BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, May 7, 2011

CERPEN : Tatkala Teratai Berbunga (Bhgian 4)




Bhgian 4
Amar kelihatan resah menunggu di Lapangan Terbang KLCC. Baru petang tadi dia dimaklumkan, Iman dan Annur sudah selamat berlepas dari Lapangan Terbang Jeddah. Mereka sedang dalam perjalanan tiba. Bakal sampai dalam jam 3 pagi ini. Tengahari tadi Munawirah sepupunya menghubungi, ada sesuatu yang berlaku pada Iman. Amar risau sendiri. Sejak tadi ambulanc dan beberapa orang jururawat dan doktor sudahpun bersedia menunggu di KLCC. Sebentar lagi Iman sampai, dia akan terus dibawa ke bilik rawatan di PPUM. Doktor Azhar sudah pun menyediakan bilik rawatan.
Amar termenung. Segera wajah Annur memenuhi ruang mindanya. Dia juga sangat risaukan Annur. Iman sudah seperti darah dagingnya. Annur juga sudah dianggap seperti saudara sendiri. Lebih-lebih lagi mengenangkan, Saif Fikri abang kembar Annur pernah menyelamatkan nyawanya. Malah Saif terkorban di dalam nahas jalan raya sewaktu mereka dalam perjalanan pulang dari program tarbiyah. Ketika itu Saif mengeluarkan Amar dari perut kereta yang terbalik. Kereta itu dikhuatiri akan meletup. Tiba-tiba Amar tertinggal sapu tangan pemberian Annur di dalam beg pakaian di belakang tempat duduk kereta. Walaupun cedera dan berlumuran darah, dia gagahi ingin mengambil beg pakaian berisi sapu tangan itu. Sewaktu berhempas pulas mahu mengeluarkan beg pakaian itu, tiba-tiba Saif datang menerkam ke arahnya. Amar ditolaknya kuat-kuat terjelepuk ke tanah, agak jauh dari tempat kereta itu terbalik. Lalu sejurus itu, terdengar bunyi letupan kuat kereta yang mengorbankan Saif. Sejak itu Amar dihuni rasa bersalah seumur hidup. Beberapa kali dia melamar Annur, namun Annur tidak pernah menerimanya.
“Ustaz, jika enta melamar ana hanya kerana ingin membalas budi Achik yang menyelamatkan enta, enta tidak akan dapat mengembalikan Achik ke dunia nyata,”
Kata-kata itu membuatkan dia diamuk kekesalan. Entah apa lagi yang perlu dilakukan bagi meluputkan rasa bersalah yang bersarang di dalam dadanya. Dia tahu sekalipun dia mengorbankan nyawanya, Saif tidak akan dapat dikembalikan ke dunia ini. Malah dia terpaksa menanggung rasa kekesalan itu sehingga ke akhir hayatnya. Hasrat hatinya pada Annur hanya disimpan sahaja walaupun wanita yang sudahpun mendirikan rumah tangga bersama Iman itu tahu benar bahawa hatinya sangat tulus mencintainya.
Amar tiba-tiba teringat saat petang itu dia menghantar Iman pulang ke rumah sewaktu Iman hampir pengsan di sekolah sewaktu mengajar. Amar berulangkali memalingkan wajah. Tidak mahu memandang ke wajah Annur. Hatinya rasa nanar. Dia masih tidak dapat menipu diri yang dia masih mengasihi Annur.
“Allahhu Akbarr.. Ustaz Amar, kenapa dengan abang Iman?,”
“Iman hampir pengsan kat sekolah tadi,”
Iman hanya memandang Annur dengan pandangan yang kosong. Kemudian Amar memimpin tubuh Iman ke dalam rumah. Iman didudukkan di sofa. Baju kemejanya Amar buka. Iman menyandarkan tubuh ke sofa. Mungkin juga kerana berpuasa. Iman hanya diamkan diri sahaja. Namun Amar sedar, Iman berulangkali melirik ke wajahnya dan wajah Annur.
Annur mendaratkan duduk di sebelah Iman. Tangan Iman dicapai dan dikucup hangat. Sebak dadanya melihat Iman lemah begitu. Annur menggenggam jemari Iman. Amar tidak kuat mahu terus berada di situ melihat kasih sayang pasangan suami isteri itu.
“Abang dah berbuka?,”
Saat itu Annur memberanikan diri menyoal Iman.
“Iman tak nak berbuka. Katanya tadi, dah dekat sangat dengan waktu berbuka. Jadi, dia tak nak berbuka. Hmm..Ustazah, ana minta diri dulu ya. Hmm.. Iman, ana pinjam motorsikal enta,”
Amar tidak mahu berlama-lama di situ. Makin tersayat rasa cemburunya pada pasangan itu. Iman mengangguk. Annur cepat-cepat mengambil kunci motorsikal Iman. Saat Annur masuk ke bilik mengambil kunci, Iman menyentuh lengan Amar.
“Amar, enta jangan lupa pada soalan ana di dalam kereta tadi. Anak mata enta tidak dapat menipu ana. Enta masih ada perasaan pada zaujah ana. Enta masih ada perasaan pada Annur,”
“Iman..jangan paksa ana lakukan apa yang ana tak boleh lakukan. Annur hanya mengasihi enta. Hanya enta sahaja yang boleh menjaganya. Bukan ana Iman.. Bukan ana..,”
Pegangan tangan Iman makin kejap di lengan Amar.
“Amar, suami mana yang mahu memberikan isteri yang disayanginya kepada lelaki lain jika dia mampu menjalankan tanggungjawabnya. Suami lain mungkin mampu. Tapi ana tak mampu Amar. Ana hanya membilang detik-detik menunggu maut. Ana hanya harapkan enta untuk menjaga Annur dan anak kami,”
