BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 11, 2011

Tetamu Wadie : Pasangan Ukhti NurulHuda Alli & Akh Ismail Majelis


Satu lagi lembah yang saya wujudkan di dalam Wadie AnNurFillah saya ini. Lembah tetamu Wadie ini saya mulakan sebagai medan perkongsian realiti cinta bersama mad’u yang bernama sahabat, rakan, taulan, senior dan junior seperjuangan. Semuanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun, sebagai manusia, perlu perkongsian untuk lebih lengkap melengkapi antara satu sama lain. Saya ingin menambah ilmu yang lebih realiti. Realiti kehidupan sahabat-sahabat yang saya ingin sama-sama ambik pengajaran di dalam hidup saya. Semoga pengajaran n kebaikan itu sama-sama kita dapat kongsi.
Saya sangat sukakan seni. Seni itu irama dakwah. Jadi, saya akan jadikan lensa kamera saya sebagai pelengkap gerak kerja dakwah saya ini. Bukankah Allah sukakan hamba-hambanya yang memperelokkan kerjanya. Jika wartawan majalah atau tv suka menemubual atau menemuramah arits-artis yang menjadi pujaan ramai. Saya pula lebih suka menerjah sahabat-sahabat dan rakan taulan, samada mereka pernah menjadi mahasiswa atau paling penting, mereka sudah menjadi ‘seseorang’ di muka bumi Allah ini. Maka, kita cuba selami rahsia ‘hidup’ mereka. Ayuh kita terjah, siapa yang bertuah menjadi tetamu undangan pada entry yang pertama di ruangan tetamu istimewa wadie ini.
Tarikh :11 Februari 2011      Masa : Jam 11 pagi
Tempat : Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya Kuala Lumpur
Ketika saya terfikir, siapa yang saya hendak jemput untuk menjadi tetamu itimewa Wadie saya ini, Tiba-tiba saya terdetikkan dua wajah, satu hati. Mereka bagaikan merpati sejoli dan pasangan yang sangat ideal. Khasnya di dalam SMPI tahun 4. Ketika saya mahu menyuarakan hasrat hati mahu menjemput mereka ini ke Wadie AnNurFillah saya, saya bimbang juga, jika undangan saya ini mengganggu masa mereka. Namun, saya lajukan juga jari saya menekan keypad handset. Saya mahu belajar sesuatu dari mereka berdua ini. Sudah semestinya ia adalah pengalaman berharga yang hanya menjadi rahsia. Namun, jika tak banyak, sedikit pun tak apa, asalkan saya dapat belajar sesuatu dari mereka berdua. Mereka berdua sudahpun menjalani kehidupan sebagai suami isteri yang sah. Saya rasa, pasti sahabat-sahabat seperjuangan SMPI juga mahu tahu dan kongsi rahsia mereka berdua ini. Bolehlah saya katakan, mereka The Best Couple of SMPI Year 4. Subhanallahh..cantik dan sweet sangat. Sama cantik, sama padan. Dan saya melihat mereka sebagai icons for muslims. Alhamdulillah.. mesej saya direspon dengan ‘pucuk dicita ulam mendatang’ . Lalu temu janji saya aturkan untuk bertemu dengan mereka berdua.
Segala soalan yang saya tanyakan, saya hanya minta mereka respon secara softcopy sahaja. Kerana, saya tidak mahu mengambil terlalu banyak masa mereka. Jadi, pada sesi pertemuan itu, hanyalah sesi fotografi saya dengan mereka. Ahh..jadi kamera woman pula saya. Turut menemani saya, kak Aqilah, sebagai rakan kamera woman saya juga. Pasangan suami isteri itu hari ini memakai pakaian sedondon. Pakaian mereka berwarna ungu. Subhanallah, sejak mereka belum berkahwin lagi, saya selalu melihat keserasian antara mereka. Bukan setakat mereka berdua ini saling menjaga ikhtilat di dalam perhubungan. Tetapi, keserasian itu terserlah melalui warna baju yang dipakai. Bila ditanya, adakah mereka memang berpakat memakai baju sama? Pantas mereka menggelengkan kepala. Tapi, sesudah berkahwin, memang warna baju selalu sedondon. Itu melambangkan jiwa mereka yang sehati dan sejiwa. Sefikrah juga.
Mereka yang saya maksudkan adalah pasangan bahagia, Akh Ismail Majelis dan NurulHuda Alli. Akh Ismail merupakan rakan semajmuah saya sewaktu berada di bumi tarbiyah Nilam Puri dahulu. Mas’ul majmuah yang sangat rajin dan berkepimpinan orangnya. Manakala, NurulHuda pula, sahabat yang saya kenali di Uni Malaya. Walaupun ukhwah kami baru bermula di kampus UMKL ini ketika sama-sama melangkah ke Uni Malaya ini pada tahun 2007. Namun sebenarnya kehangatan ukhwah yang saya rasai dari NurulHuda, seperti sudah lama saya mengenalinya. Moga ukhwah ini berkekalan sehingga ke akhirat.
Mereka diikat sebagai suami isteri yang sah pada 29 Mei 2009. Manakala majlis persandingan mereka pada 6 Jun 2010. Ertinya, usia perkahwinan mereka masih baru. Lebih kurang dalam 9 hingga 10bulan. Wahh..masing dalam honeymoon ni.hehe.. Mari kita sama-sama terjah mereka. Mari kita kenali mereka dengan lebih rapat. Jom..
Biodata Diri
Nama : Nurulhuda Binti Alli              Asal: Sarawak                        Status: Berkahwin (isteri)
Hobi: Memasak          Pendidikan: Sarjana Muda   
Tokoh yg dikagumi: Nabi Muhammad s.a.w
Cita-cita: Pendidik

