BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, May 30, 2011

A FAMOSA : UKHWAH BERMULA

Ukhwah Dengan Hati
Saat saya menulis catatan kali ini, Alhamdulillah saya sudah selamat sampai di Bandar metropolitan Kuala Lumpur. Subhanallah.. sekejapnya masa berlalu, baru sahaja rasa malam tadi saya berada di A Famosa, Melaka bersama rakan seguru dan anak-anak murid, hari ni dah ada di Kuala Lumpur. Allahh..Subhanallahh..rindunya saya pada kota tarbiyah ini. Rindunya saya pada adik-adik saya. Sejuk hati menatap wajah adik saya, Ili Nur Izzati, yang datang menjemput saya di Stesyen Universiti tepat jam 1.15 tengahari tadi. Dia comel macam selalu juga. Hehe..
Mengimbau sehari semalam berjalan2 bersama guru dan murid-murid SMK Telok Dato’, saya hanya mengucap Alhamdulillah dan Subhanallah.. Indahnya aturan Allah dalam merencahkan episode-episod dalam kehidupan hamba-hambaNya. Saya melihat dengan adanya lawatan ini, inilah peluang yang Allah bagi untuk janakan ukhwah antara saya, sahabat-sahabat saya, guru-guru dan murid-murid. Rakan seguru dari guru-guru praktikal, Cikgu Fida, Cikgu Husna dan Cikgu Razak. Rakan seguru dari guru-guru veteran pula, Cikgu Asmah, Cikgu Nur Hayati, Cikgu Azwa dan lain-lain.
Debaran saya terdetik tatkala saya melangkah keluar dari rumah sewa dengan berpurdah. Biasanya saya tidak berpurdah ke sekolah. Namun hari ni saya berpurdah ke Melaka. Sama juga rasa kebimbangannya seperti sewaktu saya menghadiri bengkel penulisan dahulu. Memikirkan, samada diri dan penampilan saya yang berpurdah akan diterima tak oleh rakan-rakan seguru dan murid-murid saya. Subhanallah.. Keikhlasan mengatakan bahawa Allah bersama saya dan saya melangkah kerana Allah, maka Allah juga yang akan kuatkan saya. Yang penting, saya perlu menghadapinya dengan sepenuh keyakinan pada Allah. Bila lagi mereka nak kenal diri saya yang sebenarnya.
Sewaktu melangkah masuk ke dalam bas, semua mata memandang saya. Sunyi dan diam seketika. Allahhu Akbarr.. Debaran saya semakin kuat. Namun, saat saya menyapa wajah-wajah di dalam bas itu dengan senyuman di wajah (walaupun tertutup) namun, saya kira mereka yang memandang saya saat itu begitu perasankan anak mata saya yang menunjukkan saya sedang tersenyum memandang mereka.
“Hashima, nah ini bihun yang kak As bawak. Makan ya,” Kak Asmah tersenyum pada saya.
“Terima kasih kak,” senangnya hati saya melihat wajahnya.
Kak Asmah ini guru yang memegang taklifan sebagai penyelia petang. Jadi sebarang urusan penyelenggaraan pengajaran di sebelah petang, kak Asmah yang akan uruskan.
“Oh, Hashima.. Kak As pun terlupa nak pakai purdah hari ni, hehe..,” Saya tahu kak Asmah mahu bergurau dengan saya.
Saya hanya menyambut kata-kata itu dengan senyuman. Sebentar kemudian, Fida pula yang datang ke belakang, membawa bihun yang sama, memastikan semua pelajar mendapat bihun. Dia tersenyum memandang saya. Razak menyusul pula dengan air minuman dan gula-gula. Berhati-hati dia meletakkan gula-gula ke tapak tangan saya.
“Cukup?,”
“Cukup..Cukupp..Terima kasih ya,”
Razak menunduk lalu berpaling dan berlalu. Anak-anak murid saya, saya lihat mereka seperti agak terkejut. Namun, tetap juga mereka menyapa saya dengan senyuman. Alhamdulillah,.. Di sini saya mendapat hikmah, apabila kita bersangka baik dengan manusia, maka manusia juga akan bersangka baik dengan kita. First thinking, jangan bersangka buruk sesama manusia. Menyangka-nyangka yang baik itu ertinya juga kita tidak bersangka buruk dengan Allah. Bahkan kita perlu selalu bersangka baik pada Allah. Allah yang lebih Maha Maklum apa yang terbaik untuk hambaNya. Dan saya kira ukhwah itu tidak memerlukan imej, tetapi hati. Ukhwah itu dengan hati.
Firman Allah s.w.t :
“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui..”
Surah Al-Baqarah : 216

