BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, January 31, 2011

Edisi Bedah Buku: La Tahzan (Dr.Aidh AlQarni) : Tajuk 1: Renungkanlah dan Bersyukurlah


Firman Allah s.w.t :
“Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?,”
-Surah Ar-Rahman : 13
Saat anak mata saya menancap pada tafsiran ayat Allah ini, serta merta hati menghitung tahmid padaNya. Allahhu Akbar.. memang segala perkara yang wujud di dunia ini adalah nikmat Allah. Sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara, semuanya adalah nikmat Allah. Benar seperti apa yang telah tuliskan penulis. Dunia ini memang diciptakan Allah untuk kita. Tapi berapa kerat sangat yang mengenang segala nikmat Allah ini dengan dada yang sentiasa bersyukur padaNya?
“..sekiranya kalian menghitung-hitung nikmat Allah, nescaya kalian tidak akan dapat menghitungnya..,”
-Surah Ibrahim : 34
“Dia telah memberikan nikmat-nikmatNya secara sempurna kepada kalian, baik zahir mahupun yang batin..”
-Surah Luqman : 20
“Pada diri kalian juga terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah..Apakah kalian tidak memperhatikannya?”
-Surah Azzariyat : 21
Subhanallah.. Ayat-ayat Allah ini sangat menusuk ke hati. Kita bayangkan sahaja, seharian kita diberikan nikmat sihat. Berapa banyak kerja-kerja dan amalan rutin harian yang kita mampu buat dengan adanya nikmat sihat itu? Sedangkan jika kita jatuh sakit, berapa banyak lagi kerja-kerja dan tugasan-tugasan kita yang tertangguh?
Bayangkan sahaja kehidupan kita sebagai seorang mahasiswa di kampus. Apabila diberikan nikmat sihat, akal yang sejahtera, minda yang sihat, fikiran yang waras, sudah tentulah kita akan dapat berfikir secara baik. Dapat menghadiri kuliah serta menerima ilmu. Tidakkah semua nikmat itu adalah satu hadiah untuk kita dari Allah? Kenangkan sahaja nafas dan nyawa yang Allah berikan ini. Jika tiba-tiba Allah sekat nafas kita. Jika tiba-tiba Allah a nyawambil kita, sudah tentu dunia kita akan bertukar ke alam barzakh. Saat itu sudah tertutup pintu taubat.
Namun, mati itu pasti. Dan hidup itu perlu terus. Selagi masih bernafas, masih boleh kembali ke pangkal jalan. Masih boleh bertaubat padaNya. Jadi, sebagai hamba Allah yang meminjam segala nikmat di dunia ini, maka selayakknya kita menghargai segala nikmat pemberian Allah pada kita dengan mesyukurinya.
Bagaimana cara kita bersyukur? Seharusnya sebagai muslim, cara kita mensyukuri nikmat Allah, adalah dengan menjaga diri kita dari segala perkara yang dapat menyebabkan kita terdedah dengan gejala maksiat. Kita jaga diri, hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah. Hubungan dengan manusia, lebih kepada mu’amalah, sosial dan dakwah. Setiap masa, biar kita berperanan sebagai seorang da’ie yang menyampaikan apa-apa sahaja yang baik untuk Islam. Sabda Rasulullah s.aw. “baligni walau ‘a'yat..’sampaikanlah dariku walau satu ayat..”
Paling-paling kurang pun, kita menjaga diri kita. Penampilan imej, biar bertepatan dengan kehendak syarak. Cara pertuturan biar sopan yang melambangkan akhlak Islam. Bukankah dengan itu, kita turut menjaga maruah Islam? Moga apa yang kita jaga itu, ada nilaiannya di sisi Allah. Allah beri segala-segala nikmat pada kita. Takkan kita sebagai hambaNya tidak boleh langsung menjadi hamba yang taat padaNya? Jika kita tak mampu pun untuk jadi seorang da’ie, sudah cukup sekiranya kita menjaga diri kita dari maksiat. Bukankah itu juga sebagai tanda kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah? Nikmat Islam dan Iman. Allahhu Akbarr..
