BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, April 12, 2012

Subhanallah, Walhamdulillah..Bertuahnya Ibu Mengandung..


Subhanallah, Walhamdulillah..Menitis air mata saya tatkala merenung hikmah di sebalik kurniaan Allah terhadap ibu yang mengandung. Dan itulah yang saya mahu kongsikan dengan pembaca dalam entry kali ini..

*      Apabila seorang wanita hamil, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT akan mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

*      2 rakaat solat seorang wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat seorang wanita yang tidak hamil. Rasulullah menyebutkan bahawa dua rakaat solat wanita hamil lebih baik dari 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil. Ini kerana wanita yang hamil membawa janin di dalam perutnya di mana janin berkenaan turut menyertai ibunya solat, mendengar bacaan-bacaan solat, ikut sujud bersama.

*      Wanita hamil perolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari.  Rasulullah menyatakan bahawa wanita hamil akan memperolehi pahala puasa di siang hari dan pahala ibadat di malam hari. Ini disebabkan kerana ibu yang hamil bererti membawa amanah Allah ke sana ke mari, sehingga wajar apabila ia memperolehi pahala yang besar di sisi Allah .

*      Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT akan mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad di jalan Allah.

*      Wanita yang bersalin akan mendapat 70 tahun solat dan puasa pada setiap kesakitan pada satu uratnya akan dikurniakan oleh Allah SWT satu pahala haji.

*      Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

*      Sekiranya seorang wanita meninggal dunia di dalam tempoh 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

*      Jika seorang wanita menyusukan anaknya hingga cukup tempoh (2 1/2 tahun), malaikat-malaikat di langit akan mengkhabarkan berita gembira bahawa syurga wajib baginya.

*      Jika seorang wanita menyusukan anaknya yang menangis, maka Allah SWT akan memberikan pahala satu tahun solat dan puasa.

*      Seorang wanita yang menghiburkan hati anaknya maka Allah SWT akan memberikan 12 tahun pahala ibadat kepadanya.

Dipetik dari blog :



Sumber: Buku Riwayat Bidadari Syurga Terbitan HR Publishing


Kelebihan bagi wanita-wanita mengandung yang mengalami mual atau muntah terutamanya di awal kehamilan:
1. Risiko keguguran lebih rendah dibanding dengan mereka yang tidak mengalaminya.

2. Mual merupakan mekanisme perlindungan untuk embrio yang masih muda. Kepekaan ibu terhadap pelbagai makan dapat menjauhkannya dari makanan yang berpotensi membahayakan si bayi yang belum lahir.
3. Kematian bayi selepas dilahirkan lebih rendah pada wanita yang mengalami mual-mual.4. Mual-mual berkaitan dengan rendahnya risiko kelahiran pra-matang.
5. Lebih tingginya berat lahir.
6. Lebih rendahnya kecacatan selepas dilahirkan.
7.Ukuran plasenta bertambah - Kurang makan disebabkan mual menyebabkan kurangnya pertambahan berat badan di awal kehamilan. Kurangnya berat badan menyebabkan peningkatan ukuran plasenta yang menyalurkan darah kepada janin yang sedang tumbuh. Plasenta yang lebih besar menjamin tersedianya makan dan oksigen yang sihat.
Sumber : Deepak Chopra, MD. Panduan Holistik Kehamilan & Kelahiran.