Sesunguhnya Aku Sayang Padamu Kerana Allah
Saya lihat Husna tidak berkedip memandang saya. Wajahnya macam segan-segan malu dengan saya. Entah kenapa saya merasa ada keterikatan hati antara saya dengan dia. Saya tahu saya ada perasaan pada dia.  ..“Sesungguhnya aku sayang padamu kerana Allah,”.. itulah kata-kata di hati saya saat pertama kali saya ditautkan ukhwah dengannya. Teringat saya pada satu petang di bilik guru. Saat itu saya sedang mengulang hafaz hadis pertama bertajuk Peranan Niat Dalam Amal. Sedang saya meneliti keterangan hadis tersebut, pintu bilik guru terkuak kuat. Serentak itu, saya terdengar bunyi esakan kuat. Bunyi orang menangis pun ada. Bunyi orang sesak dada pun ada. Saya bangun. Lantas berisigfar. Saya mula merasai kehadiran makhluk itu. Allahhu Akbarr..
Betulkah angkara makhluk itu? Saya tenang-tenang sahaja di samping mengucap lafaz istigfar. Cikgu Halina sudahpun bangun mendekati Husna.
“Husna, awak kenapa ni? Awak sakit?,”
Husna menggelengkan kepala. Dia cuba memberitahu sesuatu, namun dadanya seperti tersekat sesuatu. Saya mengambil air masak Aninah lalu menapak ke arah Husna. Saya pegang lehernya. Lantas saya bacakan ayat pendinding diri. Namun, disebabkan agak panic, saya jadi ingat-ingat lupa pula pada ayat-ayat itu. jadi bacaan saya sedikit berterabur. Astagfirullah.. saya diamkan diri sekejap. Mengambil ruang tenang. Saya teruskan istigfar. Tangan saya masih memegang di lehernya. Husna mengeluarkan ubat. Dia mengisyaratkan pada saya agar menyuapkan ubat itu padanya. Saya menurut. Sempat saya menangkap ubat itu ada disertakan doa ruqyah. Allahhu Akbar, sahlah detikan hati saya tadi yang Husna kini sedang mengalami gangguan. Namun, entah kenapa saya rasa makhluk yang ganggu saat itu bukan sebarangan makhluk. Namun, Allah yang lehih Maha Berkuasa. Allahhu Akbarr..
Dengan lafaz bismillah, saya memulakan sekali lagi. Tangan kiri saya memegang leher Husna. Tangan kanan saya memegang air masak. Saya bacakan ayat pendinding diri, ayatul kursi, selawat dan ayat lau anzalna.. Namun kali ini juga bacaan saya tersekat-sekat. Saya gagal untuk tenangkan hati. Jadi, sebab itulah bacaan saya tersekat-sekat. Allah.. Berulangkali saya mengulang, akhirnya saya menghabiskan juga bacaan itu. Lalu saya tiupkan ke telinga Husna dan saya tiupkan ke air masak. Saya bagi Husna minum air masak itu. Saya peluk belakang Husna. Tangan kiri saya masih di belakang leher Husna. Husna sedikit tenang. Namun dadanya masih sesak. Saya tahu, makhluk itu masih ada. Dia masih tidak tinggalkan Husna. Saya rasa ia sangat kuat. Mungkin bukan sebarangan makhluk-makhluk yang berkeliaran di sekolah ini. Saat itu, saya berasa sangat risau dan sedih. Perlahan hati saya menuturkan.. “Husna, sesunggungnya aku sayang padamu kerana Allah..,”
Itulah kali pertama saya menyentuh tangannya. Sebelum ini, kami hanya bersapa salam sahaja. Saya akui, subhanallah Husna sangat cantik. Di sekolah, ramai pelajar yang minat padanya. Peminatnya sendiri wallahhu’alam. “..Moga Allah melindungi Husna,.” Itu doa saya padanya.
“Husna, dah rasa tenang sikit?,”bisik saya ke telinganya.
Dia menggeleng pun tidak. Mengangguk pun tidak.
“Husna kena gangguan kan?,”
Dia mengangguk. Dia menyuakan tangannya pada saya. Saya pantas menggenggam tangannya. Dah sejuk. Subhanallah.. Allahhu Akbarr.. Itu tambah buat saya rasa lebih risaukan dia.
“..Ya Allah, aku sayang padanya, maka Kau bantulah dia ya Allah..,”
Selalunya jika saya buntu dan sudah tidak boleh nak buat apa-apa, itulah doa saya. Hanya pada DIA, tempat saya meminta pertolongan.
“Husna, dah rasa tenang sikit? Kalau rasa tenang sikit, jomlah saya bawa Husna ke pantry? Saya nak buka tudung Husna,”
Ya, saya perlu sapukan air ke dada dan mukanya.
Husna tidak menjawab. Dia menekan nombor telefon pada handfon. Nombor ayahnya. Cikgu Halina segera membuat panggilan pada ayahnya. Sejurus itu, Husna tiba-tiba mahu bangun. Dadanya masih sesak. Saya masih memeluk bahunya. Saya dapat rasakan, dia sedang menahan sakit. Saya kira sakitnya itu di dadanya. Beberapa orang guru memimpinnya ke pantry. Tudunya dibuka, dia disandarkan ke sofa. Namun tiba-tiba, sesak dada itu datang semula. Malah lebih teruk. Saya menyapu air tadi di dada dan basahkan ke wajahnya. Tidak berkesan juga. Dia ingin muntah. Cepat-cepat Fida yang baru tiba, mengambil bekas untuk dia muntah. Keluarlah semua sisa makanan. Allahhu Akbarr.. Dia muntah hingga sudah tidak ada apa-apa lagi yang keluar. Saya membaxakan ayat kursi. Fida juga. Husna menjerit seketika. Tangan kanannya meminta untuk dipegang. Saya genggam tangan kanannya. Sejuk sangat-sangat. Dan tiba-tiba tangan itu menggeletar. Tiba-tba lututnya juga ikut menggeletar. Nafasnya sudah tidak berbunyi sesak. Anak matanya hanya tercerlung ke satu arah. Anak matanya merah dan pandangan matanya tajam. Saya beristigfar. Terasa ingin menangis. Saya gagal. Saya gagal. Saya gagal halang benda tu masuk ke dalam badan Husna. Sekarang benda tu dah masuk ke dalam badan Husna. Yang ada di depan saya saat itu bukan Husna. Beberapa kali saya panggil namanya dia tidak menjawab. Kedua tangan dan lutunya menggigil-gigil.
“Allahhu Akbarr.. Benda tu dah masuk dah kak,” ujar saya kesal.
