BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, February 1, 2011

Mungkinkah Cinta Membawa Kita Ke Syurga Allah?


“Dah Bersedia ke belum?”
Seringkali soalan ini yang ditanyakan kepada calon yang dirisik. Persoalannya, siapa calon terpilih? Adakah hubungan terikat semata-mata atas dasar CINTA? Jika betul atas dasar cinta, cinta yang bagaimana pula tu?
Catatan lembaran bulan Februari hari ini saya buka tentang cinta. Hari ini rata-rata orang suka memperkatakan tentang cinta. Drama, filem, buku, majalah, akhbar, stesyen tv, radio, buku dan karya penulisan, semuanya berkisar tentang cinta. Itu belum lagi menjenguk ke persada laman web, alam maya Yahoo Messenger, email, alat teknologi telefon, short messengge services. Semuanya pasti ada perkataan keramat yang satu ini. CINTA. Persoalannya, mungkinkah cinta itu akan membawa kita ke syurga Allah. Mungkin juga cinta itu yang membuatkan kita menjadi hambanya? Dan akhirnya tersungkur di lembah syurga dunia? Tanpa sempat mencium harum syurga Firdaus, nama sudah pun tercatat akan dicampak ke neraka Jahanam. Na’uzubillah..
Setuju atau tidak jika saya katakan, bahawa Allah sebagai Pencipta sangat mencintai kita? Mengenang nikmatNya pada kita sudah tak terjangkau banyaknya. Allahhu Akbar.. Tak mampu pun untuk kita balas, walau seratus juta tahun kita beribadah kepadaNya. Subhanallahh.. bahkan Allah tak pandang langsung dunia ini. Dunia tidak ada apa-apa nilai di sisi Allah. Ibadah kita juga tak ada apa-apa nilai di sisi Allah. Kita mampu beribadah pun dengan sebab pertolongan Allah juga. Kita kuat untuk bekerja juga kerana khudrat yang Allah pinjamkan pada kita. Cuba fikirkan, jika Allah bagi kita sakit, bolehkah kita nak beribadah padaNya? Bolehkah kita nak bekerja? Sudah tentulah tidak. Jadi, segala yang kita buat di dunia ini tiada nilai di sisi Allah sebenarnya. Sebab semuanya Allah yang tolong kita buat. Kalau Allah tak tolong, dah tentu kita pun tak mampu nak buat.
Namun, pahala dan ganjaran dijanjikan Allah pada hamba-hambaNya yang taat dan mencintai Allah. Mengerjakan amalan kerana Allah. Kerana mahu perhatian Allah. Kerana mahu berada dekat dengan Allah. Kerana mahu menjadi kekasih Allah. Kerana mahu mendapat redha Allah. Hamba-hamba beginilah yang dekat dengan Allah.
“..Dan apabila hamba2Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang b'doa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran..”
-Surah AlBaqarah :186
Namun, Allah tidak pernah menyalahi janjiNya. Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang berusaha. Kalimah Arrahman di dalam bismillah, itu sasarannya kepada mereka yang berusaha dan beramal, tidak kira apa agama pun. Pemurah Allah pada semua umat manusia, sama ada muslim atau tidak muslim. Sebaliknya kalimah Arrahim, Penyayang itu hanya untuk orang –orang Islam. Walaupun orang-orang Islam ini tidak beriman dan taat pada Allah, tetap juga mendapat nikmat Arrahim Allah saat dia melakukan amal soleh. Dan di kalangan orang Islam itu, ada golongan yang bersungguh-sungguh mencintai Allah. Ada juga golongan yang hanya berjiwa keduniaan tanpa menghiraukan akhiratnya. Namun, tetap juga Allah beri nikmat pada mereka. Allah memberi juga ganjaran pada mereka kerana kebaikan dan amalan baik yang mereka lakukan. Allahhu Akbar.. Betapa Allah sangat Maha Adil. Allah sangat Maha Pemurah dan lagi Maha Penyayang.. Subhanallahh..
Kita? Apa kata kita tentang cinta? Apa-apa sahaja nikmat di dunia ini semuanya tanda dan lambang CINTA ALLAH pada kita. Bagaimana pula cinta kita? Apa perspektif kita tentang cinta? Apa usaha kita untuk membalas cinta Allah?
Firman Allah s.w.t ;
“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya adalah bahawa Dia mengirimkan angin sebagai pembawa berita gembira agar kamu merasakan sebahagian rahmatNya dan agar kapal dapat belayar dengan perintahNya dan (juga) agar kamu dapat mencari sebahagian dari kurniaNya, dan kamu bersyukur..”