Nikmat mengandung dan melahirkan anak adalah nikmat yang cukup berharga yang dikurniakan Allah SWT kepada wanita. Pengalaman selama tempoh mengandung dan melahirkan adalah cukup indah dan berharga. Tempoh mengandung adalah detik emas yang seharusnya dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh bakal ibu dan ayah. Semasa mengandung, bakal ibu sangat digalakkan untuk memperbanyakkan amal ibadah antaranya bertaubat kepada Allah SWT, membanyakan zikir dan doa serta membaca Al-Quran. Setiap surah yang ada di dalam Al-Quran mempunyai kelebihannya tersendiri. Antara surah amalan ketika mengandung ialah surah al-Fatihah, surah Maryam, surah Yusuf dan surah Luqman.
Surah al-Fatihah
Ibu mengandung digalakkan membaca surah al-Fatihah sebanyak 70 kali setiap hari dalam keadaan berwuduk, semoga zuriat yang dilahirkan memperoleh ilmu pengetahuan disamping dapat mengawal hati dan fikiran daripada perkara mazmumah..
Surah Yusuf
Surah Yusuf telah diturunkan di Makkah dan mengandungi 111 ayat. Dinamakan Yusuf kerana hampir keseluruhan dipenuhi akan kisah Nabi Yusuf a.s yang bermula dari ayat 4 hinngga 101. Ibu yang sedang mengandung disarankan agar memperbanyakkan membaca surah Yusuf agar dikurniakan zuriat yang soleh, cerdik, tampan dan tabah menghadapi ujian
Surah Luqman
Dalam pengkisahan Luqman dengan anaknya, Allah SWT menegaskan tentang wajibnya manusia bersyukur akan segala nikmat yang telah dianugerahkan kepada mereka dan wajib menjauhi perkara syirik. Ibu yang mengandung dianjurkan supaya membanyakkan membaca surah Luqman agar bayi yang dalam kandungan akan dikurniakan kebijaksanaan akal fikiran dan hikmah yang tersirat apabila lahir ke dunia, insya-Allah.
Surah Maryam
Ibu yang sedang hamil disarankan untuk membanyakkan membaca surah Maryam agar bayi yang dilahirkan nanti mempunyai akal yang cerdas dan hati yang sabar dan cekal dalam menempuhi ujian. Amalan surah Maryam juga memudahkan ibu semasa melahirkan anak.
Dipetik dari Buku Amalan Surah Ibu Mengandung, terbitan Inteam Publishing Sdn Bhd

                    
Berikut perkembangan bayi semasa dalam kandungan (dari minggu 1 hga kelahiran)
Minggu 1
Hari Pertama : Persenyawaan berlaku
Hari ke-3 : Terbentuknya bebola di salur rahim yang dinamakan morula. Dari morula akan bertukar blastosista dimana terbentuknya ruang di dalam morula.
Hari ke-5 hingga ke-6 : Blastosista bergerak ke dinding rahim.
Minggu ke-2 hingga ke-3
Hari ke-7 hingga ke-21 : Embrio terbentuk dan melekat di dinding rahim.
Hari ke 21 : Wanita menyedari dirinya tidak mengalami haid. Kehadiran hormon gonadotropin dalam air kencing.
Minggu ke-4 hingga ke-8
Embrio sudah mempunyai sistem pendengaran, penglihatan, tulang, daging, kulit dan organ-organ asas tetapi tidak boleh berfungsi.
Minggu ke-9 hingga ke-12
Jantung janin berdegup cepat.
Darah beredar melalui salur darah.
Perut janin mula aktif.
Ginjal mula berfungsi.
Uri kian membesar.
Organ utama tubuh sudah terbentuk.
Minggu ke-13 hingga ke-16
Otot semakin aktif.
Jantina boleh dikenal pasti.
Uri sudah lengkap terbentuk.
Uri dihubungkan melalui tali pusat.
Tali pusat membawa makanan daripada ibu dan membawa sisa janin kepada ibu untuk dikumuhkan.
Janin mula menghisap ibu jari.
Minggu ke-17 hingga ke-20
Janin menyerupai bentuk manusia.
Bulu roma halus mula tumbuh pada kulit.
Rambut, bulu kening dan bulu mata mula tumbuh pada kulit.
Mata masih tertutup.
Kuku mulai kelihatan.
Perkembangan uri semakin perlahan manakala janin semakin membesar.
Minggu ke-21 hingga ke-26
Kulit janin kelihatan kurang kemerahan dan diliputi bulu roma.
Mata mulai membuka dan mengatup.
Otot pada lengan dan kaki semakin kuat dan kental.
Ibu mula terasa kandungan dalam perut.
Minggu ke-26 hingga ke-29
Paru-paru dan salur darah sudah berkembang bagi membenarkan pertukaran gas.
Badan janin kurus.
Warna kulit kemerahan dan diliputi lapisan pelindung.
Janin boleh membuka mata.
Degup jantung janin sudah dapat didengari dengan jelas.
Janin bergerak aktif.
Ibu boleh merasa tendangan janin.
Minggu ke-30 hingga ke-38
Kulit janin kemerahan dan berkedut.
Tulang kepala lembut.
Peparu sudah boleh berfungsi.
Janin boleh mendengar bunyi yang kuat.
Janin memberi maklumbalas dengan menggerakkan kaki dan lengan.
Rupa janin bertukar menjadi bayi yang berisi.
Minggu ke-38
Janin sudah sempurna anggota tubuhnya dan bersedia ke alam baru.
Dipetik dari blog : http://www.norazizah.org/2011/03/kelebihan-wanita-mengandung-yang-mual.html
Sumber :
1.Buku 'Psikologi Kana-kanak' Mohd. Sharani Ahmad
2.http://animated-gifs.org/wp-content/themes/frugal/graphics/cat/pregnancy/pregnancy-001.gif
3.http://animated-gifs.org/wp-content/themes/frugal/graphics/cat/pregnancy/pregnancy-021.gif
Gambar sisipan :-