Saya sedih. Sangat sedih tidak dapat membantu. Dalam lima minit kemudian, ayah Husna tiba. Lalu membawa Husna pulang. Esoknya Husna datang dan dia sudah kembali pulih. Kami bertembung di tangga saat saya mahu ke kelas dan dia baru sampai ke sekolah. Cuma wajahnya masih tetap pucat. Dia tersenyum pada saya.
“Husna, sihat dah?,”
Dia mengangguk.
“Alhamdulillah, terima kasih tolong saya kelmarin,”
Oleh kerana saya pun nak kelas, jadi hanya itu sahaja yang saya cakap padanya. Kemudian, barulah saya tahu, gangguan yang mengganggu Husna itu memang bukan sembarangan gangguan. Gangguan itu datangnya dari buatan orang. Astagfirullahh.. baru sahaja saya dengar-dengar Husna bercerita pasal hal tu di surau saat sebelum hal gangguan itu berlaku. Tiba-tiba petang itu terus jadi gangguan. Allahhu Akbarr.. Saya hanya mampu menitipkan doa, semoga Husna kuat untuk menghadapi segala dugaan itu. Allah bersamamu Husna. HikmahNya, dari gangguan itu, semua orang jadi caring dengan Husna. Bukankah itu juga petanda yang baik. Hal itu adalah celahan untuk rapatkan ukhwah juga. Subhanallahh..
“Im, marilah saya pakaikan gelang tu,”
Husna memakaikan gelang keselamatan ke lengan saya. Saya tersenyum menggangguk.
“Terima kasih Husna,”ucap saya.
Saya lihat dari sinar matanya, dia seperti ada perkara yang mahu dikongsikan bersama saya. Peluang bercuti ke A Famosa ini tidak akan saya sia-siakan untuk mendampingi dirinya. Saya mahu kenali dirinya. Sejak insiden itu kami tidak pernah bersapa. Yela. Tiap-tiap hari saya ada kelas relief. Jadi tidak ada kesempatan mahu bersapa dengannya. Sesekali bertemu di jalanan, kami hanya bertaut senyuman.
“Panggil la Una. Dah ramai orang panggil saya Husna,”
Saya sangat senang dengan kata-kata itu. Saya tahu dia mahu saya tidak formal dengannya. Saya ingatkan dia akan segan dengan penampilan saya yang berpurdah begini. Rupanya dia juga mahu berada dekat dengan saya. Bermula detik itulah, dia mula berjalan-jalan dengan saya. Nak ke mana sahaja, dia akan berada dekat dengan saya. Saya juga mahu sentiasa berada dekat dengannya. Yela. Manalah tahu jika adal lagi gangguan yang datang. Menurut Husna, gangguan itu akan datang secara berkala. Kadang-kadang  tidak dapat dijangkakan waktunya. Allahhu Akbarr. Saya hanya mendoakan keselamatan untuk diriNya. Akhirnya sepanjang seharian siang itu, Husna hanya bersama saya. Sungguh saya tidak menyangka, dia suka berada dengan saya. Di samping saya juga mahu pastikan dia selamat dari gangguan. Sedang kami duduk-duduk di ruang penonton menunggu show seterusnya, Husna mula mahu bercerita pada saya.
“Im dah bertunang?,”
Saya terkedu dengan soalan itu. Perlahan saya menggeleng.
“Insya’allah, sampai masanya bertunanglah saya. Kenapa Una tanya?,”
“Hmm..Mesti dengan ustaz kan?,”
Saya mengangkat bahu.  "Mungkin ya, mungkin tidak,"
Wajahnya jadi sedih. Kelihatan ada sesuatu yang masih terpendam di hatinya. Saya tahu dia mahu bercerita. Saya pula jenis yang suka mendengar luahan orang.
“Insya’allah, jika ada jodoh, saya terima siapa yang Allah pilihkan untuk saya,”
Jawapan saya masih kelihatan umum. Yela. Nak bagi dia ceritakan, perlulah saya dulu yang merencahkan suasana dan feel untuk dia bercerita.
“Kite rasa nak cari seorang ustaz juga. Boleh Im carikan?,” Ada ketawa di hujung bibirnya.
Anak mata saya membulat tatkala mendengar kata-kata itu. Benarkah?
“Betul ni?,”soal saya.
Dia mengangguk.
“Una bukan dah bertunang?,”
“Entah la.. Dia macam tak nak pada kite. Dah ada perempuan lain agaknya. Mana ada mesej-mesej saya. Senyap ja. Malaslah saya nak fikir,”
Kalau saya, saya lebih suka senyap dan sunyi begitu. Lebih baik tidak berhubung berbanding berhubung, tapi menunaskan pelbagai rasa-rasa yang kurang enak.
“Una, kalau betul-betul Una seius, insya’allah saya boleh carikan. Una nak orang negeri mana?.”
Husna tersenyum.
“Nak orang Selangor jugalah,”
Saya tersenyum. Tiba-tiba pula satu wajah itu muncul. ..’Ustaz itu dah ada orang dah’.. bisik hati saya.
“Insya’allah, ada jodoh, ada ya,” Saya tersenyum padanya. Dia mengangguk.
Sepanjang saya bersama dengannya, saya banyak cuba belajar mengenali dirinya. Ya, naluri saya sangat tajam pada orang yang terasa dekat di hati saya. Saya suka belajar mengenali seseorang dengan berfikir, melihat, memahami dan berkalam dengannya. Saya tak suka dengar cakap-cakap orang. Yang penting, hati kita paling cepat memahami seseorang. Adakalanya kita sendiri rasa kita faham seseorang, tapi hati sendiri tidak mampu nak terjemahkan apa yang kita faham itu. Subhanallah..lalu apa yang kita fahami itu diterjemahkan dalam bait-bait tingkah dan sentuhan.
Malam itu, Husna mengajak saya berjalan bersama dengannya. Berjalan di celahan ramai-ramai orang, bimbang juga jika kami terpisah. Lalu tangannya saya pegang. Saya kalau berjalan dengan adik-adik saya, saya suka pegang tangan mereka. Itulah terjemahan bait-bait tingkah dan sentuhan dari hati saya pada mereka. Sentuhan itu pada jemari dan tangan. Tapi, kasih sayang itu terasa berbekas di hati. Akhirnya hingga ke tengahmalam tangan kami tetap bertaut. Bahkan saat-saat akhir ketika show habis pada malam itu, Husna sempat lagi menarik tangan saya untuk menyaksikan ‘hadiah’ yang dijanjikan pihak pengurus show A Famosa itu. Subhanallah, ia adalah pertunjukkan bunga api yang sangat cantik.
“Husna, terima kasih..,”
Husna mengangguk dan tersenyum.
..Ya Allah, terima kasih untuk ukhwah ini ya Allah..
Berikut adalah gambar-gambar sepanjang kami berada di A Famosa.