Hubungan dengan Allah pula, seenakknya kita amanah dengan Allah. Kita sebagai hamba Allah perlu taat dan amanah dalam melaksanakan kewajiban. Lebih-lebih lagi dalam ibadah kepada Allah. Menjaga ibadah sama seperti menjaga hubungan dengan Allah. Disiplin terhadap ibadah itu perlu, bagi memastikan hidup kita sentiasa dalam ibadah kepada Allah. Putaran kehidupan ini juga adalah ibadah. Ibadah itu bukan hanya sekadar solat, puasa, zakat sahaja. Segala perkara yang baik untuk Islam yang kita niatkan ibadah, maka akan jadi ibadah. Hatta menulis kerana Allah adalah ibadah. Makan kerana Allah adalah ibadah. Pergi kuliah kerana Allah, sembang-sembang bertegur sapa dengan sahabat-sahabat kerana Allah, menangis kerana Allah, tidur dan mandi kerana Allah dan macam-macam lagi, semuanya menjadi ibadah. Malah, setiap amalan kebaikan yang kita hendak buat tapi tidak dapat buat pun tetap sudah dikira sebagai amalan ibadah kita, saat niat kerana Allah itu terbit di hati. Tidakkah itu tanda Allah sangat Pemurah dan Penyayang. Kita buat sikit, tapi dapat banyak. Subhanallah.. Syukran ya Allah..
“Dan ingatlah ketika TuhanMu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat..,”
-Surah Ibrahim : 7
Alhamdulillah.. Saya suka bayangkan kondisi saya bergerak kerja dakwah di medan jihad. Alhamdulillah, gerak kerja buat saya jadi seorang yang pantas bertindak. Istilah dalam perjuangan adalah menjadi seorang ‘amilin atau ‘runner’ dalam gerak kerja. Kekadang, kerja-kerja medan ini selalu on the spot. Contohnya, seperti perencanaan program. Saya banyak menggunakan jari saya untuk bekerja. Bahkan jari saya ini paling banyak bekerja berbanding tubuh badan yang cepat benar lemah. Astagfirullah.. Jadi, jari saya inilah yang nak siapkan KKD, jari ini juga nak rangka pengisian dan tentatif. Jari ini juga yang nak mendail nombor penceramah. Allahhu Akbar.. Tidak dapat saya bayangkan jika tiba-tiba nikmat jari saya ini ditarik. Sudah tentu payah saya nak melakukan beberapa kerja dalam 1 masa. Dengan nikmat pinjaman kesihatan dan kekuatan yang Allah pinjamkan pada jemari saya inilah, saya dapat melaksanakan segala gerak kerja. Bukankah Allah dah bantu saya dengan Allah bagi jari saya sihat? Itu baru cerita tangan. Belum lagi cerita tangan, kaki, otak, mata, hidung, mulut.
Subhanallah.. Allahhu Akbarr..
Firman Allah s.w.t :
“Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?,”
-Surah Ar-Rahman : 13
Lalu nikmat Allah yang mana yang layak kita dustakan???.. Berapa ramai di kalangan kita yang menyedari nikmat kurniaan Allah pada diri tetapi tidak mahu bersyukur? Jawapannya saya pulangkan kepada pembaca.. Sama-sama kita koreksi, adakah kita tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur atau tidak. Sama-sama berdoa, semoga Allah sentiasa meletakkan kita berada di kalangan hamba-hambaNya yang bersyukur.
Semoga sedikit catatan perkongsian kefahaman ini bisa mendidik hati-hati yang membacanya menjadi hamba Allah yang bersyukur..
Wallahhu’alam..
Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah ( 12th)
Universiti Malaya, Kuala Lumpur..
31 Januari 2011, 8.00 p.m, 27 Safar 1432H


0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...