Subhanallah, Walhamdulillah..Wa laa ilaaha illallahh..Wallahhu Akbarr....

~Annur Iman~
Teratak Baiti Jannati, KKM..
12 April 2012, 10.07 am..

Monday, April 9, 2012

Cerpen : Secebis Cinta Utk Indra ( episod 1)


Episode 1 : Secebis Cinta Utk Indra

Indra tersenyum merenung kad majlis perkahwinannya yang tinggal tidak kurang dua hari lagi. Tertera namanya Indra Faris & Irdina Safiyya. Langsung dia tidak menyangka, berjodoh juga mereka akhirnya sekalipun dalam pernikahan yang tidak pernah mereka rancang. Malah sudah lebih 10 tahun mereka tidak bersua wajah. Sejak Irdina menolak salam perkenalan darinya di bangku sekolah menengah dahulu, dia langsung menutup kemas-kemas tabir kamar hatinya untuk sesiapa pun jua. Rupanya hanya tabir kamar yang tertutup, namun di hatinya masih juga nama Irdina Safiyya yang terukir. Masih juga terbuka pintu hatinya untuk gadis bernama Irdina Safiyya itu.

10 Tahun lalu…

“Stopp…Stopp..Kejap..kejap.. Juz nak bagi ini..,”

Sepucuk surat dilayangkan masuk ke dalam raga basikal Irdina dan si pemberi surat mengayuh basikalnya laju ke hadapan sambil mengangkat tangan. Irdina dan Hilda saling memandang. Hilda tersenyum-senyum.

“Wahh..Ada peminat nampaknya. Siap bagi surat cinta lagi tu. Siapa yang tak kenal Faris tu budak pandai Kelas Tingkatan 3 Cemerlang. Student top sekolah lagi tu. Kau pulak budak pandai Kelas Tingkatan 3 Gemilang. Padanlah kau dua orang ni,” ujar Hilda lagi sengaja cuba mengusik.

Irdina tidak selesa dengan kata-kata Hilda. Dia memandang kiri dan kanan jalan. Mujur tidak ada sesiapa di situ.  

“Apa kenalah si Faris ni nak bersurat-surat pula. Tak naklah aku layan lelaki. Waktu sekarang ni waktu belajar. Bukan waktu melayan perasaan. Apa orang kata cinta monyet?,” ujar Irdina sambil mencapai surat Faris dan membalik-balikkan surat itu.

“Alaa..kau ni. Kalau aku, aku suka tau dapat surat. Sekurang-kurangnya kau bacalah apa isi hati Faris tu. Mesti dia tulis dia minat kat kau,” ujar Hilda lagi tersipu-sipu.

Naik mual Irdina mendengar kata-kata Hilda itu.