Bergambar di hadapan pintu masuk A Famosa

 




Tak dapat bergambar dengan harmau,
dapat bergambar dengan encik maskot
harimau pun boleh la...

Murid-murid mendengar keterangan cikgu Asmah


Elephant Show

Monyet-monyet yang mengacau kami
sewaktu kami hendak makan..

Cowboy Show

Akhir kata menutup catatan kali ini dengan iringan lagu ini..



~Aleesy AnNurIman~
30 Mei 2011, 3.29 am
Kuala Lumpur

Thursday, May 26, 2011

Menjadi Dedaun Tarbiyah


Menjadi Dedaun Tarbiyah yg sentiasa Bersedia utk Diterbangkan

Kebiasaan ahli gerakan, akan mensimbolikkan anak panah sebagai diri mereka. Sedia untuk ditujah dan tercampak ke mana pun. Namun bagi saya, simbolik diri saya adalah dedaun. Entah kenapa saya sangat sukakan dedaun. Baik dedaun hijau simbolik kepada cinta berpaksikan keimanan pada Allah. Adapun dedaun kering umpama anak panah yang dilontarkan. Cuma dedaun kering ini bukan minta dilontarkan. Bukan menunggu untuk ditujah. Bukan menanti dilepaskan dari busur. Sebaliknya dedaun kering ini terbang bersama angin. Ke mana sahaja ia diterbangkan, ia turut sahaja bersama angin yang memandu arah. Terkadang angin membawanya ke daratan. Terkadang angin mendaratkannya ke pantai. Terkadang angin menerbangkannya merentas ke lautan. Akhirnya tiba mendarat ke satu lembah. Lembah yang ditentukan Allah.. Lembah Tarbiyah.. Subhanallahh.. Hanya dari panduan angin sahaja sebagai wahyu Allah, dedaun kering ini merentas segala benua untuk terdampar ke lembah ini. Lembah yang ditakdirkan untuk diri ini membumikan fikrah. Fikrah Islam..

Rumah Sewa Mujahidah Sufi Kecil
Allahhu Akbarr.. Berada di rumah sewa, tugas saya bukan sekadar teman serumah. Tetapi sebagai ahli tarbiyah yang membiaskan tarbiyah ke jiwa-jiwa sahabat saya juga. Kita bukan nak jaga akhirat kita sahaja. Kita bukan nak jaga hubungan kita dengan Allah sahaja. Bahkan kita juga ada tanggungjawab terhadap isi rumah. Perlu memastikan persiapan akhirat sahabat-sahabat juga terjaga. Perlu jaga hubungan mereka dengan Allah juga. Senang cerita, nak masuk syurga sama-sama juga. Dalam konteks di rumah sewa saya ini, saya lebih fokus pada manual tarbiyah warga rumah. Yang paling utama adalah berkaitan solat di awal waktu dan solat secara jemaah. Perlu hidupkan suasana berjemaah di dalam rumah. Hidupkan suasana mathurat, imarahkan waktu dhuha dengan solat dhuha, bacaan al-quran sesudah solat, zikrullah di waktu lapang dan qiamullail sebelum subuh. Semua ibadah ini perlu dijalankan secara istiqamah. Sesama sendiri harus ada sense ‘berlumba2’ dalam ibadah. Sentiasa mahu menjadi yang pertama dalam pandangan Allah. Fasa ibadah harus dilazimi bermula awal pagi, waktu qiam sehinggalah menutup mata sesudah istikharah, witir dan al-Mulk pada waktu malam. Kekalkan wuduk dari awal pagi sehingga menutup mata pada malam harinya.

Sekolah Sebagai Wadah Dakwah Da’ieyah Kecil
Subhanallah.. Berada di sekolah, tugas saya bukan sekadar guru praktikal, tetapi tetap ada misi fikrah Islam yang perlu saya rencahkan. Biarpun rakan-rakan saya yang lain bukan terdiri daripada ahli gerakan yang mendapat tarbiyah, maka sayalah yang perlu mensasarkan ‘siapa kami’ di sekolah ini. Menjadi guru praktikal yang bukan hanya siang malam, pagi petangnya hanya menyiapkan RPH dan masuk menjaga kelas peperiksaan dan mengajar kelas sahaja. Cukupkah hanya begitu sahaja rutin harian? Ataupun guru-guru yang membawa fikrah Islam seharusnya perlu menyuntik sense agama ke hati-hati warga sekolah dan murid-murid melalui lapangan usrah? Biar warga sekeliling sedari keberadaan kita. Hati yang mati tidak akan berjaya dihidupkan dengan mudah. Jiwa yang layu tidak akan mampu disegarkan dalam kadar waktu yang singkat seperti embun pagi membiaskan titik-titik embun ke dedaun. Sedangkan perlu berturutan mengikut tahap ke tahap. Sebaliknya kitalah terlebih dahulu yang perlu mendidik diri menjadi embun segar. Lalu embun yang menyegar itu akan memberi nafas-nafas baru pada hati-hati yang mati dan jiwa-jiwa yang layu tadi. Memberi ‘kehidupan’ kepada hati yang kontang. Memberi kehidupan kepada hati yang mati. Bukan mematikan kehidupan. Simboliknya, kita menghidupkan batu yang mati, bukan mematikan kehidupan dengan memetik bebunga di taman yang akhirnya mati dan layu. Bukankah di situ kita sudah menjadi pembunuh kepada kahidupan? Sebaliknya batu yang mati terbiar di persisir jeram, kita pungutkan ia. Lalu oleskan wewarna hidup padanya agar ia berguna untuk dunia. Sekurang-kurangnya ada kegunaannya yang membuatkan ia hidup dan berguna.

Murid-muridku sayang.. (kelas hari rabu, 18 Mei 2011)
Saya teringat tatkala pertama kali saya menjejak masuk ke dalam kelas yang bakal saya ajar, 1 ADI. Insya’allah dalam kelas ini, saya akan mengajar Pendidikan Islam Tingkatan 1 selama 6 masa, 3 kali masuk dalam seminggu. Cuma pertama kali saya masuk ke kelas ini dalam keadaan murid tengah peperiksaan. Sengaja saya masuk awal. Di fikiran ini, masih terfikir-fikir, set induksi apa yang saya mahu gunakan. First impression biar saya dapat memberi sesuatu hikmah yang berbekas kepada mereka. Jadi, saya pun masuk awal. Panjag lagi masa. Masih berbaki 15 minit mahu memulakan peperiksaan. Nak buat induksi yang ringkas tetapi cukup capai matlamat. Lebih-lebih lagi murid-murid masih tidak mengenali siapa saya. Nama saya pun mereka masih tidak tahu.