-Surah Ar-Rum : 46
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus sebelum engkau (Muhammad) beberapa orang rasul kepada kaumnya, mereka datang kepadanya dengan membawa keterangan-keteranganya (yang cukup), lalu Kami melakukan pembalasan terhadap orang-orang berdosa. Dan merupakan hak Kami untuk menolong orang-orang yang beriman..,”
-Surah Ar-Rum : 47

Kondisi 1 ( lamaran pertama)
Mesej berdecit. Ada mesej dari Muhammad.
“Salam.Ustazah, ana nak tanya soalan yang berbentuk peribadi, ustazah ok tak?,”
Saya tersenyum. Tiba-tiba hati rasa dijentik debaran yang tak terjumlah.
“Berbentuk peribadi?Hehe..suspen ja bunyinya ustaz?,”
“Ok, kita profesional ya ustazah. Ana bawakan hajat seorang muslimin yang ingin propose ustazah. Sebelum tu, ana nak tanya, ustazah dah berpunya atau masih kosong? Jawab ya ustazah,”
Saya menghembus nafas. ..Ahh..lagi-lagi soalan begini lagi. Pandai pula Muhammad ni nak merisik..
“Terus terang dengan ustaz, ana masih ‘berpuasa’. Tak terfikir lagi hal-hal ni semua ustaz. Kalau boleh ana tahu siapa orangnya ustaz? Batch mana?,”
Agak lama juga saya menunggu respon Muhammad. Barangkali berbincang dengan si ‘dia’ agaknya.
“Batch kita juga. Orangnya pernah berada ‘dekat’ dengan ustazah. Sekarang, hatinya sudah terbuka untuk berumah tangga. Dia mengharap ustazah menjadi suri perjuangan,”
Satu lagi mesej tiba.
“Kalau muslimin tu serius, adakah ustazah akan menimbangkan lamarannya? Dari respon ustazah tadi, ustazah masih kosong kan,”
Tingkah saya terhenti seketika. Teringat pada ‘janji’ yang satu itu. Janji yang diikat oleh Allah.
“Ana akan terangkan kondisi ana lepas ni. Ada kondisi ana yang menghalang. Boleh ana tahu, muslimin tu berasal dari mana?,”
“Ustazah, dia cakap, kalau sebab masalah keluarga, dia faham. Tak ada masalah katanya. dia berasal bukan dari kawasan semenanjung,”
Saya menghela nafas lagi. Agak berat juga. ..Dia faham keluarga saya? Pernah berada ‘dekat’ dengan saya? Tiba-tiba hati saya terdetik seseorang.. Diakah?
“Family ana bukan masalahnya, sungguhpun family ana memang tak setuju dengan ‘orang jauh’. Ana terikat dengan JANJI. Dan janji ini bukan sebarangan janji. Ia janji ana dengan Allah. Ustaz, tolong cakap pada dia, jangan mengharap pada ana. Dan ana pun tak nak bagi harapan pada sesiapa. Carilah yang lain ya. Kirimkan salam maaf ana pada dia ya ustaz, syukranjazilan..,”
Dan mesej itu terhenti di situ.
Saya meraut wajah. Ada heningan air mata yang gugur. Tiap kali saya menolak lamaran seseorang, pasti air mata ini akan turut gugur.
“Aku masih menunggu hikmahNya. Aku masih berpegang pada janjiNya. Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk sejuta lagi musim penantian,”
Teringat malam tadi, saya baru sahaja menetapkan hati untuk menyerahkan segala urusan hidup saya padaNya dan perjuangan Islam. Biar Allah sahaja yang tentukannya. Allahhu Akbar.. Subhanallah.. Sejak sekian lama saya sudah tidak diterpa risikan-risikan lamaran, tiba-tiaba pula risikan-risikan lamaran itu muncul kembali? Baru sahaja saya tetapkan hati malam tadi. Hari ni saya dah diuji dengan lamaran ini? Betapa Kau nak uji keteguhan hatiku ya Allah..
Allahhu Akbar..
 
Kondisi 2 ( lamaran kedua)
Handset saya berkelip-kelip. Itu tandanya ada panggilan telefon. Ohh.. Atifah rupanya.
“Assalamualaikum im..,”
“Waalaikumussalam..,”
“Im, awak apa khabar?,”
“Alhamdulillah..Sihat. Atif sihat? Ni dah berisi ke belum ni?,”
Terdengar suaranya ketawa. Sahabat saya ini sudahpun berkahwin hampir setahun. Berkahwin melalui baitul muslim juga.