“Hmm..Tak naklah aku baca surat tu. Nanti terbuai-buai. Aku nak fokus pada pelajaran dan tak nak diganggu. Lebih baik aku buang aje surat ni. Tak rugi pun kalau aku buang. Malah boleh bantu si Faris tu agar jangan terus gila bayang dan mengharap kosong,” ujar Irdina lagi.

Terus sahaja surat itu dilayangkan ke dalam semak.

“Tak payah pedulikan surat tu. Jomlah kita balik. Kalau Mak Cik Rosmah jumpa surat tu, habislah aku kena cili dengan dia. Lebih baik aku tak buat masalah. Masalah yang dah ada pun tak tertanggung,” ujar Irdina lagi lantas kembali mengayuh basikal.

Hilda yang masih terpaku di tepi jalan hanya memandang hening surat itu. Melihat Irdina sudah jauh, dia cepat-cepat mencapai surat itu lalu disorokkan ke celah buku teks Matematiknya. Kemudian Hilda pun bergegas mengayuh basikal beriringan dengan Irdina.

Indra membuka fail peribadi yang sudah lebih 10 tahun tertutup seperti tabir kamar hatinya juga. Fail itu disimpan di bahagian paling bawah di dalam almari. Lantas dia mencapai dua pucuk surat yang terlanjur mahu diberikan kepada Irdina, tetapi tidak kesampaian. Mengingati semua itu dia ketawa sendiri sambil  menggelengkan kepala. Memang sewaktu di bangku sekolah menengah, dia lebih dikenali sebagai Faris berbanding nama awalnya, Indra. Dia menyumbing senyuman lagi tatkala terpandangkan sapu tangan milik Irdina masih elok berlipat di celahan tiga pucuk surat yang disimpan bersama sapu tangan itu. Perlahan Indra menyentuh sapu tangan itu. Sapu tangan itu milik Irdina yang dia tidak sengaja terambil. Lama dia merenung sapu tangan itu, lantas memori 10 tahun lalu kembali bertayangan di langit mindanya.

10 tahun lalu..

Suatu pagi, heboh di perhimpunan sekolah apabila pengawas yang melakukan sportcheck menjumpai surat cinta di bawah meja Hilda. Kecoh semua orang memperkatakan hubungan cinta Faris dan Irdina. Faris dipanggil ke bilik guru disiplin dan disoal siasat. Malah Hilda juga turut dipanggil mewakili Irdina. Hilda hanya menyorokkan wajahnya. Tidak berani menentang wajah Faris. Faris pula kelihatan bertenang sahaja.

Cikgu Seri turut bersama-sama dengan guru disiplin, Ustazah Faridah dan Cikgu Firdaus.

“Faris, betulkah surat ni kamu yang tulis?,” soal Cikgu Firdaus.

Faris tidak teragak-agak menganggukkan kepala.

“Hilda, betulkah surat ini Irdina yang tulis?,” soal Cikgu Firdaus pula.

Hilda tidak mengangguk dan tidak juga menggeleng. Cikgu Seri tidak berkedip merenung wajah Hilda. Dia membela Irdina di hadapan guru disiplin itu apabila melihat tulisan di surat itu bukan tulisan Irdina. Dia kenal sangat tulisan Irdina. Tambahan pula Irdina seorang yang tekun dalam pelajaran. Dia yakin Irdina tidak akan terjebak dengan gejala cinta monyet itu.

“Baik kamu cakap betul-betul dengan ustazah dan guru-guru di sini. Siapa sebenarnya yang tulis surat tu?,” soal Ustazah Faridah sedikit garang.

“Hmm..Sebenarnya.. Sebenarnya..surat tu sa..saya.. saya yang tulis, cikgu,” ujar Hilda lagi.

Wajahnya sudah merona kemerahan bagai udang bakar. Faris tersentak.

“Cikgu, kalau saya tahu bukan Irdina yang balas surat saya, saya takkan layan surat tulisan Hilda, cikgu. Sungguh, saya tak tahu. Saya tulis surat pada Irdina hanya untuk berkenalan dan saling bertukar-tukar fikiran berkenaan pelajaran sahaja. Tidak lebih dari itu,” ujar Faris sudah mula membela diri.