Menjejak sahaja saya ke dalam kelas, semua mata mereka sudah menumpu fokus pada saya. Seorang murid perempuan bangun. Saya kira dia ketua atau penolong tingkatan.
“BANGUN SEMUAA.. Assalamualaikum ustazahh.. Bismillahhirrahma’nirrahim.. Allahhummaftah alaina hikmataka wansyur ‘alaina..Min khoza’ iniroh matik, ya arhamarra’himi.. Rabbi zidni ilman na’fi’ann war zuqni fahman..Aminn,”
Saya mengangguk, mengucapkan terima kasih dan mengizinkan mereka duduk. Sekejap lagi bakal bermula kertas Bahasa Melayu kertas 2.
“Baiklah.. Sekarang ni ustazah nak minta kamu semua letakkan beg kamu kat belakang kelas. Sekejap lagi nak ujian kan. Jadi, ustazah minta kamu letakkan beg kamu kat belakang ya. Boleh faham apa yang ustazah cakap?,”
“Boleh ustazahhhh…,”
Segera semua murid-murid saya bangun membawa beg mereka ke belakang kelas. Kelas saya ini ada 5 orang murid lelaki dan 21 orang murid perempuan. Jumlah mereka 26 orang. Murid perempuannya comel-comel. Murid lelaki pula baik-baik sahaja. Seorang kelihatan berkopiah. Sempat saya menangkap namanya pada buku latihannya di atas meja, Amirul Ekram.
“Terima kasih semua. Sekarang boleh keluarkan alatan tulis dan letak di atas meja ya. Pastikan tiap-tiap orang ada test pad masing-masing,”
Segera mereka keluarkan semua pen, pensil, pemadam, pembaris dan test pad. Tersenyum saya. Teringat pula sewaktu saya masih kecik-kecik dulu. Kalau waktu tingkatan 2, ertinya saya di madrasah saya, Madrasah Tarbiyah AnNashiin. Sentiasa berlarian dengan persaingan menghafaz subjek-subjek Arab. Wajah Iffah, Hafiz, Afif, Hidayah pula yang muncul. Mereka ini sahabat-sahabat saya sewaktu kami menuntut di madrasah. Yang kerap bersaing dengan saya adalah Iffah. Kami selalu bersaing menghafaz subjek Arab dan berlumba dalam merebut nombor dalam kelas. Biasanya antara kami antara nombor 1 dan 2. Jika ujian semester awal saya dapat nombor 1, Iffah akan dapat nombor 2. Kemudian Iffah akan mendapat nombor 1 pada ujian semester akhir dan saya yang kedua pula. Namun keputusan akhir SPM yang memisahkan kami membawa haluan masing-masing walaupun kami tetap mengambil kos yang sama. Saya ke UM. Iffah ke UKM. Sekarang Iffah dah kahwin. Alhamdulillah, bahagia dengan suaminya. Malah dia bakal menimang cahaya mata yang kedua. Wajah hitam manis itu hilang seketika. Kini realiti membawa saya kembali ke kelas saya. Saya melihat rata-rata murid sudah bersedia mahu memulakan peperiksaan.
“Siapa yang tak ada test pad?,”
Semua menggeleng. Saya tersenyum lagi. Kiranya saya yakin mereka sudahpun bersedia.
“Baiklah.. Sebelum memulakan ujian pada petang ini, ustazah nak tanya, siapa antara kamu yang pandai baca surah Al-Insyirah?,”
Semuanya diam.. Semuanya menggeleng tanda tak pandai. Saya beristigfar sendiri. Allahh..
“Ustazah.. Ustazah suruh Amirul ustazah..,”
“Ustazah.. suruh Hazrulsyam ustazah.. Hazrulsyam pandai baca surah Al-Insyirah..,”
Bersemangat betul suara-suara dari murid perempuan itu memberitahu saya.
“Haaa…Mana Hazrulsyam? Sila bangun. Boleh ustazah minta kamu bacakan surah Al-Insyirah? Sekejap lagi kamu nak menjawab ujian. Jadi, sebelum nak mula ujian, kita kena berdoa agar Allah permudahkan kamu semua menjawab ujian. Cepat Hazrulsyam.. Bangun dan baca,”
Lambat-lambat murid saya yang bernama Hazrulsyam bangun. Terkulat-kulat dan senyum-senyum. Malu juga dia. Tangannya asyik menyapu rambut di kepala sahaja.
“Ustazah, tak boleh.. Saya tak boleh baca.. Tak ingat..,”
“Cuba dulu.. Ustazah percaya dengan kamu Hazrulsyam,”
“Hazrulsyam.. Kau ni cepatlah baca…,” sampuk seorang murid perempuan.
“Baiklah ustazah.. Bismillahhirrahma’nirrahimm.. Alam Nasrah laka sodrak.. Wawado’na annka wizrakk.. Err.. Betul ke ustazah?,”
Saya mengangguk. Rata-rata murid lain ada yang sudah ketawa. Ketawa mereka itu telah melemahkan semangatnya untuk terus menghabiskan bacaan itu. Dia memandang saya dan menggelengkan kepala tanda surrender.
“Baiklah.. Tak apa. Semua boleh baca kan? Kita sama-sama baca ya,”
Akhirnya semua murid-murid saya membacakan surah Al-Insyirah itu sehingga habis. Alhamdulillah, saya kira bacaan itu tambah beri ketenangan pada mereka untuk memulakan ujian pada petang itu. Saya memandang jam yang sudah menghampiri ke jam 2.45 petang. Ujian akan bermula tepat pada jam 2.45petang.
“Semua dah ready nak menjawab ujian?,”
“Dahh…,”
“Bismillahhirrahma’nirrahim.. Kamu boleh mula menjawab..,”
Saya tersenyum sendiri. Alhamdulillah.. walau hanya sedikit induksi itu, namun saya rasa apa yang saya mahu mereka dapat seawal ujian itu adalah tautan hati mereka dengan Allah melalui bacaan melalui surah Al-Insyirah itu. Juga pada kalimah ‘Bismillah’ yang saya tuturkan bagi memulakan ujian pada petang itu. Tak perlu kita merangka sebesar-besar perkara. Dah cukup kita berusaha untuk buat sesuatu. Sesuatu yang akan memercikkan sense keagamaan pada hati-hati mereka. Murid-murid ibarat sutera putih. Kitalah yang mencorakkan mereka.

