka bertiga. Subhanallah Walhamdulillah..
Hmm..Sudah beberapa kali saya diingatkan adik-adik saya di kampus, ‘akak, bila nak update blog? Rindu la kat akak’.. kata-kata ini dan adakalanya mesej dari adik-adik buat saya tersenyum panjang. Subhanallah.. Walhamdulillah..masih ada yang rindu pada saya? Masih ada yang sayang rupanya ya. Hehe.. Terima kasih atas ingatan kalian pada saya..
Bila dah mula mahu mengisi entry di laman sesawang ini, saya kebingungan sendiri sambil menongkat dagu. Mahu tulis apa ya? Mahu kisahkan tentang apa? Rasanya macam tak ada apa-apa pun yang istimewa yang dapat dikongsikan. Apa yang banyak berlaku di kampus, saya rasa lebih penting dan istimewa rasanya. Hehe..terbaru saya dengar-dengar, dan saya baca-baca dalam mesej, adik saya yang dua orang tu dah nak nikah dah. Subhanallah.. Tapi, saya tak pandang-pandang pula mana kadnya. Tak apalah. Kalau diberi kad pada saya pun, saya tidak berada di KL saat walimah tu. Saya berada di Kedah. Tahniah ya buat adik Safwan dan adik Masturah yang akan melangsungkan walimah pada 11/11/2011.. Subhanallah..Cantik tarikh ni. Satu tarikh yang unik untuk sekali seumur dunia. Tahniah juga saya ucapkan kepada beberapa lagi sahabat-sahabat saya yang telah selamat mendirikan rumahtangga dan juga pada yang bakal mendirikan rumahtangga. Tidak lupa pada Kak Aisyah Jamielah dan Ustaz Khairul Amilin walimah pada 26/11/2011 nanti. Juga tahniah kepada sahabat-sahabat yang sudah berbadan dua dan ada juga yang sedang menunggu masa bakal melahirkan mujahid mujahidah fillah. Subhanallah..Saya doakan kalian semua berbahagia di dunia dan akhirat. Doakan juga untuk saya. Hehe..
Sebut tentang kebahagiaan di dunia dan akhirat, saya teringatkan pula beberapa orang adik-adik dan sahabat-sahabat yang bertanyakan pada saya, ‘macam mana kita nak tahu orang tu jodoh kita ke tak? Macam mana nak tentukan istikharah tu betul ke tak? Bolehkah nikah kalau semata-mata sebab tedesak nak kena posting? Apa jaminan kebahagiaan hidup antara suami dan isteri di dunia dan akhirat?
Subhanallah..Soalan-soalan tu sepatutnya bukan disoalkan kepada saya. Tapi soal pada kesediaan tuan punya tubuh sendiri menerima seseorang kerana Allah. Bahkan kalau kita bertanyakan soalan tadi pada semua orang yang dah berkahwin, mereka pun tiada jawapannya. Jawapannya hanya ada dalam diri dan hati taun punya badan sendiri. Ambil la masa untuk fikir dan bina kesediaan diri. Apa yang perlu suami dan isteri lakukan bersama untuk menuju kebahagiaan dunia dan akhirat itu, sebenarnya tidak semudah kita berdoa, ‘semoga berbahagia dunia dan akhirat’. Cinta saja tidak cukup. Berkahwin agar dapat menjaga iman, menundukkan pandangan dan memenuhi fitrah manusia berperasaan. Semua itu tidak cukup untuk memaknai apa itu nikah dan perkahwinan. Tetapi perkahwinan itu adalah untuk menuju Allah. Untuk membina titian di dunia, agar jejak langkah dapat diteruskan hingga ke jambatan akhirat. Dan matlamat besarnya adalah menuju Allah. Kerana perkahwinan itu adalah ibadah cinta. Ibadah cinta pada Allah.
Tetapi untuk menuju ke akhirat itu perlu pula melalui ujian di titian dunia dahulu sebelum menjengahkan diri ke jambatan akhirat. Perlu ada persediaan mental dan fizikal kerana ia juga bagi saya salah satu bentuk tamrin juga. Kerana hidup kita di dunia ini adalah tarbiyah. Kita sedang ditarbiyah Allah untuk kembali menjadi hamba-hambaNya yang bertaubat kepada Allah. Kerana kita akan kembali kepada Allah. Sebab itulah saya katakan tadi, perkahwinan itu adalah untuk menuju Allah. Ia hanyalah salah satu ‘checkpoint’ di dunia sebelum bertemu Allah.