Nama: Ismail Bin Majelis       Asal: Sarawak                        Status: Berkahwin (suami)
Hobi: Membaca Kitab                        Pendidikan: Sarjana Muda   
Tokoh yg dikagumi: Nabi Muhammad s.a.w
Cita-cita: Pendidik

Kisah CINTA

Kisah cinta.? Kisah cinta kami berdua pada mulanya atas dasar kawan sahaja.  Sebenarnya kami pernah belajar satu sekolah. Namun, sepanjang tempoh lima tahun di sekolah tidak pernah bertegur sapa dan tidak mengenali antara satu sama lain. Ikatan yang wujud pada masa tersebut hanyalah sebagai senior dan junior sahaja. Alhamdulillah Allah telah menemukan kami berdua di UM dan saling mengenali antara satu sama lain. Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta, disinilah perkenalan antara kami berdua bermula. Walaupun tempoh perkenalan agak singkat, alhamdulillah kami berdua berjaya mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan dan sah bergelar suami isteri..
Ada Apa Dengan CINTA?

Cinta zaman sekarang, mungkin ada perbezaan sedikit berbanding zaman dahulu.  Kalau zaman dahulu, kebanyakan cinta hanya berlaku di sekitar tempat dan pengawalan daripada ibu bapa lebih terkawal kerana berlaku disekitar kawasan sahaja . Berbalik kepada persoalan cinta zaman sekarang, pendapat kami, cinta zaman sekarang lebih meluas. Bermacam-macam alat orang boleh gunakan untuk bercinta. Telefon, internet dan sebagainya boleh dijadikan saluran untuk bercinta. Sampaikan, melalui facebook pun orang boleh bercinta. Kesan daripada ledakan perkembangan semasa menyebabkan cinta zaman sekarang lebih terbuka. Bermacam-macam pengaruh boleh datang terutamanya dari Barat menyebabkan cinta zaman sekarang agak tercemar. Kahwin lari, mengandungkan anak luar nikah, lari dari rumah semuanya berpunca dari cinta. Bukan nak kata seratus peratus cinta zaman sekarang tercemar, tetapi kebanyakkannya berlaku sedemikian rupa. Justeru, cinta yang perlu diterapkan ialah cinta berdasarkan Ilahi. Cinta yang bermatlamatkan agama iaitu untuk berkahwin. Jadi, sebaiknya niatkan cinta itu atas dasar kerana Allah S.W.T. InsyaALLAH..selagi kita menjaga cinta kita kepada Allah, selagi itu Allah tetap menjaga cinta kita kepada orang yang berhak menerimanya.

Persediaan sebelum BERGELAR SUAMI & ISTERI..
Persediaan sebelum kahwin ni semestinya mantapkan diri dengan emosi, rohani, jasmani dan mental. Persediaan ini perlu cukup supaya dapat menangkis sebarang cabaran dan ujian serta dugaan sepanjang perkahwinan. Selain itu, perlu mantapkan diri dengan ilmu. Bukan sahaja ilmu perkahwinan, tetapi merangkumi semua ilmu bermanfaat supaya masjid yang dibina berada di landasan yang sepatutnya.
Persediaan semasa dan selepas BERGELAR SUAMI & ISTERI..
Sebagai persediaan semasa dan selepas bergelar suami isteri, perlu bersiap sedia untuk mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dan terus mendalami ilmu. Selain itu, sentiasa bersedia membaiki kelemahan dan kekurangan  diri serta sentiasa melengkapi antara satu sama lain.