Usrah dan Taaruf bersama murid-murid (25 Mei 2011)
Sejak seminggu lalu hati ini mendetikkan sedikit kebimbangan. Bagaimana saya mahu budjetkan masa untuk adakan slot berkenalan dengan anak murid saya itu. Sedangkan waktu kelas sangat terhad. Namun, pucuk dicita ulam mendatang, Alhamdulillah.. Allah dengar keresahan saya rupanya. Petang itu saya hanya perlu menjaga kelas saya ini sahaja tanpa apa-apa kertas ujian kerana petang itu sepatutnya ada kertas ujian Pendidkan Moral yang akan diduduki oleh murid-murid non Muslim. Kelas 1 ADI ini tiada murid non Muslim. Kertas ujian mereka seterusnya adalah pada petang selepas Asar nanti.
“Assalamuaikum wbt..,”
“Waalaikumussalam wbt,” jawab semua murid saya.
“Sekarang waktu free kan? Boleh ustazah minta sedikit masa ini untuk ustazah berkenalan dengan kamu semua?,”
“Bolehhhhh……………..,”
Saya tersenyum.
“Ok, kamu semua bawa kerusi masing-masing, bentukkan dua barisan kat depan ustazah. Bagi ustazah dapat lihat semua wajah-wajah kamu ya,”
Mereka tidak menunggu lebih arahan. Mereka terus bergerak mengikut arahan saya. Namun ada jugalah yang berlambat-lambat. Akhirnya mereka sudah siap berkumpul di hadapan saya dengan kerusi masing-masing. Ada yang tersenyum memandang saya. Ada yang masing membelek-belek buku. Ada yang macam boring sahaja. Ada yang macam anggap tak penting sahaja. Hm.. tak apa, yang penting mereka semuanya comel-comel. Ibarat kain putih yang suci bersih.
“Ustazah akan mula kenalkan diri ustazah ya. Nama ustazah, Nor Siti Hashima Binti Abdul Rahim. Ustazah Hashima. Tapi kamu boleh panggil ustazah, ustazah Im.
“Ohh..Ustazah Im..,”jawab mereka semua. Saya gunakan nama ‘Im’ agar mereka mudah ingati nama saya. Kebetulan pula ada guru lain yang namanya Hashimah juga di sekolah ini. Jadi, lebih baik saya gunakan nama komersial saya sahaja. Biar murid saya lebih mudah ingati saya.
“Ustazahh.. Ustazah asal mana?,” tanya seorang murid.
“Ustazah belajar kos apa dan dari universiti mana?,” tanya lagi seorang.
Ustazah berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah. Ustazah daripada Universiti Malaya Kuala Lumpur. Kos ustazah, Pendidikan Islam. Insya’allah ustazah mengajar subjek Pendidikan Islam di kelas kamu ini dan ustazah mengajar Bahasa Arab di kelas tingkatan 2. Hmm..Apa lagi yang kamu nak tahu pasal ustazah?,”
“Ustazah, berapa umur ustazah? Tarikh lahir?,”
Saya tersenyum. Soalan cepu mas.
“Haa..Cuba kamu teka berapa umur ustazah?,”
“18 tahun?,” seorang murid perempuan bersuara.
Allahh.. jawapan itu buat saya tergelak. Saya? 18 tahun? Kecik sangat ke saya ni? Hehe.. saya menggelengkan kepala. Bibir saya masih menguntum senyuman misteri. Macam mana mereka terfikir yang saya ini 18 tahun?? Waktu 18 tahun, saya baru masuk semester 1 tahun pertama di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Nilam Puri, Kelantan.
“Ustazah, 20 tahun?,”
Sekali lagi saya menggelengkan kepala. Masih bergula dengan senyuman.
“23 tahun?,”
Pun saya menggeleng walaupun hampir betul. Yela.. umur saya masih 23 tahun. Belum cukup 24 tahun.
“24tahun?,”teka seorang murid perempuan.
Saya mengangguk.
“Ya, umur ustazah 24 tahun pada tahun ini,”
“Ustazah, tarikh lahir ustazah bila?,” tanya seorang murid perempuan.
“Tarikh lahir ustazah 16 September 1987,”
“OOoooo…,”
“Ustazah, latar belakang pendidikan ustazah?,” tanya Taufik.
“Hmm.. Ustazah sekolah rendah di Sek Keb Rantau Panjang. Sekolah menengah, di Sekolah Menengah Tarbiyah AL-Nashiin tingkatan 1 hingga tingkatan 5 tapi akhirnya Maktab Mahmud ambil alih madrasah tu ketika ustazah di tingkatan 4. Jadi, sekolah tu bertukar ke Maktab Mahmud Kuala Muda,”
“Ooo..,”
“Ada apa-apa lagi? Kalau dah tak ada apa-apa, ustazah nak kenal kamu pula,”
“Baik ustazah..,”
Sesi saya mengenali anak-anak murid saya pula. Macam-macam telatah. Yang paling penting, mereka semua sangat comel. Nama-nama saya simpankan dalam ingatan saya mengikut nickname mereka masing-masing, Syam, Amirul, Taufik, Aqid, Ayin, Linda, Fiza, Anis, Syira, Atikah, Ain, Fazilah, Faridah, Nabila, Hidayah, Farah, Syakirah, Sharifah, Faraheen, Hanani, Adriana, Aini, Azni, Sofia, Alwani dan Aisyah. Nama-nama ini akan terpahat ke hati saya sebagai anak usrah saya di sini.
“Ustazah, hobi saya menulis dan membaca. Cita-cita saya mahu jadi seorang penulis,”
Saya tersenyum.
“Bagus-bagus.. Boleh tak Linda waktu lapang, tuliskan cerita pendek, kemudian hantar pada ustazah? Biar ustazah checkkan. Ustazah pun suka menulis tau. Dulu-dulu waktu ustazah kecik-kecik kat sekolah, ustazah suka menulis karangan. Kemudian ustazah suka hantar pada cikgu Bahasa Melayu, minta cikgu ustazah tanda dan betulkan. Lama-lama pandailah. Linda tulis ya nanti. Dah siap bagi pada ustazah ya. Minat dan potensi yang kamu ada perlu digilapkan. Insya’allah ustazah doakan Linda berjaya jadi seorang penulis ya,”
“Ustazah, saya minat melukis,” Celah Taufik.
“Oh, ustazah pun suka melukis jugak. Taufik suka melukis apa? Komik?,”
“Semua benda la ustzah,”
“Hmm..Taufik lukis, boleh hantar pada ustazah jugak. Nanti ustazah boleh checkan dan cadangkan penambahbaikan. Potensi yang ada jangan disia-siakan ya. Perlu digilapkan ya,”
Taufik mengangguk. Untuk part potensi diri, saya sudah terapkan tentang perlunya mereka menguasai kemahiran yang mereka miliki, kerana kemahiran itu akan berguna pada mereka apabila mereka masuk universiti dan alam pekerjaan nanti.
“Ustazah, saya cita-cita nak jadi pensyarah,” cakap Ayin.
Amirul dan Hazrulsyam ketawa.
“Eh, kamu janganlah ketawakan Ayin. Bagus kerja pensyarah ni. Insya’allah ustazah doakan Ayin berjaya mencapai cita-cita Ayin ya. Mudah-mudahan Ayin berjaya menjadi seorang pensyarah nanti ya, amin..,”
“Aminnn.. Terima kasih ustazah,”
Meriah taaruf kami pada petang itu. Masing-masing excited kenalkan diri pada saya. Saya suka semangat mereka. Ada yang mahu jadi doktor. Ada yang mahu jadi pensyarah. Ada yang mahu penulis. Ada yang mahu jadi usahawan. Tak kurang juga yang masih tidak memikirkan cita-cita sendiri. Saya turut tekankan, pentingnya meletakkan cita-cita sebagai hadaf dan matlamat dalam kehidupan. Biar cita-cita itu ada di hati sejak kecil lagi. Biar langkah lebih terarah pada cita-cita.
              ..Moga kalian semua dipermudahkan Allah mencapai cita-cita masing-masing.. Aminn..