“Alhamdulillah, sihat. Pasal soalan im tu, belum ada rezeki lagi im..Im busy ke?Atif ada sesuatu nak tanya ni,”
“Insya’allah, ana cuba luangkan masa.Ada apa Atif?,”
“Hehe..Atif bawakan hajat seseorang.Tapi, Atif nak tanya dulu, im masih kosong ataupun sudah berpunya?,”
Saya ketawa tiba-tiba. Dah jangka. Pasti hal ini juga jadi topiknya. Memang tak salah rasa hati saya. Ini risikan lamaran kedua dalam tempoh terdekat ini. Baru sahaja lepasi risikan lamaran pertama dari Muhammad dua hari lepas. Hati saya mengulang-ngulang tasbih berulang kali. Saya sedar, ‘kesetiaan cinta’ saya sedang diuji Allah. Allah sedang menilai saya. Bukankah saat kita menetapkan sesuatu, dan kita akan diuji?
“Allahhu Akbarr.. Atif, im pun tak pasti im ni dah berpunya atau kosong lagi, hehe.. Kenapa? Ada yang merisik sayakah Atif?,”
Betul. Saya sendiri tak reti nak menjawab soalan Atif ini. Yang nyatanya, saya mahu terus ‘setia’ dengan cinta saya. Entah. Rasa tergugat pula bila ada hati yang mahu menghuni hati saya. Salahkah? Saya masih belum bersedia. Masih belum mahu berpisah dan membelah hati saya. Moga jika satu masa nanti saya berjodoh, jodoh saya itu tidak menggugah cinta dan kesetiaan saya padaNya. Jangan sehingga ‘nikmat’ dunia membuatkan saya kehilangan kesetiaan saya ini. Allahhu Rabbi.. Hanya Kau sahaja yang Maha Memahami..
“Im ni.. seriuslah.Apa status im sekarang?,”
“Atif, ana masih berpuasa. Hati masih tak terbuka. Ana juga masih terikat dengan berbagai komitmen pada gerak kerja. Ana tidak mahu hati ana terganggu dengan sebab hal ini. Biar ana selesaikan segala gerak kerja dengan hati yang lapang. Sem ini sem akhir ana. Ana mahu cuba buat yang terbaik untuk gerak kerja. Dan terus terang juga, ana juga masih belum bersedia. Belum bersedia menerima seseorang yang asing dalam hidup ana..”
“Hmm..kalau macam tu, tak apalah.Moga Allah permudahkan segala urusan ya,”
“Insya’allah, jika ada jodoh, takkan ke mana-mana juga kan Atif?,”
“Ya, insya’allahh..,”
Salam bertautan dan panggilan mati di situ. Saya meletakkan handset. Menghayunkan langkah ke pantri dengan sebaldi baju yang mahu dibasuh.
Minda menerawan sendiri. Saya sering berdoa, semoga ketetapan hati saya ini bukan atas dasar mahu mengelak. Moga ia betul-betul atas dasar kesetiaan dan cinta saya padaNya. Saya mahu terus menjadi PERINDU.. Merindu untuk syahid di jalanNya. Merindu untuk melamar redhaNya.. Merindu untuk bertemuNya.. Itu ketetapan hati saya. Salahkah?

“Hai kak im..,”
Saya tersentak. Segera baju yang saya bilas, saya letak dalam baldi. Sekejap lagi mahu ampaikan. Saya menoleh ke wajah itu.
“Hai..Dila membasuh juga hari ni ya?,”
Dia mengangguk. Wajahnya sangat menarik hati saya. Comel sangat. Ada darah-darah kacukan. Wajah ala-ala pelakon Emelda Rosmila, adik kepada pelakon Emilia Rosnaida. Kami sering bertemu saat sama-sama membasuh baju di pantri floor kolej. Kami satu floor. Dia dari fakulti APM. Dia tidak pernah lokek dengan senyuman. Saya meneruskan basuhan saya. Saya tidak suka guna mesin basuh. Lebih suka membasuh dengan tangan sahaja.Jiimat masa dan lebih yakin. Tinggal untuk membilas sahaja.
“Akak..,”
Saya menoleh ke arahnya.
“Akak sem akhir kan?,”
Saya tersenyum padanya.
“Insya’allahh..Kenapa Dila tanya?,”
“Akak umur berapa?,”
Sekali lagi saya tergelak. Ada apa ni? Saya mahu dirisik lagikah? Allah mahu menguji hati saya lagikah?
“Alhamdulillah..tahun ni masuk 24 tahun.Kenapa Dila?,”
Dia tersenyum-senyum.