Hilda mengetap bibir berseli malu yang teramat sangat. Hampir sahaja dia menangis di situ.

“Saya minta maaf cikgu. Saya tak buat lagi. Maafkan saya, cikgu,” ujar Hilda lantas teresak-esak.

“Faris, saya minta maaf. Sebenarnya Irdina tidak mahu surat awak. Malah dia buangkan surat awak tanpa membacanya. Saya kasihankan awak. Saya pungut surat itu dan balas surat tu agar awak tak rasa kecewa,” ujar Hilda lagi.

Kata-kata itu membuatkan kesemua guru yang berada di situ tergelak.

“Kamu ni Hilda, mengaku aje la yang kamu syok kat si Faris ni kan..kan?,”usik Cikgu Firdaus lagi tambah membuatkan Hilda malu.

Faris pula hanya tertunduk-tunduk. Wajahnya juga turut merona seperti udang bakar.

“Faris dan Hilda, ustazah hanya mahu ingatkan kamu, surat, chatting, sms dan segala bentuk cara berhubung lelaki dan perempuan itu, semuanya itu merupakan jalan-jalan ke arah zina. Kamu tak takut terlanjur ke? Memanglah sekarang tidak lagi. Tapi bila dah bersurat-surat, dah kenal rapat, mulalah nak keluar berdua, kemudian berpegangan tangan dan akhirnya bunting sebelum nikah. Kamu tak takut ke jadi macam tu? Kamu ni muda lagi tau. PMR pun tak ambil lagi. Ustazah nak ingatkan kamu, jangan wujudkan percampuran lelaki dan perempuan yang berbentuk bebas. Lebih-lebih lagi pergaulan dan percampuran yang tidak terkawal. Jangan dilayan cinta monyet waktu remaja ni. Tumpukan perhatian pada pelajaran kamu. Itulah kewajipan kamu pada ibu dan bapa kamu. Mereka sangat mengharapkan kejayaan kamu,” ujar Ustazah Faridah panjang lebar.

Faris dan Hilda sama-sama mengangguk. Setelah menerima kaunseling dari guru kaunseling dan guru disiplin, mereka dibenarkan kembali ke kelas. Mereka tidak didenda. Hanya diberikan kata amaran agar tidak mengulangi hal tersebut.

Indra merenung bait-bait kata-kata yang disusunnya di atas kertas surat itu yang sudahpun lusuh dimakan waktu. Mujur juga Hilda mengembalikan semula surat-surat itu kepadanya. Sekurang-kurangnya surat-surat itu masih tersimpan rapi seperti isi hatinya juga.

“Faris, nah.. Ini semua surat-surat awak untuk Irdina. Saya kembalikan pada awak. Selayaknya surat-surat ini awak serahkan pada Irdina,” ujar Hilda sambil menghulurkan surat-surat itu kepada Faris.

Faris mengangguk lalu menyambut surat-surat itu.

“Terima kasih kerana kembalikan semula surat-surat ini. Saya minta maaf,” ujar Faris lagi.

Hilda menggelengkan kepala.

“Tidak. Saya yang sepatutnya minta maaf kepada awak, Faris. Saya tak sepatutnya menyamar sebagai Irdina. Saya minta maaf,” ujar Hilda lagi.

Indra terkedu mengingati semula semua itu. Masih terngiang-ngiang kata-kata Hilda itu. Seakan kata-kata itu umpama amanah yang melekat wajib di hatinya dan dia seperti wajib melaksanakan kata-kata pesanan Hilda itu.

“Faris, nah.. Ini semua surat-surat awak untuk Irdina. Saya kembalikan pada awak. Selayaknya surat-surat ini awak serahkan pada Irdina,”

Dia mengulang lagi kata-kata Hilda itu di hatinya.