Balai Islam Guru di SMK Telok Dato’
Sedang saya mahu menanggalkan sarung kaki, ada seorang kakak menegur saya. Kakak itu guru di sekolah ini juga.
“Kamu dari Mesir?,”
Saya menggeleng lembut. Ada senyuman yang saya hadiahkan pada beliau.
“Saya dari Univerisiti Malaya kak,”
“Ohh..Kamu ni macam sorang guru praktikal yang dari Mesir dulu. Ada iras-iras wajahnya.,”
Saya mengangguk. Masuk ini, sudah lebih 3 orang guru dan beberapa orang murid bertanyakan saya, samada saya ini dari Mesir. Hairan juga saya. Ada seorang kakak tu pun ada tegur, wajah saya macam Korean Look. Tapi untuk yang Mesir tu, mungkin mereka lihat pada penampilan saya agaknya. Saya berani-berani berjubah juga di sini. Alhamdulillah, warga sekolah ini menyambut baik. Namun saya tidak berpurdah di sekolah. Keluar ke tempat lain selain sekolah saya berpurdah. Namun di dalam sekolah saya tidak berpurdah.
“Shima, awak jadi imam. Akak nak ikut awak. Awak jangan tinggal akak tau,” Gurau seorang kakak lagi dengan ketawa riangnya.
Kakak ini baru sahaja berkenalan dengan saya 2 hari lepas. Saya yang saat itu sudahpun siap bertelekung mengangguk dan tersenyum padanya. Itu antara rutin juga saya di Balai Islam guru perempuan ini. Selalu juga kena jadi imam. Oleh kerana itu perlu ada kesediaan diri. Jika kita tidak menjadi volunteer atau pencetus untuk merencah fikrah Islam dalam sesuatu suasana, setidak-tidaknya kita bersedia apabila dipinta. Apabila mad’u sudah tunjukkan rasa kepercayaannya pada kita, maka itu adalah peluang kita untuk berukhwah dengannya. Perlu ikatkan hati dengan warga pendidik dahulu. Perkemaskan saff. Saya sendiri rasa dihargai rakan seguru setiapkali saya yang dipilih Allah untuk menjadi imam kepada mereka yang lebih berumur dari saya. Sekurang-kurangnya itu tanda mereka sedar keberadaan dan kewujudan saya di sekolah itu. Itulah sedikit peluang yang saya ada untuk menjana ukhwahfillah dengan mereka.

Guru Pembimbing

Kalau di bilik guru, lain pula gayanya. Walaupun bilik guru itu akan riuh dengan sembang-sembang guru, namun seringkali saya tidak join bersembang dengan mereka, kerana mereka kebanyakannya agak berumur dari saya. Kalau berada di kondisi begini, saya lebih suka menjadi pendengar sahaja berbanding menyampuk apa-apa. Tambahan pula kedudukan meja saya di bilik guru agak terlindung dari guru-guru lain. Saat saya baca Al-Quran pun mereka tidak akan perasankan suara saya. Namun bila bercampur dengan guru-guru yang lebih berumur, saya lebih banyak bagi peluang pada guru-guru yang berumur untuk menceritakan tentang pengalaman mereka. Kadangkala slot sembang-sembang pun bertukar jadi slot luahan perasaan pula. Jika ada sikap dan peel murid-murid yang kurang disenangi guru, sudah tentulah guru-guru akan bercerita dan meluah rasa pada guru-guru yang lain.
Peluang di bilik guru, saya lebih suka mahu memanfaatkan masa ketika berada di pantry untuk minum petang. Setiapkali selesai kelas, saya dan Aninah akan minum di pantry. Bila sahaja kami berada di situ, ramailah guru-guru praktikal yang lain pun turut join kami juga. Yang berumur juga turut ikut serta. Di situlah berlaku sesi suai kenal antara kami. Kalau kondisi begini biasanya perbincangan lebih berkisar tentang kampus masing-masing, kelas masing-masing, opsyen yang diajar dan lain-lain.
Sahabat Sehati Sejiwa krn Allah..