Kenangan Paling Manis

Ismail :
Kenangan paling manis apabila saya selesai melafazkan akad nikah dan sah bergelar sebagai suami kepada Huda, isteri saya..
Huda :
Kenangan paling manis apabila saya sah bergelar sebagai isteri kepada Ismail, suami saya.
Ismail dan Huda : Itulah kenangan kami yang paling manis.

Tips-Tips Kecemerlangan Diri
  1. Niatkan belajar kerana Allah.
  2. Belajar ilmu yang bermanfaat.
  3. Setiap kali menuntut ilmu, jangan lupa berdoa kepada Allah.
  4. Merancang masa belajar dan masa membuat aktiviti lain dengan sistematik.
  5. Berusaha bersungguh-sungguh.
  6. Bantu membantu antara satu sama lain.
  7. Memperbaiki kelemahan diri.
  8. Jangan malu bertanya.
  9. Tidak mudah putus asa.
  10. Bertawakal kepada Allah.

Tips-Tips Pengurusan Kekeluargaan

1. Menjaga waktu solat dan sentiasa mendirikan solat secara berjemaah.
2.Mewujudkan suasana islamik dalam rumah tangga.
3. Mengamalkan sikap terpuji dan sentiasa menjaga akhlak ahli keluarga.
4. Bekerjasama memikul tanggungjawab dalam rumahtangga.
5. Membuat perancangan masa depan keluarga yang lebih sempurna.
6. Saling nasihat-menasihati dan saling bermaaf-maafan antara satu sama lain.
7. Menjaga amanah dengan sebaik mungkin.
8. Membuat perancangan ekonomi dengan sistematik.
9. Sentiasa mendalami ilmu.
10. Sentiasa memastikan kebajikan ahli keluarga sentiasa terjaga terutamanya dari sudut kesihatan, keselamatan dan pendidikan.

Harapan kepada remaja dan sahabat-sahabat, samada yang belum berkahwin, yang sedang belajar atau yang sudah berkahwin.

Kepada sahabat-sahabat sekalian, bercintalah atas dasar Ilahi. Jangan jadikan perkahwinan sebagai satu bebanan walaupun masih belajar. Jadikan ia sebagai pendorong untuk lebih berjaya. Ingat, jangan terlalu memikir pandangan orang lain tentang kita , tetapi utamakan pandangan Allah dengan kita.
Kata-Kata Keramat
Huda:
“..Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi separuh agamanya. Maka bertakwalah dia kepada Allah pada separuh yang belum disempurbakan lagi..”
Ismail:
“..Setiap amalan perlu di mulakan dengan niat dan setiap amalan niatkan hanya kerana Allah S.W.T..”
Berikut beberapa potret kenangan mereka sewaktu mengikut kursus Bahasa Arab di Yaman.
Ketika berada di Ghorqat Al-Qulais, Yaman

Ketika berada di Bahrain, Yaman

Begitulah corat-coret pasangan yang meletakkan cinta Allah sebagai paksi di dalam hubungan mereka, maka Allah permudahkan segala urusan mereka dan mereka juga disayangi dan dilindungi Allah s.w.t. insya’allah.. Renungi firman Alah s.w.t :
“Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu yang menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dan (diri)nya, dan dari keduanya Allah memperkembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan namaNya kamu saling meminta dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu..,”             Surah Annisa’ : 1
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya sempurnakan sesi ini. Semoga kita sama-sama mendapat inspirasi dari Akh Ismail dan Ukhti NurulHuda. Kita doakan semoga pasangan ini sentiasa dilimpahi berkat dan rahmat Allah, dimurahkan rezeki untuk menimang cahaya mata penyejuk hati serta dipermudahkan Allah dalam apa jua urusan hidup, baik di dunia mahupun di akhirat. Amin.. Semoga semua pembaca juga menyukai tetamu saya kali ini ya.
Note: Oh..nampaknya kali ini pentarbiyah sudah bertukar menjadi wartawan la pulak..hehe.. Asalkan baik untuk Islam, kita adalah semua proksi yang berguna untuk gerak kerja Islam.
Kolej Kediaman Kinabalu (8th)
Universiti Malaya Kuala Lumpur,
11 Februari 2011, 8 RabiulAwal 1432H, 3.28p.m

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...