“Saya kembalikan pada awak. Selayaknya surat-surat ini awak serahkan pada Irdina,”

Sejak Indra mengetahui Irdina tidak pernah membalas surat-suratnya dahulu dan Hilda mengembalikan surat itu kepadanya, Indra tidak pernah terfikir yang satu masa nanti dia akan serahkan juga surat-surat itu kepada Irdina. Hatinya seakan merajuk pula dengan Irdina. Namun dia tidak dapat menipu hatinya, bahawa nama Irdina Safiyya masih di hatinya. Pintu kamar hatinya itu masih terbuka walaupun tabirnya tertutup.

Teringat Indra ketika dia, mama dan abahnya menemui gadis itu pengsan di tepi jalan 10 tahun lalu, dia tidak dapat menipu diri yang dia teramat berasa risau tentang gadis itu. Dia tidak merasa lebam-lebam di tubuh gadis itu kesan terjatuh atau hanya lebam-lebam nakal.

 “Abah, berhenti..berhenti.. Ada orang pengsan bah,” anak mata Indra tepat menangkap kelibat seseorang yang kelihatan tidak bermaya rebah di tepi jalan.

Segera Encik Rizman menghentikan keretanya. Puan Sarah segera keluar memangku tubuh gadis berbaju kurung ungu itu. Kepalanya dipangku ke dadanya. Sapu tangan kecil anak gadis itu dibuka dan dikibas-kibaskan ke wajahnya. Puan Sarah terus sahaja memangku tubuh itu ke bawah pokok di tepi jalan yang lebih teduh.

“Allahhu Akbarr.. Ni anak gadis siapa pula ni bang. Kesiannya dia. Dia pitam. Pucat lesi wajahnya ni,” ujar Puan Sarah.

Indra terkedu tatkala menatap wajah pucat Irdina yang kaku.

“Mama, Indra kenal ma. Ini kawan sekolah Indra, Irdina,” ujar Indra lagi.

Encik Rizman dan Puan Sarah saling memandang ke wajah Indra.

“Oh, jadi Irdina ni kawan sekolah Indra. Abang, cuba abang check nadi Irdina. Agaknya dia pitam sebab tak sihat kot,” ujar Puan Sarah membuat telahan.

Tanpa berlengah, Encik Rizman segera memeriksa nadi anak gadis itu. Namun mereka sangat terkejut tatkala mendapati ada kesan lebam biru kebiruan di tangan anak gadis itu. Puan Sarah menyelak lagi lengan baju anak gadis itu sehingga ke siku dan lengan. Air matanya menitis. Indra juga turut terkejut. Dia tidak pernah tahu tentang apa yang telah menimpa Irdina.

“Astaghfirullah.. Abang, kesiannya dia. Patutlah lemah begini. Lebih baik kita bawa dia ke hospital,” ujar Puan Sarah lagi.

Encik Rizman segera mengangkat tubuh anak gadis itu ke dalam kereta mereka. Indra hanya memerhatikan wajah Irdina yang pucat lesu, terbaring lemah di pangkuan mamanya. Dia memegang sapu tangan Irdina. Sejak tadi anak matanya tidak berkedip-kedip memandang sekujur wajah itu. Lidahnya terkelu sejuta bahasa. Malah dia tidak memaklumkan juga pada mama dan abahnya yang dia mengenali Irdina lebih sekadar kawan sekolah menerusi beberapa pucuk surat. Mereka menuju ke hospital.

Puan Sarah memeluk Irdina seketika sebelum berlalu ke kereta. Dia berasa senang hati tatkala sudah selamat menghantar Irdina pulang ke pangkuan keluarganya. Dari jauh Indra hanya memerhatikan Irdina sehingga rumah batu dua tingkat itu hilang dari pandangannya. Namun baru dia tersedar, sapu tangan Irdina masih dalam genggamannya. Indra tersenyum. Cepat-cepat sapu tangan itu disorokkan. Bimbang abah dan mamanya sedar yang Irdina tertinggal sapu tangannya. Biarlah sapu tangan itu disimpannya baik-baik.

Sehinggalah dia bertanya sendiri dengan Hilda dan Hilda menerangkan keadaan sebenar Irdina.

“Hilda..Hm..Boleh saya tanya sesuatu tentang Irdina pada awak?,” soal Faris teragak-agak.