“Im…aiskrim ni istimewa untuk im..”
“Haa?..Eh, kenapa tiba-tiba ani bagi saya aiskrim ni?..”
“Hehe..Sebab saya janji hari tu nak bagi aiskrim kat im.”.
“Allah..Tak ingat dah saya ani.. Terima kasih ani..”
Aninah tersenyum. Saat itu, kami berada di Tesco. Tak sangka pula Aninah mahu belikan saya
aiskrim.
“Im, pergilah makan kejap. Nanti cair,”
Saya merenung sahaja aisrkrim itu. Lagipun saya berpurdah. Insya’allah saya yakin sempat kami
sampai rumah sebelum lewat petang. Lama saya merenung aiskrim itu. Kata Aninah dia belanja
saya aiskrim tu sebagai ucapan terima kasihnya pada saya kerana saya jahitkan tudungnya. Jahit
pakai tangan. Hmm..dah berapa kali saya cakap, jangan berkira dengan saya. Namun saya terima
juga. Aninah bersungguh mahu berikan aiskrim itu pada saya. Bukankah ukhwah itu memberi dan
menerima? Jika tiada yang memberi, tiadalah yang  menerimanya. Jika tiada pemberi, penerima
juga tidak ada.

Beberapa hari yang lepas, kerana cucur jagung saya, tangan Aninah lecur teruk. Terkena minyak
yang tiba-tiba meletup. Minyak itu terpercik ke tangan kanannya. Saya kira kerana biji jagung
meletup.
“Ani, saya bacakan doa untuk lecur ani ni ya,”
Ani mengangguk lalu jemarinya dihulurkan pada saya. Saya membacakan beberapa doa dan
meniupkannya pada luka tersebut.
“Insya’allah cepat baik ni. Ani jangan makan kicap tau, nanti berparut,”
Aninah mengangguk lalu melukiskan senyuman di wajah. Senang hati saya melihat dia tenang
begitu. Dalam ukhwah, perlu ada pertautan hati. Perlu didahului niat ukhwah kerana Allah. Saya
selalu cakap pada Aninah, …“Ani, saya sayang ani kerana Allah..,”
Baru-baru ini saya agak kurang sihat. Allergic saya kian parah. Langsung saya tidak boleh ambik
makanan yang gatal-gatal.
“Im, mulai hari ni Im jangan makan makanan yang gatal-gatal ya. Im kena jadi vegetarian. Tiap-tiap hari kita masak sup sayur aje ya Im,”
Saya akur. Siapa yang tak suka diambil berat sahabat rapat kan. Sudahnya tengahari dan
petang itu, saya hanya makan sup sayur. Lauk Sardine dan ikan bilis goreng yang Ani masak saya
tak boleh sentuh. Setakat lauk sardine tak apa lagi. Ikan bilis. Allah.. favourite saya tu.
“Ani, saya nak rasa sardine Ani?,”
Aninah menggeleng.
“Tak boleh. Im kena pantang. Nanti Im sakit lagi teruk,”
“Hmm..Ikan bilis?,”
Aninah menggeleng lagi.
“Tak boleh..Tak boleh..Tak boleh.. Im kena pantang. Im makan tomyam aje ya. Bagi sakit Im baik dulu. Mulai hari ni Im kena jadi vegetarian,”
Pantas Aninah mengetepikan lauk sardine dan ikan bilis itu jauh-jauh dari pandangan saya.
Vegetarian? Saya tersenyum pada Aninah dan akhirnya kami sama-sama ketawa.
“Ani, teruklah siapa jadi suami saya nanti. Tiap-tiap hari saya masak sup sayur sebagai sajian wajib. Saya makan sup sayur aje. Nanti dia pun boring. Silap-silap dia pun jadi vegetarian juga ani,”
Aninah ketawa.
“Alaa Im. Im masak sup sayur tu untuk Im aje la.. Kat suami Im tu, Im masak lauk lain,”
Hmm..Saya hanya tersenyum sahaja.
“Ani, teruklah saya kalau dah mengidam nanti, macam mana saya nak tahan diri tak makan makanan favourite saya?,”
Sengaja saya nak buat lawak. Aninah ketawa. Itu yang saya suka tu. Suka tengok Aninah ketawa.
“Haa..Kalau yang itu, Im kena pantang awal-awal la. Bagi sembuh betul-betul dulu, baru boleh nak mengidam,”
“Hmm..Ada-ada aje la Ani ni,”
Kami akhirnya sama-sama ketawa. Tiapkali di dapur, Aninah suka belajar bahasa kedah dengan
saya. Tergeliat-geliat lidah dia nak menyebut. Saya pula lebih suka mengajuk cakap Sabah.
“Im, kalau masin.. masin pangg.. manis, manis melecas, pahit heber.. betul ke Im?,”
“Haah..Betui la tu. Pandai..Pandai.. Kalau air panas, orang kedah sebut, ayaq hangat..,”
“Ooh..Ayaq hangat..,”
..Alhamdulillah, Allah berikan saya sahabat yang begitu memahami saya..
“Ani, jika saya kena posting ke Sabah, nanti saya nak minta Ani bawa saya jalan-jalan kat Sabah tau,”
Ani mengangguk.
“Hoo..Laa..,”
Sekali lagi senyuman bertaut. Hmm..Ukhwah kerana Allah itu indah kan.. Subhanallahh.. Moga Allah jaga ukhwah ini hingga ke akhirat.. Aminn.. Apa yang diniatkan ibadah, maka ia akan jadi ibadah. Ukhwah itu ibadah. Dakwah itu ibadah. Cinta itu ibadah..
~Aleesy AnNurIman~
Rumah Sewa,
26 Mei 2011, 8.43 pm.
Taman Sri, Banting, Selangor.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...