Lalu, sama-samalah kita ambil masa sebanyak-banyaknya yang ada untuk bina kesediaan diri jika sudah merasakan diri sudah pantas mahu mengubah status diri. Kerana perkahwinan itu bukan semata-mata untuk berseronok walaupun antara maksud nikah itu sendiri adalah ‘berseronok’. Sebaik-baiknya, biarlah sesuatu perhubungan itu dibina kerana Allah, untuk Allah dan demi redha Allah. Dan untuk mencapai redha Allah itu perlukan banyak pengorbanan, persefahaman., kesabaran, keimanan, ketaqwaan dan macam-macam lagi.
Saya rasa cukup sekadar itu saja respon saya untuk hal nikah itu. Maaf, terlalu lama saya memendamkan responnya. Sukar mahu diertikan dengan kata-kata yang mudah difahami oleh orang lain. Lantaran maksud perkahwinan itu sendiri punya maksud yang mendalam. Subhanallah..namun mahu melaluinya, laluilah kerana Allah, banyakkan berdoa pada Allah, insya-ALLAH, semoga pernikahan kekal hingga bertemu Allah.
Hehe..Macam la saya ni dah nikah kan. Cakap macam pro la pulak. Saya hanya merespon pertanyaan sahabat dan adik-adik yang mahukan pendapat saya. Entah la kenapa pula mereka bertanyakan saya. Sedangkan saya merasakan saya ini masih lagi kanak-kanak rebina. Kanak-kanak rebina yang sentiasa dalam tarbiyah Allah, alhamdulillah..
Kebetulan pula sekarang ini saya sedang otw menulis kisah terbaru tentang cinta kerana Allah. Sedikit sebanyak kajian yang saya dapat, dapat juga saya kumpul isi-isinya dan cambahkan ia di entry ini untuk memaknai apa itu pernikahan. Sekadar yang saya faham. Maaf andai terlebih terkurang. Mohon ditunjuk dan dibetulkan ya.
Kebetulan itu, saya juga berbesar hati menjemput sahabat handai, adik-adik, sahabat dan adik-adik sekolej, sekampus, juga yang mana mengenali diri ini, untuk ke walimah saya dan bakal suami, di rumah saya di Kedah, insya-ALLAH..akadnya pada 25 Nov 2011 (jumaat) dan walimahnya pada 26 Nov 2011 (sabtu). Subhanallah.. Awal-awal walimah saya ini diwar-warkan, pelbagai reaksi yang saya terima. Ada yang terkejut. Ada yang mendoakan. Ada yang mengucap tahniah. Tak kurang juga yang mengusik. Semua itu saya dahulukan dengan senyuman dan ucapan terima kasih. Jazakumullahh...

Ramai yang bertanyakan pada saya tentang bakal suami saya. Sebenarnya saya masih sangat malu. Bahkan untuk menyebut nama beliau pun saya masih berasa malu sehingga ke hari ini. Jadi, cukuplah saya bahasakan dia sebagai ‘bakal suami’ saya. Dan untuk segala pertanyaan, saya hanya mahu jawab, ‘Subhanallah wa insya-ALLAH, dia lelaki pilihan Allah untuk saya, untuk menjaga dunia dan akhirat saya. Allah sampingkan dia dengan saya, agar dia menjadi peneman saya dalam checkpoint seterusnya, membina titian dunia menuju jambatan akhirat sehingga bertemu Allah’, insya-ALLAH. Dan saya menerima dia kerana Allah dan perjuangan Islam kerana dia hadiah dan manifestasi cinta Allah buat saya, insya-ALLAH. Terima kasih ya Allah..Alhamdulillah..’ Mohon doa dari kalian yang mengenali dan para pembaca sekalian ya..
Cukup sekadar itu untuk entry ini. Moga entry ini bisa mengubat kerinduan pembaca pada saya. Juga mengubat kerinduan saya pada lembah ini kerana Allah. Salam rindu teramat sayang kerana Allah.. Mohon kalian doakan saya ya..

~Aleesy AnNurIman~
29 Oktober 2011, 2 Zulhijjah 1432H,
Teratak Baiti Jannati, KKM.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...