Hilda mengangkat bahu.

“Why not? Apa yang awak nak tahu pasal Dina?,”soal Hilda kembali.

“Hm..Irdina ada apa-apa masalah? Kenapa dah lama dia tak datang sekolah?,” soal Faris lagi.

Hilda menghentikan langkah di suatu sudut balkoni sekolah. Pandangannya dihalakan ke langit yang membiru sambil melepaskan keluhan panjang. Faris masih menunggu respon Hilda.

“Panjang ceritanya Faris. Irdina tinggal dengan keluarga angkat. Dia selalu jadi mangsa mak ciknya. Selalu kena pukul. Kena buat macam-macam kerja rumah. Hidupnya hanya bertemankan air mata setiap waktu,” ujar Hilda.

Mendengar kata-kata Hilda, Faris terkedu sendiri. Teringat dia dengan lebam-lebam yang dilihat di lengan Irdina waktu dia, mama dan abahnya menemui Irdina pengsan di tepi jalan dulu.

“Oh, jadi Irdina tinggal dengan keluarga angkat. Kenapa dia tak buat laporan polis?,” soal Faris lagi.

Hilda menggelengkan kepala. Lantas merenung ke wajah Faris. Jelas tergambar, lelaki itu begitu mengambil berat tentang Irdina.

“Dina dah tak ada pilihan. Dia memang tak ada tempat bergantung selain dengan keluarga angkatnya tu. Dia hanya berkongsi dengan saya dan meminta saya merahsiakan hal ni,” ujar Hilda lagi.

“Habis, sekarang dia mana Irdina?,” soal Faris lagi.

Hilda mengangkat bahu.

“Entah. Saya tak tahu ke mana Dina dah pergi. Mungkin dia dah tak boleh bersabar dan larikan diri dari rumah,” ujar Hilda lagi.

Sejak itu dia tidak lagi mendengar khabar berita mengenai Irdina. Hanya dia mengingati pesanan terakhir Hilda padanya waktu itu.

“Faris, awak suka pada orang yang betul. Irdina sangat baik. Selayaknya memang Irdina sesuai dengan awak. Cuma untuk masa ini, cinta monyet bukan pilihan dia. Dia mahu berjaya macam orang lain. Dia sangat sayangkan pelajaran. Sebab utama dia tak pernah ceritakan berkenaan hal dia kena pukul tu, kerana dia masih sayang pada keluarga angkatnya yang membelanya dari kecil. Dia bersyukur dapat hidup, dapat ke sekolah. Tidaklah hidup merempat di tepi jalan atau mengemis. Jadi, dia rela tahan sahaja apa jua yang mereka lakukan pada dia sehingga kesabarannya tiba pada hadnya. Sama-samalah kita doakan dia ya,”

Kata-kata itulah yang membuatkan Indra rasa tercabar. Lalu dia terus menabirkan kamar hatinya serapat-rapatnya. Hatinya ditumpukan sepenuhnya pada hal pelajaran sehinggalah dia berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang kedoktoran. Sekaligus menjadi kebanggaan kepada kedua ibu dan bapa angkatnya itu.

Namun tatkala dia dimaklumkan bahawa Irdina adalah anak kandung keluarga angkatnya dan mereka berhajat mahu menjodohkannya dengan Irdina, dia merasakan hal itu seperti mimpi. Belum lagi dia merindu, bulan sudahpun jatuh ke ribanya. Irdina juga katanya tidak ada masalah melunasi hajat bapa kandungnya itu. Namun apa yang Indra kurang jelas adalah mengenai perasaan Irdina sendiri.

..Irdina, biarlah kau menilai rasa hatiku menerusi ketulusan jiwaku dalam menyimpan utuh perasaan ini terhadapmu. Jika tiada cinta untuk kita, manakan ada jodoh ini buat kita? Irdina, aku tidak mahukan seluruh cintamu, cukuplah kau beriku secebis cintamu, maka akan kubalasimu dengan selangit cintaku..


~Annur Iman~
9 April 2012, 9.57 am.
Teratak Baiti Jannati, KKM..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...