“Iman.. Berapa kali ana nak cakap? Ana tidak akan khianati enta Iman. Apatah lagi nak kahwini Annur,”
“Amar.. Ana tak anggap enta khianati ana. Ini permintaan ana. Fikirkan bila ana dah tak ada di dunia ini. Berjanjilah untuk fikirkannya Amar. Ana izinkan enta kahwini Annur, demi kebahagiaan Annur dan anak kami. Ana tahu, orang yang taqdim Annur sebelum ana adalah enta kan?,”
“Macam mana enta tahu?,”
“Ana minta kak Safinah beritahu ana. Ya, enta yang paling sesuai untuk jaga Annur. Berjanjilah untuk fikirkan hal ini Amar. Ana tahu Annur masih ada di hati enta,”
Amar terdiam. Sejurus itu Annur muncul dari bilik membawa kunci motorsikal Iman. Kunci itu diberikannya pada Amar. Amar mengucapkan terima kasih dan meminta diri untuk pulang.
Amar melepaskan keluhan berat. Teringatkan pesanan Iman itu, Amar segera menekupkan kedua-dua tangannya ke wajah. Dia akan lakukan apa sahaja demi kebahagiaan Annur. Namun dia tidak akan sesekali mengkhianati Iman. Dia tidak akan mengahwini Annur. Selama ini dia cuba bantu apa sahaja pada Annur. Namun adakalanya sikap Annur yang tidak langsung mahu menerima apa-apa sahaja bantuan darinya sejak kematian Saif membuatkan dia rasakan dirinya sebagai seorang pesalah. Bagai dia pula yang menjadi pembunuh Saif. Alangkah berdosanya dia.
..Ya Allah..berikan kebahagiaan kepada Annur dan Iman. Hanya Iman sahaja yang boleh membahagiakan Annur. Maka, Kau peliharalah mereka berdua di dalam rahmatMu ya Allah..
Saat itu terdengar pengumuman ketibaan penerbangan dari Jeddah. Para petugas PPUM pantas bersiap sedia mahu menyambut pesakit yang bakal tiba dari Jeddah. Iman salah seorang dari ramai-ramai pesakit. Kebanyakan pesakit-pesakit itu semuanya di kalangan orang-orang tua yang sakit uzur. Iman yang termuda di kalangan mereka.
Kelihatan sepupu Amar, Munawirah memimpin bahu Annur yang tampak kelesuan. Wajah Annur masih basah dengan air mata. Amar segera mengangkat barang-barang Iman dan Annur ke kereta. Annur sudahpun naik ke atas ambulanc bersama Iman yang masih terbaring tidak sedarkan diri. Setibanya di PPUM, Iman dimasukkan ke ICU di tingkat 4. Annur diminta menunggu di luar wad.
“Ustazah..,”
Annur tidak menjawab. Dadanya masih sebak. Bila-bila masa sahaja air matanya akan merembes semula. Baru sahaja tadi doktor Azhar menerangkan segala-galanya. Tumor otak Iman sudah sampai ke tahap ketiga. Kenyataan doktor itu diterima dengan redha. Namun dia masih belum dapat menyembunyikan kesedihannya. Amar mendaratkan duduk di kerusi yang bertentangan dengan kerusi Annur. Hanya mereka berdua sahaja berada di situ.
“Ustazah..,”
“Kenapa ustaz dan abang rahsiakan hal sakit abang ni dari ana? Ana sebagai isteri tidak berhak untuk tahu pasal hal ni?,”
Soalan itu dituturkan dengan nada bergetar. Serentak itu air matanya merembes semula. Annur teresak-esak. Amar terbungkam. Mahu sahaja dia menenangkan wanita yang tidak pernah hilang dari hatinya itu. Wanita itu masih dicintainya sehingga kini. Melihat Annur menangis, merasa hatinya seperti disiat-siat dengan belati tajam. Barulah dia tahu, perasaan sayang pada wanita itu masih berhuni di hatinya. Benar kata Iman, kasihnya pada Annur masih segar berhuni di hatinya hingga saat ini. Amar menggenggam penumbuk erat-erat. Geram dan buntu. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan. Yang nyatanya dia mahu Annur tenang dan menghadapi segala dugaan itu dengan dada yang lapang.
“Ustazah, banyakkan bersabar. Iman yang minta agar hal ini dirahsiakan. Dia tidak mahu ustazah susah hati dan bimbangkan dia. Ustazah kena banyak sabar ya. Allah sedang uji ustazah. Ustazah perlu kuat. Anak dalam kandungan ustazah itu perlukan perhatian ustazah,”
Mendengar ungkapan Amar, hati Annur bertambah nanar. Baru dia teringat, ada nyawa di dalam rahimnya yang memerlukan perhatiannya. Dan nyawa yang sedang membesar di dalam rahimnya itu adalah darah daging dia dan Iman.
..Ya Allah, andai dengan ujian ini sebagai penyebab untuk aku berada dekat denganMu, maka teruslah uji aku dengan ujian ini, agar hatiku lebih tegar dan lebih akrab denganMu ya Allah..

Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
7 Mei 2011, 3 JamadilAkhir 1432H, 2.14 am
Universiti Malaya Kuala Lumpur

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...