“Wahh..akak dah umur 24 tahun ya.Tapi, muka macam umur Dila sahaja,”
Kami sama-sama ketawa. Nak buat macam mana, dah saya ni memang ala-ala kanak-kanak rebina. Hehe.,. tak sangka dia akan tanya dan cakap macam tu. Melesetlah sangkaan saya tadi.
“Dila dapat tak jemputan kahwin kak Ainul?Eh, Dila kenal tak kak Ainul?,”
“Kak Ainul mana ni kak,”
“Alaa..Kak AinulMarhiah, floor ni juga.Tak kenal?”
Dia menggeleng.
“Kak Ainul tu nak kahwin ke kak?,”
“Insya’allah, dia kahwin dalam cuti midsem ni. Dia ada jemput akak. Mulanya memang akak nak pergi. Tapi, akak ada program.Jadi, tak dapat pergi.Sedih juga,’
“Ohh..Hmm..akak bila pula?,” kali ini bibirnya membungakan senyuman mekar.
Saya ketawa.
“Akak puasa lagi Dila. Tak terbuka hati lagi,”
“Ye ke?Nanti kalau akak nak kenduri, jemputlah Dila,”
Sekali lagi saya ketawa.
“Insya’allah..Cuma, sekarang ni, akak puasa dulu.Tak nak terikat dengan sesiapa. Panjang lagi cita-cita dan cinta akak. Komitmen dengan akademik dan kerja-kerja persatuan juga perlu akak timbangkan. Akak pun tak nak buat orang tunggu. Tak nak juga bagi harapan pada orang,”
“Hmm..betul juga ya kak.Susah kan kalau terikat dengan orang,”
Saya mengangguk.
“Ok Dila..akak dah selesai membasuh ni.Akak minta diri dulu ya,”
“Ok kak.Nanti kalau dah nak kenduri, jangan lupa jemput Dila ya.,”
Sekali lagi saya senyum.
“Insya’allah..,”

Rata-rata sahabat-sahabat saya di kampus UM ini ramai yang akan berwalimah dalam cuti dan dalam semester akhir ini. Saya hanya mampu iringkan mereka dengan titipan doa.
“Im..,”
Seseorang memanggil saya. Saya baru sahaja mahu membukakan kunci bilik. Selangkah lagi mahu melangkah masuk ke bilik. Saya menoleh. Ohh..Leen. Wajahnya bercahaya.
“Im..dah tahu ke?,”
“Tahu apa?,”
“Hafzan..,”
Nama itu pernah muncul dalam senarai perisik-perisik saya suatu ketika dulu. Munculnya untuk  melamar dan menghantar pinangan. Sehingga tiga kali dia melamar saya. Akhirnya, di akhir istikharah, saya tolak lamarannya dengan baik. Dan dia menerimanya. Saya juga berjanji mendoakan jodoh yang lebih baik untuknya. Saya memang tak layak. Akhir mesej kami, saya mesejkan padanya..
“asif..ana bukan untuk enta. insya’allah, ada lagi muslimat yang lebih baik untuk enta,”
“Kenapa dengan Hafzan?,”
“Hafzan dah nak kahwin,”
Serta merta bibir saya menguntumkan senyuman.
“Ye ke?Bila?Dengan siapa?,”
“Dia kahwin cuti ni.Tak pasti dengan siapa.Saya tengok kad kahwinnya di facebook.,”
Alhamdulillahh..akhirnya dia dah temui muslimah yang Allah pilihkan untuknya.
“Alhamdulillahh..leganya hati ana Leen.Makbul doa ana.Moga mereka bahagia sehingga ke akhirat,”
Untuk sahabat-sahabat yang telah dan akan mendirikan rumah tangga pada cuti semester ini, saya ucapkan salam berwalimah.
Khasnya buat sahabat SMPI, ukhti Nor Hayati Binti Mat Arin bersama pasangannya Sharif dan tidak lupa juga buat sahabat SMPI, akh Qutsam dan pasangannya Syasya. 
Semoga jodoh kalian kekal bahagia hingga ke anak cucu. Moga perkahwinan itu atas dasar ibadah pada Allah. ibadah kerana cinta pada Allah. Bukan semata-mata berkahwin untuk hidup di dunia, tetapi berkahwin untuk beribadah kepada Allah dan hala matlamatnya adalah untuk menuju kehidupan yang kekal abadi hingga ke syurga Allah. Malah perkahwinan dapat menjadi tiket untuk kita ke syurga Allah.
“Ya Allah, jangan sehingga cinta dan kehidupan dunia ini membuatkan aku lupa pada rindu, pada syahid di jalanMu dan pada cinta hanya untukMu..”
Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah ( 12th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
1 Februari 2011, 28 Safar 1432H, 9.25 a.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...